Wujudkah Pengampunan Dalam Perundangan Islam (Siri 1/2)

Isu pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Razak menjadi berita yang sangat sensasi, bukan sahaja selepas beliau diberi diskaun 50% hukuman beberapa hari lepas, tetapi sebelum itu lagi, iaitu sejak keputusan Mahkamah Persekutuan tidak berpihak kepada beliau. Walaupun Najib tidak diampuni sepenuhnya, namun nafas lega tetap boleh ditarik oleh bekas Perdana Menteri itu dengan pengurangan tempoh penjara daripada dua belas kepada enam tahun, dan pengurangan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Kehangatan perbincangan di sosmed tidak putus-putus hingga sekarang oleh pihak-pihak yang menyokong mahupun menentang Najib. Walaupun terpaksa menghormati keputusan Lembaga Pengampunan, UMNO dilihat sangat tidak berpuas hati apabila “bos mereka” tidak mendapat pengampunan penuh. Manakala suara-suara yang mengkritik dan menyindir PMX yang selama ini kononnya tegar menentang rasuah, juga tidak kurang lantangnya. Pendek kata, tidak ada satu pihak pun yang benar-benar berpuas hati dengan keputusan Lembaga Pengampunan.

Tanpa perlu larut dalam polemik yang tidak berkesudahan tersebut, satu persoalan yang seharusnya diketahui oleh umat Islam ialah, apakah wujud dalam Islam, pengampunan (atau pengurangan hukuman) oleh pihak ketiga, setelah seseorang itu diputuskan bersalah oleh mahkamah. Jika dalam sistem sekular sekarang, seseorang boleh sahaja bebas dan suci daripada segala dosa setelah mendapat pengampunan, apakah hal yang sama wujud dalam sistem perundangan Islam?

Mahkamah Dalam Islam

Sebelum menjawab persoalan tersebut, kita perlu mengetahui dan membezakan terlebih dahulu mengenai jenis-jenis mahkamah dan jenis-jenis kesalahan yang terdapat dalam Islam. Dalam Islam, mahkamah terbahagi kepada tiga iaitu Mahkamah Madzalim, Mahkamah biasa (atau dikenali juga sebagai Mahkamah Khusumat), dan Mahkamah Hisbah.

Mahkamah Madzalim ialah mahkamah yang mengendalikan soal pemerintahan dan persengketaan antara rakyat dan pemerintah (termasuk pegawai negara). Mahkamah Khusumat ialah mahkamah yang mengendalikan persengketaan atau perselisihan di antara sesama anggota masyarakat baik dalam masalah muamalat atau uqubat. Manakala Mahkamah Hisbah ialah mahkamah yang mengendalikan apa jua masalah penyimpangan yang melanggar hak jemaah (orang ramai). Inilah tiga jenis mahkamah dalam Islam yang mana Islam tidak pernah mengenal atau mengiktiraf dualisme perundangan (kewujudan mahkamah sivil dan mahkamah syariah) seperti yang ada sekarang.

Dalam Islam, apabila isunya melibatkan pemerintah (samada Khalifah sendiri atau siapa sahaja yang menjawat jawatan yang terkait dengan pemerintahan), atas kesalahannya dalam menjalankan pemerintahan, maka Mahkamah Madzalim-lah yang mempunyai bidang kuasa ke atasnya. Istimewanya Mahkamah Madzalim ialah, ia tidak perlu menunggu adanya aduan daripada rakyat atau daripada mana-mana pihak untuk ia membicarakan kesalahan pemerintah. Qadhi Madzalim mempunyai bidang kuasa untuk memulakan kes apabila ia melihat pemerintah telah melakukan kezaliman, kelalaian atau menyimpang dari Islam atau melanggar mana-mana hukum syarak. Qadhi Madzalim berkuasa untuk memecat Khalifah atau orang yang dibicarakan apabila terbukti orang itu telah melakukan kesalahan.

