Aleppo dibantai: hilangnya kemanusiaan, Khilafah sebagai penyelesaian

Untuk ke sekian kalinya dunia menyaksikan kezaliman Basyar yang melampaui batas kemanusiaan. Kali ini diktator berhati binatang itu melancarkan siri pengeboman di Aleppo meski pun pada awalnya telah bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata dalam konflik yang telah berlangsung lebih daripada lima tahun ini.

Atas alasan mengebom kedudukan penentangnya, Basyar sebenarnya telah mengebom sasaran-sasaran awam, termasuklah serangan udara yang ditujukan ke atas Hospital al-Quds yang telah mengorbankan ramai pesakit, doktor dan lain-lain kakitangan hospital. Menurut sumber daripada pertubuhan Medicins Sans Frontieres (MSF), 50 orang dilaporkan terkorban. Basyar yang dahulu pernah menerima latihan dan ditauliahkan sebagai seorang doktor mata sebelum diangkat menjadi Presiden Syria, kini ternyata telah kehilangan segala hati perutnya.

Di samping itu, helikopter-helikopter rejim Basyar turut menggugurkan tong-tong berisi ledakan dan serpihan tanpa mempedulikan kedudukan orang awam yang berada di kawasan tersebut semenjak mereka melancarkan serangan pada minggu lalu. Di samping kawasan perumahan, masjid-masjid turut sengaja dijadikan sasaran oleh tentera rejim sehinggakan masjid-masjid terpaksa membatalkan solat Jumaat akibat ancaman pengeboman oleh helikopter dan pesawat rejim.

Basyar masih dapat mempertahankan kekejamannya hasil sokongan Rusia, Iran serta sekutunya Hezbollat yang turut bersekongkol dalam melakukan kezaliman di luar batas kemanusiaan ini.

Sungguh malang apabila para penguasa Muslim terus berdiam diri dan membiarkan sahaja si Basyar meratah rakyatnya hidup-hidup. Tentera kaum Muslimin juga masih selesa berehat di kem-kem sambil menyaksikan sahaja segala kezaliman yang dilakukan Basyar.

Umat Islam perlu sedar bahawa para penguasa yang ada sudah tidak lagi mempedulikan mereka, malah sebaliknya penguasa ini sering bersekongkol dengan musuh untuk membantai rakyatnya sendiri dan mereka hanya menjaga kepentingan musuh Islam.

Selagi penguasa yang ada sekarang masih bertakhta, maka selagi itulah nasib umat Islam tidak akan terbela. Justeru, umat ini sudah tidak boleh mengharapkan mereka dan perlu bangkit untuk mengembalikan semula institusi kekhilafahan yang suatu ketika dahulu pernah melindungi umat Islam.

Dengan usaha gigih dari kita semua, semoga Allah menyegerakan kembalinya Khilafah Rasyidah untuk kali kedua, yang Insya Allah akan mengeluarkan saudara-saudara kita di Aleppo dan lain-lain wilayah yang sedang tertindas, dari segala penderitaan.

“Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat” [TMQ al-Baqarah (2): 214].