Liberalisme dan pluralisme berkembang biak dari sistem yang rosak
Buletin HTM – Isu cabaran fatwa oleh Sisters in Islam (SIS) telah mencetuskan pelbagai reaksi daripada masyarakat, termasuk dalam kalangan agamawan dan ahli politik. Ramai yang beranggapan keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini sebagai memihak kepada SIS, sekali gus menjadi tamparan kepada institusi agama. Ramai netizen melahirkan kebimbangan mengenai kemenangan demi kemenangan yang telah diperolehi oleh golongan liberal melalui proses mahkamah.
Itu antara intipati awal kupasan oleh Ustaz Abdul Hakim Othman dalam segmen Kupas Tuntas Bersama Jurucakap HTM yang disiarkan secara live pada Jumaat, 20 Jun 2025 yang lepas.
Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa fatwa yang mengaitkan SIS dengan fahaman liberalisme dan pluralisme tetap sah, namun tidak terpakai ke atas SIS sebagai sebuah syarikat. Ini kerana SIS merupakan sebuah pertubuhan, yang tidak termasuk dalam takrifan “persons professing the religion of Islam” (“orang-orang yang menganut agama Islam”) dalam Perlembagaan Persekutuan. “Persons” hanya boleh merujuk kepada orang-orang sebenar (natural persons) dan bukan orang-orang buatan/tiruan (artificial persons) seperti sebuah syarikat, kata Mahkamah.
Ustaz Hakim berpendapat bahawa secara teknikal, sesebuah pertubuhan seperti SIS atau lain-lain, boleh meneruskan penyebaran fahaman liberalisme dan pluralisme atas nama pertubuhan, kerana berdasarkan keputusan ini, fatwa tidak lagi terpakai ke atas pertubuhan.
Jurucakap HTM itu juga berpendapat bahawa keputusan ini telah membuka pintu kepada mana-mana pertubuhan yang telah difatwakan sesat di Malaysia, untuk mencabar kesahan fatwa ke atas mereka, di mahkamah sivil. Walaupun ada pihak yang berpendapat sebaliknya iaitu melalui keputusan ini, ia telah menutup pintu kepada cabaran kesahan mana-mana fatwa, Ustaz Hakim menjelaskan bahawa pertubuhan yang berkenaan bolehlah memulakan sebuah permohonan untuk mengetahui sejauh manakah “kesan” keputusan Mahkamah Persekutuan ini terpakai ke atas pertubuhan-pertubuhan yang telah difatwakan sesat oleh mana-mana negeri di Malaysia.
Menyentuh mengenai komen sesetengah pihak bahawa kuasa Islam semakin terhakis melalui keputusan terbaru ini, beliau menjelaskan bahawa kuasa Islam sebenarnya telah lama terhakis, iaitu sejak negara ini dijajah oleh British, dan melalui perlembagaan yang diberikan oleh British, perlembagaan itu sendiri yang telah menghadkan kuasa Islam dengan pelbagai sekatan, termasuklah dengan menyempitkan kuasa Islam hanya kepada negeri-negeri dalam bidang-bidang tertentu sahaja.
Beliau menambah seterusnya bahawa, jika ada siapa pun yang tidak bersetuju, kecewa atau marah dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ini, mereka seharusnya tidak bersetuju, kecewa dan marah dan sekali gus menolak perlembagaan yang diberikan oleh British, kerana inilah sesungguhnya yang menghakis kuasa Islam di Malaysia.
Ramai yang gagal melihat punca kepada masalah di negara ini dan sering menyalahkah keputusan mahkamah sivil yang berpihak kepada golongan liberal, padahal menurut Jurucakap HTM itu, punca kepada masalah ialah perlembagaan itu sendiri yang telah mewujudkan sistem dua mahkamah di Malaysia iaitu mahkamah sivil dan mahkamah syariah, dan perlembagaan-lah yang memberikan kuasa yang tinggi kepada mahkamah sivil berbanding mahkamah syariah.
Dalam Islam, tidak ada yang dinamakan sebagai mahkamah sivil, kerana hanya ada satu mahkamah sahaja, yang berhukum dengan Al-Quran dan As-Sunnah yang mempunyai bidang kuasa ke atas orang-orang Islam dan bukan Islam. Ini yang seharusnya difahami dan diperjuangkan oleh umat Islam, tegas beliau.
Menurut beliau, semua ini menunjukkan bahawa masalah utama bukan terletak pada keputusan hakim, tetapi pada sistem itu sendiri. Perlembagaan dan sistem demokrasi yang wujud pada hari inilah yang telah memberi ruang kepada golongan liberalists, pluralists, sekularists dan lain-lain untuk terus beraktiviti bagi menyebarkan dakyah mereka.
Abdul Hakim turut memuhasabah pihak berkuasa agama dalam isu fatwa kerana dalam banyak kes, mereka mengeluarkan fatwa tanpa mengikut prosedur, tanpa melakukan penyelidikan (R&D) dengan betul, tanpa tabayyun dan lain-lain kesilapan. Salah satu contoh ialah fatwa fitnah yang dikeluarkan ke atas Hizbut Tahrir. Kita tidak ada masalah dengan fatwa yang benar yang berlandaskan fakta yang benar, dan benar-benar mengikuti Al-Quran dan As-Sunnah, ujar beliau.
Jurucakap HTM itu seterusnya menjelaskan mengenai kedudukan fatwa dalam Islam, dan menerangkan secara panjang lebar mengenai kedudukan fatwa dalam sebuah negara Islam (Khilafah), khususnya dari aspek kebolehan pihak-pihak yang terjejas untuk mencabar fatwa.
Dalam isu hukum syarak, terpulanglah kepada mujtahid atau fuqaha’ untuk mengeluarkan fatwa berdasarkan keilmuan masing-masing, dan individu hanya terikat dengannya jika ia meyakini ketepatan hukumnya. Dalam masa yang sama, ada kemungkinan mujtahid atau fuqaha’ lainnya mempunyai pendapat yang berbeza, dan mereka boleh mengeluarkan fatwa yang berbeza, dan siapa yang meyakini ketepatannya, maka dia terikat dengannya.
Itu dari segi hukum syarak, manakala dari segi akidah, jika sesebuah gerakan atau mana-mana individu telah terbukti sesat sehingga mengeluarkan mereka dari Islam, maka mereka akan diminta bertaubat dan kembali kepada Islam. Jika enggan, maka mereka akan dihukum bunuh. Ustaz Hakim menegaskan seterusnya bahawa, gerakan yang dimaksudkan di sini ialah gerakan yang membawa aliran atau pemikiran tertentu.
Memang benar individu, dan bukannya gerakan tersebut yang akan dihukum, tetapi tidak salah untuk Qadhi atau Khalifah mengisytiharkan sesebuah gerakan itu murtad sebagaimana Abu Bakar dahulu memerangi golongan murtad di zamannya, dan sebagaimana Ali memerangi golongan Khawarij di zamannya, sambung beliau sebagai membandingkan kedudukan kes mahkamah sekarang dengan kedudukan di dalam Islam.
Sebagai penutup, Abdul Hakim menyimpulkan bahawa isu utama kita sekarang ialah sistem demokrasi yang melahirkan golongan yang memperjuangkan liberalisme dan pluralisme, yang didukung pula oleh negara Barat. Sistem ini secara keseluruhannya mesti ditukar kepada sistem Islam.