Malaysia dipilih terajui ECOSOC?! Bukan Terpilih Sebagai Pusat Untuk Berdirinya Khilafah

Malaysia dipilih terajui ECOSOC

NEW YORK: Malaysia telah dipilih secara sebulat suara sebagai presiden baru Majlis Ekonomi dan Sosial (ECOSOC) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Pada perhimpunan yang dihadiri oleh duta-duta dan diplomat daripada 54 buah negara anggota ECOSOC itu, wakil tetap Malaysia ke PBB, Datuk Hamidon Ali, telah dipilih sebagai presiden yang ke-66 pada majlis berkenaan.

Presiden ECOSOC sebelumnya, Sylvie Lucas, wakil tetap Luxembourg, memulakan sesi dengan merayu untuk membantu negara yang musnah dilanda gempa bumi, Haiti. 

Asia telah sepakat dalam pencalonan Hamidon untuk jawatan presiden ECOSOC itu, mengikut dasar giliran dari segi geografi.

Dalam kenyataan pertamanya selepas mengambil alih jawatan itu, Hamidon mengucapkan terima kasih kepada Lucas di atas “sumbangan dan kepimpinan yang luar biasa” terhadap kerja-kerja ECOSOC.

“Beliau telah menetapkan standard yang tinggi yang saya harap dapat mengikut jejaknya. Kita mempunyai beberapa cabaran penting di hadapan kita. Saya melihatnya sebagai peluang untuk dimanfaatkan dan mewujudkan momentum baru untuk pembangunan,” katanya.   ECOSOC membantu Perhimpunan Agung PBB dalam mempromosikan pembangunan sosial dan ekonomi antarabangsa. – Bernama

Berita Harian: 200110

 


Malaysia dipilih terajui ECOSOC?! Bukan Terpilih Sebagai Pusat Untuk Berdirinya Khilafah

PBB yang diketahui umum sebagai pertubuhan yang menjadi wasilah bagi kuasa besar kapitalisme seperti AS untuk meneruskan agenda penjajahannya terhadap negara-negara lain sekali lagi telah berjaya memperdaya dan menipu negeri-negeri umat Islam khususnya, dengan memberikan jawatan presiden bagi mengetuai Majlis Ekonomi dan Sosial (ECOSOC) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kepada Malaysia. Maka dengan rasa bangganya, wakil tetap Malaysia ke PBB, Datuk Hamidon Ali menerima jawatan tersebut dan dengan penuh iltizam berazam untuk menunjukkan prestasi yang baik semasa memikul tugasan tersebut. Inilah kelemahan yang melingkari kehidupan umat Islam khususnya para pemimpin politik mereka. Telah terbukti di depan mata bahawa kewujudan dan kehadiran PBB pada hari ini tidak membawa apa-apa makna dalam dunia umat Islam khususnya dan seluruh dunia umumnya. Lihatlah apa yang dialami oleh umat Islam di Iraq, Palestin, Afghanistan dan di seluruh belahan dunia saat ini. Yang silih berganti hanyalah pengerusinya tetapi wajah dan watak PBB tetap sama iaitu sebagai wasilah penjajahan bagi AS.

Begitu banyak rekod kegagalan demi kegagalan yang disandang oleh PBB yang kita boleh senaraikan untuk membuktikan bahawa umat Islam dan dunia tidak layak bergantung kepada PBB sebenarnya. Sebagai negara umat Islam, adalah haram hukumnya bagi negeri-negeri umat Islam hari ini bernaung di bawah payung buruk PBB. Dengan bergabungnya negeri-negeri umat Islam di bawah panji-panaji pertubuhan kufur seperti PBB ini, maka sudah pasti mereka akan terikat dengan undang-undang kufur yang diterapkan oleh PBB. Sungguh hina apa yang dilakukan oleh para pemimpin sekular umat Islaam hari ini. Mereka menggadaikan akidah mereka kepada keputusan dan ketetapan PBB. Hanya para pemimpin sekular sahaja yang mengharapkan bantuan dan talian hayat dari PBB yang telah terbukti tidak pernah peduli dengan nasib yang menimpa umat Islam. Sudah sampai masanya umat Islam menolak para pemimpin sekular ini yang begitu taat dan patuh bernaung di bawah kepompong penipuan yang dimainkan oleh PBB itu.