[NF129] Childfree Bertentangan Dengan Fitrah Manusia

Oleh: Hidayah Muhammad

Muqaddimah

Secara fitrahnya, setiap pasangan yang berkahwin pasti menginginkan kehadiran cahaya mata dalam kehidupan berkeluarga. Ini kerana anak adalah penyejuk hati dan penenang jiwa bagi setiap pasangan. Firman Allah SWT,

“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa. [TMQ: Al-Furqan (25): 74]

Namun, terdapat segelintir pasangan yang merasakan kehadiran anak dalam kehidupan suami isteri tidak lagi menjadi sesuatu yang diidam-idamkan kerana anak dianggap sebagai beban malah menyekat kebebasan. Mereka dengan sengaja memilih tidak mahu mempunyai anak.  Inilah yang dikenal dengan konsep childfree.

Merungkai Konsep Childfree

Childfree bermaksud pilihan individu atau pasangan untuk tidak mahu memiliki anak, keputusan ini dibuat sebelum atau semasa perkahwinan. Berbeza dengan istilah childless yang bermaksud individu atau pasangan yang ingin memiliki anak tetapi tidak dapat atas faktor kesihatan atau sebab-sebab biologi dan sebagainya.

Beberapa faktor mempengaruhi pasangan yang memilih childfree. Pertama, faktor ekonomi. Membesarkan anak memerlukan kos yang besar termasuk perbelanjaan untuk pendidikan, kesihatan, dan keperluan harian. Kedua, gaya hidup yang inginkan kebebasan. Ketiga, lebih mementingkan kerjaya. Keempat, faktor kesihatan.

Adakah faktor-faktor ini relevan sehingga konsep childfree boleh menjadi pilihan? Bagi menjawab persoalan ini, wajib melihat dari sudut pandang Islam kerana Islam adalah penyelesaian dalam setiap masalah kehidupan manusia.

Pertama: Jika  tidak ingin memiliki anak kerana faktor ekonomi atau takut dengan kemiskinan, Allah SWT berfirman,

“Dan janganlah kalian membunuh anak-anak kerana takut miskin. Kami akan memberi rezeki mereka dan kalian. Sesungguhnya membunuh mereka adalah dosa yang besar.” [TMQ al-Isra’ (17):31]

Ayat ini secara jelas mencela sikap ragu terhadap rezeki Allah kerana setiap anak sudah dijamin rezekinya oleh Allah SWT. Pasangan suami isteri boleh merancang jarak kelahiran atau jumlah anak dengan perancang kehamilan. Namun keraguan terhadap rezeki Allah adalah dosa.

Kedua: Jika kehadiran anak dianggap akan menyekat kebebasan seorang wanita kerana menganggap mengandung, melahirkan, mengasuh dan mengurus anak sebagai beban, maka perlulah diingat bahawa penat lelah seorang ibu dalam melakukan semua itu menjadi ladang pahala baginya. Seorang ibu perlu mengubah pemikiran dan perlu dimotivasi serta dibantu oleh pasangan (suami) dalam bersama-sama membesarkan anak.

Ketiga: Faktor kerjaya khususnya wanita  yang akan menjadi ibu. Adakah dengan mempunyai anak menjadi penghalang bagi wanita berkerjaya? Tidak, kerana wanita boleh meneruskan kerjayanya dan perlu berkorban supaya kewajipannya sebagai ibu dan pengatur rumah tangga tidak terabai. Di sinilah juga pentingnya kerjasama daripada pasangan supaya masing-masing dapat menjalankan kewajipan dan peranan masing-masing dalam kehidupan rumahtangga.

Keempat: Sesetengah individu mungkin mempunyai masalah kesihatan seperti childhood trauma atau masalah lain yang menghalang mereka mendapatkan anak, atau mereka mungkin risau tentang mewariskan penyakit genetik kepada anak-anak mereka. Dalam masalah ini, Islam tidak mencegah perancangan keluarga dengan maksud menjarakkan kelahiran atas alasan kesihatan ibu dan anak serta masalah lain yang tidak dapat dielakkan.

Memahami Tujuan Pernikahan

Allah telah mencipta manusia dengan potensi hidupnya iaitu berupa akal, naluri (gharizah) dan keperluan jasmani (hajatul ‘udhuwiyah). Inilah fitrah yang ada pada manusia. Termasuk salah satu naluri ialah gharizah nau’ (naluri untuk melestarikan keturunan). Menurut Islam, pernikahan bukanlah atas tuntutan nafsu semata-mata tetapi atas tuntutan agama supaya fitrah manusia iaitu naluri melestarikan keturunan dapat disalurkan dengan cara yang dibenarkan syarak.

Oleh sebab itu, konsep childfree telah menyalahi fitrah penciptaan manusia yang telah diciptakan oleh Allah. Allah SWT berfirman, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan kamu dari tanah, kemudian tiba-tiba kamu (menjadi) manusia yang berkembang biak.”

[TMQ ar-Rum (30): 20].

Khatimah

Dalam Islam, kehadiran anak dalam keluarga dinilai sebagai aset dan penerus generasi dalam menegakkan agama Allah SWT. Kehadiran anak juga  mendatangkan limpahan pahala yang tidak akan terhenti bagi  sekalipun kita sudah meninggalkan dunia yang fana ini. Rasulullah SAW bersabda,

“Jika seseorang meninggal dunia, terputuslah amalannya, kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan,dan doa dari anak yang soleh.” [HR Muslim].

Rujukan

Taqiyuddin An Nabhani, Sistem Pergaulan Dalam Islam

https://malaysiagazette.com/2024/06/29/pilihan-childfree-tidak-islamik/#google_vignette

https://www.topswara.com/2023/02/childfree-menyalahi-fitrah-akidah-dan.html

https://www.fissilmi-kaffah.com/frontend/artikel/detail_umum/37

https://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/5940-bayan-linnas-siri-ke-297-childfree-by-choice-menurut-perspektif-syarak?fbclid=IwZXh0bgNhZW0CMTAAAR1iTuZehFgdy17GY0MVkusILRk-oSUNgyjR5BAMyggGygxd6ruDP0jH0Gs_aem_fFPxK3Zar2t2qNjUyUXWCQ