Hilangnya Khilafah: Berjuang Atau Pasrah?

Oleh: Hidayah Muhammad

Mukadimah

Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kalian agama kalian (Islam), dan telah Aku lengkapkan atas kalian nikmat-Ku, dan telah Aku redhai Islam sebagai agama bagi kalian” [TMQ al- Ma’idah (5): 3]

Ayat ini menandakan bahawa telah sempurna Islam sebagai ad-diin (cara hidup) sekaligus mu’alajah lil masyakil insan (penyelesaian terhadap masalah manusia). Kesempurnaan Islam dapat dilihat kerana ia diturunkan untuk mengatur seluruh aspek kehidupan manusia. Pertama, hubungan manusia dengan al-Khaliq seperti akidah (rukun iman) dan ibadah (rukun Islam). Kedua, hubungan manusia dengan diri sendiri seperti akhlak, berpakaian dan makanan. Ketiga, hubungan manusia dengan manusia lain seperti muamalat dan uqubat.

Dalam aspek pertama dan kedua, sebagai individu kita mampu dan boleh mengamalkan ajaran Islam. Namun untuk aspek yang ketiga, peranan negara (Khilafah) sangatlah penting. Aspek muamalat merupakan cakupan yang terbesar dalam Islam kerana di dalamnya terdapat hukum terkait pemerintahan, sosial, ekonomi, pendidikan dan polisi luar negeri. Persoalannya, adakah kehidupan kita kini diatur dengan sistem Islam sehingga kita dapat mengamalkan Islam secara menyeluruh (kaffah) sepertimana yang diperintahkan Sang Pemilik Alam iaitu Allah SWT?

Tanpa Khilafah.

Runtuhnya Khilafah 100 tahun yang lalu, menjadi malapetaka terbesar bagi kaum Muslim, persis anak kecil yang terkapai-kapai apabila kehilangan ibu yang selama ini menjadi penjaga dan pelindung.  Kaum Muslimin menjadi mangsa kezaliman musuh-musuh Islam dan mereka terpecah-belah kerana dipisahkan oleh sempadan negara palsu ciptaan Barat sehingga menjadi negeri-negeri kecil yang lemah.

Ketiadaan Khilafah menyebabkan banyak hukum-hukum Islam tidak diterapkan terutama dalam aspek muamalat. Akibatnya kaum Muslimin mengalami kemunduran dalam setiap aspek kehidupan. Buktinya dapat dilihat apabila idea-idea kebebasan yang lahir daripada sistem demokrasi menjadikan akhlak masyarakat kian rosak. Dalam bidang ekonomi pula, sebahagian besar negeri kaum Muslimin menjadi negara termiskin di dunia. Bukan itu sahaja, polisi pendidikan yang berasaskan sekular telah mencetak anak-anak generasi kini menjadi generasi yang jauh dari keperibadian Islam. Sungguh inilah realiti yang terjadi di tengah-tengah kehidupan kaum Muslimin apabila runtuhnya Khilafah. Rasulullah SAW bersabda,

Sesungguhnya, simpulan-simpulan Islam itu akan terlepas satu demi satu. Setiap kali simpulan terlepas orang akan bergantung pada simpulan yang berikutnya. Simpulan pertama yang terlepas ialah al-hukm (pemerintahan/hukum) dan yang terakhir adalah solat.” [HR Ahmad].

Khilafah: Kewajipan Bagi Umat Islam

Penyelesaian bagi setiap masalah kaum Muslimin adalah kembali kepada Islam itu sendiri. Jadi, faktor utama mengapa kaum Muslimin memerlukan Khilafah ialah pertama, Khilafah adalah satu-satunya wadah bagi penerapan Islam secara menyeluruh. Kedua, Khilafah sahaja yang mampu menjamin kesejahteraan bukan hanya bagi kaum muslim malah non-muslim dan seluruh makhluk yang ada di muka bumi ini. Hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah apabila Islam diterapkan secara menyeluruh ia menjadi rahmatan lil alamin. Ketiga, hanya dengan Khilafah, seluruh negeri kaum Muslimin mampu disatukan.

