Puasa Adalah Perisai Bagi Orang-Orang Yang Beriman, Khilafah Adalah Perisai Bagi Umat Islam

Setelah setahun menghilang, Ramadhan menjelma lagi. Ramadhan tiba seusai PRU14 di mana rakyat Malaysia telah memilih untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sudah memerintah lebih 60 tahun. Tampuk pemerintahan kini diberikan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH). Apa yang dikatakan sebagai ‘tsunami rakyat’ telahpun berlalu dan kini persoalan yang mula bermain di pemikiran rakyat adalah sama ada kerajaan baru PH akan benar-benar dapat membawa perubahan kepada Malaysia sepertimana yang dijanjikan.

Bagi umat Islam yang berfikir pula, sudah tentu persoalan yang lebih asas berlegar di dalam minda mereka – apakah dengan memilih kerajaan yang baru dalam kerangka politik demokrasi ini perubahan yang benar-benar hakiki akan dapat dicapai? Adakah kerajaan PH akan dapat melindungi umat Islam dan memuliakannya? Dalam kehangatan suasana politik inilah, Ramadhan tiba sebagai peringatan bagi kaum Muslimin yang berfikir. Allah SWT telah menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan yang penuh dengan keberkatan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Huzaimah disebutkan:

“Dari Salman Al-Farisi RA berkata : Rasulullah SAW memberi khutbah kepada kami di hari akhir dari bulan Sya’ban dan bersabda : “Hai sekalian manusia.. Akan datang bulan yang agung (Ramadhan) iaitu bulan yang penuh keberkatan di dalamnya. Dalam bulan itu ada malam yang mulia (lailatul qadr) yang lebih utama dari pada seribu bulan. Allah SWT telah mewajibkan puasa di bulan itu, dan solat tarawih di malamnya sebagai ibadah sunnah. Barang siapa yang melakukan kebaikan di bulan itu pahalanya seperti melakukan ibadah wajib dibandingkan bulan yang lainnya. Dan barang siapa yang melakukan kewajiban di dalamnya, maka pahalanya seperti melakukan 70 kewajiban dibandingkan bulan lainnya. Bulan Ramadhan adalah bulan ditambah rezeki orang Mukmin, bulan yang di awalnya menjadi rahmat, di tengahnya menjadi ampunan dan di akhirnya merupakan kebebasan dari neraka.” [HR. Ibnu Huzaimah]

Di dalam bulan yang penuh keberkatan ini, umat Islam berpuasa dan Rasulullah SAW telah menyebutkan di dalam beberapa hadis bahawa ibadah puasa adalah bagaikan perisai bagi mereka yang beriman. Antaranya adalah hadis dari Uthman bin Abul ‘Ash;

الصيام جنة من النار كجنة أحدكم من القتال

“Puasa adalah perisai dari neraka, seperti perisai salah seorang diantara kamu dari peperangan”. [HR Ahmad, Nasai dan Ibnu Majah]

Rasulullah SAW, Rasul ikutan kita, mencontohkan ibadah puasa, terutamanya puasa di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini sebagai perisai. Di dalam kitab Jami’ Al-‘Ulum al-Hafidz Ibnu Rajab rahimahullah menggambarkan makna perisai ini dengan mengatakan – “Apabila puasa adalah perisai diri seseorang dari berbagai maksiat (ketika di dunia), maka di akhirat kelak, puasa tersebut akan menjadi perisainya dari azab neraka, namun apabila puasa tersebut tidak menjadi perisai baginya dari maksiat ketika di dunia, maka sudah tentu ia tidak akan menjadi perisai bagi dirinya dari api neraka di akhirat kelak”.

Inilah gambaran kemuliaan ibadah puasa di mana bagi seorang Muslim yang menjalankan ibadah puasanya dengan penuh keikhlasan semata-mata kerana Allah, puasa tersebut itu adalah merupakan perisai baginya dari kemaksiatan di dunia dan azab neraka di akhirat. Dan Alhamdulillah, setiap Ramadhan kita melihat umat Islam berbondong-bondong menjalankan ibadah puasa kerana ingin mendapatkan keredhaan dan keampunan Allah serta membenteng diri dari kemaksiatan dan azab api neraka. Jelas sekali puasa adalah merupakan perisai bagi mereka yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT.

Namun, apakah cukup bagi umat Islam untuk hanya merasa berpuas hati dengan nuansa iman dan taqwa di bulan Ramadhan ini? Apakah cukup bagi umat Islam merasa senang dengan kejayaan mereka memperkukuh perisai puasa di bulan Ramadhan yang diberkati ini sedangkan suasana kaum Muslimin di saat ini adalah bagaikan anak ayam kehilangan ibunya? Umat Islam besar jumlahnya namun kita tercerai berai dalam sekatan nasionalisme warisan penjajah, hingga kehormatan kita diperlecehkan oleh kaum kuffar – umat Islam dibunuh dan diusir oleh kaum kuffar seperti yang terjadi di Palestin, Myanmar, Syria dan belahan bumi yang lainnya. Apakah umat Islam merasa cukup dengan perasaan senang dan gembira kerana nuansa taqwa yang digarap di bulan Ramadhan sedangkan apa yang berlaku ke atas umat Islam hari ini adalah suatu yang kita saksikan dengan mata kepala kita sendiri dan kita sedar bahawa saudara seakidah kita dizalimi dengan begitu dahsyat sekali namun kita tidak dapat berbuat apa-apa?

