[NF128] Muslimah Pembentuk Generasi Bercita-cita Tinggi

Penulis: Hamimah Karmidi

Mukaddimah

Saban hari menyorot perjuangan generasi muda di Gaza, timbul seribu satu persoalan. Keimanan mereka amat tinggi, mereka generasi pejuang. Amat berbeza apabila dibandingkan dengan generasi Muslim belahan dunia lain, terutamanya di tanah air sendiri. Bak langit dan bumi. Apakah Islam mempunyai resepi khusus dalam melahirkan generasi pejuang tatkala Khilafah Islamiyyah gah memerintah dunia selama 1300 tahun?

Kualiti Generasi Muslim

Jika ditelusuri sejarah kegemilangan Islam, dapat dilihat lahirnya generasi hebat dalam setiap masa keemasan pemerintahan Islam. Mereka sangat mencintai ilmu, memiliki semangat ruhiyah yang tinggi untuk memperjuangkan Islam dan mempunyai cita-cita tinggi dalam hidup.

Antaranya adalah tokoh awal Islam iaitu Abdullah bin Zubair. Beliau merupakan sosok penting dalam sejarah Islam kerana keberaniannya melawan musuh Islam serta sangat tegas dalam memperjuangkan Islam dan kebenaran. Beliau berjaya menakluki wilayah Afrika dan menunjukkan kejayaan Islam dalam menyebarkannya ke seluruh penjuru dunia. Tidak hanya itu, beliau juga meriwayatkan 33 hadis Rasulullah SAW dan juga merupakan salah seorang daripada sepuluh orang yang dijanjikan syurga.

Seterusnya Sultan Muhammad al-Fatih, generasi bani Uthmaniyyah yang berjaya mengukir namanya dalam sejarah emas dunia dengan prestasi dan pencapaian yang tidak pernah ada pada masanya atau sebelumnya, prestasi yang jauh melampaui zamannya. Beliau mempunyai taqarrub ilallah yang tinggi serta keperibadian yang efektif dan utuh yang mendorong beliau mencapai cita-cita yang tinggi dalam menakluk Kostantinopel menjadi ibu kota Negara Uthmaniyyah.

Namun, kualiti generasi sekarang terutama di tanah air kita sendiri seperti jauh panggang dari api jika dibanding dengan generasi terdahulu. Mereka dibiarkan dalam keadaan lemah bukan hanya dalam hal kekayaan material, malah yang lebih berbahaya daripada itu iaitu kelemahan dalam aspek mental dan spiritual.

Ditambah lagi dengan pendedahan yang terlampau kepada budaya hedonisme yang memfokuskan hidup kepada slogan Fun (keseronokan), Food (makanan) dan Fashion (pakaian) sehingga hilang fokus dan lemah dalam menggunakan sepenuhnya potensi diri untuk memperjuangkan agama demi kemenangan Islam. Disebabkan pengaruh ini juga mereka semakin kurang mencintai ilmu. Berdasarkan kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan, seramai 10,160 daripada 383,685 pelajar tidak mengambil SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) pada tahun 2023.  Jika benarlah dakwaan sesetengah pihak bahawa generasi kini tidak lagi minat menuntut ilmu kerana pelbagai jalan pintas untuk mendapatkan wang, maka rugilah umat di masa hadapan.

Peranan Ibu Muslimah Pembentuk Generasi Hebat.

Di sinilah peranan ibu Muslimah diperlukan dalam membentuk anaknya agar menjadi generasi pejuang yang bercita-cita tinggi dalam menata peta politik dunia. Ibu Muslimah diingatkan oleh Allah SWT dalam firmanNya, “Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, …” [TMQ An-Nisa (4): 9].

