Ibu adalah Madrasah Pertama bagi Anak
Oleh : Farisha Aris
Sesungguhnya Allah SWT menciptakan lelaki dan wanita lengkap dengan potensi dan keistimewaan masing-masing yang mana kedua-duanya mempunyai hak, peranan dan tanggungjawabnya yang telah ditentukan oleh al-Khaliq. Di dalam Islam, wanita sangat dimuliakan dan mempunyai martabat yang tinggi kerana wanita diciptakan dengan kudratnya untuk melahirkan generasi di muka bumi ini yang mengambil peranan sebagai seorang ibu. Bak kata pepatah tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia, seorang ibu memiliki peranan yang sangat penting iaitu peranan dalam mendidik anak-anak sehingga ibu disebut sebagai sekolah pertama dan utama bagi anak-anaknya (Al-ummu madrasah al-ula). Ini bermakna seorang ibu bukan sahaja melahirkan generasi, tetapi ibu juga membentuk dan mencetak generasi yang mempunyai jati diri Muslim yang bakal menjadi generasi pemimpin, ilmuan, ulama dan mujahidin. Oleh itu, apabila kita mendengar kisah-kisah penuh inspirasi tentang pemimpin umat, para ulama, ilmuwan, tokoh ternama atau pejuang Islam, lihatlah siapa ibu mereka. Ini adalah kerana ibu berperanan besar dalam membentuk watak, karakter dan keperibadian anak-anaknya. Ibu adalah pendamping pertama anak-anak sejak mereka lahir dan ibu juga menjadi sekolah pertama dan utama sebelum anak-anak mengenal pendidikan di sekolah mana pun.
Persoalannya, adakah para ibu hari ini telah dipersiapkan dan mempersiapkan diri untuk menjadi sekolah pertama (madrasah ula) dan utama untuk anak-anak? Ibu umpama “pusat ilmu pengetahuan”, “pusat peradaban” dan “platform” yang menjadikan akidah Islam sebagai asasnya dan Rasulullah SAW sebagai suri teladan dalam mewarnai keperibadian anak-anak yang sentiasa mendahulukan dan mencintai Allah SWT dan Rasul-Nya. Maka hanya melalui sekolah (madrasah) seperti inilah yang dapat melahirkan anak-anak yang soleh, cerdas, berilmu, berakhlak mulia, memiliki semangat jihad yang tinggi dan seluruh sifat-sifat agung seorang Mukmin bertakwa. Namun, jika tiada persiapan tersebut, maka hampir mustahil akan dapat mencetak generasi yang hebat seterusnya generasi Muslim istimewa dengan seluruh sifat kemuliaannya.
Akan tetapi perlu difahami apakah persiapan dan bekalan yang seharusnya ada bagi seorang ibu dalam merealisasikan harapan dan impian untuk melihat generasi Muslim di masa hadapan. agar seorang ibu berhasil melaksanakan tugas mulia ini, maka dia perlu menyiapkan dalam dirinya perkara-perkara ini dan di antaranya adalah:
1- Berusaha memperbaiki diri sendiri.
Ini merupakan faktor yang sangat penting. Sebagaimana acuan, begitulah kuihnya. Seorang ibu seharusnya memiliki akhlak yang mulia dan keperibadian yang baik agar dapat mendidik anaknya menjadi orang yang baik. Kebaikan dan ketakwaan seorang pendidik sangat menentukan keberhasilannya dalam mengarahkan anak didiknya kepada kebaikan. Sesungguhnya jika peringatan dan nasihat itu disampaikan dengan hati yang ikhlas, maka akan mudah masuk ke dalam hati orang yang mendengarnya. Ini terbukti bagaimana para sahabat Nabi menjadi generasi terbaik umat dalam memahami dan mengamalkan agama mereka dalam segenap kehidupan. Ini kerana pendidik mereka adalah Nabi yang terbaik dan manusia yang paling mulia di sisi Allah SWT, iaitu Rasulullah SAW. Ini sebagaimana firman Allah SWT: “Bagaimana mungkin kalian (wahai para sahabat Nabi), (sampai) menjadi kafir, kerana ayat-ayat Allah dibacakan kepada kalian, dan Rasul-Nya pun berada di tengah-tengah kalian (sebagai pembimbing)” (TQS Ali ‘Imraan [3]:101).
