SN654 – Nasionalisme dan Rasisme : Pemikiran Keji Mengundang Keganasan
Bil: SN654 (PDF/Print) – 20 Safar 1446 / 25 Ogos 2024
Bermula dari sebuah berita palsu yang disebarkan di media sosial, UK telah mengalami episode keganasan yang dimulakan oleh golongan sayap kanan (far right) sejak awal bulan ini. Ia bermula selepas insiden seorang penyerang kulit hitam yang membunuh tiga orang kanak-kanak kulit putih di bandar Southport, UK. Dalam beberapa jam sahaja, berita palsu yang menuduh penyerang tersebut merupakan seorang imigran Muslim yang datang ke UK dengan bot kecil dan mempunyai masalah mental, telah tersebar. Polis UK telah menafikan berita tersebut keesokan harinya dan mendedahkan bahawa penyerang itu merupakan seorang warganegara UK dan beragama Kristian.
Meskipun begitu, berita palsu tersebut tidak mengubah pendirian kumpulan sayap kanan yang telah pun menyemarakkan retorik anti-penghijrahan di UK sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Akibatnya, rusuhan telah berlaku di beberapa bandar di England di mana kaum Muslimin dan para imigran menjadi sasaran mereka. Demonstrasi yang penuh dengan kata-kata kesat ke atas kaum Muslimin dan imigran disusuli dengan tindakan keganasan seperti membakar masjid-masjid, kedai-kedai dan kenderaan termasuk beberapa kes serangan terhadap para pegawai polis. Sehingga kini lebih seribu orang sudah ditahan oleh pihak berkuasa dan beberapa orang telah pun dijatuhi hukuman penjara akibat rusuhan ini.
Nasionalisme dan Rasisme di UK
Pemikiran yang menekankan keunggulan orang Inggeris (British) telah wujud sejak terpecahnya Empayar Rom. Pada zaman tersebut, gelombang migrasi orang Jerman dan Denmark ke England menghasilkan kerajaan Anglo-Saxon, yang menjadi asas kepada identiti Inggeris. Identiti ini semakin kukuh apabila Anglo-Saxon berulang kali menangkis serangan dari kaum Scots, Picts, dan Viking. Sejarah penaklukan dan asimilasi ini meletakkan asas kepada tradisi lama yang memandang orang luar dengan curiga dan menegaskan keunggulan cara hidup Inggeris.
Setelah berabad-abad mengalami peperangan dan konflik, bangsa Inggeris mula mempercayai keunggulan mereka, lalu menyerang Ireland dan Scotland, menyertai Perang Salib, dan mencetuskan Peperangan Seratus Tahun. Pada pertengahan abad ke-16, para elit Inggeris memulakan perdagangan hamba dan terus mendominasi pasaran hamba selama beratus-ratus tahun. Kemunculan kapitalisme memperkuatkan lagi rasa keunggulan bangsa Inggeris, yang telah melakukan banyak kezaliman dalam usaha memaksakan cara hidup mereka ke atas bangsa-bangsa lain. Dalam proses ini, Inggeris telah memegang rekod yang mengerikan dengan menyerang 90% negara-negara di dunia dan bertanggungjawab terhadap kesan geopolitik yang berpanjangan yang terus menghantui dunia hari ini.
Selepas Perang Dunia Kedua, bangsa Inggeris tidak lagi menjadi kuasa dunia yang dominan. Beribu-ribu imigran, terutamanya dari benua Afrika dan negara-negara umat Islam, dibawa masuk untuk membantu membangunkan semula UK. Sejak itu, umat Islam dan para imigran telah memberi sumbangan penting dalam ekonomi UK. Namun, selepas Brexit, ekonomi UK semakin merosot, dan perang di Ukraine memburukkan lagi keadaan ekonomi yang sudah sedia teruk. Kini, purata gaji sebenar di UK adalah lebih rendah berbanding 18 tahun yang lalu. Menurut Financial Times, pada tahun 2024, purata pendapatan isi rumah di UK adalah lebih rendah dari Slovenia. UK juga menyaksikan pertumbuhan ekonomi paling perlahan di antara negara-negara maju di Eropah, sehingga ada yang menggelar UK sebagai “The Sick Man of Europe“. Keadaan politik UK juga tidak stabil melihat kepada kekerapan pertukaran Perdana Menteri dalam tempoh yang begitu singkat.
