Sejauh Mana Kaum Muslimin Perlu Bertoleransi Dengan Penganut Agama Lain?
Baru-baru ini negara dihebohkan dengan sebuah program yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan iaitu “Jom Ziarah Gereja”. Melalui penjelasan yang dibuat oleh Menteri yang bertanggungjawab, Hannah Yeoh, di parlimen, dapat diperhatikan bahawa program tersebut didasari oleh konsep toleransi antara kaum di Malaysia. Namun begitu, satu persoalan yang perlu dijawab oleh Menteri berkenaan ialah, sejauh manakah toleransi yang ingin mereka bawa dan terapkan? Adakah tolerasi yang ingin ditonjolkan adalah toleransi ala Barat yang jauh penyimpangan dari ajaran Islam? Hakikatnya ajaran Islam tidak pernah menghalang penganut mana-mana agama untuk mengamalkan ajaran mereka, namun adalah suatu kesalahan bagi kaum Muslimin untuk ikut serta dalam sambutan serta ritual agama mereka. Ini merupakan had toleransi yang diajarkan oleh Islam – bukannya toleransi yang membenarkan penganut Islam sama-sama tunduk dengan nilai yang dibawa oleh agama lain.
Toleransi yang ditunjukkan oleh Islam termanifestasi dalam membenarkan kaum bukan Islam mengamalkan agama mereka. Mereka bebas untuk mengamalkan agama mereka dan sebenarnya, tidak perlu sama sekali bagi kaum Muslimin untuk turut serta dalam aktiviti keagamaan kaum bukan Islam. Malah, umat Islam di Malaysia sebenarnya sudah sangat berteloransi dengan penganut agama lain selama ini. Jika tidak, mana mungkin rumah ibadat bukan Islam boleh tumbuh dengan bebas dan di sesetengah tempat, jumlah rumah ibadat bukan Islam jauh lebih banyak berbanding masjid.
Sebenarnya, sentimen yang dimainkan dalam isu seperti ini adalah berkaitan dengan golongan majoriti dan minoriti. Di sini biasanya akan ditimbulkan isu bahawa kaum minoriti haruslah menghormati kaum majoriti dan kaum majoriti pula haruslah bertoleransi dengan kaum yang lebih sedikit jumlahnya. Perkiraan majoriti mahupun minoriti ini hakikatnya tidak memiliki nilai sedikitpun dalam pertimbangan hukum syarak. Sandaran bahawa minoriti perlu menghormati majoriti ataupun majoriti harus bertoleransi dengan minoriti bukanlan satu ukuran yang benar. Yang sepatutnya menjadi sandaran dalam isu ini adalah kebenaran hukum syarak dalam mendasari perbuatan dan pengaturan hidup bermasyarakat. Dan hukum syarak telah menggariskan dengan jelas had toleransi terhadap agama lain. Keyakinan kita sebagai umat Islam terhadap hukum syarak seharusnya kita rangkul erat dan dengan keyakinan ini, mengapa pula kita perlu berdalih dalam menyeru dan mengajak manusia lain kepada kebenaran dan keindahan Islam? Wallahu a’lam.