Saatnya Mengulangi Kemenangan dan Kebahagiaan Hakiki
Oleh : Amani Mohamed
Muqaddimah
Menjelang Aidilftiri, terngiang-ngiang di telinga salah satu lirik lagu popular, “Bila tiba hari raya, semua insan bergembira..”. Begitulah perasaan umat Islam saat pengumuman ketibaan Syawal, maka laungan takbir terus bergema sebagai tanda kemenangan setelah melalui madrasah Ramadan. Tetapi adakah kegembiraan dan kemenangan itu benar-benar dirasakan sedangkan ramai antara ibu bapa sedang runsing memikirkan perbelanjaan yang banyak termasuk keperluan persekolahan anak, memeriahkan Ramadan dan persiapan hari raya? Bertambah duka lagi apabila puluhan ribu rakyat Johor diuji dengan musibah banjir yang tak terduga yang sudah tentu memerlukan perbelanjaan yang tinggi untuk proses pemulihan.
‘Rahmah’ Yang Penuh Kritikan
Ramalan Bank Dunia di awal tahun 2023 ini membayangkan ekonomi sedunia yang suram. Dalam pembentangan Belanjawan Madani pada 24 Februari lalu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Malaysia mengumumkan bahawa hutang negara akan menjangkau RM1.2 trilion atau lebih 60 peratus KDNK bagi tahun 2023. [1] Ini adalah antara kesan buruk inflasi mata wang fiat yang amat dirasai oleh setiap lapisan masyarakat namun cuba diubati dengan konsep ‘rahmah’ ciptaan penguasa Malaysia Madani.
Dalam sistem kapitalisme, teori harga ‘mampu milik’ dipraktikkan sebagai mekanisme supaya rakyatnya mendapatkan keperluan asas, contohnya pengenalan menu Rahmah berharga RM5 yang mensasarkan golongan kurang berkemampuan. Persoalannya, bagaimanakah nasib mereka yang memperoleh pendapatan kurang RM5 sehari untuk menampung kos makan semua ahli keluarga? Desakan untuk mengeluarkan duit simpanan sendiri di KWSP pun terus ditolak oleh pemerintah atas alasan takut derita di hari tua dan menambah bebanan kerajaan. Malah rakyat terasa dipersendakan bila kerajaan bersetuju KWSP dijadikan cagaran pinjaman yang dibuat oleh rakyat.
Realiti yang sedang lalui oleh rakyat pada masa kini tidak serupa langsung dengan angka-angka dan petunjuk-petunjuk ekonomi (economic indicators) yang diumumkan. Pelik tetapi benar. Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) melaporkan prestasi ekonomi Malaysia meningkat kepada 8.7 peratus pada tahun 2022, pertumbuhan tahunan tertinggi yang dicatatkan dalam tempoh 22 tahun. [2] Angka yang diumumkan ini umpama fatamorgana di padang pasir kerana harga-harga barang dan perkhidmatan turut naik secara mendadak. Ini bermakna, hanya para kapitalis selaku pemilik modal yang terus menikmati kesenangan tersebut, bukannya rakyat.
Indikator Rahmatan Lil ‘Alamin Yang Hakiki
Berbeza dengan Islam, penguasa yang dilantik wajib menjamin pemenuhan keperluan asas setiap individu rakyatnya termasuk bayi yang masih dalam kandungan, bayi baru lahir sehinggalah orang tua. Kewajipan itu bukanlah bebanan tetapi amanah Allah yang mana pemenuhannya akan dihisab, manakala pengabaian kewajiban ini akan diazab di akhirat kelak. Tiada pengiraan purata atau permainan angka peratusan yang menjadi penunjuk atau indikator kesejahteraan rakyat.
Islam memandang masalah ekonomi adalah masalah manusia yang perlu segera diselesaikan apatah lagi ia adalah isu yang merunsingkan fikiran para wanita khususnya sebagai pengurus rumah yang bertanggungjawab selaku ‘menteri ekonomi’ sesebuah isirumah. Apabila Islam diterapkan secara menyeluruh (kaffah), lelaki yang wajib menafkahi keluarga tidak terbeban memikirkan peruntukan wang untuk pendidikan, kesihatan, bayaran tol lebuhraya dan sebagainya. Ini adalah kerana sistem ekonomi Islam mempunyai mekanisme yang akan memastikan keperluan asas seperti pendidikan dan kesihatan dipenuhi dan rakyat tidak akan dikenakan tol kerana jalanraya adalah milik umum. Penguasa menjalankan amanah ini dengan khidmat yang terbaik dan paling moden yang didorong oleh taqwa.
Apabila ditelusuri kenangan indah saat Islam yang kaffah menjadi ideologi negara, Khalifah kedua iaitu Umar Al-Khattab pernah memberikan 50 dirham untuk setiap anak yang baru dilahirkan. Apabila mencecah umur 1 tahun, jumlahnya dinaikkan kepada 100 dirham. Amalan ini diteruskan oleh para khalifah seterusnya. Malah, ketika cicitnya memerintah iaitu Khalifah Umar Abdul Aziz, beliau memberi 10 dinar kepada semua anak-anak yang telah melepasi usia menyusu dengan ibunya. [3] Sumbangan-sumbangan ini bukanlah sebagai tabungan pendidikan, tetapi untuk menambahkan motivasi para ibu untuk meramaikan umat Muhammad SAW yang berkualiti.
Kemakmuran dan kesejahteraan ketika pemerintahan kedua-dua Umar ini merata ke segenap penjuru dunia Islam. Futuhat (pembebasan) demi futuhat hasil aktiviti jihad menambah pendapatan Baitul Mal. Setiap rakyat, tanpa dibezakan pendapatan setiap isi rumah atau agama yang dianut, menerima jaminan hidup yang selayaknya. Pernah seorang Gabenor Bashrah mengirim surat kepada Umar Abdul Aziz yang tertulis, “Seluruh rakyat hidup sejahtera sampai aku khuatir mereka akan menjadi takabbur dan sombong.” Umar membalas dengan mengingatkan pesan Allah dalam ayat ke 74 Surah az-Zumar dan memesan agar rakyatnya banyak memuji Allah SWT. [3]
Khatimah
Takbir kemenangan yang kita alunkan di hari raya adalah pertama kali dilaungkan ketika Perang Khandaq apabila Islam dimenangkan atas kekufuran. Kemenangan yang disusuli dengan limpahan nikmat dan keberkatan untuk seluruh alam. Maha benar firman Allah s.w.t dalam ayat ke 96 Surah Al-A’raf.
“Dan sekiranya penduduk negeri beriman dan bertakwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi ternyata mereka mendustakan (ayat-ayat Kami), maka Kami siksa mereka sesuai dengan apa yang telah mereka kerjakan.” [TMQ Al-A’raf (7): 96]
Ternyata hari ini, kita mengalami kesempitan hidup kerana masih hidup di dalam sistem kapitalisme yang mendustakan ayat-ayat Allah. Ramadhan adalah bulan turunnya Al-Qur’an. Ia adalah kesempatan terbaik untuk kaum Muslimin mengumpul bekalan spiritual dan seterusnya menempa kekuatan sebagai pejuang yang kental. Ayuh, inilah saatnya kita mengulangi semula kemenangan yang hakiki untuk memperoleh kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Wallahua’lam
Rujukan
[1] https://www.hmetro.com.my/utama/2023/02/939426/terkini-belanjawan-2023
[3] Penjelasan Kitab Al-Amwal Fi Daulah Al-Khilafah. Abu Fuad. Pustaka Thariqul Izzah