Wujudkah Hierarki Mahkamah Dalam Islam?

Sebelum Malaysia dijajah oleh British, umat Islam di Tanah Melayu tidak pernah mengenal sistem dua mahkamah dan hierarki (tingkatan) sebagaimana yang wujud pada hari ini. Bersekali dengan memaksakan sistem pemerintahan mereka ke atas penduduk Tanah Melayu, negara kafir penjajah itu turut memperkenalkan sistem mahkamah mereka, yang diubah sedikit demi sedikit mengikut kehendak dan kepentingan mereka, sehingga akhirnya dimaktubkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan, sebelum mereka menghadiahkan kemerdekaan kepada Tanah Melayu.

Ringkasnya, kewujudan sistem dan hierarki mahkamah pada hari ini yang bermula daripada Mahkamah Majistret, Sesyen, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan yang paling tinggi Mahkamah Persekutuan, semuanya tidak lepas daripada apa yang telah ditentukan oleh penjajah. Seiring dengan berlalunya masa, umat Islam lama-kelamaan sudah tidak lagi mempedulikan samada apa yang dibawa oleh British, termasuklah sistem dan hierarki mahkamah ini, selari dengan Islam atau tidak. Kewujudan para ulama yang diberi gaji oleh pemerintah memburukkan lagi keadaan apabila mereka membenarkan apa sahaja yang telah ditinggalkan oleh British, selaras dengan kehendak majikan mereka.

Antara natijah daripada semua ini ialah, kita bukan sahaja berhukum dengan hukum penjajah, tetapi kes-kes yang dibicarakan juga menjadi semakin complicated, tertangguh dalam masa yang lama, terdedah kepada manipulasi dan eksploitasi khususnya apabila melibatkan golongan kayangan dan pelbagai kesukaran, ketidakadilan serta keburukan lainnya.

Sebagai Muslim, kita seharusnya menilai sama ada kewujudan hierarki mahkamah seperti ini adalah bertepatan dengan Islam atau tidak. Ternyata apabila melihat kepada nas, Islam tidak pernah mengenal hierarki mahkamah seperti mana yang ada sekarang.

Insya Allah apabila Islam kembali berkuasa dengan tegaknya Negara Khilafah sedikit masa lagi, Khalifah akan mengembalikan semula sistem dan hierarki mahkamah sebagaimana kehendak Islam. Hizbut Tahrir telah membincangkan mengenai hierarki mahkamah dalam sistem pengadilan Islam (al-Qadha’ fi al-Islam) dalam kitabnya Muqaddimah ad-Dustur Au al-Asbab al-Mujibah Lahu, di Fasal yang ke 83. Berikut ialah penjelasannya:

Fasal 83

Tidak ada mahkamah rayuan, dan tidak ada mahkamah tertinggi, jadi badan kehakiman, setakat mana metode dalam mengendalikan kes-kes, hanya ada satu peringkat sahaja. Apabila seseorang hakim telah menjatuhkan keputusan, ia akan mengikat, dan tidak boleh sama sekali dibatalkan oleh hakim yang lain, melainkan hakim asal tersebut memutuskan selain daripada hukum Islam, atau bercanggah dengan nas yang qathie daripada al-Quran, Sunnah atau Ijma’ as-Sahabat, atau ternyata bahawa hakim itu telah membuat penghakiman yang bercanggah dengan realiti keadaan.

Fasal ini menjelaskan bahawa keputusan hakim tidak boleh dibatalkan, sama ada oleh dirinya sendiri atau pun oleh mana-mana hakim yang lain. Dalil bahawa keputusan hakim tidak boleh dibatalkan ialah berdasarkan Ijma’ as-Sahabat (kesepakatan para Sahabat) terhadap perkara ini. Abu Bakar (ra) memutuskan hukum dalam banyak masalah berdasarkan ijtihadnya, dan Umar (ra) berselisih pandangan dengan Abu Bakar, tetapi Umar tidak pernah membatalkan keputusan Abu Bakar. Ali (ra) berselisih pandangan dengan Umar (ra) dalam ijtihadnya, tetapi Ali tidak pernah membatalkan keputusan Umar. Ali (ra) juga tidak bersetuju dengan Abu Bakar (ra) dan Umar (ra) tetapi tidak pernah membatalkan keputusan kedua-duanya.