Khilafah itu milik seluruh kaum Muslimin sehingga setiap Muslim dituntut untuk menegakkannya semula. Berdasarkan dalil-dalil dari Al-Quran, Hadis dan ijmak sahabat RA. Firman Allah SWT, “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah, taatilah Rasul, dan ulul amri di antara kalian.” [TMQ An-Nisa’ (4): 59]. Allah memerintahkan kita untuk mentaati ulul amri. Berdasarkan dalalah al-iltizam, perintah mentaati ulil amri juga merupakan perintah mewujudkannya agar semua kewajipan tersebut terlaksana. Dengan demikian, dalam ayat tersebut juga terdapat petunjuk mengenai wajibnya mewujudkan ulil amri (khalifah) dan sistem syarie-nya (Khilafah).

Perkataan ‘Khilafah’ banyak dinyatakan dalam hadis. Salah satunya, “Sesungguhnya (urusan) agama kalian berawal dengan kenabian dan rahmat, lalu akan ada Khilafah dan rahmat.” (HR Al-Bazzar). Kata ‘Khilafah’ dalam hadis ini memiliki pengertian sistem pemerintahan, pewaris pemerintahan kenabian. Ini dikuatkan oleh sabdanya SAW, “Dahulu, Bani Israil dipimpin dan diurus oleh para nabi. Jika para nabi itu telah wafat, mereka digantikan oleh nabi yang baharu. Sungguh, setelah aku tidak ada lagi seorang nabi, tetapi akan ada para khalifah yang banyak.” (HR Bukhari dan Muslim).

Para sahabat RA telah bersepakat bahawa mengangkat seorang Imam (Khalifah) setelah zaman kenabian berakhir adalah wajib. Bahkan, mereka menjadikan upaya mengangkat Imam sebagai kewajipan yang paling penting. Menurut Imam Ath-Thabari dalam Tarikh al-Umam wa al-Muluk, generasi awal Islam yang hidup pada kurun terbaik telah memberikan perhatian besar terhadap urusan kekhalifahan. Ini menunjukkan bahawa Khilafah adalah wajib.

Sangat jelas berdasarkan pelbagai dalil bahawa Khilafah adalah ajaran Islam. Khilafah adalah sebahagian daripada syariat Allah Taala. Menegakkannya adalah perintah Allah dan RasulNya yang wajib ditunaikan oleh umat Islam.

Khatimah

Menegakkan semula Khilafah bukan suatu kerja yang mudah bahkan payah kerana banyak halangan dan rintangan yang akan dihadapi. Jika dahulu Rasulullah SAW dan para sahabat RA telah berusaha selama 13 tahun berdakwah dalam rangka untuk mendirikan negara Islam pertama di Madinah dengan bermacam-macam halangan dan rintangan yang dihadapi serta pengorbanan yang dilakukan sehingga nyawa menjadi taruhan. Kini, selepas 100 tahun keruntuhan Khilafah, adakah kita masih ingin hidup dalam cengkaman sistem kufur yang berterusan membunuh, menzalimi, menindas dan merompak harta kaum Muslimin? Bangkitlah kaum Muslimin daripada tidur yang panjang. Kita ada kekuatan yang besar jika kita bersatu di bawah payung Daulah Islam. Namun kita perlu membuat pilihan  untuk  berjuang dengan susah payah, hanya menyokong atau diam dan pasrah tanpa berbuat apa-apa. Firman Allah SWT,

Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman, selain daripada mereka yang ada keuzuran dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang duduk dengan satu kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan  balasan  yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan oramg-orang yang berjuang atas orang yang tinggal duduk dengan pahala yang amat besar.” [TMQ: An-Nisa(4); 95]

Waallahu A’lam

Rujukan:

  1. Terjemahan Al-Quran
  2. https://muslimahhtm.com/2023/02/13/kewajipan-mendirikan-khilafah/
  3. https://muslimahhtm.com/2024/01/17/mahkota-kewajipan/