Dua Malaikat – Harut dan Marut dalam Surah al-Baqarah

Soalan :

Assalamu ‘alaikum wa rahmatullah wa barakatuhu.

Terlebih dahulu saya ingin mendoakan anda dan mengucapkan tahniah atas kesungguhan saudara dalam memajukan dakwah ini.

Soalan saya adalah tentang ayat 102 Surah al-Baqarah. Disebabkan ayat itu panjang, saya tidak menuliskannya semula. Dan saya akan bertanya tentang kandungan ayat ini berupa perkara-perkara berikut:

a- Adakah Harut dan Marut benar-benar malaikat? Atau adakah mereka manusia yang mempunyai sifat malaikat? Ada seorang syaikh mengatakan bahawa menurut apa yang ditunjukkan oleh bahasa Arab, kedua-duanya adalah manusia yang banyak ilmunya. Jika kedua-duanya adalah malaikat, bagaimana mereka berkomunikasi dengan manusia pada masa itu?

b- Ayat tersebut mengatakan:

﴿وَلَكِنَّ الشَّيَاطِينَ كَفَرُوا يُعَلِّمُونَ النَّاسَ السِّحْرَ وَمَا أُنْزِلَ عَلَى الْمَلَكَيْنِ بِبَابِلَ﴾

“Hanya syaitan-syaitanlah yang kafir (mengerjakan sihir). Mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua orang malaikat di negeri Babil iaitu Harut dan Marut” [TMQ al-Baqarah (2): 102].

Apa yang dibawa oleh Harut dan Marut, atau apa yang diturunkan kepada mereka?

c- Firman Allah SWT:

﴿وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ حَتَّى يَقُولَا إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلَا تَكْفُرْ﴾

“Sedang keduanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seorangpun sebelum mengatakan: “Sesungguhnya kami hanya cubaan (bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir” [TMQ al-Baqarah (2): 102].

Bolehkah kita mengatakan bahawa kedua-dua malaikat ini diutus dari syurga untuk mengajar sihir kepada manusia?

[Ustadhi Kamsokole]


Jawapan:

Wa’alaikumussalam wa rahmatullah wa barakatuhu.

Jawapan untuk pertanyaan-pertanyaan anda telah disebutkan dalam buku at-Taysîr fî Ushûl at-Tafsîr – Tafsîr Sûrah al-Baqarah, perkara itu terdapat dalam tafsir ayat 101-103, dan jika anda belum memiliki buku itu maka saya petik di bawah ini:

Buku Tafsîr Sûrah al-Baqarah halaman 119-125:

 

[Tafsir firman Allah SWT: {وَلَمَّا جَاءَهُمْ رَسُوْلٌ …… لَوْ كَانُوْا يَعْلَمُوْنَ} [TMQ al-Baqarah (2): 101-103].

﴿وَلَمَّا جَاءَهُمْ رَسُولٌ مِّنْ عِندِ اللَّهِ مُصَدِّقٌ لِّمَا مَعَهُمْ نَبَذَ فَرِيقٌ مِّنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ كِتَابَ اللَّهِ وَرَاءَ ظُهُورِهِمْ كَأَنَّهُمْ لَا يَعْلَمُونَ (101) وَاتَّبَعُوا مَا تَتْلُو الشَّيَاطِينُ عَلَىٰ مُلْكِ سُلَيْمَانَ ۖ وَمَا كَفَرَ سُلَيْمَانُ وَلَٰكِنَّ الشَّيَاطِينَ كَفَرُوا يُعَلِّمُونَ النَّاسَ السِّحْرَ وَمَا أُنزِلَ عَلَى الْمَلَكَيْنِ بِبَابِلَ هَارُوتَ وَمَارُوتَ ۚ وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ حَتَّىٰ يَقُولَا إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلَا تَكْفُرْ ۖ فَيَتَعَلَّمُونَ مِنْهُمَا مَا يُفَرِّقُونَ بِهِ بَيْنَ الْمَرْءِ وَزَوْجِهِ ۚ وَمَا هُم بِضَارِّينَ بِهِ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ ۚ وَيَتَعَلَّمُونَ مَا يَضُرُّهُمْ وَلَا يَنفَعُهُمْ ۚ وَلَقَدْ عَلِمُوا لَمَنِ اشْتَرَاهُ مَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلَاقٍ ۚ وَلَبِئْسَ مَا شَرَوْا بِهِ أَنفُسَهُمْ ۚ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ (102) وَلَوْ أَنَّهُمْ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَمَثُوبَةٌ مِّنْ عِندِ اللَّهِ خَيْرٌ ۖ لَّوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ (103)﴾

