Cadang kenaikan tarif elektrik, rakyat terus dizalimi!

Cadang kenaikan tarif elektrik, rakyat terus dizalimi!

KUALA LUMPUR 12 Mei – Tenaga Nasional Bhd. (TNB) akan mengalami aliran tunai negatif pada tahun depan jika kerajaan tidak membenarkan syarikat utiliti itu memindahkan kos kenaikan bahan api kepada pengguna. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, buat masa ini, TNB memiliki rizab tunai mencukupi yang dikumpul sejak lebih dua tahun lalu tetapi ia hanya cukup sehingga akhir tahun ini. “Selepas tempoh itu, kami perlu membuat pinjaman kerana kedudukan kewangan syarikat adalah amat lemah,” katanya kepada Dow Jones Newswires di sini hari ini.

Kali terakhir TNB dibenarkan oleh kerajaan untuk menaikkan tarif elektrik adalah pada bulan Jun 2006 yang menyaksikan kenaikan sebanyak 12 peratus. Che Khalib berkata, sekiranya TNB gagal memindahkan kos bahan api itu kepada pengguna pada tahun depan, syarikat itu tidak lagi berupaya untuk menjana tunai yang cukup untuk menampung tanggungan kos. Beliau menjelaskan, harga arang batu yang digunakan TNB untuk menghasilkan elektrik telah meningkat sebanyak 200 peratus sejak tahun 2006 manakala harga gas yang menjadi bahan api utama lain di Malaysia telah dibekukan sejak sedekad lalu.

Kata beliau, TNB kini memiliki simpanan tunai kira-kira RM3.4 bilion dan perlu membelanjakan RM4 bilion hingga RM5 bilion bagi perbelanjaan modal tahunan untuk menambah baik dan mengekalkan loji-loji jana kuasanya. TNB memiliki sembilan buah loji janakuasa dengan kapasiti 11,464 megawatt. Ia juga mengendalikan pengagihan tenaga dan infrastruktur transmisi di negara ini. Che Khalib berkata, jumlah pinjaman TNB kini berjumlah RM22 bilion berbanding RM32 bilion pada tahun 2004. Menurutnya, syarikat itu telah memohon untuk mengalihkan beban kos kenaikan bahan api dan bukannya kenaikan tarif rasmi, tetapi kerajaan masih belum memberi sebarang jawapan balas. “Kami tidak meminta untuk diberi penghargaan kerana kecekapan… kami meminta untuk melepaskan kenaikan kos untuk memastikan kewangan TNB stabil kepada kos minyak meningkat terlalu tinggi. “Tiada organisasi mampu menyerap kenaikan sebanyak itu dalam kos pengeluaran tanpa memberi kesan kepada pendapatannya,” kata Che Khalib.

Beliau berkata, harga arang batu mewakili 31 peratus daripada kos penjanaan TNB pada tahun ini tetapi ia diunjurkan meningkat kepada 40 peratus tahun depan. Che Khalib berkata, TNB membekalkan arang batu kepada empat buah loji penjanaan menggunakan arang baru iaitu di Loji Kapar dengan keupayaan 1,600 megawatt, Loji Janamanjung dengan kapasiti 2,100 megawatt yang dimiliki oleh TNB dan pengeluar tenaga bebas dengan Loji Tanjung Bin berkeupayaan 2,100 megawatt. Sebuah lagi loji terbaru, Loji Jimah yang memiliki kapasiti 1,400 megawatt sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada tahun depan. Che Khalib berkata, setakat ini pihaknya tidak mempunyai rancangan untuk meningkatkan kapasiti dalam loji pembakaran arang batu.

