SN642 – Permasalahan Palestin: PBB adalah Barua AS

Bil: SN642 (PDF/Print) – 14 Jamadilakhir 1445 / 27 Disember 2023

Darah para syuhada terus tumpah di bumi Palestin angkara musuh-musuh Islam. Amerika Syarikat (AS) pada 7 Disember 2023 telah memveto resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengadakan gencatan senjata di Gaza. Perdana Menteri Malaysia kesal dengan sikap AS dan Menteri Luarnya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, selepas bekerja keras meyakinkan AS untuk menggesa gencatan senjata, negara itu tetap memilih untuk terlibat dalam perang tersebut. (Harapandaily, 10/12/2023).

        Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah bahawa banyak orang Islam berharap PBB akan menjadi penyelamat kaum Muslimin di Palestin walaupun telah terbukti PBB langsung tidak boleh diharapkan. Jika ditelusuri sejarah PBB, idea pembentukannya berasal dari pakatan negara-negara Kristian Eropah yang ditubuhkan pada tahun 1595 oleh Pope Clement VIII untuk menggugat Daulah Khilafah. Pakatan ini bersepakat memegang prinsip yang menjadi asas kepada terbentuknya undang-undang antarabangsa. Seterusnya Perjanjian Westphalia telah diadakan pada tahun 1648 untuk mengukuhkan kerjasama negara-negara Eropah bagi menyekat Khilafah. Perjanjian ini menjadi asas kepada pembentukan apa yang disebut sebagai komuniti antarabangsa. Perjanjian ini menjadi asas kepada prinsip penting dalam hubungan antarabangsa moden –  sebuah negara tidak boleh menceroboh sempadan sebuah negara lain dan tiada negara yang boleh campur tangan dalam urusan dalaman sesebuah negara berdaulat yang lain. Ketika Khilafah Islam semakin melemah, ia dipaksa untuk menandatangani perjanjian Paris pada tahun 1856 yang mengheretnya masuk ke dalam komuniti antarabangsa dan seterusnya menyebabkan terlaksananya sebahagian undang-undang sekular Eropah ke atas Khilafah. Tujuan negara-negara Eropah menjadikan Khilafah sebagai anggota komuniti antarabangsa adalah semata-mata untuk menghancurkannya. Cita-cita mereka terpenuhi apabila Khilafah dibubarkan pada 3 Mac 1924. Sebelum Khilafah dihancurkan, Liga Bangsa-Bangsa ditubuhkan pada tahun 1920 dan ia berperanan memecahbelahkan wilayah Khilafah.

        Liga ini menyerahkan Palestin kepada British. Britain membawa masuk para pendatang haram Yahudi ke Palestin dengan restu Liga. Kemudian, Liga Bangsa-Bangsa digantikan dengan PBB pada tahun 1945. Keanggotaan PBB dibuka seluas-luasnya, sesuai dengan hasrat AS untuk menyebarkan hegemoninya ke seluruh dunia. Melalui resolusi 181 tahun 1947, PBB telah mengiktiraf pembentukan entiti haram Yahudi (negara haram Israel). Ini bermakna PBB merestui tindakan Yahudi merampas wilayah umat Islam dan akibatnya 700 ribu rakyat Palestin terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka akibat kejahatan kaum Yahudi. Dengan pengiktirafan PBB, orang Yahudi yang pada asalnya adalah pendatang haram berubah menjadi majoriti penduduk Palestin.

Amerika memperalatkan PBB

        Laporan bertarikh 1 Mei 2020 yang diterbitkan oleh Center for Strategic And International Studies yang beribu pejabat di Washington menyatakan bahawa sejarah dan legasi PBB ditentukan oleh cita-cita dan kepentingan dasar luar negeri Amerika. PBB hanyalah kuda tunggangan AS dan sekutunya dan ini dapat dilihat dalam pelbagai isu terkait entiti haram Yahudi di mana banyak resolusi terhadap entiti haram tersebut yang terkandas kerana diveto Amerika. Sejak tahun 1972 sehingga tahun 2009, sudah lebih 68 resolusi PBB berhubungan dengan tindakan negara haram Yahudi di Palestin diveto Amerika. Tambahan lagi, kita dapat lihat dengan mata kepala kita sendiri PBB gagal menyelesaikan krisis umat Islam mulai dari Palestin, Syria, Rohingya, sehinggalah kepada masalah kaum Muslimin di Uighur.