“Dan apabila datang kepada mereka seorang Rasul dari sisi Allah (Nabi Muhammad SAW), yang mengesahkan apa yang ada pada mereka, sebahagian dari orang-orang yang telah diberikan Kitab itu melemparkan Kitab Allah ke belakang mereka, seolah-olah mereka tidak mengetahui (kebenarannya). (101) Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)”. Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui. (102) Dan kalau sebenarnya mereka itu tetap beriman dan bertaqwa (nescaya mereka akan mendapat pahala); sesungguhnya pahala dari sisi Allah itu adalah lebih baik, kalau mereka mengetahui. (103)” [TMQ al-Baqarah (2): 101-103].

 

Dalam ayat-ayat ini, Allah SWT menjelaskan hal-hal berikut:

  1. Orang-orang Yahudi menentang Rasulullah SAW dan membantah beliau dengan Taurat. Mereka bertanya kepada Rasulullah SAW tentang Taurat sebagaimana mereka bertanya kepada beliau tentang nyawa (h), Ashabul Kahfi dan Zulkarnain. Rasulullah SAW menjawab mereka dengan ayat al-Quran yang diwahyukan oleh Allah kepada beliau. Selain itu, beliau mengungkap sebahagian yang mereka ubah dan ganti sebagaimana mereka mengubah rejam pezina, mengubah sifat Rasul SAW yang ada di dalam Taurat dan adanya Rasulullah SAW yang membenarkan apa yang telah dikhabar-gembirakan di dalam Taurat. Ketika mereka menemukan bahawa berhujah dengan Taurat tidak berjalan mengikut keinginan mereka, maka mereka berpaling daripadanya dan mereka mencampakkan ke belakang punggung mereka ﴿كَأَنَّهُمْ لاَ يَعْلَمُوْنَ﴾ –seolah-olah mereka tidak mengetahui– (TMQ al-Baqarah [2]: 101), iaitu mereka mencampakkan Taurat seolah-olah berasal dari kaum yang tidak mengimaninya dan tidak mengetahui kebenaran yang ada di dalamnya berupa sifat Rasulullah SAW. Ini adalah tambahan kepada berpalingnya mereka daripada apa yang ada di dalam Taurat berupa bukti-bukti kenabian Rasulullah SAW. Maka dia berpaling berdasarkan pengetahuan dari mereka.

Apabila jelas kepada mereka kegagalan penentangan mereka terhadap Rasulullah SAW menggunakan Taurat, mereka mula mencari masalah-masalah lain dari sumber-sumber Taurat yang mereka gunakan untuk membantah Rasul SAW.

  1. Apabila Allah mewahyukan kepada rasul-Nya bahawa Sulaiman AS adalah seorang nabi.

﴿إِنَّا أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ كَمَا أَوْحَيْنَا إِلَىٰ نُوحٍ وَالنَّبِيِّينَ مِن بَعْدِهِ وَأَوْحَيْنَا إِلَىٰ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَالْأَسْبَاطِ وَعِيسَىٰ وَأَيُّوبَ وَيُونُسَ وَهَارُونَ وَسُلَيْمَانَ وَآتَيْنَا دَاوُودَ زَبُورًا﴾

“Sesungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nuh dan nabi-nabi yang datang sesudahnya, dan Kami telah memberikan wahyu (pula) kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Ya’qub dan anak cucunya, Isa, Ayyub, Yunus, Harun dan Sulaiman AS. Dan Kami berikan Zabur kepada Daud.” [TMQ an-Nisa’ (4): 163].

Orang-orang Yahudi berkata: “Sulaiman AS adalah seorang ahli sihir dan bukan seorang nabi. Kemudian mereka mengumpulkan kitab-kitab yang diminta untuk ditulis oleh ahli-ahli sihir dengan bantuan syaitan pada masa kekuasaan Sulaiman AS dan yang disebakan di kalangan mereka di kota Rasul SAW. Mereka berkata, inilah kitab-kitab yang digunakan untuk memerintah oleh Sulaiman AS. Mereka mengikutinya dan menjadikannya sebagai topik perdebatan dengan Rasul SAW.

﴿وَاتَّبَعُوا مَا تَتْلُو الشَّيَاطِينُ عَلَىٰ مُلْكِ سُلَيْمَانَ﴾

“Dan mereka mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman AS” [TMQ al-Baqarah (2): 101].

