[NF118] Anak Hilang Minat Belajar, Apa Peranan Ibu?
Oleh: Hidayah Muhammad
Muqaddimah
Ilmu bagaikan kunci bagi setiap persoalan dalam kehidupan dunia mahu pun akhirat. Dengan ilmu, dunia boleh dikuasai dan akhirat dapat dinikmati. Ini dilihat melalui generasi terdahulu bagaimana mereka menguasai dunia dengan mendapatkan kebaikan akhirat melalui penguasaan mereka terhadap ilmu. Jadi untuk mendapatkan kehidupan dunia dan akhirat perlu bagi seseorang itu menjadi orang yang berilmu. Sabda Rasulullah SAW,
“Barangsiapa yang inginkan dunia, maka hendaklah ia menguasai ilmu. Barangsiapa menginginkan akhirat hendaklah ia menguasai ilmu dan barangsiapa yang yang menginginkan keduanya (dunia dan akhirat) hendaklah ia menguasai ilmu.” (HR Ahmad)
Salah satu proses untuk mendapatkan ilmu adalah melalui pendidikan. Namun, realiti pada hari ini amat menyedihkan apabila ada generasi muda tidak menjadikan pendidikan sebagai sesuatu yang penting dalam hidup. Trend ini meningkat saban tahun dan ia akan memberikan kesan yang sangat serius apabila generasi muda hilang minat untuk belajar. Statistik generasi muda yang tidak mahu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dilihat semakin membimbangkan.
Presiden Pertubuhan Kebajikan Pendidik Ummah Malaysia (PENDIDIK), Normala Sudirman berkata, masalah yang berlaku di semua peringkat pengajian di Malaysia itu kini semakin membimbangkan.
Permasalahan itu timbul susulan laporan hasil kaji selidik yang dibuat oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2019 yang mendapati 5.8 peratus daripada kira-kira 32 juta populasi rakyat Malaysia tidak bersekolah atau tercicir daripada sistem pendidikan negara. Menurut Normala, merujuk kepada laporan terbaru yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, ia adalah sesuatu yang amat mengejutkan yang mana, didapati seramai 24,941 calon yang tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2021. (Harakah Daily Online 28 Julai 2022)
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mendedahkan seramai 180,680 atau 48.74% lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sesi persekolahan 2021 memilih untuk tidak menyambung pengajian keperingkat yang lebih tinggi. Pada tahun 2020, sejumlah 115,939 atau 35.16% lepasan SPM tidak berminat menyambung pelajaran. Kaji selidik daripada Jabatan Perangkaan pada Julai 2022 mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1% lepasan SPM tidak mahu menyambung pelajaran. (Berita Harian Online 1 Jun 2023)
Ada beberapa punca yang menyebabkan generasi muda hilang minat untuk meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Antaranya adalah kos pengajian yang tinggi, perlu bekerja untuk menyara keluarga, hilang minat untuk belajar dan mempunyai tanggapan bahawa tanpa pendidikan tinggi seseorang masih boleh menjadi kaya seperti menjadi pempengaruh (influencer) di media sosial.
Tujuan Menuntut Ilmu
Daripada sudut pandang kapitalis, lunturnya minat belajar dalam kalangan golongan muda ini dianggap sebagai satu kerugian yang besar bagi negara kerana hilangnya bakal tenaga kerja yang mahir yang diharapkan akan dapat membantu meningkatkan pendapatan per kapita negara. Jika trend ini berterusan, tidak mustahil penurunan pendapatan per kapita negara akan berlaku dalam jangka masa yang panjang.
Berbeza dengan pandangan Islam tentang ilmu yang mana ia bukan sekadar untuk meraih sekeping sijil semata mata tetapi menuntut ilmu itu adalah kewajipan bagi umat Islam sebagaimana sabda Rasulullah SAW,
“Menuntut ilmu wajib bagi setiap muslim.” (HR: Ibnu Majah).
Pentingnya ilmu dalam kehidupan seseorang itu kerana dengannya dia akan dapat memilih dan melakukan sesuatu perkara berdasarkan keutamaan (awlawiyat). Dengan ilmu jugalah Islam tersebar luas hingga menguasai dua per tiga dunia selain berjaya membangun peradaban yang gilang gemilang. Semuanya bermula dengan pendidikan dan menjadi keperluan bagi setiap individu serta memiliki posisi yang sangat penting dalam masyarakat dan negara. Pendidikanlah yang akan memastikan pemikiran dan tsaqafah Islam masuk dan terjaga di tengah-tengah kaum Muslim dari generasi ke generasi.