2- Menjadi teladan yang baik bagi anak
Kata pepatah, buah jatuh tidak jauh dari pokoknya. Faktor ini sangat berkait rapat dengan faktor yang pertama yang juga sama pentingnya. Seorang ibu yang menampilkan teladan yang baik dalam sikap dan tingkah laku di hadapan anak-anak termasuk tatacara pendidikan yang lebih praktikal dan berkesan. Bahkan tidak sedikit pengaruh yang ditimbulkan daripada perbuatan dan tingkah laku yang ditunjukkan seseorang secara langsung, malah akan lebih besar pengaruhnya berbanding ucapannya. Maka pengaruh tingkah laku buruk seorang ibu akan membentuk keperibadian buruk juga kepada anaknya. Oleh kerana itu lah, terdapat banyak ayat al-quran di mana Allah SWT menceritakan kisah-kisah para Nabi terdahulu tentang kuatnya kesabaran dan keteguhan mereka dalam mendakwahkan agama Allah SWT. Allah SWT berfirman:“Dan semua kisah para Rasul Kami ceritakan kepadamu, ialah kisah-kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu; dan dalam surat ini telah datang kepadamu kebenaran serta pengajaran dan peringatan bagi orang-orang yang beriman” (TQS Hud[11]:120).
3- Memilih kaedah pendidikan yang baik bagi anak
Sebenarnya penentu kepada keberhasilan pembinaan anak-anak adalah pertolongan (taufik) daripada Allah SWT dan jika seorang hamba bertakwa kepada Allah SWT serta berusaha menempuh kaedah dalam mendidik anak-anak yang sesuai dengan syariat Islam, maka Allah SWT akan memudahkan urusannya. Allah SWT berfirman:“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan menjadikan baginya kemudahan dalam (semua) urusannya” (TQS at-Thalaaq[65]:4)
Maka, termasuk kaedah mendidik yang benar adalah membiasakan anak-anak sejak usia masih kecil untuk melaksanakan perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya sebelum mereka mencapai usia dewasa agar mereka terbiasa untuk senantiasa dalam ketaatan.
4- Kesungguhan dan keseriusan dalam mendidik anak
Sesungguhnya anak-anak adalah amanah daripada Allah SWT yang akan diminta pertanggungjawaban oleh Allah SWT di akhirat kelak. Oleh yang demikian, syariat Islam telah mewajibkan para ibu bapa menunaikan amanah ini dengan mendidik anak-anak berdasarkan petunjuk dan panduan daripada asy-Syari’ iaitu Islam yang sempurna serta mengajarkan kepada mereka perkara-perkara yang menjadi kewajiban mereka dalam urusan agama dan kehidupan. Kewajiban yang pertama dan utama diajarkan kepada mereka adalah menanamkan akidah Islam yang kukuh dan pemahaman tentang Islam sebagai sebuah ideologi yang mengatur segala urusan kehidupan.
Oleh yang demikian, mari lah para ibu Muslimah, persiapkan lah dirimu menjadi ibu-ibu hebat sepertimana ibu-ibu terdahulu yang mempunyai jati diri Islam, semangat yang besar, ketakwaan yang tinggi dan yakin dengan janji Allah SWT dalam mendidik, membentuk dan mencetak generasi Muslim sejati yang sangat mencintai Allah SWT dan RasulNya serta sanggup berjuang dan membela kedua-duanya dengan jiwa dan apa sahaja yang mereka miliki. Wallahu a’lam.