Dalam keadaan di mana seseorang itu tidak lagi menjawat jawatan pemerintahan, tetapi kesalahan yang dilakukannya terjadi semasa dia berada dalam pemerintahan, dan terkait dengan pemerintahan, maka Mahkamah Madzalim tetap mempunyai bidang kuasa ke atasnya, dan Qadhi Madzalim akan memutuskan kes tersebut bergantung kepada kesalahan yang telah dilakukan, sesuai dengan ketentuan syarak.

Setelah Qadhi Madzalim membicarakan dan memutuskan kes tersebut, maka keputusannya adalah mengikat dan wajib dilaksanakan serta-merta, dan tidak ada lagi rayuan ke peringkat yang lebih tinggi, kerana tidak wujud hierarki mahkamah dalam Islam. Jadi, kes dikira selesai apabila mahkamah telah memutuskannya, dan pesalah akan menjalani hukuman hingga selesai.

Wujudkah Pengampunan Dalam Islam?

Dalam keadaan tidak wujud hierarki mahkamah, orang mungkin bertanya apakah boleh seseorang hakim itu sendiri mengampuni (memaafkan) pesalah, atau wujudkah satu keadaan di mana adanya pihak ketiga yang boleh mengampuni pesalah?

Untuk menjawab persoalan ini, kita mestilah terlebih dahulu memahami jenis-jenis uqubat (punishment) yang terdapat dalam Islam. Uqubat terbahagi kepada empat iaitu jinayat, hudud, ta’zir dan mukhalafat. Setiap jenis uqubat tersebut berbeza antara satu dengan yang lain, dan implikasi hukumnya juga berbeza, tergantung kepada jenis kesalahannya.

Jinayat ialah hukuman atas kesalahan yang melibatkan nyawa (pembunuhan) atau kecederaan terhadap anggota badan yang mewajibkan qisas atau diyat, dan terdapat hak manusia di dalamnya. Allah (swt) memberikan hak kepada wali/waris untuk membuat pilihan samada mengampuni, mengenakan diyat atau memaafkan pesalah jinayat.

Hudud ialah hukuman atas kesalahan atau kemaksiatan yang telah ditetapkan had (kadar)nya oleh syarak dan terdapat hak Allah (swt) di dalamnya. Seseorang qadhi tidak boleh mengampuni, meringankan atau memberatkan hukuman hudud, tetapi wajib mengikut had yang telah ditentukan oleh syarak.

Ta’zir ialah hukuman atas kesalahan atau kemaksiatan yang di dalamnya tidak dinyatakan had atau kifaratnya. Hukuman untuk kesalahan ta’zir boleh jadi dari seringan-ringan bentuk seperti nasihat (bagi kesalahan ringan) sehingga ke hukuman bunuh (bagi kesalahan berat), tergantung kepada ijtihad qadhi dalam membuat keputusan, yang berbeza dari seorang pesalah dengan pesalah lainnya, dan dari satu kes dengan kes lainnya.

Mukhalafat ialah hukuman atas kesalahan meninggalkan perbuatan yang diperintahkan oleh pemerintah (negara) atau mengerjakan perkara yang dilarang oleh negara. Hukumannya sama seperti ta’zir yang berbeza-beza mengikut berat-ringan kesalahan si pesalah.

Untuk kesalahan jinayat, Islam memberikan hak pengampunan kerana terdapat hak manusia di dalamnya. Dalam kes pembunuhan, Islam memberikan pilihan kepada manusia (ahli waris) sama ada untuk mengenakan qisas (bunuh balas), atau mengambil diyat, atau mengampuni (memaafkan) pesalah. Firman Allah (swt):

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى ۖ الْحُرُّ بِالْحُرِّ وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ وَالْأُنْثَىٰ بِالْأُنْثَىٰ ۚ فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ 

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu qisas berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh; orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba, dan wanita dengan wanita. Maka barangsiapa yang mendapat suatu pemaafan dari saudaranya, hendaklah (yang memaafkan) mengikuti dengan cara yang baik…” [Al-Baqarah (2): 178].

