Laporan Seminar: Peranan Muslimah Dalam Membawa Perubahan Dunia

JOHOR BAHRU: – Ahad, 1 April, Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia, Johor Bahru (MHTM)  telah berjaya menganjurkan seminar muslimah bertajuk “Peranan Muslimah dalam Membawa Perubahan Dunia”. Seminar ini diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada muslimah yang hadir akan realiti kehidupan muslimah hari ini di seluruh dunia, seterusnya menjelaskan penyelesaian dan peranan yang mesti diambil oleh para muslimah dalam membawa perubahan dunia.

Seminar ini dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran surah Ali Imran Ayat 102 hingga 110. Di antara intipati terjemahan adalah mengajak semua manusia untuk berpegang teguh kepada tali Allah iaitu Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw serta sentiasa bersatu hati di dalam menegakkan yang haq dalam rangka usaha menyebarkan dakwah.

Seminar kali ini menampikan dua ahli panel iaitu Ustazah Fatihah selaku AJK Pusat MHTM sebagai ahli panel pertama dan Ustazah Aisyah selaku Ketua MHTM sebagai ahli panel kedua.Fatihah telah membentangkan realiti kehidupan muslimah hari ini dan membandingkan kehidupan muslimah pada zaman Rasulullah SAW. Beliau telah membawakan kupasan realiti berkaitan wanita  daripada perspektif wanita semasa zaman Jahiliah yang menghinakan wanita. Pembentangan diteruskan dengan mengetengahkan realiti pahit wanita masa kini. Di akhir pembentangan beliau menyimpulkan bahawa semua musibah ini merupakan buah daripada perlaksanaan sistem kapitalisme.

Majlis berhenti rehat bagi memberikan ruang pada tayangan multimedia yang memaparkan realiti permasalahan wanita yang menjadi bukti kerosakan Sistem Kapitalisme dan perlunya umat Islam untuk kembali kepada Sistem Khilafah sebagai satu-satunya sistem yang dapat mensejahterakan umat. Peserta juga disajikan dengan pameran yang berkaitan dengan tema seminar.

Aisyah sebagai panel kedua pula merungkaikan penyelesaian dalam segala masalah muslimah. Beliau mengetengahkan tiga peranan utama yang wajib dipikul oleh seorang muslimah iaitu muslimah sebagai ibu ideologi, ahli politik dan daie. Muslimah wajib menyiapkan dirinya sebagai seorang ibu yang memahami Islam secara kaffah agar dapat mendidik anak-anaknya dengan ideologi Islam kaffah. Beliau juga menegaskan bahawa seorang muslimah tidak terlepas daripada kewajipan berdakwah kerana kewajipan berdakwah tertaklif ke atas setiap manusia tanpa memandang status pekerjaan, bangsa, jantina dan pangkat.Seterusnya,Aisyah menjelaskan kewajipan muslimah dalam berpolitik.Politik merupakan sebahagian daripada perjuangan Rasullullah SAW dalam usaha baginda menegakkan sebuah Negara Islam yang akan menerapkan hukum Islam. Oleh itu, umat Islam hari ini mestilah berusaha meraih kembali kegemilangan Islam agar syariat Islam dapat diterapkan secara kaffah. Hal ini tidak akan berlaku sekiranya kita tidak melibatkan diri dalam politik.

Seminar diakhiri dengan sesi soal jawab untuk memberi peluang kepada peserta  mengutarakan persoalan kepada kedua-dua orang ahli panel. Pelbagai soalan telah dikemukakan terutamanya berkaitan dengan aktiviti dakwah serta cabarannya kepada muslimah.Dikesempatan ini, MHTM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para peserta yang hadir serta jawatankuasa yang bertugas untuk menjayakan seminar ini.Bersyukur ke hadrat Ilahi seminar Peranan Muslimah dalam Membawa Perubahan Dunia kali ini telah mendapat sambutan yang baik dari warga Johor Bahru.

Semoga segala usaha ini diberkati dan diredhai Allah SWT dan dikira sebagai amal soleh sebagaimana firmanNya : “Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong agama Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”  [TMQ Muhammad(47):7].