Dikeluarkan oleh Ibnu Abi Syaibah di dalam al-Musnaf dari Salim, dia berkata: Penduduk Najran pernah mendatangi Ali (ra) dan berkata, “Wahai Amirul Mukminin, keputusan adalah di tanganmu dan pengampunan adalah di lisanmu sendiri (bahawa) Umar telah mengeluarkan kami dari kampung halaman kami, maka kembalikanlah kami semula”. Ali berkata: “Celakalah kamu, Umar ialah seorang yang berpetunjuk dan aku tidak akan membatalkan keputusan yang telah dibuatnya.”

Diriwayatkan bahawa Umar (ra) pernah memutuskan dalam kes pembahagian harta pusaka dengan menggugurkan hak saudara lelaki dari sebelah bapa. Kemudian Umar membahagikan antara mereka seraya berkata, “Keputusan itu terpakai untuk kes itu dan keputusan ini terpakai untuk kes ini”. Umar menyampaikan kedua-dua keputusan walaupun terdapat percanggahan antara keduanya. Hal ini telah disebutkan oleh Ibnu Qudamah dalam al-Mughni dan al-Baihaqi daripada al-Hakam bin Mas’ud ats-Tsaqafi. Umar juga memutuskan secara berbeza terkait kedudukan seorang datuk dan beliau tidak pernah membatalkan mana-mana keputusannya yang terdahulu, seperti yang disebutkan oleh al-Baihaqi dalam as-Sunan al-Kubra.

Ada pun mengenai apa yang telah dilaporkan berkenaan hakim Suraih yang memutuskan kes dua orang sepupu sebelah bapa, di mana salah seorang daripada mereka ialah adik-beradik lelaki kepada si ibu, dan harta pusaka diputuskan pergi kepada adik-beradik lelaki tersebut. Hal ini telah dilaporkan kepada Ali (ra) yang kemudian berkata “Bawalah dia (Suraih) kepadaku”. Bila dia (Suraih) datang, Ali bertanya, “Di manakah dalam Kitabullah yang engkau temui perkara ini?” Suraih berkata, Allah (swt) berfirman,

وَأُولُو الْأَرْحَامِ بَعْضُهُمْ أَوْلَىٰ بِبَعْضٍ فِي كِتَابِ اللَّهِ ۗ

“Orang-orang yang mempunyai hubungan kerabat itu sebahagiannya lebih berhak terhadap sesamanya (daripada yang bukan kerabat) di dalam Kitab Allah” [Al-Anfal (8): 75].

Lalu, Ali (ra) berkata kepadanya, “Allah juga berfirman,

وَإِنْ كَانَ رَجُلٌ يُورَثُ كَلَالَةً أَوِ امْرَأَةٌ وَلَهُ أَخٌ أَوْ أُخْتٌ فَلِكُلِّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا السُّدُسُ ۚ

“Jika seseorang mati, baik lelaki mahupun perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara lelaki (seibu) atau seorang saudara perempuan (seibu), maka bagi masing-masing dari kedua jenis saudara itu seperenam harta” [An-Nisa’ (4): 12].

Suraih kemudian menarik balik keputusannya sebagaimana disebut dalam beberapa riwayat. Ibnu Qudamah menjawab isu ini dalam al-Mughni dalam bab penghakiman dengan menyatakan, “Tiada pengesahan bahawa Ali telah merubah keputusan Suraih, namun jika ada sekalipun, ini mungkin kerana Ali yakin bahawa Suraih telah menyalahi dalil al-Quran yang disebut oleh Ali, yang atas dasar itu Ali membatalkan keputusan Suraih”.

Para Sahabat sering memutuskan kes-kes berdasarkan ijtihad mereka baik di zaman Abu Bakar (ra), Umar (ra) atau Ali (ra), dan tidak seorang pun daripada mereka yang membatalkan keputusan yang lain. Umar pernah memutuskan secara bercanggah dan berbeza dalam kes-kes yang sama isunya. Beliau melaksanakan semua keputusannya dan tidak pernah merubah keputusannya yang awal dengan keputusannya yang kemudian walaupun bertentangan antara satu sama lain. Beliau berkata mengenai perkara ini, “Bahawa keputusan itu terpakai untuk kes itu dan keputusan ini terpakai untuk kes ini” (disebut oleh Ibnu Qudamah dalam al-Mughni dan oleh al-Baihaqi dari al-Hakam bin Mas’ud ats-Tsaqafi).

