Lemahnya Pemahaman Dan Penerapan Islam Antara Faktor Kejatuhan Daulah Khilafah

Daulah Islam yang pertama telah didirikan oleh Rasulullah SAW di Madinah. Sebelum baginda SAW wafat, seluruh jazirah Arab telah dibebaskan dan masyarakat beramai-ramai memeluk Islam. Di zaman Khulafa’ ar-Rasyidin dan Khilafah Umayyah,  pembebasan demi pembebasan diteruskan sehingga ke Sepanyol di sebelah barat dan ke Samarkand dan Sind (India) di sebelah timur.  Agama Islam dapat diterima oleh non-muslim kerana penerapan ideologi Islam sesuai dengan fitrah manusia serta layanan adil ke atas mereka. Dengan  masuknya negeri-negeri yang dibebaskan ke dalam Daulah menyebabkan Daulah menjadi semakin besar dan kuat. Namun, beberapa abad selepas itu Daulah Islam menjadi lemah kerana beberapa faktor di antaranya ;

Pengabaian Bahasa Arab – Sejak abad ke-6 Hijrah, ketika pemerintahan dinasti Mamluk (Khilafah Abasiyyah), penguasa mula mengabaikan bahasa Arab. Bahasa Arab mula terpisah daripada Islam serta pintu ijtihad diseru untuk ditutup. Bahasa Arab merupakan ilmu asas yang sangat penting bagi melakukan ijtihad terhadap pelbagai persoalan baharu yang timbul, tanpanya, istinbath hukum tidak mungkin mampu dapat dilakukan. Kesannya, negara mengalami kekacauan dalam memahami realiti daripada perspektif Islam sehingga terjadi kesalahan dalam pemahaman dan penerapan syariat Islam.

Pemahaman Islam yang lemah – Kekeliruan dalam memahami ajaran Islam mula muncul pada abad pertama hijrah kerana wujud usaha kompromi falsafah India dengan ajaran Islam. Sebagai contoh, konsep kezuhudan(asceticism) ditafsirkan sebagai zuhud dalam masalah keduniaan menyebabkan ramai umat Islam yang lari menghadapi kenyataan hidup, sedangkan tenaga dan fikiran mereka seharusnya digunakan untuk kemajuan negara dan penyebaran dakwah Islam.

Serangan Pemikiran Barat –   Kepincangan dalam Daulah semakin bertambah parah apabila Barat mula menyebarkan doktrin dan hukum-hukum yang bertentangan dengan Islam tetapi mendakwa doktrin dan hukum-hukum mereka sesuai dengan Islam sehingga akhirnya kefahaman umat terhadap Islam menjadi semakin lemah. Sejak itu, umat Islam  memandang kehidupan dengan ukuran manfaat. Kemudian, mereka mengadaptasi sebahagian doktrin Barat ketika pemerintahan Khilafah Uthmaniyah mulai  amalan riba dibenarkan dan membuka bank, memberhentikan pelaksanaan hukum hudud dan digantikan dengan undang-undang sivil Barat. Doktrin ini terus meracuni pemikiran umat Islam hingga hari ini.

Penerapan Islam yang rosak – penerapan atau pentadbiran yang buruk (isa`atut tathbiq) terhadap hukum Islam mula berlaku dalam kehidupan seperti kewujudan parti politik yang menggunakan kekuatan ketenteraan (thariqul quwwah) untuk meraih kekuasaan berbanding menggunakan dukungan umat (thariqul ummah) seperti era Khilafah Abbasiyah yang menguasai wilayah Iran dan Iraq. Jawatan Khalifah juga dilantik melalui cara perwarisan kekuasaan. Amalan ini bermula sejak kekhalifahan bani Umayyah yang mengabaikan kedudukan baiat yang membawa kepada kerosakan proses baiat. Selain itu,  berlaku situasi,  Wali (Gabenor)  wilayah Islam yang berkuasa secara autonomi seperti Abdurrahman Ad-Dakhil yang berkuasa di Andalusia namun, Khalifah Abbasiyah  ketika itu membiarkannya. Meskipun Andalusia ketika itu masih menjadi sebahagian wilayah Khilafah, namun terpisah daripada aspek pentadbirannya. Semua ini merupakan penerapan Islam yang rosak yang menyebabkan Khilafah semakin lemah.

Revolusi pemikiran dan industri di Eropah. Ketika berlaku revolusi industri di Eropah, sebahagian besar ilmuan Islam pada masa itu bingung sama ada ingin menerima atau menolak kebangkitan di Eropah kerana tidak mampu membezakan di antara aspek madaniyyah (kemajuan sains dan teknologi) dan hadharah (pemikiran yang terkait akidah). Oleh itu, negara kurang memberi tumpuan kepada sains dan teknologi yang menyebabkan Daulah Uthmaniyyah mengalami kemunduran.

Serangan Kuffar terhadap Daulah – Akibat daripada kelemahan penerapan dan pemahaman Islam, Daulah diserang oleh kuffar yang menyebabkan Andalusia di kuasai oleh Sepanyol. Daulah juga mengalami kekalahan dalam perang Salib pada peringkat awal. Akhir sekali, serangan tentera Monggol yang menyerang Baghdad telah menjatuhkan Khilafah Abasiyyah (Seljuk).

Serangan pemikiran Nasionalisme – Eropah cuba menyelesaikan masalah ketimuran (The Eastern Question) dengan usaha untuk menghapuskan Daulah Uthmaniyyah. Eropah telah menyuntik pemikiran nasionalisme dan mewujudkan gerakan nasionalisme di Balkan, Turki, negeri-negeri Arab, Armenia, dan Kurdistan. Selepas kekalahan Daulah Uthmaniyyah pada perang dunia pertama, Barat melalui gerakan-gerakan nasionalisme telah berjaya  melemahkan Daulah Uthmaniyyah yang akhirnya pada  3 Mac 1924, Khilafah terakhir (Uthmaniyyah)  secara rasminya dihapuskan dan bermulalah zaman mulkan jabbariyan dan sekularisme.

Daulah Khilafah yang didirikan oleh baginda SAW dan diteruskan oleh para Khulafa’ ar-rasyidin adalah negara superpower yang ditakuti musuh kerana kekuatan ideologi(mabda) Islam yang meliputi fikrah dan thariqah. Namun, apabila pemahaman terhadap Islam mulai lemah dan  penerapan sistem selain daripada Islam, maka Daulah menjadi lemah dan akhirnya ditumbangkan oleh Kuffar Barat yang telah lama menanti saatnya. Semoga dengan kerosakan sistem kapitalisme-demokrasi dan 100 tahun kejatuhan Khilafah ini menjadi titik tolak kebangkitan umat Islam seluruh dunia dalam menegakkannya semula Khilafah ala minhajin nubuwwah. Wallahualam.

#100TahunKejatuhanKhilafah