Rasulullah (saw) bersabda,

اَلْعَمْدُ قُوِدَ إِلاَّ أَنْ يَعْفُوَ وَالِيِ الْمَقْتُوْلِ

“Pembunuhan sengaja wajib dikenakan qisas kecuali diampuni oleh wali (waris) orang yang terbunuh.”

Dari Abu Syuraih al-Khaza’iy, ia berkata, “Saya mendengar Rasulullah (saw) bersabda:

مَنْ أُصِيْبَ بِدَمٍّ أَوْ خَبْلٍ (وَالْخَبْلُ الْجِرَاحُ) فَهُوَ بِالْخِيَارِ بَيْنَ إِحْدَى ثَلاَثٍ: إِماَّ أَنْ يَقْتَصَّ، أَوْ يَأْخُذَ الْعَقْلَ، أَوْيَعْفُوَ، فَاِنْ أَرَادَ رَابِعَةً فَخُذُوْا عَلَى يَدَيْهِ

“Barangsiapa ditimpa pembunuhan atau khubl (al-khubl adalah al-jarah – penganiayaan badan), maka ia berhak memilih salah satu dari tiga hal; melaksanakan haknya (qisas), mengambil diyat, atau memaafkan. Maka jika dia berkehendak yang keempat ambillah dari kedua tangannya.”

Diriwayatkan dari Imam Tirmizi dari ‘Amru bin Syu’aib dari bapanya dari datuknya, bahawa Rasulullah (saw) bersabda,

مَنْ قَتَلَ مُتَعَمِّدًا دُفِعَ اِلَى أَوْلِيَائِ الْمَقْتُوْلِ، فَاِنْ شَاءُوْا قَتَلُوْهُ، وَإِنْ شَاءُوْا أَخَذُوْا الدَّيْةَ، وَهِيَ ثَلاَثُوْنَ حِقَّةً، وَثَلاَثُوْنَ جَذْعَةً، وَاَرْبَعُوْنَ خَلِفَةً، وَمَاصُوْلِحُوْا عَلَيْهِ فَهُوَ لَهُمْ

”Barangsiapa membunuh dengan sengaja, maka keputusannya diserahkan kepada wali-wali pihak terbunuh, mereka berhak membunuh balas (qisas), atau mengambil diyat yakni 30 unta dewasa, 30 unta muda, dan 40 unta yang sedang bunting, dan mereka juga berhak memaafkannya.”

Untuk kes pembunuhan, Rasulullah (saw) menggalakkan pemaafan daripada si waris. Dari Anas, ia berkata:

رُفِعَ اِلَى رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمْرٌ فِيْهِ الْقِصَاصُ إِلاَّ أَمَرَ فِيْهِ بِالْعَفْوِ

“Tidaklah suatu perkara yang di dalamnya terdapat qisas diajukan kepada Rasulullah (saw), kecuali baginda (saw) memerintahkan untuk memberi maaf.”

Hakim hendaklah memberikan pengampunan (pemaafan) terhadap si pembunuh (atau pesalah jinayat) dengan pemaafan sepenuhnya apabila adanya pemaafan dari sahibul haq (pemilik hak – wali/waris). Perlu diperhatikan bahawa hak untuk memberi pemaafan itu ada pada waris, bukannya pada hakim. Hakim hanya memberikan keputusan tersebut terhadap pesalah, hanya setelah adanya pemaafan daripada waris.

Kesimpulannya, pengampunan wujud dalam kes jinayat di mana Islam memberikan pilihan untuk berbuat demikian kepada waris. Hak pengampunan tersebut bukan berada pada hakim, dan bukan juga berada pada pihak lain (pihak ketiga). Jadi, tidak boleh ada lembaga pengampunan atau pihak mana pun, yang boleh mengampuni pesalah jinayat.

Bersambung…