Akibat daripada masalah ini, ramai orang Inggeris sangat kecewa dengan situasi yang mereka hadapi. Dalam situasi yang semakin suram, umat Islam dan para imigran, yang dahulunya diiktiraf sebagai penyumbang penting kepada sosio-ekonomi UK, kini menjadi sasaran dan dituduh sebagai punca kepada pelbagai masalah yang melanda UK. Kedua-dua parti politik terbesar di UK, Parti Konservatif dan Parti Buruh, menggunakan sentimen yang sama semata-mata untuk meraih undi, menyebabkan perasaan anti-imigran dan anti-Islam sukar dibendung. Pemikiran nasionalisme dan rasisme inilah yang mendorong kepada rusuhan dan tindakan keganasan.
Dalam kes rusuhan terbaru di UK, kumpulan sayap kanan, English Defence League (EDL) yang dipimpin oleh Tommy Robinson, menjadi dalang di sebalik penyebaran berita palsu. Robinson, yang dikenali sebagai seorang anti-Islam, telah menyebarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Islam dan umat Muslim di UK sejak beberapa tahun. Dia juga dilaporkan mempunyai hubungan dengan Jewish Defence League dan gerakan Zionis. Selepas insiden pembunuhan di Southport, Robinson, yang berada di luar UK, membuat kenyataan di media sosial menuduh umat Islam sebagai punca masalah tersebut. Robinson dan EDL kemudian menyeru bangsa Inggeris untuk memprotes di jalanan, yang akhirnya mencetuskan rusuhan dan keganasan.
Nasionalisme/Rasisme Membenarkan Pembohongan dan Pembunuhan
Pendukung nasionalisme dan rasisme seringkali menggunakan pembohongan sebagai justifikasi untuk keganasan, termasuk pembunuhan. Sebagai contoh, Parti Nazi di Jerman memandang bangsa Aryan sebagai bangsa yang paling unggul dan menuduh bangsa Yahudi sebagai yang paling hina. Hitler juga menuduh bangsa Yahudi Jerman sebagai punca kekalahan Jerman dalam Perang Dunia Pertama. Semua pembohongan ini digunakan untuk membenarkan pembunuhan orang Yahudi di Eropah oleh tentera Nazi.
Contoh lain adalah pemikiran ultra-nasionalis Hindu atau Hindutva, yang dipelopori oleh gerakan RSS dan parti politik mereka, BJP, yang diketuai oleh Narendra Modi. Hindutva membawa ideologi Hindu Rashtra (Politik Hindu) dan bercita-cita untuk membina semula negara “Akhand Bharat” (India Raya) yang dikatakan hilang setelah kedatangan Islam. Walhal, realitinya, tidak pernah pun wujud politik Hindu sebelum kedatangan Islam ke India. Benua India diperintah oleh beberapa dinasti yang berbeza tanpa ada kesatuan antara mereka. Pembohongan ini digunakan sebagai justifikasi untuk mendiskriminasi, melakukan keganasan, bahkan pembunuhan terhadap kaum Muslimin di India.
Gerakan Zionis juga adalah contoh lain yang sangat keji, di mana ia merupakan gerakan ultra-nasionalis Yahudi sejak akhir abad ke-19. Slogan “Give the land without the people to the people without a land” (Berikanlah tanah tanpa rakyat kepada rakyat tanpa tanah) digunakan untuk mengisytiharkan bahawa bangsa Yahudi berhak ke atas tanah Palestin. Mereka yang menentang idea ini akan dilabel sebagai anti-semitik, walhal, Palestin bukanlah tanah tanpa penghuni, malah telah dihuni oleh pelbagai bangsa dan agama sejak ribuan tahun lamanya. Pembohongan Zionis ini digunakan sebagai justifikasi untuk mengusir penduduk Palestin, yang majoritinya adalah orang Islam, mengasingkan mereka dari dunia luar menyebabkan mereka hidup dalam kemiskinan dan kebuluran dan seterusnya melakukan genosid terhadap mereka. Sejak tertubuhnya entiti haram Yahudi pada tahun 1948, ratusan ribu, malah jutaan kaum Muslimin telah dibunuh dan dihalau dari tanah Palestin yang diberkati.