Firman Allah SWT ﴿مَا تَتْلُوْا الشَّيَاطِيْنُ﴾ –apa yang dibacakan oleh syaitan-syaitan– iaitu apa yang dibacakan oleh syaitan atau dibisikkan oleh syaitan kepada ahli sihir supaya mereka menuliskannya dalam kitab-kitab mereka.

 

﴿يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا﴾

“Sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu (manusia).” [TMQ al-An’am (6): 112].

Syaitan pada masa sebelum Islam boleh mencuri maklumat dari langit dan mencampurkannya dengan pelbagai jenis kebohongan dari diri mereka sendiri dan mereka membisikkan kepada wali-wali mereka.

فَيَسْتَخْبِرُ بَعْضُ أَهْلِ السَّمَاوَاتِ بَعْضًا حَتَّى يَبْلُغَ الْخَبَرُ هَذِهِ السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَخْطَفُ الْجِنُّ السَّمْعَ فَيَقْذِفُوْنَ إِلَى أَوْلِيَائِهِمْ وَيُرْمَوْنَ بِهِ فَمَا جَاءُوْا بِهِ عَلَى وَجْهِهِ فَهُوَ حَقٌّ وَلَكِنَّهُمْ يَقْرِفُوْنَ فِيْهِ وَيَزِيْدُوْنَ

Sebahagian daripada penduduk langit meminta berita kepada sebahagian yang lain sehingga berita itu sampai ke langit dunia, kemudian jin mencuri dengar dan mereka menyampaikankannya kepada wali-wali mereka dan mereka lemparkan. Apa yang mereka bawa sebagaimana mestinya adalah benar, tetapi mereka mencampur-adukkannya dan menambah-nambahkannya”.[1]

Jin dihalang untuk mencuri dengar setelah Islam.

﴿وَأَنَّا كُنَّا نَقْعُدُ مِنْهَا مَقَاعِدَ لِلسَّمْعِ فَمَن يَسْتَمِعِ الْآنَ يَجِدْ لَهُ شِهَابًا رَّصَدًا﴾

“Padahal sesungguhnya kami dahulu biasa menempati tempat-tempat (perhentian) di langit untuk mendengar (percakapan penduduknya); maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar, akan mendapati api yang menyala menunggu untuk merejamnya.” [TMQ al-Jinn (72): 9].

Firman Allah SWT ﴿عَلَى مُلْكِ سُلَيْمَانَ﴾ iaitu pada masa kekuasaan Sulaiman AS.

  1. Kitab-kitab sihir itu telah ditulis oleh ahli-ahli sihir dari dua jalur:

Pertama, sihir yang dibisikkan oleh syaitan kepada mereka.

Kedua, apa yang diajarkan oleh dua malaikat Harut dan Marut kepada manusia. Allah SWT telah menurunkan kedua-duanya di Babylonia mengajarkan sihir kepada manusia dan memperingatkan manusia daripada melakukan sihir dan memberitahu manusia bahawa kedua-duanya adalah fitnah (ujian) dan cubaan bagi manusia.

 

﴿وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ حَتَّىٰ يَقُولَا إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلَا تَكْفُرْ﴾

“Sedang keduanya tidak mengajar seseorang melainkan setelah mereka menasihatinya dengan mengatakan: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji keimananmu), kerana itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)”. [TMQ al-Baqarah (2): 102].

Dan Allah SWT menurunkan kebaikan dan keburukan di muka bumi untuk menguji hamba-hambaNya dengan kebaikan dan keburukan.

 

﴿وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً﴾

“Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya).” [TMQ al-Anbiya’ (21): 35].

Mengajar sihir kepada manusia adalah ujian bagi mereka. Siapa yang beriman kepada sihir dan melakukannya maka dia telah kafir. Sedangkan siapa yang tidak beriman kepada sihir dan tidak melakukannya maka dia benar-benar selamat.

 

﴿ إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلَا تَكْفُرْ﴾

“Sesungguhnya kami hanya cubaan (bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir”. [TMQ al-Baqarah (2): 102].