        PBB pernah mengeluarkan Resolusi 3379 pada tahun 1975 yang mengecam zionisme yang dianggap sebagai ideologi yang mengancam perdamaian dan keselamatan dunia. Resolusi ini juga berkesimpulan bahwa zionisme adalah satu bentuk rasisme dan diskriminasi ras namun resolusi 3379 ini berjaya dihapuskan oleh Amerika dan sekutunya dalam suatu Sidang Umum PBB yang menghasilkan Resolusi 4686 pada tahun 1991. Kita juga dapat melihat PBB enggan memasukkan entiti haram Yahudi dalam ‘Daftar Aib’ (List of Shame) yang menyenaraikan organisasi dan negara yang melanggar hak asasi kanak-kanak di kawasan konflik. PBB telah memasukkan Rusia dalam senarai tersebut akibat perang di Ukraine namun tidak memasukkan entiti haram Yahudi di dalamnya setelah entiti haram tersebut melakukan lobi yang intensif.

        Kakitangan PBB yang menunjukkan sikap kritikal terhadap keputusan PBB juga sering diganggu dan diugut. Misalnya, mantan Pesuruhjaya Tinggi PBB, Craig Mokhiber mengkritik PBB kerana kegagalannya melindungi orang-orang awam di Gaza. Beliau dituduh sebagai berat sebelah dalam media sosial. Seorang penyiasat PBB Miloon Kothari telah mengkritik lobi Yahudi dan mempersoalkan sama ada entiti haram Yahudi wajar menjadi anggota PBB. Entiti haram tersebut menuduhnya anti-semitik dan mendesaknya supaya meletak jawatan. Desakan tersebut begitu kuat sehingga beliau terpaksa memohon maaf. Ian Williams yang pernah menjadi presiden Persatuan Koresponden PBB mengatakan bahawa Setiausaha Agung PBB sekarang Antonio Guterres, adalah penyokong kuat entiti haram Yahudi (Washington Report on Middle East Affairs, May 2018). Beliau juga menegaskan bahawa PBB adalah pertubuhan paling teruk yang pernah wujud dan mengatakan bahawa setiap setiausaha agung PBB perlu berbaik dengan Amerika dan perlu tunduk kepada lobi entiti haram Yahudi. Lobi-lobi entiti haram tersebut menurutnya sering datang ke pejabat PBB dan menekan mereka.

        Tambahan lagi, menurut Artikel 6 Piagam PBB, mana-mana ahli PBB yang secara berterusan melanggar prinsip yang terkandung dalam piagam boleh dipecat daripada PBB. Entiti haram Yahudi sering melanggar prinsip PBB tetapi tidak pernah dipecat. Ini menunjukkan PBB secara tidak langsung mengizinkan entiti haram tersebut terus menzalimi orang-orang Palestin.

PBB memusnahkan Palestin

        Separuh penduduk Gaza hidup di bawah paras kemiskinan dan 70 peratus dari golongan mudanya menganggur. Kadar kemiskinan mencecah 66 peratus dan 34 peratus dikategorikan ‘miskin terlampau’. Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki, berkata Gaza telah berubah daripada penjara terbuka terbesar di dunia kepada tanah perkuburan terbuka terbesar disebabkan sekatan berterusan entiti haram Yahudi dan serangan berterusannya. Ketua Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) pada 22 Nov 2023 meletakkan Gaza sebagai ‘tempat paling bahaya di dalam dunia untuk kanak-kanak.’ Secara purata entiti haram Yahudi membunuh 160 kanak-kanak Palestin setiap hari di Gaza menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

        Duta Palestin ke Malaysia mengkritik PBB yang disifatkan tidak telus dan terlalu mengikut telunjuk entiti haram Yahudi. Walid menyatakan PBB ‘sudah dibeli Israel’ apabila gagal bertindak membela nasib rakyat Palestin. Beliau juga mengatakan PBB memandang Palestin dengan hanya sebelah mata berbanding entiti haram Yahudi yang diagung-agungkan (Utusan Malaysia, 11/10/2023). Pemimpin lain seperti Presiden Erdogan dari Turki mengatakan PBB adalah pelindung entiti haram Yahudi tetapi anehnya mereka masih lagi merujuk kepada PBB untuk penyelesaian isu Palestin.

