Perbezaan Hari Eidul Adha – Kemaksiatan Yang Terang Dan Nyata Oleh Kerajaan Malaysia

salahuddinUsul Tergempar bincang kekeliruan tarikh Aidiladha

KUALA LUMPUR, 19 Nov: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub (gambar) akan mengemukakan usul tergempar agar isu tarikh Aidiladha yang berbeza dua hari dengan tarikh dan masa wukuf di Arab Saudi dibincang di Dewan Rakyat, Isnin ini.  Usul tersebut dikemukakan beliau kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, semalam.  Dalam usul tersebut, beliau yang juga Naib Presiden PAS mendakwa sambutan Aidil Adha pada Rabu lalu “sangat pelik, menimbulkan banyak keraguan, kekeliruan dan masalah kepada umat Islam di negara ini”.  Beliau mengemukakan usul berkenaan bagi menangguhkan mesyuarat di bawah peraturan perkara 18(1).

Berikut ialah usul penuh beliau.

Adalah saya Haji Salahuddin Haji Ayub (Kubang Kerian) dengan ini memohon supaya mesyuarat ini ditangguhkan untuk merundingkan perkara yang pada hemat dan pandangan saya adalah tertentu, perlu disegerakan dan berkepentingan ramai iaitu isu yang berkaitan dengan tarikh sambutan Hari Raya Aidil Adha yang berbeza dua hari daripada tarikh dan masa wukuf yang diisytiharkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Tarikh sambutan Hari Raya Aidil Adha tahun ini yang diisytiharkan jatuh pada hari Rabu, 17 November 2010 adalah sangat pelik dan menimbulkan banyak keraguan, kekeliruan dan masalah kepada umat Islam khususnya di negara ini. Perbezaan dua hari sambutan Aidil Adha di negara ini yang diambil kira daripada tarikh dan masa wukuf di Arafah yang jatuh pada hari Isnin, 15 November 2010 adalah jelas tidak munasabah walaupun dapat kita fahami perbezaan waktu peredaran matahari yang hanya berbeza lebih kurang lima jam di antara Malaysia dan Arab Saudi. Juga adalah dimaklumkan kesan kekeliruan tarikh ini juga mengakibatkan juga bilakah pula berakhirnya hari Tasyrik yang melibatkan masa yang diizinkan menyembelih ibadah qurban. 

Isunya di sini ialah bagaimanakah pihak pengurusan agama Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri menggarap dan mengurus tadbir isu ini? Apakah hujah dan alasan yang diberikan kepada pihak yang bertanggungjawab sebelum pengisytiharan tentang tarikh hari Raya Aidil Adha dibuat? Adakah tidak ada pengurusan, penyelarasan dan perbincangan dibuat untuk menyelesaikan perkara yang sekecil dan semudah ini?

Saya berpandangan dalam era kecanggihan peralatan komunikasi dewasa ini tidak ada alasan untuk kita menyelesaikan isu yang sangat mengelirukan, meresahkan dan membingungkan seperti ini. Memandangkan perkara ini adalah satu isu yang serius, saya mengambil tanggungjawab untuk Dewan Yang Mulia ini membincangkan isu dan meminta pihak Jabatan Perdana Menteri memberikan jawapan dan penjelasan agar perkara seperti ini tidak akan berulang lagi pada masa akan datang.

Sumber: Harakahdaily 19/11/10

Pemerintah Melakukan Maksiat Secara Terang dan Nyata. Dimanakah Suara Ulama?

Sekali lagi pemerintah umat Islam di Malaysia melakukan kemaksiatan kerana mengisytiharkan tarikh sambutan Hari Raya Aidiladha pada hari yang bercanggah dengan nas yang jelas. [Sila rujuk:  SN153 – KENAPA BERBEZA EIDUL ADHA?]. Untuk itu kita dapat menyaksikan bagaimana pemerintah sekular umat Islam di Malaysia hari ini lebih mementingkan hawa nafsu mereka dan membelakangkan hukum syara’ di dalam memutuskan banyak hal berkaitan dengan urusan kehidupan umat termasuklah di dalam penentuan tarikh hari raya. Walaupun kerajaan Malaysia mengetahui tarikh sambutan di negara lain berbeza dan terbukti mereka berdasarkan dalil dan nas yang jelas, namun kerajaan enggan mengikutinya walaupun perbezaan masa dengan negara lain itu tidak sampai pun 5 jam. Mengapa hal ini terjadi? Ini sudah tentulah disebabkan perasaan ashobiyyah yang masih menebal dan mengongkongi sebahagian besar umat Islam terutamanya para pemimpin mereka. Di manakah peranan para ulama negara ini? Mereka berdiam diri terhadap keputusan kerajaan yang dengan terang dan nyata telah melanggar hukum syara’? Adakah mereka takut kehilangan jawatan dan kekayaan? Mereka tidak berani menegur pemerintah kerana golongan ulama ini lebih suka mengambil jalan “lunak” apabila mereka berurusan dengan pemerintah sedangkan hakikatnya belum pasti mereka akan merasa “enak” apabila berhadapan dengan Allah SWT di hari pembalasan kelak.

Apa yang menyedihkan lagi ialah apabila dunia umat Islam hari ini terus terpecah belah kepada negara bangsa dan tidak bersatu di bawah naungan satu Negara, iaitu Daulah Khilafah. Di mana pemerintahan Khilafah akan menjadi kepimpinan umum bagi seluruh kaum muslimin di dunia di dalam menegakkan syariat Islam dan seterusnya mengembangkan dakwah Islam ke segenap penjuru dunia. Untuk itu apa yang pastinya, Khilafah akan menerapkan hukum syara’ di dalam kehidupan individu, masyarakat dan peringkat negara serta akan memikul tugas membawa dakwah dan jihad ke seluruh dunia. Oleh kerana itu sudah tiba masanya umat Islam pada hari ini bergerak untuk menegakkan kembali Khilafah bagi memastikan perkara-perkara seperti di atas tidak terus berlaku. Apakah kita masih mengharapkan pemerintah sekular hari ini akan berubah? Jawabnya mungkin ada yang sudah jelas tetapi apa yang belum jelas ialah bilakah langkah pertama menuju Khilafah itu akan diambil?