  1. Allah SWT membebaskan nabi-Nya iaitu Sulaiman AS daripada kedustaan dan pembohongan yang diada-adakan oleh orang-orang Yahudi. Sulaiman AS tidak kafir. Kenyataan ini di sini untuk menunjukkan bahawa Sulaiman AS bukanlah seorang ahli sihir dan tidak beriman kepada sihir, maka dia bukanlah seorang kafir. Jadi Sulaiman AS adalah Nabi Allah ﴿وَمَا كَفَرَ سُلَيْمَانُ﴾ –dan Sulaiman AS tidaklah kafir– iaitu Sulaiman AS bukan ahli sihir dan tidak beriman kepada sihir sehingga dia seorang kafir.[2] Dalalah (konotasi) ini sudah tertentu kerana orang-orang Yahudi menuduh Sulaiman AS dengan sihir: “Ibnu Jarir telah mengeluarkan dari Syahr bin Hawsyab, dia berkata: “Orang-orang Yahudi berkata: “lihatlah kepada Muhammad, dia mencampuradukkan kebenaran dengan kebatilan, dia menyebut Sulaiman AS bersama para nabi, padahal Nabi Sulaiman AS tidak lain adalah seorang ahli sihir yang menunggangi angin”.[3] Padahal Sulaiman AS bukan kafir. Maka Allah SWT menjawab mereka ﴿وَمَا كَفَرَ سُلَيْمَانُ﴾ iaitu Sulaiman AS tidak melakukan sihir. Tetapi penggunaan secara majaz lafaz ﴿كَفَرَ﴾ dalam ayat ini menunjukkan bahawa siapa yang beriman kepada sihir dan melakukan sihir adalah kafir, sesuai hubungan al-musabbabiyah, menurut bahasa arab sebagaimana yang telah kami sebutkan.

Begitulah, Sulaiman AS tidaklah kafir. Tetapi yang kafir adalah syaitan.

﴿وَمَا كَفَرَ سُلَيْمَانُ وَلَٰكِنَّ الشَّيَاطِينَ كَفَرُوا يُعَلِّمُونَ النَّاسَ السِّحْرَ وَمَا أُنزِلَ عَلَى الْمَلَكَيْنِ بِبَابِلَ هَارُوتَ وَمَارُوتَ ۚ وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ حَتَّىٰ يَقُولَا إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلَا تَكْفُرْ﴾

“…padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)”. [TMQ al-Baqarah (2): 102].

  1. Sihir adalah menampakkan sesuatu yang tidak sesuai dengan hakikatnya sebagai ilusi. Makna ini datang dari firman Allah SWT:

﴿سَحَرُوا أَعْيُنَ النَّاسِ﴾

“mereka menyilap mata orang ramai” [TMQ al-A’raf (7): 116].

﴿يُخَيَّلُ إِلَيْهِ مِن سِحْرِهِمْ أَنَّهَا تَسْعَىٰ﴾

“Terbayang kepada Musa seolah-olah ia merayap dengan cepat, lantaran sihir mereka.” [TMQ Taha (20): 66].

Yakni bahawa tongkat tetaplah tongkat menurut hakikatnya tetapi nampak pada penglihatan orang-orang yang melihatnya sebagai ular hidup yang merayap.

Di dalam bahasa, al-Jawhari berkata: “sihir adalah al-akhzu (pengambilan) dan setiap yang pengambilan yang lembut dan samar adalah sihir. Dikatakan, saharta as-shabiy jika anda menipunya. Sihir dinyatakan dalam beberapa diwan arab dengan maksud al-‘idhdhah. Dan al-‘idhdhah menurut orang Arab ialah syiddatu al-buhti (kuatnya kebohongan) dan tamwîh al-kazib (menyamarkan kebohongan). Seorang penyair berkata:

أَعُوْذُ بِرَبِّيْ مِنَ النَّافِثَاتِ                مِنْ عِضَّةِ الْعَاضَةِ الْمُعِضَّةِ

Saya berlindung kepada Rabbku dari orang-orang yang meniupkan

Dari kuatnya kebohongan yang samar menyamarkan

Orang Arab juga menggunakan perkataan as-sihr dalam erti kata al-khafâ` (tersembunyi). Sebab ahli sihir melakukannya secara sembunyi. Adapun apakah bahan sihir, ilmu pemilik sihirlah yang dapat mengelabui mata orang ramai sehingga sesuatu itu dilihat tidak pada hakikatnya (bukan kenyataannya). Maksudnya, hakikat itu tidak berubah menjadi hakikat baru yang lain, dengan makna sihir tidak menghapuskan hakikat yang pertama dan membentuk hakikat baru menggantikannya. Atas dasar itu, jika seseorang memegang ular yang kelihatan dari tongkat, dia akan mendapatinya sebagai tongkat. Dan jika dia menganalisisnya di makmal, dia akan mendapati ia adalah komponen yang sama dari tongkat yang dilemparkan, dan dikhayalkan kepada kita bahawa ia adalah ular yang berjalan. Oleh itu, ahli-ahli sihir apabila melemparkan tongkat mereka, mereka masih melihatnya sebagai tongkat tetapi mereka menyihir mata orang ramai sehingga orang ramai melihatnya sebagai ular. Maka tatkala Musa AS melemparkan tongkatnya, yang mereka lihat sebagai ular yang hakiki dan bukan tongkat kemudian menelan tongkat-tongkat mereka, dan menghilangkan sepenuhnya hakikatnya, maka mereka faham bahawa ini bukanlah sihir, kerana sihir tidak menghilangkan hakikat sesuatu. Maka mereka mengetahui bahawa apa yang berlaku itu bukanlah sihir dan itu adalah kebenaran yang datang dari Rabb semesta alam sebagaimana yang dikatakan oleh Musa AS, lalu mereka pun beriman dan keimanan mereka sangat menakjubkan.

