“Turunkan” sistem, bukan hanya pemimpin, yang buruk

Bahang demonstrasi “Turun Anwar” sudah mula terasa apabila pihak pembangkang telah memulakan langkah turun padang untuk menggerakkan rakyat. Tidak mustahil yang demonstrasi yang dijadualkan pada 26 Julai nanti akan mendapat sambutan besar-besaran melihat kepada sokongan rakyat di media sosial.

Biarpun pembangkang dilihat berjaya setakat ini “menghasut” rakyat dengan kempen “Turun Anwar”, namun malangnya apa yang pembangkang gagal faham ialah usaha untuk menurunkan Anwar semata-mata, tanpa menggantikan sistem demokrasi yang selama ini membelenggu rakyat, merupakan usaha yang tidak akan membuahkan hasil yang diperlukan oleh rakyat.

Sesungguhnya keburukan menimpa umat ini bukan kerana keburukan pemimpinnya semata-mata, tetapi kerana keburukan sistem yang diterapkan ke atasnya. Kedua-dua faktor ini berjalan serentak. Jika buruk salah satunya, maka buruklah akibatnya, apatah lagi jika kedua-duanya buruk, sebagaimana sekarang. Ini kerana kebaikan hanya akan menyelimuti umat Islam apabila umat ini memiliki seorang pemimpin yang bertakwa dan sebuah sistem yang datangnya dari Rabb mereka.

Sesungguhnya kita sedang berada dalam era kepimpinan yang telah disebutkan oleh Rasulullah (saw):

خِيَارُ أَئِمَّتِكُمْ الَّذِيْنَ تُحِبُّوْنَهُمْ وَيُحِبُّوْنَكُمْ وَتُصَلُّوْنَ عَلَيْهِمْ وَيُصَلُّوْنَ عَلَيْكُمْ وَشِرَارُ أَئِمَّتِكُمْ الَّذِيْنَ تُبْغِضُوْنَهُمْ وَيُبْغِضُونَكُمْ وَتَلْعَنُوْنَهُمْ وَيَلْعَنُوْنَكُمْ

“Sebaik-baik pemimpin kalian adalah yang kalian cintai dan mereka mencintai kalian, kalian mendoakan mereka dan mereka juga mendoakan kalian. Seburuk-buruk pemimpin kalian adalah yang kalian benci dan mereka juga membenci kalian, yang kalian laknat dan mereka pun melaknat kalian” [HR Muslim].

Benarlah apa yang disabdakan oleh Rasulullah (saw) ini yang mana kita merupakan saksi yang melihat dan merasai sendiri apa yang baginda katakan. Memang benar apabila seseorang pemimpin itu adalah seorang yang baik dan penuh dengan sifat-sifat kebaikan, maka kita sudah pasti akan mencintainya, dan dia juga akan mencintai kita. Sebaliknya, apabila seseorang pemimpin itu adalah seorang yang buruk dan penuh dengan sifat-sifat keburukan, maka kita akan membenci dan melaknatnya, dan dia juga akan membenci dan melaknat kita.

Intipatinya adalah sifat takwa (takut) kepada Allah yang akan mendorong seseorang pemimpin untuk taat kepada-Nya, dan akan mengatur rakyatnya dengan peraturan-Nya, yang sudah pasti akan mendatangkan kebaikan kepada kedua-dua pihak, malah kepada semua makhluk dan kepada seluruh alam. Namun, apabila sifat takwa ini sudah tidak ada pada pemimpin, maka dia akan memerintah rakyat mengikut hawa nafsunya, dan tidak akan ragu-ragu untuk menzalimi rakyatnya dengan pelbagai bentuk kezaliman, asalkan hawa nafsunya terpenuhi.

Maka, untuk melihat apakah pemimpin yang ada pada hari ini merupakan pemimpin yang baik atau buruk, salah satu indikasinya ialah apabila rakyat membencinya dan malaknatnya. Begitu pula dengan pemimpin tersebut yang turut sama membenci dan melaknat rakyatnya. Bukankah hal ini sedang berlaku sekarang?

Sekiranya pemimpin bersikap adil di tengah-tengah rakyat, berkata baik kepada rakyat, menjaga kesejahteraan rakyat, benar-benar menjadi khadim (pelayan) kepada rakyat, menunaikan hak rakyat, berduka di saat rakyat berduka dan bergembira di saat rakyat bergembira, maka sudah tentu rakyat akan menyayanginya, mentaati, mematuhi, dan memujinya.

Sebaliknya, jika pemimpin itu suka berbohong, memaki hamun rakyatnya, menindas rakyat dengan pelbagai bentuk undang-undang, cukai dan sebagainya, sombong dan menjadi tuan kepada rakyat, tidak pernah peka dengan suka dan duka rakyat, maka sudah tentu rakyat akan membencinya, mencela dan melaknatnya.

Oleh kerana Islam mengharamkan pertumpahan darah sesama Muslim, maka tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa kemuncak kepada kebencian dan kemarahan rakyat terhadap seseorang pemimpin itu ialah dengan mendesak agar pemimpin itu berundur atau meletak jawatan. Inilah fakta yang kita saksikan di seluruh dunia apabila rakyat bangkit dan menuntut pemimpin mereka berundur.

Di Malaysia sendiri sudah banyak kali rakyat menuntut agar Perdana Menteri berundur, yang dapat disaksikan sejak era pemerintahan Mahathir Mohamed dan kesemua Perdana Menteri selepas itu, sehinggalah kepada Perdana Menteri sekarang. Hal ini sahaja sebenarnya sudah mencukupi untuk menunjukkan yang rakyat membenci pemimpin, yang seharusnya diambil iktibar oleh pemimpin yang berkenaan.

Cumanya, apa yang umat Islam perlu fahami ialah penyelesaian sebenar terhadap masalah mereka bukanlah sekadar menjatuhkan pemimpin, tetapi menjatuhkan dan menghancurkan sistem yang terus melahirkan pemimpin yang mereka benci itu. Ini kerana, sistem yang buruk itulah yang telah melahirkan pemimpin yang buruk.

Sistem komunis sudah tentu melahirkan pemimpin yang berfikir dan bertindak sebagai seorang komunis. Begitu juga dengan sistem kapitalis yang sudah tentu melahirkan pemimpin yang berfikir dan bertindak sebagai seorang kapitalis. Sistem demokrasi-sekular pada hari ini sudah terbukti melahirkan ramai pemimpin yang buruk, kerana sistem ini merupakan sebuah sistem kufur yang bertentangan dengan Islam. Begitulah sifat sebuah sistem jahiliah yang sudah tentu melahirkan pemimpin yang berfikir dan bertindak sebagai seorang jahil, dan tidak ada kebaikan di dalamnya.

Oleh yang demikian, selagi sistem kufur demokrasi warisan penjajah ini tidak diturunkan, maka selagi itulah berapa ramai sekalipun pemimpin yang berjaya diturunkan oleh rakyat, maka masalah rakyat tidak akan pernah selesai. Ini kerana, segala penyelesaian masalah itu terletak pada pemimpin yang baik dan sistem yang baik. Pemimpin dan sistem yang baik itu tidak lain tidak bukan ialah seorang Khalifah yang memimpin dengan sistem Khilafah.

Wallahu a’lam.