Wahai saudara se-aqidahku…

Rasulullah SAW juga pernah bersabda:

إنما الإمام جنة يقاتل من ورائه ويتقى به

”Sesungguhnya al-imam (khalifah) itu bagaikan perisai, di mana (orang-orang) akan berperang di belakangnya (mendukung) dan berlindung (dari musuh) dengan (kekuasaan) nya.” [HR. Al-Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Dawud]

Sekiranya puasa adalah merupakan perisai bagi umat Islam yang beriman, Imamah atau Khilafah adalah merupakan perisai bagi umat Islam seluruhnya. Kita berpuasa hanya kerana Allah SWT di bulan Ramadhan kerana keinginan kita untuk memperoleh keredhaanNya dengan memperkukuh perisai bagi melindungi diri kita dari kemaksiatan terhadap yang Maha Perkasa. Selayaknya juga kita mesti berusaha untuk mengembalikan perisai yang akan melindungi dan mempertahankan umat Islam keseluruhannya!

Kalimat “Imam” dalam hadis ini membawa makna al-Khalifah. Al-Imam al-Mawardi di dalam kitab al-Ahkam al-Sulthaniyyah berkata, “Al-Imamah adalah pembahasan tentang Khilafah Nubuwwah untuk menjaga agama dan mengatur dunia dengannya.” Ungkapan kalimat “al-imamu junnah” pula adalah perumpamaan berbentuk pujian terhadap imam yang memiliki tugas mulia untuk melindungi orang-orang yang berada di bawah kekuasaannya sebagaimana dijelaskan oleh al-Imam an-Nawawi dalam Syarah Shahih Muslim, “(Imam itu perisai) yakni seperti as-sitr (pelindung), kerana imam (khalifah) menghalang/mencegah musuh dari menyerang kaum Muslimin, mencegah dari berlakunya pertelingkahan antara manusia, memelihara kemurnian ajaran Islam dan manusia berlindung di belakangnya dan mereka tunduk di bawah kekuasaannya.”

Adapun maksud (yuqaatilu min waraa’ihi) membawa maksud kaum Muslimin akan berperang bersama dengannya (al-Khalifah) dalam memerangi orang-orang kafir, para pemberontak, khawarij dan seluruh kelompok yang melakukan kerosakan dan kezaliman secara mutlak. Inilah penjelasan yang diberikan oleh al-Imam an-Nawawi dalam Syarah Shahih Muslimnya. Apa yang jelas, dengan indikasi pujian yang dapat dilihat dari hadis ini, khabar di dalam hadis ini merupakan satu tuntutan yang pasti dan merupakan satu kewajiban atas umat Islam untuk memastikan kewujudan perisai ini.

Selepas zaman Rasulullah SAW, Daulah Khilafah benar-benar memainkan peranannya sebagai perisai bagi umat Islam dalam menghadapi musuh-musuhnya. Malah ketika di bulan Ramadhanlah umat Islam banyak mencapai kemenangan. Pada bulan Ramadhan 13 H, Khilafah berjaya menghancurkan tentera Parsi di peperangan Buwayb. Pada bulan Ramadhan 92 H, Khilafah berjaya membuka Andalusia (Sepanyol) dan mendudukinya selama berkurun-kurun. Pada Ramadan 92 H juga, seorang panglima yang berusia 17 tahun bernama Muhammad bin Qasim Ats-Tsaqafi telah membuka Benua India untuk Islam masuk ke sana ketika pemerintahan Khalifah Al-Walid. Pembukaan tersebut juga membolehkan pemerintahan dan peradaban Islam bertapak di sana beratus tahun lamanya. Dalam bulan Ramadhan 223 H, Khilafah membuka Amuriyah dan pada Ramadhan 658 H, Khilafah mengalahkan kaum Tatar di peperangan A’in Jalut. Ketika umat Islam memiliki perisai ini, Ramadhan merupakan bulan kemenangan bagi kaum Muslimin.

Wahai saudara se-aqidahku…

Rasulullah SAW menyebutkan kewajiban bagi kita umat Islam untuk berusaha memperoleh kedua-dua perisai ini. Bulan Ramadhan merupakan bulan yang cukup istimewa bagi kita kerana ia merupakan bulan yang menjadi penggerak momentum untuk kita menggapai kedua-dua perisai ini. Jalankanlah ibadah puasa dengan seikhlasnya hanya untuk Allah Azza wa Jalla. Hanya dengan keikhlasan sahajalah perisai puasa tersebut akan terealisasi. Pada masa yang sama, jadikanlah Ramadhan ini sebagai bulan bagi kita untuk mempergigihkan lagi usaha dalam mengembalikan Daulah Khilafah sebagai perisai umat Islam. Perhebatkan muhasabah kita terhadap mereka yang memegang kekuasaan bahawa mereka mendokong kewajiban untuk menerapkan hukum syarak secara menyeluruh dan memiliki potensi untuk menegakkan Khilafah. Marilah bersama dengan Hizbut Tahrir dalam usaha yang mulia ini. Semoga Allah SWT memberkati kita dan menyegerakan tertegakkan perisai bagi umat Islam ini. Semoga Ramadhan tahun hadapan tiba dengan kedua-dua perisai terealisasi untuk umat Muhammad yang terbaik ini, insya-Allah.