  1. Firman Allah SWT:

﴿وَاتَّبَعثوْا مَا تَتْلُوْا الشَّيَاطِيْنُ﴾

“Mereka mengikuti apa yang dibacakan oleh syaitan-syaitan”.

Dan firman Allah SWT:

﴿ وَلَٰكِنَّ الشَّيَاطِينَ كَفَرُوا يُعَلِّمُونَ النَّاسَ السِّحْرَ﴾

“Hanya syaitan-syaitan lah yang kafir (mengerjakan sihir). Mereka mengajarkan sihir kepada manusia” [TMQ al-Baqarah (2): 102].

Ini menunjukkan bahawa sihir itu dilakukan dengan membaca kalam (ucapan) kufur. Ini bermakna pelaksanaan sihir yang merupakan ilmu adalah dengan menggunakan lafaz-lafaz kufur dalam mantera-manteranya atau pelaksanaannya. Adapun selain itu, ia tidak dinamakan sihir dengan makna yang telah diketahui dalam ayat ini, misalnya menampakkan perkara yang tidak pada hakikatnya dengan wasilah-wasilah teknikal -seperti kecepatan tangan atau seumpamanya- atau menggunakan sebahagian ucapan menggunakan lafaz-lafaz yang bukan lafaz kufur untuk memasukkan kekeliruan kepada orang dengan menampakkan perkara-perkara yang bukan hakikatnya -misalnya sesetengah bomoh melumuri (menyapu sesuatu pada badan seperti minyak, bau-bauan dll [pent]) orang-orang tua-, maka perbuatan ini dan seumpamanya bukanlah sihir dengan maksud yang telah disebutkan.

  1. Hukuman ahli sihir seperti yang telah kami jelaskan ialah hukuman orang murtad. Dia kafir dengan makna yang telah disebutkan sebelumnya. Para sahabat menghukum ahli sihir dengan hukuman bunuh. Hafshah Ummul Mukminin RA memerintahkan supaya ahli sihir yang telah mengaku melakukan sihir dibunuh.

Adapun yang diriwayatkan tentang pengingkaran  Uthman bin Affan RA terhadap Hafshah RA atas apa yang dilakukannya, maka itu adalah pengingkaran terhadap Hafshah RA kerana dia melakukan perkara itu tanpa izinnya. Padahal dia adalah khalifah umat Islam.  Uthman RA tidak mengingkari hukuman bunuh tersebut. Perbuatan seperti itu, iaitu hukuman bunuh terhadap ahli sihir, telah dilakukan pada masa Umar RA. Jadi perkara tersebut adalah Ijmak Sahabat kerana ia adalah hukuman berat yang dijalankan di hadapan mereka tanpa sebarang pengingkaran. Imam Ahmad telah mengeluarkan dari Sufyan dari jalur Jaz`u bin Muawiyah bapa saudaranya Ahnaf bin Qays yang berkata:

أَتَانَا كِتَابُ عُمَرٍ قَبْلَ مَوْتِهِ بِسَنَةٍ أَنْ اُقْتُلُوْا كُلَّ سَاحِرٍ وَرُبَمَا قَالَ سُفْيَانُ وَسَاحِرَةٍ

“Telah sampai kepada kami surat Umar setahun sebelum kematiannya agar “bunuhlah setiap ahli sihir lelaki” dan mungkin Sufyan berkata “dan setiap ahli sihir wanita”.

