Hari Malaysia: Wadah Yang Bertentangan Dengan Syarak

KOTA KINABALU 16 Sept. – Rakyat digesa menjadikan sambutan Hari Malaysia sebagai wadah untuk mengukuh dan meningkatkan rasa cinta kepada negara bertuah ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah itu bukan sahaja akan menjamin kesatuan dan penyatuan sedia ada di negara ini, tetapi membolehkan kejayaan yang dibina sejak 47 tahun lalu dipertahankan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Dengan ini kita akan dapat memastikan apa yang bersambung tidak akan putus dan tidak akan membiarkan fahaman ekstremis dan fanatik untuk merungkai segala yang telah dikecapi hari ini,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia 17/09/10

Wadah Buruk, Natijahnya Tak Pernah Elok

Oleh kerana seruan nasionalismelah, Malaysia selama ini tak pernah sunyi dari kekecohan dan perbalahan perkauman. Isu rasisme tak kunjung reda dek gagalnya dasar integrasi nasional dan mekanismenya yang lain. Nasionalisme ternyata gagal menyatukan umat manusia yang berbilang bangsa, agama dan budaya.

Nasionalisme juga turut mengundang jurang ekonomi kaum yang membahayakan keamanan. wujud pembahagian masyarakat yang membina jurang kaya-miskin yang ketara antara kaum. Quota pengagihan kekayaan melalui DEB dan seumpamanya berperanan mencipta ’ketegangan’ ras di sebalik ’keamanan’ yang sering diwar-warkan. Begitu juga dalam dunia pendidikan, biarpun dasar pendidikan kebangsaan menyuarakan falsafah yang agak meyakinkan namun hakikat perlaksanaan dan pencapaiannya masih jelas berbeza antara kaum di Malaysia. Dari semasa ke semasa, nasionalisme terus diserukan. Kini ia menjelajah ke negeri bawah bayu yang merupakan ‘reserved zone’ bagi para pendokong ideologi busuk ini!

Jika Najib tahu, faham dan amal Islam sebenar, nescaya porak-peranda dunia ini akan lenyap. Jika Najib sedar bahawa nasionalisme merupakan racun berbisa yang menjerut leher umat manusia, nescaya sudah lama ia ditinggalkan. Tetapi itulah hakikat masakini, biarpun hancur ia tetap menjadi dakyah puak rakus memimpin umat manusia ke arah kebinasaan dan dalam masa yang sama, meneguk habuan duniawi yang sementara! Layaklah masanya sekarang kepimpinan mereka dihancurkan dan diganti dengan kepimpinan Islam yang bertaqwa kepada Allah serta RasulNya.