SN245 – TUNISIA PERLUKAN KHILAFAH, BUKAN SEKADAR PERTUKARAN PEMIMPIN

PDF

SN Keluaran 21 Januari 2011
 

  alt

TUNISIA PERLUKAN KHILAFAH, BUKAN SEKADAR PERTUKARAN PEMIMPIN

[SN245] Pemerintahan rejim Tunisia di bawah Presiden Zine al-Abidine Ben Ali akhirnya tumbang. Pemerintah kejam ini akhirnya telah menghilangkan diri setelah tidak dapat membendung demonstrasi besar-besaran oleh rakyatnya yang mendesak pengundurannya. Ben Ali yang awalnya berusaha menentang demonstrasi dengan puluhan nyawa terkorban sejak ia mula meletus, akhirnya terpaksa mengalah. Kegagalan Ben Ali mensejahterakan rakyat dan ditambah dengan pemerintahannya yang represif selama ini membuatkan rejim ini akhirnya tersungkur oleh kebangkitan rakyat. Penguasa diktator yang telah memerintah selama 23 tahun itu dilaporkan telah cabut lari ke Arab Saudi pada 14 Januari lepas.

Dia bagaimanapun masih lagi sempat melarikan bersamanya sebanyak 1.5 tan emas, sebagaimana dilaporkan oleh akhbar Perancis “Le Monde”. Ben Ali sudah tidak dapat menahan gelombang kebangkitan rakyat melalui demonstrasi yang bermula sejak pertengahan Disember 2010 yang tercetus akibat ketidakpuasan hati rakyat dengan masalah rasuah, inflasi dan pengangguran yang membengkak sejak sekian lama di bawah pemerintahannya. Krisis mulai meletus di kota Sidi Bou Zid, ibukota salah satu wilayah kecil di tengah negara dan kemudian merebak ke kota-kota terpenting lainnya.

Jenderal Zine El Abidine Ben Ali yang lahir di Hammam-Sousse pada 3 September 1936, merupakan Presiden Republik Tunisia sejak 7 November 1987 dan presiden yang kedua sejak kemerdekaannya dari Perancis pada 20 Mac 1956. Di masa rejimnya, gerakan-gerakan Islam yang ada di Tunisia mengalami nasib lebih tragis dari sebelumnya. Si diktator ini langsung tidak membenarkan ‘pembangkang’ wujud di negaranya. Wikipedia menyebut bahawa pada ketika partinya menyapu bersih perolehan kerusi yang ada di parlimen, dia telah memenjarakan lebih dari 30,000 aktivis gerakan Islam yang dianggapnya sebagai pembangkang. Ben Ali terkenal dengan sikap anti Islamnya di masa pemerintahannya di mana jilbab dilarang dipakai di tempat awam manakala aktivis yang memperjuangkan syariah dan Khilafah ditangkap dan diseksa di dalam penjara. Ben Ali amat terkenal sebagai pemimpin yang telah merubah umat Islam Tunisia menjadi masyarakat liberal ala Perancis yang menjadi tuannya.

Di saat arus demonstrasi menelusuri kota-kota di Tunisia, dari laporan yang disiarkan oleh media, meskipun nyaris tidak dilaporkan oleh media asing, terdapat beberapa video amatur yang menunjukkan sekelompok umat Islam yang menyeru kepada penegakan Khilafah (lihat: http://www.youtube.com/watch?v=Ct9vmNg_zzQ&feature=related). Sebelum demonstrasi bermula, para pembicara mengingatkan umat Islam bahawa Rasulullah SAW memerintahkan Muslim untuk tidak merosak tanam-tanaman dan juga melarang merosakkan harta milik awam dan milik orang lain. Terdapat seruan yang tegas menyerukan perjuangan tanpa kekerasan di atas landasan Islam. Terdapat sepanduk yang berbunyi “Ya Bagi Khilafah, Tidak Bagi Demokrasi, Tidak Bagi Kapitalisme”. Beberapa seruan dilaungkan dengan lantang oleh para peserta demonstrasi, antaranya “Tidak ada jalan lain, tidak ada jalan lain! Khilafah adalah satu-satunya penyelesaian”, “Dengan jiwa kita, dengan darah kita, kita siap berkorban untuk Islam”. Ketika berhimpun di hadapan tentera Tunisia, mereka menyeru, “Wahai tentera kaum Muslimin! Di mana kalian di Palestin (ketika Palestin diserang)? Di mana kalian di Iraq? Lepaskanlah rantai penguasa yang membelenggu leher kalian! Wahai tentera kaum Muslimin! Kami bersedia bersama anda dengan darah, jiwa dan anak-anak kami! Hapuskanlah rejim yang menindas dan dokonglah pemimpin yang satu untuk seluruh kaum Muslimin”.