Adapun yang kami sebutkan berupa aktiviti-aktiviti seni tersembunyi yang dengannya orang ramai dikelabui jika tidak dijelaskan kepada mereka, serta pembohongan dan silap mata oleh para syaikh, maka pelakunya akan dikenakan hukuman ta’zir sesuai dharar yang ditimpakan terhadap orang yang tertipu oleh mereka, di antara mereka yang bermuamalah dengan para syaikh tersebut. Umum mengetahui bahawa hukuman ta’zir dalam Islam boleh sampai pada hukuman bunuh mengikut jenis jenayah yang dilakukan.

Namun, perbezaan di antara hukuman bunuh dalam bentuk hadd dan hukuman bunuh dalam bentuk ta’zir, ialah hukuman bunuh dalam bentuk hadd ialah hadd murtad yang tidak disolatkan orangnya dan tidak dikebumikan di perkuburan orang Islam. Adapun yang kedua, iaitu hukuman bunuh dalam bentuk hukuman ta’zir, maka dia adalah orang Islam yang fasiq atau fajir mengikut jenis jenayahnya, yang mana dia masih disolatkan dan dikebumikan di tanah perkuburan orang Islam.

8- Firman Allah SWT:

﴿فَيَتَعَلَّمُونَ مِنْهُمَا مَا يُفَرِّقُونَ بِهِ بَيْنَ الْمَرْءِ وَزَوْجِهِ ۚ وَمَا هُم بِضَارِّينَ بِهِ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ ﴾

“Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari daripada mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) seseorang pun dengan sihir itu melainkan dengan izin Allah.” [TMQ al-Baqarah (2): 101].

Allah SWT menjelaskan bahawa orang-orang yang mempelajari sihir dan melakukan sihir, mereka boleh melakukan perbuatan tersebut ke atas orang-orang yang bermuamalah dengan mereka, yang menimbulkan masalah-masalah di antara mereka, dan di antara isteri-isteri mereka sehingga menyebabkan talak dan perpisahan. Kemudian Allah SWT menjelaskan perkara akidah yang penting untuk menghilangkan kefahaman yang boleh masuk ke dalam kefahaman orang bahawa ahli sihir mempunyai kemampuan Allah SWT atau boleh mengadakan perkara-perkara yang terlepas dari kehendak Allah SWT. Maka dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa tidak ada sesuatu pun yang berlaku dalam kekuasaan Allah SWT melainkan dengan izin-Nya, yakni tidak mengikut kehendak-Nya. Makna ini adalah maksud kehendak Allah atau yang dinamakan iradah Allah. Jadi tidak akan berlaku sesuatu pun dalam kerajaan (kekuasaan) Allah selain dari kehendak-Nya, iaitu semuanya berlaku dengan izin dan kehendak Allah SWT atau iradah Allah SWT.

 

﴿وَمَا تَشَاءُونَ إِلَّا أَن يَشَاءَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ﴾

“Dan kamu tidak dapat menghendaki (menempuh jalan itu) melainkan jika dikehendaki Allah, Tuhan semesta alam” (TMQ at-Takwir [81]: 29).

Ini tidak bermakna ia berlaku dengan keredhaan-Nya, kerana Allah tidak meredhai kekufuran dan kemaksiatan.

 

﴿إِن تَكْفُرُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنكُمْ وَلَا يَرْضَىٰ لِعِبَادِهِ الْكُفْرَ﴾

“Jika kamu kafir maka sesungguhnya Allah tidak memerlukan (iman) kamu dan Dia tidak redha kekafiran bagi hamba-Nya” (TMQ az-Zumar [38]: 7).

Istilah ini mempunyai makna tersebut dengan melakukan istiqra’ (pendekatan induktif) terhadap nas-nas. Keizinan, kehendak atau iradah Allah  tidak ditafsirkan daripada hakikat lughawiyah (makna secara bahasa) iaitu mengizinkan, berkehendak atau menginginkan secara bahasa dan yang juga bermaksud toleransi melakukan sesuatu atau meminta sesuatu atau redha terhadapnya. Tetapi ditafsirkan dengan dalalah istilahiyah (makna secara istilah) seperti hakikat ‘urfiyah (makna konvensional) bagi ahli bahasa, ahli fiqh, ahli ushul atau ilmu-ilmu lain.

Firman Allah ﴿بِإِذْنِ اللهِ﴾ mempunyai konotasi yang agung dalam topik ini. Apa yang nampak dari aktiviti-aktiviti tukang sihir di hadapan manusia dari sisi menyihir mata manusia dan menampakkan beberapa perkara yang bukan hakikatnya, kadangkala dikelirukan bahawa mereka (ahli sihir) boleh mencipta seperti Allah SWT atau melakukan perkara-perkara yang tidak boleh dibatalkan oleh Allah. Maka Allah SWT menegaskan bahawa perkara itu tidak berlaku melainkan dengan izin-Nya, iaitu tidak terlepas dari-Nya melainkan dengan keinginan dan kehendak-Nya dengan maksud ini, dan Allah SWT mampu membatalkan sihir mereka sehingga tidak berlaku sesuatu pun dalam kerajaan (kekuasaan) Allah SWT yang terlepas dari-Nya.