Peranan Ibu Memotivasikan Anak
Tanggung jawab utama seorang ibu adalah membentuk dan mendidik anak-anak dengan akidah yang benar dan syakhsiyyah yang unggul kerana ibu adalah sekolah pertama dan utama bagi anak-anak. Seorang ibu juga perlu menjadi orang yang berilmu supaya dapat menjadi contoh teladan kepada anaknya sekaligus berperanan memotivasikan anaknya supaya rajin menuntut ilmu.
Apabila di telusuri biografi para ilmuwan hebat di masa kegemilangan Islam, mereka tidak terlepas daripada sosok yang hebat iaitu ibu. Ibu kepada Imam Syafie, iaitu Fatimah binti Ubaidillah Azdiyah adalah seorang wanita yang cerdas. Dia adalah sosok yang tegar dan tidak pernah mengeluh walaupun membesarkan anaknya sendirian selepas kematian suaminya. Hasratnya adalah ingin menjadikan anaknya figura hebat dan bermanfaat bagi semua. Kemiskinan tidak menjadikan Imam Syafie patah semangat kerana ibunya sentiasa berada disampingnya, mendoakan, mendampingi serta selalu memberikan semangat kepada anaknya dalam menuntut ilmu.
Khairah, seorang tokoh daripada generasi tabi’in. Beliau dikenali sebagai hamba kepada Ummul Mukminin Ummu Salamah r.a. Khairah mendapat banyak kebaikan kerana kebersamaannya dengan Ummu Salamah ra terutama dalam bidang ilmu. Maka tidak hairanlah jika Khairah adalah seorang wanita yang berpengetahuan luas sehingga berjaya menjadikan anak-anaknya ulama besar iaitu Imam Hasan bin Abu Hasan al-Basri dan anak keduanya Said bin abu Hasan- Al-Basri iaitu seorang tokoh dari generasi tabi’in.
Khaizuran, ibu kepada khalifah Harun Ar-Rasyid adalah seorang bekas hamba yang kemudiannya dinikahi oleh Khalifah Al-Mahdi kerana kecerdasan dan keluasan ilmu yang dimilikinya. Dia rela mendampingi anaknya mencari ilmu ke Madinah. Jauh dari kehidupan keluarga dan kehidupannya sebagai seorang isteri Khalifah. Dia mendidik anaknya sehingga layak menjadi seorang Khalifah.
Ini hanyalah sedikit dari banyaknya kisah ibu yang berjaya mendidik anak menjadi generasi yang berilmu. Sejenak kita berfikir, bagaimana para ibu ini dan anak mereka sangat mementingkan pendidikan? Ini kerana ada faktor lain yang menjadi pendorong mereka dalam menuntut ilmu.
Peranan Negara Dalam Menyediakan Pendidikan Yang Terbaik
Pendidikan antara aspek yang sangat penting dalam sesebuah negara, kerana itu Islam telah meletakkan pemimpin sebagai orang yang bertanggung jawab dalam memastikan keperluan rakyat disediakan. Dan salah satunya ialah pendidikan. Rasulullah saw bersabda;
“Imam (Khalifah) adalah pemelihara dan pengatur urusan rakyat dan ia akan diminta pertanggungjawaban atas urusan rakyatnya” [HR al-Bukhari dan Muslim].
Dalam kitab Muqaddimah ad-Dustur Au al-Asbab al-Mujibah Lahu di Fasal 178 mengenai tanggungjawab negara dalam hal pendidikan, menjelaskan seperti berikut: Merupakan kewajipan atas Negara untuk memberi pendidikan kepada setiap individu mengenai hal-hal yang perlu dalam (mengharungi) arus perdana kehidupan tanpa mengira lelaki atau perempuan, sama ada di peringkat pendidikan rendah atau menengah. Hal Ini mesti diberikan secara percuma kepada setiap orang, dan Negara hendaklah, dengan semampu mungkin, menyediakan peluang kepada setiap orang untuk melanjutkan pengajian tinggi secara percuma.