Setelah Ben Ali cabut lari sebagai seorang pengecut, Perdana Menteri Mohammed Ghannouchi tampil di TV dan mengumumkan bahawa dialah yang kini menjalankan pemerintahan. Amerika Syarikat dan Perancis, dua negara yang bersekutu dengan diktator kejam itu setakat ini masih ‘membisu’ dengan apa yang berlaku. Terdapat sedikit pernyataan longgar dari Perancis bernada dokongan terhadap Ben Ali. Media-media Barat, yang biasanya bergegas dan tidak putus-putus melaporkan pemberontakan-pemberontakan popular di dunia -seperti yang terjadi di Iran dan Burma- anehnya kali ini tidak ghairah untuk melaporkan apa yang berlaku di Tunisia. Mereka nampaknya tidak pasti apakah ‘pemberontakan’ yang berlaku ini berdampak baik atau buruk terhadap mereka! Sesungguhnya kemunculan revolusi baru ini adalah suatu yang tidak terduga oleh Barat. Apa yang terjadi ke atas Ben Ali ini sebenarnya sangat penting bagi seluruh dunia Arab lainnya khususnya kepada para penguasa diktator Arab. Sebagaimana yang ditulis oleh seorang pengulas akhbar The Washington Post, ancaman terbesar Amerika di Timur Tengah bukanlah peperangan, tetapi revolusi!

Di sebalik kegembiraan kita melihat kebangkitan rakyat menumpaskan pemerintahan diktator lagi khianat, kita harus ingat dan waspada bahawa apa yang telah kita lihat sejauh ini hanyalah sebuah ‘pengulangan’ terhadap satu putaran kejahatan yang sama. Tunisia sebelum ini di perintah oleh presiden Habib Bourgiba yang tidak kurang kediktatorannya berbanding Ben Ali. Borguiba yang bukannya pemimpin popular (di hati rakyat) telah berkuasa selama 30 tahun sebelum ‘dipaksa’ meletakkan jawatan. Sebaik keluar dari mulut buaya, rakyat Tunisia kemudiannya telah masuk pula ke mulut harimau di bawah pimpinan Ben Ali selama 23 tahun. Sesungguhnya Ben Ali hanyalah lingkungan ‘orang dalam’ di dalam pemerintahan Borguiba. Demikianlah apa yang terjadi kini, Perdana Menteri Ghannouchi, juga adalah dari lingkungan ‘orang dalam’ Ben Ali, yang hanya akan menggantikan Ben Ali, namun akan tetap melanjutkan pemerintahan kuku besi yang sekular. Apa yang berlaku cumalah pertukaran ‘wajah’ pemimpin, bukan sistemnya, ibarat Bush yang diganti oleh Obama. Umat Islam sesungguhnya memerlukan pertukaran sistem, dari sistem kufur-sekular kepada sistem Islam di bawah pemerintahan Khilafah. Pertukaran sistemlah yang sebenar-benarnya diperlukan oleh kaum Muslimin, bukannya pertukaran pemimpin!