 

Di sini seseorang mungkin berkata: maka mengapa Allah tidak membatalkan sihir mereka?!

 

Sesungguhnya Allah SWT telah menjelaskan kebaikan dan keburukan. Allah SWT telah menjelaskan kepada kita bahawa kebaikan dibalas dengan kebaikan dan keburukan akan dibalas dengan keburukan. Kemudian Allah SWT menerangkan kepada kita bahawa Allah SWT boleh menjadikan kita sebagai satu umat dalam kebaikan atau keburukan.

 

﴿وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلَا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ﴾

“Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat” [TMQ Hud (11): 118].

Tetapi Allah SWT kerana hikmah yang Dia ketahui, membiarkan kita memilih apa yang kita inginkan berupa keburukan atau kebaikan dan Allah SWT memberikan balasan untuk keduanya, sehingga ada yang masuk syurga dan ada yang masuk neraka.

 

﴿وَلَوْ شِئْنَا لَآتَيْنَا كُلَّ نَفْسٍ هُدَاهَا وَلَٰكِنْ حَقَّ الْقَوْلُ مِنِّي لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ﴾

“Dan kalau Kami kehendaki, nescaya Kami akan memberi petunjuk kepada tiap-tiap jiwa, akan tetapi telah tetaplah perkataan daripada-Ku: “Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam itu dengan jin dan manusia bersama-sama” [TMQ as-Sajadah (32): 13].

Oleh kerana itu tidak ada ruang untuk soalan, mengapa Allah tidak membatalkan sihir yang buruk itu? Atau mengapa Allah tidak mendorong kita melakukan kebaikan dalam semua perkara yang kita lakukan? Atau mengapa Allah SWT tidak menghalang kita daripada melakukan keburukan supaya kita hanya melakukan kebaikan? … Allah SWT telah menjelaskan kepada kita kebaikan dan keburukan dan membiarkan kita memilih, dan itu adalah hikmah Allah SWT.

 

﴿لَا يُسْأَلُ عَمَّا يَفْعَلُ وَهُمْ يُسْأَلُونَ﴾

“Ia tidak boleh ditanya tentang apa yang Ia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak.” [TMQ al-Anbiya’ (21): 23].

Tetapi kita, dalam semua keadaan wajib meyakini bahawa dalam kerajaan Allah tidak akan berlaku sesuatu pun yang di luar kehendak Allah SWT. Tetapi semuanya berlaku dengan izin-Nya, keinginan-Nya dan kehendak-Nya SWT.

  1. Firman Allah SWT:

﴿وَلَقَدْ عَلِمُوا لَمَنِ اشْتَرَاهُ مَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلَاقٍ﴾

“Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat.” [TMQ al-Baqarah (2): 102].

Ini bermakna bahawa apa sahaja yang ada dalam sihir itu adalah buruk. Ini adalah sifat untuk apa yang mereka pelajari iaitu sihir.

﴿يُعَلِّمُونَ النَّاسَ السِّحْرَ﴾

“Mereka mengajarkan sihir kepada manusia” [TMQ al-Baqarah (2): 102].

Sifat ini mempunyai dalalah -konotasi- yang jelas bahawa apa yang mereka pelajari sebenarnya memudaratkan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Jadi semua sihir itu buruk dan dharar serta tidak ada manfaatnya.

Kemudian Allah SWT menjelaskan bahawa orang yang melakukan sihir mengikut apa yang telah kami jelaskan sebelum ini tidak ada bahagian baginya di akhirat kerana dia kafir kepada Allah SWT dan ayat-ayat-Nya.

Firman Allah SWT ﴿اِشْتَرَاهُ﴾ iaitui yang mereka beli. Lafaz ini di sini adalah penggunaan secara majaz, iaitu menjadikannya sebagai kerjaya. Membeli sesuatu adalah tuntutan untuk memanfaatkannya dengan menggunakan barangnya atau mengambil pampasan daripadanya. Dan perbuatan itu di sini ialah mengambil sihir sebagai kerjaya yang melimpah-ruahkan pendapatannya (manfaat mengikut sangkaannya) seolah-olah dia membeli sihir.