Dalil dalam hal ini ialah kerana pendidikan tergolong dalam salah satu al-masolih (kepentingan) dan al-marafiq (keperluan yang penting) untuk manusia. Ini kerana mendidik setiap orang akan apa yang mereka perlukan dalam arus perdana kehidupan adalah termasuk dalam al-masolih al-asasiyyah (kepentingan asas) yang akan membawa kepada jalbu manfa’ah wa daf’u mudhrah (tercapainya manfaat dan terhindarnya kemudaratan).
Jika ditelusuri zaman kegemilangan umat Islam dalam bidang kelimuan maka kita dapat melihat peranan negara (Khilafah) yang sangat besar dalam mendorong rakyatnya untuk menuntut ilmu. Selain memastikan setiap individu mendapat akses kepada pendidikan asas secara percuma, kemudahan dan prasarana yang cukup dan terbaik juga disediakan untuk memudahkan rakyatnya untuk menimba ilmu.
Pada zaman Abbasiyah, al-Kuttab (sekolah asas) banyak didirikan oleh Khilafah, di mana bangunannya bersambungan dengan masjid. Di sana juga dibangunkan perpustakaan. Pendidikan tinggi pertama pada zaman itu adalah Bait al-Hikmah yang didirikan oleh Khalifah al-Ma’mun (830 M) di Baghdad. Selain daripada berfungsi sebagai pusat penterjemahan, ia juga digunakan sebagai pusat akademik, perpustakaan umum dan planetarium (Philip K Hitti, History of the Arabs, 514-515). Kemudian, muncul pula Akademi Nidzamiyyah yang dibangunkan antara tahun 1065-1067 M. Akademi ini dijadikan contoh dan rujukan oleh Eropah sebagai model untuk perguruan tinggi mereka (Reuben Levy, A Baghdad Chronicle, Cambridge: 1929, 193).
Di Cordoba, Sepanyol, pada zaman itu telah berkembang Le Mosquet yang mana pada asalnya ia merupakan sebuah gereja. Setelah Islam mengambil alih, ia kemudian dialih fungsi kepada masjid, lengkap dengan madrasah yang dilengkapi dengan pelbagai prasarana pendidikan yang lain. Lembaga pendidikan ini telah melahirkan ramai ulama berkaliber seperti al-Qurthubi, as-Syathibi dan lain-lain. Bukan sekadar bidang tafsir dan usul, akademi pendidikan di era Khilafah juga berjaya melahirkan para pakar dalam pelbagai bidang. Antaranya, bidang kedoktoran seperti Ali at-Thabari, ar-Razi, al-Majusi dan Ibnu Sina, bidang kimia seperti Jabir bin Hayyan, astronomi dan matematik seperti al-Hajjaj bin Mathar, Hunain bin Ishaq, Tsabit bin Qurrah, Ali bin Isa al-Athurlabi, bidang geografi seperti Yaqut al-Hamawi dan al-Khuwarizmi, historiografi seperti Hisyam al-Kalbi, al-Baladzuri dan lain-lain. Nama-nama yang disebutkan ini hanyalah sebahagian kecil daripada ribuan ilmuan yang terhasil dan kesemuanya merupakan produk daripada akademi pendidikan di era Khilafah.
Khatimah
Peranan keluarga dan negara seperti di atas mampu mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk menanam minat yang tinggi dalam diri generasi muda untuk menuntut ilmu sehingga ke peringkat tinggi mana pun. Generasi hari ini perlu disedarkan bahawa menuntut ilmu bukan sahaja menjanjikan kesenangan duniawi, akan tetapi memahami dengan jelas bahawa menuntut ilmu juga adalah medan latihan (training ground) untuk membina kemahiran dan melatih kemahiran kepimpinan (leadership skills). Semua ini adalah kemahiran penting yang harus dikuasai oleh seseorang individu dan juga umat Islam untuk meraih kenikmatan duniawi dan pada masa yang sama, dapat melaksanakan amal kebajikan sebagai bekalan meraih kesejahteraan ukhrawi. Wallahu alam bisshawab.
Rujukan
https://muslimahhtm.com/2022/10/10/fatimah-binti-ubaidillah-ibu-imam-syafie/?amp=1
https://muslimahhtm.com/2022/12/29/khairah-ibunda-imam-hasan-al-bashri/
https://mykhilafah.com/pendidikan-merupakan-kewajipan-yang-wajib-dipenuhi-oleh-pemerintah/