Kembalikan Fungsi Keluarga Sebagai Benteng Dan Sistem Sokongan Terbaik
Penulis : Rahmah
Wanita begitu dimuliakan dalam Islam. Predikat istimewa yang diberikan Islam menggambarkan besarnya peranan mereka dalam mencorak masa depan Islam yang cemerlang. Ummun wa rabbatul bait, madrasatul ula, muslimah solehah adalah antara yang sering dikaitkan dengan kemuliaan seseorang wanita.
Khadijah Khuwailid, Fatimah Az Zahra, Asma bint Abu Bakar, al Khansa dan Huma Hatun adalah beberapa nama dari sekian nama-nama hebat sepanjang zaman sejak Islam mula diturunkan dan menaungi kehidupan umat manusia. Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin menjadikan para wanita terselamat dari sebarang bentuk penindasan dan kezaliman berbanding sebelum kedatangan Islam. Dengan Islam, wanita sama ada ibu atau isteri berpeluang memaksimakan potensi dan kemampuannya melakukan yang terbaik. Siapa yang tidak mengenali Saad bin Muadz, Muhammad al Fateh, Abdullah bin Zubair dan pejuang lainnya yang lahir dari para ibu yang hebat dan solehah?
Jauh berbeza dengan keadaan sekarang, tepatnya sejak 102 tahun yang lalu. Sejak kehidupan kita semua tidak lagi dinaungi cara hidup dan peraturan Islam. Jaminan sejahtera dan selamatnya wanita hanyalah ilusi yang sukar direalisasi. Persoalannya bagaimanakah peradaban yang runtuh dapat dibangunkan semula oleh wanita? Apakah sarana yang dapat menjamin wanita mampu mengulangi sejarah perjuangan dan kebangkitan perabadaban seperti yang pernah terjadi sebelum ini?
Dengan ketiadaan sistem Islam, keluarga merupakan benteng terakhir yang dapat menyelamatkan generasi dan membangkitkan mereka dengan peranan ibu yang strategis dan politis. Malah keluarga muslim tentunya menjadi support system terbaik bagi ibu untuk berjuang mengembalikan sistem Islam. Namun, sebagai benteng terakhir, bukan calang-calang cabaran yang dihadapi oleh setiap keluarga muslim. Penganiayaan, hubungan tidak harmoni antara ahli keluarga, keruntuhan moral, akhlak dan sebagainya sehingga hampir mustahil mewujudkan kekuatan yang diharapkan. Ini kerana sistem kapitalisme-sekularisme mewujudkan kebebasan bertingkah laku (liberal) termasuk dalam mengatur hubungan antara ahli keluarga. Fahaman sekularisme yang mengasingkan agama dari kehidupan, menjadikan pemahaman masyarakat lemah terhadap syariat Islam kaffah. Jadilah ajaran Islam dianggap mengatur ibadah ritual sahaja dan tidak memberi pengaruh dan kesan dalam mengatur tingkah laku seharian samada dalam aspek individu, keluarga, masyarakat mahupun negara.
Sebagai wanita, khususnya ibu yang cerdas, kaum hawa tentunya tidak bersikap pesimis dan menyerah pasrah dengan cabaran yang mendominasi kehidupan sehingga berputus asa dengan situasi yang melanda. Keimanan dan ketakwaanlah yang akan menyedarkan mereka untuk menyakini sepenuhnya bahawa Islam mengatur seluruh aspek kehidupan dan telah memberikan penyelesaian sebenar kepada semua masalah yang menimpa umat manusia.
Peranan strategik wanita hari ini adalah menyiapkan generasi yang taat syariat, membentengi keluarga dengan ketakwaan yang sempurna, membina umat dengan Islam Kaffah dan aktif dalam amar makruf nahi mungkar terhadap pemerintah dan umat Islam secara keseluruhan. Mereka berusaha menyakini dan menyedarkan setiap ahli keluarga bahawa peraturan dan hukum Alllah SWT sahajalah yang layak diterapkan; memuaskan akal serta bersesuaian dengan fitrah manusia.
Selain dari itu, pentingnya pemahaman yang benar dibentuk sesama anggota keluarga bahawa tegaknya hukum Islam seharusnya meliputi tiga aspek iaitu pembinaan individu yang mengarah kepada pembinaan keluarga, kawalan dan kerjasama padu dari masyarakat serta sistem kehidupan yang bersumber dari aqidah Islam dilaksanakan oleh negara sebagai pelaksana Islam kaffah.
Pemahaman yang benar penting sehingga seorang suami faham akan kewajipannya mencari nafkah buat keluarga dan memperlakukan keluarga dengan makruf. Seorang wanita sebagai isteri pula sebagai ummun wa rabbatul bait; memahami kewajipannya taat kepada suami dan mengurus rumah tangga sebaiknya. Pentingnya hidup bermasyarakat juga sangat diperhatikan dalam Islam dan mewajibkan aktiviti amar makruf nahi mungkar secara menyeluruh sama ada dalam lingkungan keluarga mahupun kaum muslimin. Malah negara sebagai pihak yang memiliki kekuasaan dalam pemerintahan akan merealisasikan rahmatan lil ‘alamin dengan penerapan Islam kaffah dalam aspek politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan lainnya. Dengan adanya sistem sokongan sebegini, tentunya dapat memudahkan tugas dan peranan wanita sebagai pendidik generasi dan madrasatul ula bagi anak-anaknya.
Kini, di zaman era digital dengan kepelbagaian fungsi media massa, seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh negara untuk menyebarluaskan nilai kebaikan dalam segala aspek kehidupan. Di samping itu juga negara sepatutnya giat menyaring sebarang bentuk propaganda asing dan jahat yang dapat menganggu keamanan dan kesejahteraan masyarakat. Penerapan Islam kaffah dengan benar, amanah dan bertanggungjawab secara efektif mampu melahirkan keluarga yang kuat, masyarakat yang mulia dan umat terbaik. Allah SWT berfirman,
وَلَوْ اَنَّ اَهْلَ الْقُرٰٓى اٰمَنُوْا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكٰتٍ مِّنَ السَّمَاۤءِ وَالْاَرْضِ وَلٰكِنْ كَذَّبُوْا فَاَخَذْنٰهُمْ بِمَا كَانُوْا يَكْسِبُوْنَ
“Dan sekiranya penduduk negeri beriman dan bertakwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi ternyata mereka mendustakan (ayat-ayat Kami), maka Kami siksa mereka sesuai dengan apa yang telah mereka kerjakan” (TMQ Al-A’raf [7]:96)