Ibrah Peristiwa Israk Mikraj: Menghidupkan Peranan Wanita dalam Ummah

Oleh: Ummu Sumayyah

Peristiwa Israk Mikraj yang berlaku kepada Nabi Muhammad SAW bukan hanya sekadar sebuah perjalanan luar biasa tetapi penuh dengan pengajaran dan hikmah mendalam yang relevan sepanjang zaman. Peristiwa ini membawa banyak ibrah yang dapat diaplikasikan dalam perjuangan spiritual, moral dan sosial wanita Muslimah demi kebangkitan ummah secara keseluruhan. Dalam konteks kebangkitan ummah, peranan wanita sebagai tonggak keluarga dan masyarakat tidak dapat dinafikan.

Israk Mikraj adalah perjalanan malam luar biasa di mana Rasulullah SAW diisrakkan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, kemudian dimikrajkan ke langit untuk bertemu Allah SWT. Peristiwa ini berlaku pada saat Rasulullah SAW menghadapi kesedihan besar selepas pemergian isteri tercintanya, Sayyidatina Khadijah RA dan bapa saudaranya, Abu Talib. Kehilangan dua tokoh penting ini memberikan tekanan yang sangat mendalam kepada baginda.  Peranan Sayyidatina Khadijah RA sebagai penyokong utama Rasulullah SAW memberikan contoh jelas tentang bagaimana wanita dapat memainkan peranan strategik dalam perjuangan spiritual dan sosial. Sokongan moral dan material daripada Khadijah RA menjadi benteng kekuatan bagi Rasulullah SAW untuk terus berdakwah meskipun menghadapi cabaran yang luar biasa.

Peristiwa Israk Mikraj memberikan penekanan kepada hubungan manusia dengan Allah SWT melalui ibadah, khususnya solat. Solat yang diwajibkan semasa Mikraj adalah simbol hubungan langsung dengan Pencipta kepada seluruh semesta alam. Dalam hal ini, wanita memegang peranan besar sebagai pendidik utama di rumah. Merekalah yang bertanggungjawab memastikan anak-anak memahami kepentingan ibadah, terutama solat, sejak kecil. Wanita Muslimah sebagai madrasatul ula (sekolah pertama) bagi anak-anak dan seterusnya dapat mendidik generasi pemimpin yang memahami kepentingan hubungan dengan Allah. Misalnya, kisah Saidatina Asma’ binti Abu Bakr RA yang mendidik anaknya, Abdullah bin Zubair, untuk menjadi seorang pejuang Islam yang gagah berani dan berprinsip teguh. Kepimpinan rohani bermula dari rumah dan wanita adalah pemangkin utama dalam mendidik anak-anak dengan nilai spiritual yang kukuh.

Selain itu, wanita Muslimah juga berperanan sebagai pendokong spiritual dalam masyarakat. Mereka dapat menyebarkan kesedaran tentang kepentingan ibadah, akhlak dan nilai-nilai murni melalui platform seperti melalui amar ma’ruf nahi mungkar bersama komuniti. Peranan ini memastikan kebangkitan ummah bermula dengan individu yang dekat dengan Allah SWT. Israk Mikraj juga mengajar kita tentang kepentingan moral dan akhlak. Dalam perjalanan ini, Rasulullah SAW diperlihatkan dengan pelbagai gambaran mengenai balasan untuk amal baik dan buruk. Pengajaran ini mengingatkan umat Islam tentang keutamaan akhlak dalam membentuk masyarakat yang harmonis.

Tambahan pula, wanita Muslimah  memainkan peranan penting dalam membentuk akhlak generasi muda. Contoh terbaik adalah Sayyidatina Fatimah RA, puteri Rasulullah SAW, yang menjadi teladan dalam kesederhanaan, kesabaran dan ketaatan kepada Allah SWT. Sebagai ibu, mereka perlu menunjukkan contoh akhlak mulia kepada anak-anak mereka melalui amalan harian seperti kejujuran, kesabaran dan kasih sayang. Dalam konteks masyarakat, wanita juga boleh menjadi agen perubahan dalam membentuk generasi pemimpin. Sebagai contoh, peranan wanita di Palestin memberikan gambaran nyata tentang bagaimana mereka mendidik anak-anak menjadi pejuang yang berani demi mempertahankan tanah air mereka. Dalam suasana konflik dan cabaran yang hebat, wanita Palestin bukan sahaja menjadi ibu yang sabar tetapi juga pendidik yang menanamkan semangat juang dan cinta kepada agama serta negara dalam jiwa anak-anak mereka.

Dalam konteks masa kini, wanita Muslimah boleh terlibat dalam pelbagai inisiatif sosial seperti mendidik wanita lain tentang hak-hak mereka dalam Islam dan menjadi suara yang lantang dalam isu-isu yang bertentangan dengan syariat Islam seperti isu LGBT dan feminisme. Semua ini adalah langkah penting untuk memastikan ummah terus maju dan sejahtera. Peranan wanita dalam kebangkitan ummah dapat dihidupkan dengan mengambil ibrah daripada kehidupan Sayyidatina Khadijah RA dan para sahabiyah. Khadijah RA bukan sahaja menjadi pendukung spiritual dan moral kepada Rasulullah SAW tetapi juga memberikan sokongan material kepada perjuangan Islam. Beliau adalah contoh wanita yang berdikari, bijaksana dan beriman kuat.

Selain itu, sahabiyah seperti Nusaybah binti Ka‘ab RA juga menunjukkan peranan wanita dalam perjuangan Islam. Beliau terkenal kerana keberaniannya dalam mempertahankan Rasulullah SAW semasa Perang Uhud. Peranan ini menunjukkan bahawa wanita juga boleh memainkan peranan penting dalam mempertahankan agama dan masyarakat. Dalam dunia moden, Muslimah perlu mengadaptasi nilai-nilai yang diajarkan melalui Israk Mikraj ke dalam kehidupan mereka. Wanita perlu memastikan mereka sendiri mendapat pendidikan tsaqafah Islam yang kukuh agar dapat mendidik generasi akan datang dengan nilai-nilai yang benar.

Peristiwa Israk Mikraj membawa mesej yang mendalam tentang kepentingan hubungan manusia dengan Allah, tanggungjawab moral, dan keprihatinan sosial. Muslimah, sebagai ibu dan tonggak keluarga serta masyarakat, memegang peranan besar dalam menghidupkan nilai-nilai ini demi kebangkitan generasi pemimpin. Dengan itu, mereka bukan sahaja mendidik generasi pemimpin tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan ummah secara keseluruhan. Semoga setiap wanita Muslimah terus diberi kekuatan untuk menjadi inspirasi dan pemangkin kebangkitan ummah, sebagaimana yang diajarkan melalui ibrah peristiwa Israk Mikraj.

Wallahu a’lam.