Pandangan Islam terhadap ‘Assabiyah
‘Assabiyyah boleh digambarkan sebagai sikap fanatisme kesukuan/kelompok yang diharamkan dalam Islam. Dalam konteks yang lebih umum, semangat kesukuan boleh diperluas kepada idea nasionalisme. Apabila ‘assabiyyah menjadi asas kepada suatu keyakinan atau perjuangan, maka akan muncul pelbagai manifestasi menjijikkan seperti pembohongan dalam justifikasi, manipulasi fakta, keganasan sehingga kepada pembunuhan tidak berperikemanusiaan. Dan ketika semangat nasionalisme termanifestasi sebagai rasisme, ia merupakan bentuk ‘asabiyyah yang dilarang dalam Islam. Inilah bahaya yang boleh datang dari idea nasionalisme. Hakikatnya, pemikiran ini muncul daripada ikatan perkauman (rabitah al-qaumiyah) yang muncul apabila pemikiran manusia menjadi sempit. Ikatan ini wujud secara emosi, bukan intelektual, daripada naluri mempertahankan diri yang muncul secara tabi’i pada manusia dan mewujudkan keinginan untuk menguasai orang lain. Apabila nasionalisme berkembang, akan timbul keinginan untuk melihat bangsa atau negaranya menguasai bangsa lain. Mereka akan melakukan apa sahaja untuk menjustifikasi tindakan mereka demi memenangkan kelompok atau bangsanya.
Rasulullah SAW mencela mereka yang mengamalkan ‘assabiyyah dengan sabdanya:
“Manusia mestilah meninggalkan kebanggaan mereka terhadap kaum-kaum (bangsa) mereka kerana hal itu merupakan bahan bakar dari api neraka. Atau (jika mereka tidak menghentikan semua itu), maka Allah akan menganggap mereka lebih rendah dari cacing tanah yang menyusupkan dirinya sendiri ke dalam lubang kotoran.” [HR Abu Dawud dan Tirmidzi]
Rasulullah SAW mengharamkan ‘assabiyyah dan tidak menerima mereka yang berpegang kepada pemikiran tersebut sebagai sebahagian daripada orang-orang Mukmin. Sabda baginda SAW:
“Bukan termasuk golongan kami orang yang mengajak pada ‘assabiyyah, bukan termasuk golongan kami orang yang berperang kerana ‘assabiyyah dan bukan termasuk golongan kami orang yang mati kerana ‘assabiyyah.” [HR Abu Dawud]
Kesimpulan
Pemikiran nasionalisme dan rasisme adalah pemikiran yang rosak dan lemah, sering dipegang oleh mereka yang mempunyai daya fikir yang sempit dan pesimis. Nasionalisme dan rasisme sering menggunakan pembohongan dan manipulasi fakta untuk menjustifikasi tindakan keganasan terhadap orang lain. Ia bukan pemikiran yang manusiawi kerana sering menyebabkan konflik berdarah di mana sahaja ia berkembang. Sama ada Nazi di Jerman, Hindutva di India, Zionis di Palestin, atau EDL di UK, semuanya mencatat sejarah yang keji dengan diskriminasi, keganasan, dan genosid.
Oleh yang demikian, umat Islam perlu sedar bahawa nasionalisme bukanlah pemikiran yang boleh membawa kebangkitan, sebaliknya hanya membawa konflik demi konflik yang tidak berkesudahan. Nasionalisme tidak layak dijadikan pegangan dan asas sesebuah negara. Kerana nasionalisme Turki dan Arablah, negara Khilafah Islam runtuh dan memecah belahkan dunia Islam sehingga hari ini. Umat Islam diseru untuk membuang idea nasionalisme yang sinonim dengan ‘assabiyyah sejauh-jauhnya. Sabda Rasulullah SAW:
“Tinggalkannya kerana ia tidak berguna!” (HR Bukhari dan Muslim)