PBB adalah musuh kaum Muslimin

        Piagam PBB adalah ciptaan manusia yang menolak hukum Allah sedangkan syariat Islam datang dari Allah SWT. Dari sisi ini saja, kita dapat melihat bahawa piagam PBB adalah tidak selaras dengan syariat Islam. Mana mungkin manusia boleh dibenarkan untuk membuat peraturan sedangkan hakikatnya manusia itu lemah dan akalnya terbatas.  Lebih dari itu, Islam telah menetapkan bahawa manusia tidak berhak untuk membuat hukum sebagaimana firman Allah:

Keputusan (hak membuat hukum) itu hanyalah milik Allah (TMQ Yusuf: 40)

        Ada yang menyatakan bahawa Piagam PBB tidak bertentangan dengan syariat kerana keputusannya sesuai dengan maqasid syariat. Maqasid asy-syari‘ah adalah tujuan-tujuan syariat yang pada dasarnya menyatakan bahawa syariat ditetapkan untuk mewujudkan kemaslahatan hamba, baik di dunia mahu pun di akhirat. Maqasid syariah akan terwujud, jika suatu keputusan itu sesuai dengan Al-Qur’an dan Sunnah dan syariat Islam terlaksana secara keseluruhan sedangkan Piagam PBB adalah jelas bertentangan dengan syariat. Bagaimana mungkin keputusan-keputusan PBB boleh berjalan sesuai dengan maqasid syariat?  Kalaupun dikatakan bahawa piagam PBB memberi manfaat dari sisi membantu perdamaian namun realiti menunjukkan sebaliknya. Hakikatnya PBB gagal mewujudkan perdamaian dan tidak dapat mencegah peperangan di berbagai kawasan dunia.

        Allah telah banyak memperingatkan umat Islam tentang sifat kaum kuffar terhadap kaum Muslimin. Allah berfirman dengan maksudnya;

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan reda dengan kamu sehinggalah kamu mengikuti agama (cara hidup) mereka’ [TMQ Al Baqarah (2:120)]

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Kristian menjadi pemimpin-pemimpinmu, sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa di antara kamu yang mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim’

[TMQ Al-Maidah(5): 51]

        Mematuhi PBB bererti mengingkari perintah Allah kerana Allah telah melarang umat Islam meletakkan urusan mereka di tangan musuh-musuh Allah. Urusan kaum Muslimin mestilah diselesaikan oleh umat Islam sendiri menurut al-Quran dan Sunnah, bukannya PBB.

        Allah mewajibkan umat Islam untuk berhukum hanya kepada syariatNya semata-mata dan mengharamkan mereka untuk berhukum kepada badan thaghut seperti PBB. Firman Allah :

“Apakah engkau tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada engkau dan apa yang telah diturunkan sebelum engkau? Mereka hendak berhukum kepada taghut padahal mereka telah diperintahkan untuk mengingkari taghut itu. Syaitan itu bermaksud menyesatkan mereka dengan penyesatan yang sejauh-jauhnya” [TMQ an-Nisa’(4):60].

        Sudah banyak kali umat Islam ditipu oleh PBB. Apakah kaum Muslimin masih belum sedar? Nabi SAW bersabda;

Tidak selayaknya seorang mukmin dipatuk ular dari lubang yang sama sebanyak dua kali” [HR. Bukhari no. 6133 dan Muslim no. 2998].

Khatimah

        Umat Islam seharusnya menolak PBB dan mendirikan kekuatannya sendiri di bawah kesatuan politik yang bebas dan itu hanya terwujud jika umat Islam hidup di bawah Negara Khilafah Islam. Para pemimpin umat Islam juga perlu memenuhi seruan Allah dan RasulNya dengan mengirimkan tenteranya untuk membela kaum Muslimin di Palestin tanpa menunggu arahan dari PBB.

        Allah SWT berfirman,

Dan berperanglah di jalan Allah melawan orang-orang yang memerangi kalian’ [TMQ al-Baqarah (2): 190]