Kebangkitan rakyat di Tunisia ini merupakan yang pertama di dunia Arab hingga berjaya menggulingkan sebuah pemerintahan kejam. Justeru, ia sesungguhnya memberi impak dan pengajaran yang penuh makna, baik kepada penguasa diktator lainnya mahupun kepada Barat yang menjadi tuan mereka:-

Pertama: Pemimpin-pemimpin jahat ini harus ingat bahawa kekuasaan mereka sesungguhnya tidak akan bertahan lama dan Allah Maha Berkuasa merentap kekuasaan mereka dalam sekelip mata sahaja. Kekejaman dan pengkhianatan mereka kepada umat hanya akan menuai kebencian demi kebencian yang akhirnya akan membangkitkan umat untuk menjatuhkan mereka. Kesabaran umat terhadap pemimpin ada batasnya dan apabila ia sudah tidak dapat dibendung, maka tunggulah saat kehancuran pemimpin tersebut.

Kedua: Krisis ekonomi dan politik yang terjadi di Tunisia (dan lain-lain negara umat Islam) tidak lain adalah kerana penerapan sistem kapitalisme yang penuh dengan ketidakadilan dan kerosakan. Sistem kapitalisme hanya menguntungkan segelintir elit (pemerintah dan kroni) yang hidup penuh kemewahan dengan memerah keringat rakyat dan membolot segala kekayaan negara. Juga, ia hanya memberikan keuntungan kepada perusahaan-perusahaan asing khususnya perusahaan Barat yang wujud di negara umat Islam. Manakala pada masa yang sama, rakyat terus dihimpit penderitaan. Kesemua kesengsaraan yang dialami oleh rakyat ini akhirnya akan menumbuhkan kesedaran yang akan menggerakkan mereka untuk ke istana-istana pemerintah untuk ‘merobohkannya’.
 
Ketiga: Para penguasa diktator yang bertuankan Barat ini hendaklah sedar bahawa tatkala umat Islam bangkit untuk menghumban mereka dari kerusi kekuasaan, maka pada ketika ini Barat tidak akan dapat melakukan apa-apa! Sesungguhnya Barat yang mereka ‘sembah’ itu amat lemah dan tidak akan dapat menyelamatkan mereka. Barat memang amat terkenal dengan sikap pragmatis di mana sekiranya seseorang ‘hamba’ itu masih berguna kepada mereka, maka mereka akan ‘menyimpannya’, namun tatkala kepentingan politik dan ekonomi penjajahan mereka sudah tidak lagi dapat diteruskan oleh sang hamba tersebut, maka Barat akan terus cuci tangan. Tidak ada istilah ‘sentiasa setia’ di dalam kamus Barat, malah jika perlu hapuskan kawan baiknya sendiri, mereka akan melakukannya. Tumbangnya rejim diktator di negeri-negeri umat Islam sesungguhnya hanyalah ‘menunggu waktu’. Kezaliman demi kezaliman yang mereka lakukan dan kegagalan sistem kufur yang mereka terapkan hanya akan mempercepatkan mereka untuk turun dari bangku empuk kekuasaan.

Keempat: Barat hendaklah sedar bahawa kewujudan diktator tajaannya di negeri-negeri umat Islam sesungguhnya tidak akan bertahan lama. Umat Islam semakin hari semakin semakin sedar dan bangkit serta ingin kembali kepada Islam. Mereka telah semakin sanggup untuk menyerahkan harta dan nyawa mereka kepada Allah demi untuk membuang segala kejahatan dan kekufuran yang membelenggu mereka. Maka, Barat kini seharusnya menghitung hari-hari yang berlalu dan mempersiapkan diri mereka untuk menuju perkuburan mereka di mana hal ini akan berlaku sedikit masa lagi apabila umat Islam telah berjaya menegakkan semula Daulah Khilafah ar-Rasyidah Ala Minhaj Nubuwwah…

***************************************************************************

[Berikut adalah terjemahan surat yang dikeluarkan oleh Hizbut Tahrir Pusat atas apa yang berlaku di Tunisia, yang disebarkan ke seluruh dunia, khususnya di Tunisia sendiri]

Bismillahirahmanirahim

Pemerintah Diktator Zine Al Abidine Ben Ali Melarikan Diri Sebagai Pengecut, Namun ‘Kembali Semula’ Melalui Tingkap Dan Pintu Yang Sama, Setelah Begitu Banyak Menumpahkah Darah

