Elektrik: Hak Rakyat yang Dirampas Pemerintah

Buletin HTM – Kenaikan tarif elektrik yang berkuat kuasa 1 Julai 2025 kembali mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat Malaysia. Walaupun pihak kerajaan memberi jaminan bahawa kenaikan ini hanya membabitkan sektor bukan domestik, kesan berantai seperti peningkatan kos barangan dan perkhidmatan yang bakal dihadapi oleh sektor terbabit, akhirnya tetap akan mengalir dan menghimpit rakyat.

Menyedari pentingnya isu elektrik dari sudut pandang Islam yang lebih mendalam, topik ini telah menjadi pilihan untuk dikupas oleh Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) dalam siaran langsung Kupas Tuntas Bersama Jurucakap HTM bertajuk “Elektrik: Hak Rakyat yang Dirampas Pemerintah” pada Jumaat lepas (04/07/2025).

Ustaz Abdul Hakim Othman telah mengupas secara menyeluruh mengenai tiga jenis pemilikan dalam Islam iaitu al-milkiyyah al-fardiyyah (kepemilikan peribadi), al-milkiyyah al-ammah (kepemilikan umum) dan al-milkiyyah ad-daulah (kepemilikan negara) dengan membezakan di antara ketiga-tiga jenis kepemilikan tersebut serta membandingkan dengan sistem ekonomi kapitalis dan sosialis dalam hal ini.

Jurucakap HTM itu mengulas dengan panjang lebar mengenai konsep al-milkiyyah al-ammah, yang mana elektrik merupakan salah satu bentuk al-milkiyyah al-ammah menurut Islam, tetapi sekarang ini dirampas oleh pemerintah dari rakyat dan dijadikan milik negara, lalu dijadikan bahan perniagaan oleh pemerintah kepada rakyat. Ini merupakan sebuah kezaliman dan dosa yang ditanggung oleh kerajaan, tegas beliau.

Menurut beliau, rakyat memang wajar marah dengan kenaikan tarif elektrik baru oleh kerajaan ini, tetapi dalam masa yang sama umat Islam mesti faham bahawa isu ini bukanlah sekadar isu kenaikan tarif atau bil semata-mata, tetapi jauh lebih besar dari itu iaitu isu sistem ekonomi negara ini yang berasal dan bertunjangkan ideologi kapitalisme.

Beliau menjelaskan bahawa dalam Islam, elektrik termasuk dalam kategori al-milkiyah al-ammah kerana ia merupakan tenaga yang termasuk dalam hadis:

الْمُسْلِمُونَ شُرَكَاءُ فِى ثَلاَثٍ : فِي الْمَاءِ وَالْكَلإِ وَالنَّارِ

“Kaum Muslim bersekutu dalam tiga hal – air, padang ragut dan api” [HR Ahmad].

النَّاسُ شُرَكَاءُ فِي ثَلَاثٍ: فِي الْكَلَإِ وَالْمَاءِ وَالنَّارِ

“Manusia bersyarikat dalam tiga perkara – padang ragut, air dan api.” [HR Abu Ubaid].

“Api” dalam hadis tersebut merujuk kepada api yang berfungsi untuk memanaskan, yang di zaman Rasulullah dahulu diguna untuk memasak dan juga memanaskan. Dalam konteks hari ini, ia berupa sumber tenaga seperti elektrik, dan termasuklah bahan yang menghasilkannya seperti arang batu. Semua in termasuk dalam makna “api”, jelas Ust. Hakim.

Justeru, sumber tenaga ini tidak boleh dimiliki oleh negara atau mana-mana individu. Tugas negara hanyalah mengelolakannya sahaja, kemudian mengagihkannya kepada rakyat secara percuma atau pada harga kos. Jika ada keuntungan daripadanya, maka ia wajib dikembalikan kepada rakyat, kerana ia adalah milik rakyat, ujar beliau.

Ustaz Abdul Hakim turut menyentuh tentang kebobrokan sistem kapitalisme yang membenarkan penswastaan dan nasionalisasi harta umum. Dalam sistem kufur ini, negara tidak lagi bertindak sebagai pelindung rakyat, sebaliknya menjadi seperti peniaga yang bukan sahaja merampas hak rakyat, tetapi menjual semula benda yang dirampas kepada rakyat dengan harga yang tinggi.

Tegas beliau, dalam Islam, negara bertindak sebagai penjaga atau pemelihara rakyat, dan pemimpin itu merupakan khadim (pelayan) rakyat dalam memenuhi segala keperluan rakyatnya. Berbeza dengan sistem kapitalisme pada hari ini yang mana pemerintah menjadi peniaga, penindas dan perampas hak rakyat.

Beliau mengingatkan umat Islam agar tidak terperangkap dengan naratif kononnya pertukaran individu pemimpin adalah penyelesaian kepada masalah rakyat. Sebaliknya, akar permasalahan terletak pada sistem yang rosak. “Kita tak mahu hanya jadi umat yang mengeluh bila harga naik, tapi diam dengan sistem yang rosak. Kita kena tanya, sistem apakah yang membenarkan pemerintah merampas milik kita ini? Selagi sistem kapitalis ini tidak dicabut, selagi itulah hak rakyat akan terus dirampas dan dijual semua kepada rakyat dengan penuh kezaliman,” katanya.

Forum diakhiri dengan seruan agar umat Islam kembali kepada sistem Islam yang sebenar — Khilafah — yang menjamin keadilan, pemeliharaan harta milik umum, dan peranan pemerintah sebagai penjaga yang sayangkan rakyatnya, bukannya peniaga yang suka menzalimi rakyatnya.