Perutusan Eidul Adha 1435H Pimpinan Pusat MHTM

PERUTUSAN EIDUL ADHA 1435H
DARIPADA PIMPINAN PUSAT MUSLIMAH HIZBUT TAHRIR MALAYSIA
 
“BERGEMBIRA KEMBALI KE KAMPUNG HALAMAN”
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh..

Salam Eidul Adha 1435H…

Muslimin dan Muslimat yang semoga dirahmati Allah sekalian,

Kita dapat saksikan sekali lagi pada tahun ini, sambutan Eidul Adha tidak kurang meriahnya daripada sambutan Eidul Fitri. Ada yang berkesempatan dan terpilih untuk menyambutnya di tanah suci sebagai tetamu Allah SWT untuk menunaikan kewajipan haji. Umat Islam di seluruh dunia juga berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah puasa sunat dan berdoa sebanyak-banyaknya di Hari Arafah serta menjalani ibadah korban. Inilah bukti ketaatan umat Islam kepada syariat Allah SWT yang telah menjadikan hari raya ini sebagai hari raya umat Islam. Rasulullah SAW bersabda,

Aku datang kepada kalian sedang kalian memiliki dua hari yang kalian bersenang-senang di dalamnya pada masa Jahiliyyah. Sungguh, Allah telah menggantikan untuk kalian hari yang lebih baik dari dua hari itu iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha[HR Ahmad, abu Daud, an-Nasa’i dan al-Baghawi].

Di kesempatan cuti umum ini pula, kebanyakan perantau di ibu kota berpusu-pusu pulang ke kampung halaman untuk bersama-sama keluarga. Bahagianya terasa apabila dapat berkumpul bersama saudara mara dan sahabat handai di hari yang mulia. Ditambah lagi dengan solat sunat hari raya dan korban secara berjemaah. Silaturrahim semakin erat, ukhwah juga semakin rapat. Namun, kepiluan bakal menjentik kedamaian jiwa apabila menyedari bahawa saat-saat gembira itu bakal berlalu setelah berakhirnya hari raya. Kemudian, kehidupan kembali seperti biasa dengan kesibukan kerja dan kehidupan masing-masing. Itulah kenikmatan yang sempat kita rasakan dua kali pada setiap tahun sementara masih hidup di dunia ini.

Muslimin dan Muslimat yang dikasihi sekalian,

Allah SWT berfirman, “Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?[TMQ al-An’aam (6):32].

Kesenangan-kesenangan duniawi itu hanya sebentar dan tidak kekal. Janganlah kalian terperdaya dengan kesenangan-kesenangan dunia serta lalai daripada memperhatikan urusan akhirat. Di akhirat kelak, kita semua akan dihisab atas segala amalan selama kita hidup di dunia. Di padang Mahsyar, detik perhitungan akan bermula dan nasib kita di hari-hari mendatang bakal ditentukan di situ. Samada ke neraka (Na’uzubillah…) atau ke syurga, kita tidak boleh dan tidak akan mampu untuk pulang semula ke dunia kerana kampung akhirat adalah tempat perhentian terakhir kita sebagai makhluk Allah SWT.

Oleh itu, manfaatkanlah masa hidup di dunia ini dengan menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim yang bertaqwa. Muslim yang bertaqwa dan diredhai Allah SWT adalah mereka yang menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan individu, masyarakat dan bernegara. Allah SWT berfirman, “Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa,...” [TMQ al-Baqarah (2):2].

Sayangnya, kehidupan kita hari ini diatur dengan sistem sekular-kapitalis yang bukan bersumber daripada al-Quran. Kerana itu, umat Islam semakin jauh daripada peringatan Tuhannya, syariatNya diabaikan malah ditentang dan diperlekehkan. Dalam pemerintahan demokrasi yang lahir daripada sistem sekular, al-Quran tidak dijadikan sumber hukum dalam mengatur kehidupan manusia. Tetapi nilai kebebasan dan hak asasi manusia ciptaan Barat pula yang dijulang tinggi sehingga manusia bebas bertingkah laku mengikut nafsu dan emosi masing-masing. Maka lahirlah individunya yang rosak akhlaknya dan masyarakat yang hina budayanya!

Sampai bila lagi kita mahu hidup dalam sistem yang rosak dan merosakkan ini? Adakah kita mahu terus hidup dalam kesempitan kerana mengabaikan hukum-hukum Allah SWT? Allah SWT berfirman, “Dan barangsiapa berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta[TMQ Thaaha (20):124].

Muslimin dan Muslimat yang semoga diredhai Allah sekalian,
Sambutlah seruan daripada Hizbut Tahrir untuk kita bersama-sama sebagai umat yang satu berjuang di jalan dakwah demi mengembalikan semula kehidupan Islam yang pernah memberi kesejahteraan kepada generasi manusia selama lebih 1300 tahun. Hukum Islam hanya dapat dilaksanakan dengan sempurna dalam sebuah pemerintahan Islam iaitu Daulah Khilafah. Lakukanlah usaha dakwah dengan bersungguh-sungguh sehingga sampai detiknya Allah SWT memberi kemenangan kepada umat Islam. Dengan usaha yang besar itu, bergembiralah untuk bersama-sama kembali semula ke kampung halaman kita yang sebenar iaitu syurga Allah SWT kerana di situlah bapa kita, Nabi Adam AS diciptakan. Allah SWT berfirman,

Orang yang beriman itu berkata: Hai kaumku, ikutilah aku, aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang benar. Hai kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (sementara) dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal. Barangsiapa mengerjakan perbuatan jahat, maka dia tidak akan dibalasi melainkan sebanding dengan kejahatan itu. Dan barangsiapa mengerjakan amal yang soleh baik lelaki maupun perempuan sedang ia dalam keadaan beriman, maka mereka akan masuk syurga, mereka diberi rezeki di dalamnya tanpa hisab...” [TMQ al-Mukmin (40):38-40]

Wallahua’lam

Wassalamua’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh…

Syamsiyah Jamil
Pimpinan Pusat Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia