Kelahiran Setiap Anak Membawa Berkah

Oleh: Amani Mohamed 

Setiap manusia yang normal memiliki keinginan memiliki zuriat. Walaubagaimanapun, naluri yang merupakan fitrah manusia hanya boleh dipenuhi dengan pernikahan lelaki dan wanita. Inilah ketetapan asy-Syari’ sehingga kita selalu mendoakan pasangan yang baru mendirikan rumahtangga, “Semoga cepat dikurniakan zuriat soleh dan solehah.” Rasulullah SAW turut memberi tips mencari calon isteri yang subur seperti hadis di bawah, 

“Nikahilah perempuan yang penyayang dan dapat mempunyai anak yang ramai kerana sesungguhnya aku akan berbangga dengan sebab ramainya kamu di hadapan para Nabi nanti pada hari kiamat.” [HR Ahmad & Ibnu Hibban]. 

Walau bagaimanapun, terdapat trend dalam masyarakat hari ini yang memilih untuk membataskan bilangan anak, tidak memiliki anak dan termasuklah memutuskan untuk tidak menikah. Malah beberapa negara maju seperti China, Korea Selatan dan Singapura telah menetapkan polisi had maksimum anak bagi setiap keluarga. Ini berpandukan teori Thomas Robert Malthus (1798), merupakan seorang ahli falsafah dan ekonomi British yang telah menulis sebuah buku bertajuk “An Essay On The Principle Of Population“. Intipatinya, pertambahan pesat populasi manusia akan mengganggu rantaian makanan akibat sumber yang terhad. Populasi akan kembali menurun apabila kemarau, peperangan dan serangan penyakit.  

Setelah bertahun melaksanakan polisi tersebut, berlakulah impak yang buruk kerana populasi orang tua melebihi generasi baharu. Berjuta-juta kediaman ditinggalkan tanpa waris. Kini, mereka mengkritik teori tersebut dan mengubah semula strategi dengan menawarkan pelbagai manfaat material untuk menggalakkan wanita berkahwin dan meningkatkan kadar kelahiran termasuk insentif kewangan dan kemudahan penjagaan kanak-kanak yang lebih baik. 

Penurunan Kadar Kelahiran 

Malaysia tidak terkecuali daripada trend ini apabila kadar kelahiran masa kini didapati rendah berbanding puluhan tahun yang lalu. Walaupun tiada polisi batasan jumlah anak yang ditetapkan oleh negara, tetapi idea kufur tadi telah meresapi pemikiran umat Muslim. Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Maziah Che Yusoff melaporkan bahawa kadar kesuburan (fertility rate) di Malaysia telah berkurang dengan mendadak daripada 6.7 kelahiran (6-7 orang anak) bagi setiap wanita pada tahun 1957 kepada 4.0 (4 orang anak) pada 1980. Seterusnya menurun lagi kepada 3.0 pada tahun 2000, 2.1 pada 2010 dan 1.7 pada tahun 2021. Beliau berkata, negara ini dijangka akan mencapai populasi maksimum pada tahun 2071 iaitu seramai 46 juta rakyat sebelum bilangannya menguncup pada tahun seterusnya. [Malaymail.com, 10/11/2022] 

Berdasarkan saranan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam manual Principles and Recommendations For A Vital Statistics (Revision 3), United Nations Statistics Division (2014), setiap negara perlu mempunyai kadar kelahiran sekurang-kurangnya pada paras 2.1 (2-3 orang anak) bagi setiap pasangan sebagai pengganti mereka. Turut disarankan supaya mempunyai seorang anak perempuan yang boleh melahirkan generasi seterusnya. Inilah angka yang menjadi rujukan setiap negara agar tidak mengalami penyusutan populasi rakyatnya. 

Penurunan kadar kelahiran bakal memberi impak kepada ekonomi dan polisi negara pada masa hadapan. Ia boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi kerana penggunaan domestik lebih rendah, populasi yang menua serta mengakibatkan kadar gantian tenaga buruh terjejas. Untuk mengatasi kekurangan tenaga buruh pihak industri terpaksa bergantung kepada buruh asing untuk memastikan produktiviti terus berkembang. Menyedari kesan-kesan buruk ini, kerajaan berusaha meningkatkan semula kadar kelahiran dengan beberapa usaha seperti memberi inisiatif kepada pasangan mendapatkan rawatan kesuburan dengan pengecualian cukai bagi rawatan kesuburan sehingga RM6,000 menerusi Bajet Tahun 2020 sehingga sekarang.  

