Akhiri Tragedi Akibat Kemaksiatan Sambutan Tahun Baru
Peristiwa tragis Pinkfish Countdown 2024 mengejutkan negara apabila empat peserta konsert ambang tahun baharu yang berlangsung di Bandar Sunway maut. Berdasarkan siasatan awal dan kenyataan Ketua Polis Selangor, keempat-empat mangsa disyaki terlibat dalam pengambilan dadah terlarang, iaitu pil ecstasy. Tidak dinafikan juga kemungkinan adanya aktiviti pengedaran dadah sepanjang konsert tersebut berlangsung. Insiden sebegini bukanlah yang pertama, malah ia melambangkan kerosakan sosial yang semakin membarah dalam masyarakat kita.
Sambutan ambang tahun baharu telah lama menjadi tradisi yang dianggap ‘wajib’ bagi sesetengah pihak untuk menyambut kedatangan tahun baharu. Walhal, perayaan tahun baru masihi adalah termasuk dalam tasyabbuh bil kuffar yang dilarang oleh Islam. Ia berasal dari pola hidup masyarakat Barat yang sekular, memisahkan urusan kehidupan daripada peraturan agama. Maka tidak mengejutkan bila begitu banyak kemaksiatan dan kemungkaran berlaku dalam acara-acara sambutan tahun baru masihi di seluruh dunia.
Acara-acara sambutan juga sering diselitkan dengan elemen hedonisme, iaitu gaya hidup berorientasikan keseronokan tanpa batasan, yang telah menjadi gaya hidup yang dinormalisasi menjelang tahun baru. Apa yang lebih membimbangkan ialah budaya hedonisme ini menyuburkan aktiviti kemaksiatan yang merosakkan nilai moral dan sosial. Fenomena inilah membuka ruang kepada gejala sosial yang lebih besar, termasuk penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas dan zina, terutamanya di kalangan remaja. Hal ini mencerminkan kemerosotan akhlak akibat dari sistem sosial yang terlalu memberi kebebasan tanpa kawalan yang sewajarnya. Natijah lebih besar, keterlibatan remaja dalam masalah sosial seperti ini bukan sahaja merosakkan kehidupan peribadi mereka, tetapi turut memberikan kesan buruk kepada seluruh masyarakat.
Akar permasalahan gejala sosial dan budaya negatif ini sebenarnya turut terletak pada dasar negara yang membenarkan kebebasan bertingkah laku. Kebebasan yang tidak dipandu dengan perundangan menurut syariat inilah yang membawa kepada keruntuhan nilai moral, peningkatan jenayah, dan ketidakseimbangan sosial. Lebih memburukkan, negara demokrasi-kapitalisme memberikan keizinan ke atas acara-acara ini berlangsung, sekalipun sang pemimpin sebenarnya sedar ia bukanlah acara yang dibenarkan syarak dan terdapat banyak pelanggaran nilai-nilai agama dan moral di dalamnya. Apabila negara “memprasaranakan“ maka tidak hairanlah kerosakan dalam kalangan rakyat tidak kunjung akhir.
Kesimpulannya, segala permasalahan ini sebenarnya dapat dielakkan jika sistem kehidupan dijalankan sepenuhnya mengikut peraturan Islam, yang secara tegas mengharamkan dadah, budaya hedonisme, sebarang bentuk acara umum dengan elemen tasyabbuh dan mengandungi pelbagai pelanggaran syariat seperti sambutan tahun baru ini, serta menutup segala pintu yang membawa kepada kemaksiatan dan kemungkaran lainnya. Dengan menjadikan akidah Islam sebagai asas dan melaksanakan semua sistem kehidupan berlandaskan syariat, akan lahirlah individu yang beriman dan bertakwa, saling melaksanakan amar makruf nahi mungkar, sehingga terbentuk sebuah masyarakat yang bebas daripada kemaksiatan. Dukungan negara dalam menerapkan sistem Islam secara menyeluruhlah juga yang akan mewujudkan sistem perundangan yang tegas dengan hukuman yang memberi pengajaran, sekaligus melahirkan generasi berkualiti, meninggalkan maksiat, dan membina masyarakat yang sejahtera. Namun, semua ini hanya dapat direalisasikan melalui tegaknya Khilafah Islamiyah, satu-satunya sistem yang mampu menerapkan syariat Islam secara kaffah.
Firman Allah Ta’ala sebagai peringatan untuk kita semua agar kembali menjadi masyarakat bertakwa dan mewujudkan negara yang bertakwa,
وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰۤ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّقَوۡا۟ لَفَتَحۡنَا عَلَیۡهِم بَرَكَـٰتࣲ مِّنَ ٱلسَّمَاۤءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا۟ فَأَخَذۡنَـٰهُم بِمَا كَانُوا۟ یَكۡسِبُونَ
“Dan sekiranya penduduk negeri beriman dan bertakwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi ternyata mereka mendustakan (ayat-ayat Kami), maka Kami seksa mereka sesuai apa yang telah mereka kerjakan.” (TMQ Al-A’raf: 96)
Dr Aeni@Ainul
Ahli Lajnah I’lamiyyah MHTM
Sumber berita:
https://www.kosmo.com.my/2025/01/03/bawa-anak-isteri-edar-dadah-ambang-tahun-baharu/