Ini menunjukkan bahawa keputusan hakim tidak boleh diubah. Ibnu Qudamah berkata di dalam al-Mughni, “Jika ijtihadnya (hakim) berubah tetapi tidak bertentangan dengan dalil atau Ijma’, atau jika ijtihadnya berbeza dengan ijtihad hakim sebelumnya, dia tidak seharusnya menukar keputusannya hanya kerana perbezaan tersebut, kerana para Sahabat telah pun sepakat atas hal ini.”

Ada pun mengenai surat Umar Bin al-Khattab (ra) kepada Abu Musa di mana Umar berkata,

“Jangan biarkan keputusan yang engkau telah buat semalam, yang kemudian engkau semak semula dan engkau beroleh petunjuk yang benar, mencegahmu untuk kembali kepada kebenaran, kerana kebenaran itu qadim (baru), dan kembali kepadanya adalah lebih baik daripada terus berada dalam kesalahan”

sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam as-Sunan dari Sa’id Bin Abi Burah, dan Khatib al-Baghdadi dalam at-Tarikh dari Sa’id Bin Abihi, dan ad-Daruqutni dari Abu al-Malih al-Hazali – apa yang dimaksudkan dalam surat tersebut ialah, jika engkau telah pun memutuskan kes semalam, kemudian hari ini sedar bahawa keputusanmu adalah salah, maka jangan biarkan hal ini mencegahmu daripada menukar keputusanmu dan memberi penghakiman yang berbeza dalam kes yang lain (yang akan datang). Ia tidak bermakna yang engkau hendaklah membatalkan keputusanmu yang diputuskan semalam.

Atas sebab itu Umar mengatakan, “untuk kembali kepada kebenaran” dan tidak mengatakan agar merubah keputusan (yang sebelumnya). Kembali kepada kebenaran bermaksud meninggalkan pendapat yang salah (yang dahulu) lalu  mengambil pendapat yang benar (untuk yang akan datang).

Oleh yang demikian, surat Umar tersebut tidak boleh dijadikan dalil yang membolehkan suatu keputusan dibatalkan.

Inilah sebabnya dalam Islam tidak ada yang dinamakan sebagai duluan mengikat (judicial precedent). Dengan kata lain, tidak ada ruang untuk menyatakan bahawa dalam kes seperti ini penghakimannya (keputusannya) mesti begini.

Sekiranya satu keputusan telah dibuat dalam satu kes, keputusan tersebut tidak mengikat hakim lain untuk membuat keputusan yang sama. Sebaliknya, dibenarkan untuk membuat penghakiman yang berbeza dalam suatu kes yang sama oleh hakim yang berlainan sekiranya dia mendapati bahawa hukum yang baru lebih betul. Ada pun untuk kes itu sendiri yang telah pun dibuat keputusan atasnya, maka hakim adalah dilarang daripada membatalkannya atau merubahnya.

Inilah sebabnya mengapa dalam Islam tidak ada mahkamah rayuan, atau mahkamah tertinggi apa pun. Proses pengadilan itu sama sahaja, tanpa ada hierarki mahkamah yang berbeza (tidak ada mahkamah yang rendah atau tinggi – pent).

Kaedah syarak menyebut: الاجتهاد لا ينقض بمثله (Suatu ijtihad tidak boleh dibatalkan oleh ijtihad yang lain). Ini bermakna, tidak ada Mujtahid yang boleh bertindak (menjadi) sumber autoriti untuk Mujtahid lainnya. Maka, adalah dilarang untuk mempunyai hierarki mahkamah yang boleh membatalkan penghakiman mahkamah yang lain.

Namun (i) jika seseorang hakim itu tidak memutuskan berdasarkan hukum syarak, sebaliknya memutuskan dengan hukum kufur, atau (ii) membuat keputusan yang bercanggah dengan nas yang qathie daripada al-Quran, Sunnah atau Ijma’ as-Sahabat, atau (iii) bercanggah dengan realiti keadaan, contohnya menjatuhkan hukum qisas ke atas seseorang dalam satu kes pembunuhan, kemudian pembunuh sebenar tampil, maka dalam situasi-situasi seperti ini atau yang seumpamanya, keputusan hakim akan dibatalkan. Ini kerana sabda Rasulullah (saw):

«مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ»

“Siapa saja yang mengada-adakan sesuatu yang baru dalam urusan (agama) kami ini, yang bukan bahagian darinya, ia adalah tertolak” [HR al-Bukhari dan Muslim dari Aisyah (ra)].