Seterusnya, Program Bantuan Subsidi Rawatan Permanian Beradas juga disediakan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) kepada klien kesuburan. Khusus buat penjawat awam, terdapat kemudahan tuntutan daripada majikan bagi perbelanjaan rawatan kesuburan yang dikuatkuasakan melalui Pekeliling Perkhidmatan Awam. Usaha-usaha seperti ini sepatutnya diperluaskan untuk semua pasangan dari seluruh lapisan masyarakat yang sedang berikhtiar untuk hamil (trying to conceive) tanpa membebankan kewangan mereka. 

Inilah pandangan hidup dalam perspektif Kapitalisme-Barat. Besar atau kecilnya jumlah penduduk sentiasa dipandang daripada perspektif ekonomi. Jika ramai ertinya melimpah sumber tenaga kerja yang produktif, tetapi juga dianggap masalah kerana semakin banyak makanan dan tempat tinggal yang perlu disediakan. Apa yang ideal bagi mereka ialah mempunyai penduduk yang produktif tetapi tidak menjadi beban ekonomi kepada negara. Bahkan, usia pencen dinaikkan sehingga 60 tahun supaya terus bekerja meski usia semakin senja. Dicanang juga supaya setiap orang mempunyai wang persaraan yang mencukupi untuk meneruskan baki kehidupan. 

Islam Melestarikan Manusia 

Sedarilah kita bahawa fenomena berkurangnya populasi manusia ini adalah akibat kepemimpinan Barat ke atas dunia. Cara pandang Barat mengenai kehidupan menjadikan permasalahan umat manusia makin rumit dan pelik apabila setiap teori mereka hanya berkisar modal, wang dan material semata-mata. Ini amat berbeza dengan cara pandang Islam yang memuliakan manusia. Malah langit dan bumi diciptakan oleh Allah SWT semata-mata untuk manusia bagi menguji mereka siapakah yang paling baik amalannya. Dengan kurniaan akalnya, manusia akan berusaha semaksima kemampuan mereka untuk menjaga dan mengolah bumi dan isinya supaya setiap nyawa terus menjalani kehidupan yang selayaknya. Syaratnya, kita wajib berusaha mengembalikan kepemimpinan Islam atas dunia sebagai bukti kesungguhan kita meraih ahsanu amala (amalan terbaik). 

“Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung; tetapi semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khawatir tidak akan melaksanakannya (berat), lalu dipikullah amanat itu oleh manusia..” [TMQ Al-Ahzab (29):72]  

Demi melaksanakan amanah tersebut, Islam malah menganjurkan para pemudanya untuk bersegera menikah dan memiliki ramai keturunan yang soleh dan solehah. Ini tentunya tidak mustahil kerana sumber kebahagiaan seorang Muslim bukanlah sebatas harta, tetapi redha Allah SWT. Maka, setiap keluarga bukan hanya berlumba untuk memperbanyakkan harta, tetapi berlumba mengumpul pahala. Tentunya para ibu akan memahami kewajipan utamanya untuk mendapat keredhaan Allah apabila menjadi ummun wa rabbatul bait (ibu dan pengatur urusan rumahtangga). Setiap ibu pasti bersungguh-sungguh melahirkan generasi yang bersedia untuk memimpin peradaban gemilang. Jangan dirisaukan tentang rezeki setiap anak kerana negara akan memastikan si ayah atau waris terdekat melaksanakan kewajipan menafkahi mereka. Negara juga memastikan rakyat mendapat akses kepada fasiliti kesihatan dan akses pendidikan yang terbaik buat rakyatnya. 

Khatimah 

Ramainya umat Nabi Muhammad SAW akan mendatangkan berkah kerana kita umat yang terbaik (Khayra Ummah) seperti yang diiktiraf Allah dalam ayat 110, Surah Ali Imran. Dalam sebuah negara  yang melaksanakan Islam Kaffah, anak-anak dididik untuk menjadi hamba yang taat pada Rabbnya. Mereka juga mendapatkan pendidikan yang berasaskan akidah Islam daripada ayah dan ibu di rumah juga di institusi pendidikan yang disediakan oleh negara sehingga menjadi generasi berkualiti tinggi. Telah terbukti dari sejarah kegemilangan Islam di zaman silam bahawa daripada generasi ini muncul banyak penemuan baru, baik dalam bidang tsaqafah Islam mahupun sains dan teknologi. Semua ini berhasil memicu umat yang mulia ini sehingga terwujudlah peradaban Islam yang maju. Keunggulan Islam yang tidak akan pernah ditandingi oleh peradaban yang lain.  

Wallahua’lam.