Pada 17/1/2011, pembentukan kerajaan baru Tunisia telah diumumkan yang diketuai oleh Perdana Menterinya, muka lama yang muncul kembali, Mohammed al-Ghanoushi. Beliau pernah berkhidmat di bawah Presiden yang digulingkan, Ben Ali. Anggota kabinet baru yang dibentuk kebanyakannya terdiri daripada para politikus parti pemerintah taghut, Tajammu’ Dusturi, dengan mengekalkan enam orang menteri dari kabinet Ben Ali di jawatan masing-masing. Di antaranya adalah para menteri dari kementerian yang memiliki autoriti iaitu Kementerian Pertahanan, Keselamatan Dalam Negeri, Kewangan, dan Luar Negeri. Al-Ghanoushi kemudiannya memasukkan tiga orang anggota parti pembangkang ke dalam kementerian yang tidak penting bagi menipu rakyat dengan konsep ‘Kerajaan Kesatuannya’!! Demikianlah cara bagaimana para pengikut Ben Ali mengekalkan kedudukan mereka di kerusi empuk pemerintahan dan parti sekalipun Ben Ali telah diusir!!

Dengan penuh kehinaan mereka menjilat darah suci yang telah ditumpahkan sejak 30 hari kebangkitan rakyat Tunisia yang bermula pada 17/12/2010, setelah begitu lama membiarkan rakyat Tunisia kelaparan, dibelenggu kemiskinan, pengangguran dan penyakit,  penuh dengan penindasan dan kezaliman. Seorang pemuda yang bernama ‘Albu Azizi’ telah berhadapan dengan ‘maut’ selepas agen perisikan polis menembak kereta yang membawa barangan jualannya yang sangat sedikit jumlahnya, tidak cukup pun untuk menyelamatkan dirinya dari mati kebuluran! Setelah kejadian itu, rakyat Tunisia telah bangun menentang pemerintah yang kejam. Mereka menuntut hak untuk hidup dengan aman di bawah pemerintahan Islam yang adil, bukan lagi di dalam negara yang para penguasanya telah merampas segala kekayaan, diisi ke dalam istana-istana mereka dan membiarkan rakyat hidup dalam kemiskinan dan di ambang kematian!

Wahai rakyat Tunisia! Wahai kaum Muslimin!

Sesungguhnya keberanian rakyat Tunisia telah lama bersinar dalam lipatan sejarah sejak Allah memuliakan mereka dengan agama Islam. Mereka bak menara yang memancarkan cahaya dan dari Tunisialah bermula misi pembukaan Utara Afrika dan Andalusia yang gilang gemilang. Tunisia dikenali sebagai negeri Panglima Islam, Uqbah, yang telah membawa misi Islam ke utara Afrika sehingga sampai ke Lautan Atlantik. Di tepian Lautan Atlantik ini beliau berdiri lalu melaungkan, ‘Seandainya aku tahu di seberang sana ada daratan, pasti akan ku harungi ombak lautan ini untuk ke sana (dan membebaskannya)!’ Inilah Tunisia yang subur dengan putera-puteranya (yakni) para pemuda mujahidin. Allah SWT berfirman,

“Orang-orang yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan urusan jual-beli daripada mengingati Allah, mendirikan solat dan memberikan zakat. Mereka takut kepada hari di mana digoncangkan hati dan penglihatan”
[TMQ an-Nur (24):37].

Sesungguhnya kesengsaraan belum pernah dirasai di Tunisia melainkan selepas penjajah kuffar yang diketuai Perancis ketika itu berjaya menakluknya dan memisahkannya daripada Daulah Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1881. Selepas itu tersebar di dalamnya kerosakan dan Tunisia dijajah dengan penuh kekerasan dan kekejaman. Para pejuang Muslim di Tunisia telah bangkit meskipun beribu-ribu jiwa telah syahid, namun para pejuang ini terus menyusun saf-saf mereka, menyerahkan jiwa raga mereka di jalan Allah sehinggalah mereka diberikan kemenangan oleh Allah. Para penjajah Perancis dihalau dengan penuh kehinaan pada pertengahan abad yang lalu. Namun demikian, belum sempat rakyat Tunisia menuai hasil kemenangan mereka untuk mengembalikan pemerintahan Islam, muncul pula para pengkhianat yang membeli singgahsana dengan menjual agama mereka, lalu menukarkan posisi Perancis dengan British yang akhirnya meletakkan Bourguiba dan Ben Ali sebagai pemerintah yang amat menindas rakyat! Tunisia telah menjadi ‘barang pertaruhan’ kerakusan penguasa tempatan dan pentas persaingan antarabangsa, khasnya selepas Amerika mengetuai usaha membersihkan Tunisia daripada pengaruh Eropah yang lemah!
 