Firman Allah SWT:

﴿وَلَقَدْ عَلِمُوا لَمَنِ اشْتَرَاهُ مَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلَاقٍ﴾

“Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat.” [TMQ al-Baqarah (2): 102].

Ia adalah khabar dalam erti kata thalab at-tarki (tuntutan untuk meninggalkan), iaitu dalam erti kata larangan yang tegas daripada melakukan sihir.

Firman Allah SWT:

﴿وَلَبِئْسَ مَا شَرَوْا بِهِ أَنفُسَهُمْ ۚ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ﴾

“Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.” [TMQ al-Baqarah (2): 102].

Yakni amat buruklah perbuatan mereka menjual diri mereka sendiri. Sebab mereka menawarkan diri mereka sendiri untuk hukuman Allah dan mereka menukarnya dengan imbalan neraka jahannam.

 

﴿مَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلَاقٍ﴾

“Tiadalah baginya keuntungan di akhirat” [TMQ al-Baqarah (2): 102].

Imbalan yang disiapkan untuk mereka adalah kompensasi dari diri mereka yang mereka jual dan mereka tukar dengan sihir, imbalan ini adalah kemurkaan Allah, azabNya dan neraka jahannam. Dan hal itu benar-benar jual beli yang buruk dan merugikan.

Firman Allah SWT:

﴿لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ﴾

“Kalau mereka mengetahui” [TMQ al-Baqarah (2): 102].

Maksudnya, jika mereka dapat mengambil manfaat dari apa yang mereka ketahui, kerana orang yang mengetahui sesuatu ilmu dan tidak boleh memanfaatkannya dan tidak berpegang kepada dalalah (konotasi) apa yang diketahuinya, seolah-olah dia tidak mengetahui. Siapa yang mengetahui bahawa sihir itu akibatnya adalah keburukan dan penyesalan kemudian dia melakukannya, maka seolah-olah dia tidak tahu hal itu. Ini termasuk ungkapan yang kuat dalam dalalahnya (konotasinya) terhadap topiknya. Sungguh Maha Suci Allah SWT!

Rasulullah SAW berlindung kepada Allah SWT dari ilmu yang tidak bermanfaat.

«أَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ وَقَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ وَعَيْنٍ لاَ تَدْمَعُ»

“Aku berlindung kepada Allah dari ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyuk dan mata yang tidak dapat menangis” [HR Ahmad].

Penggunaan ini sangat kuat seperti yang telah kami katakan. Dan ia terdapat di dalam Kitabullah di selain tempat ini. Seperti yang digunakan dalam dalalah-dalalah yang lain.

﴿أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَا أَوْ آذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَٰكِن تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ﴾

“Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada” [TMQ al-Hajj (22): 46].

 

﴿صُمٌّ بُكْمٌ عُمْيٌ فَهُمْ لَا يَعْقِلُونَ ﴾

“Mereka tuli, bisu dan buta, maka (oleh sebab itu) mereka tidak mengerti” [TMQ al-Baqarah (2): 171].

Jadi orang yang tidak memanfaatkan pendengarannya seolah-olah dia tidak boleh mendengar.

Orang yang tidak memanfaat penglihatannya seolah-olah dia tidak boleh melihat.

Orang yang tidak memanfaatkan mulutnya seolah-olah dia tidak boleh berbicara.

Dan orang yang tidak memanfaatkan akalnya seolah-olah dia tidak berakal.

Dan orang yang tidak memanfaatkan ilmunya seolah-olah dia tidak mengetahui], selesai.

Dan di dalam ini ada kecukupan jika Allah menghendaki.

 

Saudaramu Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah

 

18 Ramadhan 1444 H

09 April 2023 M

 

https://www.hizb-ut-tahrir.info/ar/index.php/ameer/jurisprudence-questions/88113.html

https://www.facebook.com/HT.AtaabuAlrashtah/posts/776448380709200

[1]   Dikeluarkan oleh Imam Ahmad. Makna yaqrifûna adalah mereka mencampurkan kebohongan di dalamnya.

[2]   Ini adalah penggunaan secara majaz dengan hubungan al-musabbabiyah (menyatakan musabab untuk menunjukkan sebab). Sihir adalah sebab kekafiran.

[3]   Tafsîr at-Thabarî, I/451

Sumber:

  1. https://www.facebook.com/HT.AtaabuAlrashtah/posts/776448380709200
  2. https://mediaumat.id/dua-malaikat-harut-dan-marut-di-surat-al-baqarah/