Dan diriwayatkan oleh Abu Daud dari Jabir,

«أَنَّ رَجُلاً زَنَى بِامْرَأَةٍ، فَأَمَرَ بِهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجُلِدَ الْحَدَّ، ثُمَّ أُخْبِرَ أَنَّهُ مُحْصَنٌ فَأَمَرَ بِهِ فَرُجِمَ»

“Seorang lelaki berzina dengan seorang perempuan, lalu Nabi (saw) memerintahkan dia disebat. Kemudian diberitahukan bahawa lelaki itu muhsan (telah berkahwin), maka baginda memerintahkan dia direjam.”

Dan Malik Bin Anas meriwayatkan dalam Al-Muwatta’:

(أَنَّ عُثْمَانَ بْنَ عَفَّانَ أُتِيَ بِامْرَأَةٍ قَدْ وَلَدَتْ فِي سِتَّةِ أَشْهُرٍ فَأَمَرَ بِهَا أَنْ تُرْجَمَ فَقَالَ لَهُ عَلِيُّ بْنُ أَبِي طَالِبٍ: لَيْسَ ذَلِكَ عَلَيْهَا إِنَّ اللَّهَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى يَقُولُ فِي كِتَابِهِ [وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلاَثُونَ شَهْرًا‏] [الأحقاف 15] وَقَالَ ‏[وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلاَدَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ] [البقرة 233] فَالْحَمْلُ يَكُونُ سِتَّةَ أَشْهُرٍ فَلا رَجْمَ عَلَيْهَا فَبَعَثَ عُثْمَانُ بْنُ عَفَّانَ فِي أَثَرِهَا فَوَجَدَهَا قَدْ رُجِمَتْ)

“Seorang perempuan yang melahirkan anak yang berumur enam bulan telah dibawa kepada Uthman Bin Affan, lalu Uthman memerintahkan dia direjam. Ali berkata kepada Uthman: Perempuan itu tidak boleh diperlakukan seperti itu (direjam) kerana Allah berfirman di dalam Kitab-Nya, “Mengandungnya sampai menyapihnya adalah tiga puluh bulan” [Al-Ahqaf (46): 15] dan Ali meneruskan (dengan membaca ayat), “Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan” [Al-Baqarah (2): 233] bererti tempoh mengandung itu boleh jadi enam bulan, dan dia tidak boleh direjam. Uthman lalu menghantar seseorang untuk menemui perempuan tersebut namun mendapati yang perempuan itu telah pun direjam.”

Dan Abd ar-Razzaq melaporkan dari Imam ats-Tsauri, “Sekiranya seseorang hakim itu memutuskan berlawanan dengan Kitabullah atau Sunnah Rasul-Nya, atau berlawanan dengan sesuatu yang telah disepakati, maka hakim selepasnya harus membatalkannya.”

Orang yang berkuasa untuk membatalkan penghakiman tersebut ialah Qadhi Madzalim. [Tamat]

Kesimpulan

Demikianlah kedudukan hukum Islam mengenai mahkamah yang ternyata tidak ada hierarkinya sebagaimana dalam sistem demokrasi-sekular sekarang. Sangat jelas juga bahawa seseorang hakim itu tidak boleh membatalkan keputusannya sendiri, atau membatalkan keputusan hakim yang lain kecuali dalam tiga keadaan yang telah dinyatakan. Justeru, jika mana-mana kes dibicarakan menurut hukum Islam, termasuklah kes yang melibatkan golongan kayangan, insya Allah ia dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat tanpa perlu melalui proses mahkamah yang bertingkat-tingkat dan berbelit-belit, yang bukan sahaja membuang masa, merumitkan, melelahkan dan terdedah kepada ketidakadilan, malah lebih buruk daripada semua itu, ia bertentangan dengan Islam.

Wallahu a’lam wa ahkam.