Pada hari ini, kami ingin memperingati semula peristiwa lalu. Kami merasakan bahawa darah suci yang telah mengalir dahulu, mengalir sekali lagi hari ini dan sebelum sempat umat ini meraih hasilnya dengan menegakkan pemerintahan Islam yang akan membuatkan kerajaan Ben Ali dengki, pemerintah taghut kembali memerintah dengan wajah yang sama. Mereka ini tidak akan pernah memelihara maruah negara, dan tidak akan memberikan keadilan sama sekali!

Wahai rakyat Tunisia! Wahai kaum Muslimin!

Masalah utama bukanlah terletak pada peribadi diktator Ben Ali, tetapi terletak kepada ‘sistem’ ciptaan manusia yang ditinggalkannya, kerana sistem itulah yang melahirkan para diktator yang zalim…dan darah suci yang mengalir di bumi Tunisia ini, tidak akan melupakan peristiwa tersebut dan tidak akan memaafkannya. Bukankah Al-Mubazza’, Ghannoushi, dan Qallal adalah merupakan tonggak utama pemerintahan taghut yang menjilat darah rakyat yang tidak berdosa? Bukankah para menteri itu yang mengarahkan tentera sekutu mereka menumpahkan darah rakyat? Sesungguhnya darah suci yang mengalir di bumi Tunisia ini tidak akan mengampunkan dosa kalian yang merelakan penguasaan Al-Mubazza’, Ghannoushi dan Qallal serta kuncu-kuncu mereka yang menumpahkan darah itu, serta menyebarkan kerosakan di muka bumi. Dosa-dosa kamu tidak akan diampunkan kecuali apabila telah tercapai matlamat pengorbanan ini (yakni) terhapusnya sistem ciptaan manusia yang kejam dari akar umbinya dan tertegaknya hukum Allah dengan berdirinya Khilafah Rashidah bagi menerangi dunia dengan cahayanya dan menyebarkan kebaikan serta menggembirakan kaum Muslimin dengan pertolongan dari Allah Azza wa Jalla.

Wahai rakyat Tunisia! Wahai kaum Muslimin!

Sesungguhnya pemimpin yang dipercayai tidak akan mengecewakan pengikutnya. Hizbut Tahrir dengan ini ingin membangkitkan jiwa kalian bagi menyahut seruan darah suci yang telah ditumpahkan sepanjang 30 hari kebangkitan kalian. Sesungguhnya darah yang tumpah ini menyeru kalian agar tidak berdiam diri terhadap sistem ciptaan manusia yang kejam di hadapan mata kalian. Sesungguhnya darah yang tumpah ini menyeru agar kalian membuang segala ramuan dan ubatan dari Barat berserta orang-orang suruhannya daripada negeri kalian…Sesungguhnya darah yang tumpah ini menyeru agar kalian menyahut seruan Allah, supaya ditegakkan Khilafah Rashidah yang merupakan janji Allah dan RasulNya untuk kalian…Sesungguhnya darah yang tumpah ini menyeru bahawa beginilah caranya untuk mengembalikan kehidupan yang mulia serta menghilangkan kesengsaraan iaitu dengan mencampakkan undang-undang manusia dan menggantikannya dengan undang-undang Pencipta manusia.

“Maka barangsiapa mengikuti petunjukKu, maka dia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. Dan sesiapa yang berpaling daripada peringatanKu, maka baginya kehidupan yang sempit” [TMQ Taha (20):123-124].

Apakah kalian akan menjawab seruan ini wahai kaum Muslimin?

Hizbut Tahrir
14 Safar 1432H / 18 Januari 2011