Permintaan kuasa pada waktu puncak bagi Malaysia diunjurkan mencecah 14,200 megawatt tahun depan dan bertambah kepada 17,600 megawatt pada tahun 2013, kata beliau. Mengulas tentang pendapatan TNB, beliau berkata, syarikat itu masih mencatatkan keuntungan dalam tahun fiskal semasa yang berakhir pada 31 Ogos. Katanya. TNB telah mendapatkan keperluan bekalan arang batu bagi tahun kewangan 2008 pada harga purata AS$75 (RM240.75) setiap tan, lebih tinggi berbanding AS$45 (RM144.45) setan pada 2007. “Memandangkan kenaikan harga arang batu dan peningkatan kos penjanaan, TNB menjangkakan pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos lebih rendah berbanding sebelum ini dan untuk 2009 pula ia lebih ‘mencabar’,” ujar beliau. Ini kerana, katanya, kenaikan AS$1 bagi setiap tan arang batu akan menjejaskan keuntungan sebanyak RM50 juta. Bagi setengah tahun pertama yang berakhir 29 Februari lalu, TNB mencatatkan keuntungan bersih RM2.58 bilion berbanding RM2.8 bilion sebelumnya.

Sumber : Utusan Malaysia 13/5/2008

Ulasan :

Belum pun reda dengan pelbagai kenaikan harga barangan keperluan seperti kenaikan harga petrol, tepung dan beras, muncul pula cadangan hendak menaikkan tarif elektrik. Alasan yang kononnya TNB akan kerugian adalah karut. TNB adalah antara syarikat yang pasti mempunyai pelanggan samada daripada sektor domestik mahupun industri. Jadi jika pelanggannya sudah pasti ada, bagaimana urusniaga boleh rugi? Kalau masih rugi, sudah tentulah ada sesuatu yang tidak kena.

Kewujudan Independant Power Producers (IPP) yang dipunyai oleh individu tertentu dan yang membekalkan tenaga elektrik kepada TNB adalah antara kepincangan di dalam pengurusan sumber tenaga negara. TNB sebenarnya adalah salah satu ‘lubok emas’ bagi individu-individu yang ‘rapat’ dengan kerajaan atau ‘Parti Memerintah’. Mereka mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit tanpa mahu menanggung sebarang kenaikan kos bahan bakar iaitu minyak, gas atau arang batu. Jadi, untuk mengelakkan mereka menanggung kenaikan kos, maka beban tersebut dipindahkan kepada rakyat. Rakyat menanggung kesemuanya, sudahlah kena tanggung kenaikan harga barang, kini terpaksa menanggung kerugian syarikat kroni.

Hakikatnya, bahan asas utama kepada penjanaan elektrik adalah minyak mentah, gas dan arang batu yang tidak boleh dimonopoli oleh sesiapapun kerana jika tidak ia akan menimbulkan kesengsaraan. Ini dijelaskan di dalam Hadis Rasululullah Sallallahu alaihi wa Sallam yang bermaksud: “Kaum Muslimin bersyarikat dalam tiga hal, iaitu air, padang dan api” [HR Abu Dawud].

Ketiga-tiga unsur yang dinyatakan oleh Nabi SAW itu adalah contoh keperluan yang mesti dikongsi oleh setiap individu rakyat (milik umum) dan jika ia dimonopoli dan disekat maka akan muncul kesengsaraan di tengah-tengah masyarakat. Oleh itu, unsur-unsur di atas atau yang seumpamanya harus diletakkan di bawah kepemilikan umum yang bermakna, peranan penguasa hanya setakat menguruskannya tanpa mengambil imbalan dan jika negara tidak mampu menjalankannya, ia boleh memberikan upah kepada mana-mana syarikat swasta yang berminat untuk mencarigali dan menguruskan pengagihannya. Dan bukannya melantik syarikat swasta untuk berkongsi dengan penguasa mengaut keuntungan besar ‘menjual’ kepemilikan umum tersebut kepada rakyat.

Inilah sebahagian daripada kerosakkan yang sedang dilakukan oleh penguasa kaum Muslimin pada hari ini. Segala masalah ini berlaku kerana sistem yang ada telah membenarkannya. Hanya dengan menegakkan syariat Islamlah segala kezaliman ini dapat diatasi dan hak rakyat akan dapat dikembalikan. Hanya Khilafahlah yang akan menyelamatkan umat ini!