Langkah awal perlulah bermula daripada dasar iaitu mengembalikan kesedaran identiti umat dan generasi sebagai umat yang satu dengan akidah Islam seterusnya membangun kesedaran ruang umat dengan visi geopolitik (cita-cita jihad) Islam. Secara ringkasnya strategi pengasuhan anak perlulah dilakukan dengan matang. Bukan hanya berasaskan aqidah Islam sahaja tetapi perlu juga berasaskan politik Islam. Dekatkan diri anak-anak dengan persoalan umat dan pemikiran politik Islam dengan cara mengajak anak menonton berita tentang umat, biasakan telinga mereka mendengar perbincangan tentang umat dan kenegaraan.

Muhammad al-Fatih dan Shalahuddin al-Ayyubi membesar dalam persekitaran di mana perbincangan tentang jihad, umat dan negara mengelilinginya. Cara ini mampu membentuk kesiapsiagaan untuk bertahan dalam lingkungan yang bertembung dengan nilai-nilai yang mereka yakini dan akhirnya mereka mampu memenangi peperangan, baik perjuangan pemikiran mahupun di medan perang fizikal. Maka identiti seorang pejuang dan penakluk dapat dibentuk sejak kecil.

Seterusnya adalah memberi kefahaman bahawa Islam adalah sebuah ideologi. Penguasaan kapitalisme dan sekularisme telah meninggalkan kesan hitam pada generasi. Mereka masih mempercayai Islam sebagai agama mereka, tetapi menjauhkan peraturan Islam dari kehidupan mereka. Berpuas hati dengan melaksanakan syariat berkaitan ibadah, tetapi tidak mempedulikan pelaksanaan muamalah, akhlak atau siyasah. Sedangkan Rasulullah SAW dan sahabat baginda memberi contoh bahawa Islam mewajibkan setiap Muslim menerapkan Islam dalam setiap aspek kehidupan, baik berkaitan individu, keluarga, peraturan sosial yang dilaksanakan oleh negara mahupun hubungan dengan bangsa lain.

Untuk melahirkan generasi pejuang, ibu Muslimah haruslah memupuk anak untuk mempunyai himmah ‘aaliyah (tekad yang tinggi). Hidup anak akan difokuskan pada cita-cita tertinggi yang tertumpu kepada urusan-urusan mulia iaitu menuntut ilmu, ibadah, mencari kebenaran dan dakwah. Anak yang mempunyai himmah ‘aliyah tidak akan melakukan perkara yang menyalahi perintah Allah dan RasulNya. Mereka memastikan tiada pemikiran, pandangan, hukum dan kaedah mereka melanggar perintah Allah dan RasulNya walau sedikit pun. Mereka akan benar-benar mengikut cara perjuangan Rasulullah. Oleh sebab itu anak yang mempunyai himmah ‘aaliyah tidak akan melakukan sesuatu yang sia-sia kerana semangatnya yang tinggi (nafsun tawwaqah) sentiasa mendorongnya untuk mencapai perkara-perkara yang ideal dan tinggi.

Khatimah

Melahirkan generasi pejuang dan bercita-cita tinggi adalah satu kewajipan dan amanah agar syiar Islam dapat dikembalikan. Jadi apakah kehebatan para ibu dalam mendidik generasi pejuang tinggi ini? Tentu sahaja mereka mempamerkan cita-cita jihad (geopolitik) bersama cita-cita keibubapaan (parenting) dan berjaya menyatu di setiap sendi kehidupan dengan politik Islam, amat luar biasa!

RUJUKAN:

  1. https://alwaie.net/baiti-jannati/membentuk-generasi-pejuang/
  2. https://narasipost.com/motivasi/06/2022/himmah-aaliyah-penuh-berkah/
  3. https://mykhilafah.com/sn271-sejarah-emas-umat-islam-di-bawah-naungan-khilafah/
  4. https://muslimahhtm.com/2024/03/27/sultan-muhammad-al-fatih/
  5. https://muslimahhtm.com/2024/04/28/kelahiran-abdullah-bin-zubair/
  6. https://muslimahhtm.com/2023/09/11/ibu-generasi-penakluk/
  7. https://mykhilafah.com/sn380-demokrasi-melahirkan-hedonisme/
  8. Fika Komara. (2016). Menjadi Muslimah Negarawan. Jawa Tengah: Granada Publisher.