Tukar Perdana Menteri tanpa tukar kerajaan dan sistem, sungguh aneh

Di tengah-tengah suasana politik yang sentiasa panas di Malaysia, rakyat disajikan dengan satu lagi episod baru — satu himpunan besar-besaran yang digerakkan oleh pembangkang, bertujuan mendesak Perdana Menteri agar berundur.

Perdana Menteri diminta berundur tapi anehnya, tidak kedengaran pula cadangan individu manakah yang seharusnya menduduki kerusi Perdana Menteri sekiranya dia benar-benar berundur. Lebih aneh lagi, kedengaran suara bahawa tujuan perhimpunan hanyalah untuk menukar Perdana Menteri, bukannya menukar kerajaan.

Tidak kurang anehnya juga kali ini apabila ada suara pro-kerajaan yang cuba menggunakan justifikasi agama untuk tidak membolehkan seseorang pemimpin dijatuhkan melalui cara seperti itu. Suara tersebut dijawab pula dengan teguran oleh pihak lawan agar tidak menggunakan agama untuk menutup ruang rakyat menyatakan pendapat. Tambahan lagi demonstrasi aman, kata mereka, adalah hak rakyat dalam sistem demokrasi.

Kita tertanya-tanya mengenai tujuan demo untuk menukar Perdana Menteri, tetapi bukannya menukar kerajaan. Maksudnya hanya Perdana Menteri sahaja yang perlu berundur, manakala Timbalan Perdana Menteri dan kesemua menteri boleh kekal dengan jawatan masing-masing. Di manakah rasionalnya?

Bukankah semasa Tun Mahathir meletak jawatan ketika menjadi PM kali kedua dahulu, maka keseluruhan jemaah menteri turut meletak jawatan hingga kabinet terbubar? Kenapa dahulu tidak dilantik sahaja seorang lain untuk menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Mahathir, dengan barisan kabinet kekal, atau dengan kata lain dengan mengekalkan kerajaan sedia ada? Kenapa dahulu dan sekarang hujahnya tidak sama, padahal suaranya datang dari pihak yang sama? Aneh..

Suatu ketika dahulu, suara-suara dari pihak yang sama pernah menggelar orang yang mengkritik kerajaan dan mahu jatuhkan kerajaan sebagai kerengga dan lebih teruk daripada tupai dan kera. Kenyataan ini benar-benar ditekankan sehingga menggambarkan bahawa tindakan mengkritik atau mahu menjatuhkan pemerintah itu sangat hina dan tidak bertamadun. Namun pada hari ini, suara dari pihak yang sama menyatakan bahawa tindakan mengkritik dan menjatuhkan pemerintah sebagai suara kebenaran, keberanian, lambang cinta kepada negara, dan sebuah perjuangan yang mulia.

Ironi ini begitu ketara dan mengundang persoalan mengenai standard apakah yang digunakan untuk menilai – apakah apabila kita berada di atas, maka usaha untuk menjatuhkan kita dianggap hina dan tidak bertamadun, tetapi apabila kita berada di bawah, maka usaha untuk menjatuhkan orang yang berada di atas menjadi sebaliknya?

Dulu, mereka menekankan bahawa Perdana Menteri hanya boleh ditukar melalui saluran sah seperti pilihan raya atau undi tidak percaya. Kemudian, mereka melakukan proses “tebuk atap” dan berjaya menjatuhkan kerajaan. Pada hari ini pula, mereka menyeru rakyat turun ke jalan raya untuk menurunkan Perdana Menteri, seolah-olah ini merupakan “proses demokrasi” yang sah. Nampaknya demokrasi boleh berubah tafsiran bergantung kepada keadaan.

Sebagai Muslim, kita tidak boleh bersetuju dan kita tidak akan bersetuju dengan siapa pun yang berada di kerusi kekuasaan dan tidak menerapkan Islam. Siapa pun namanya, dan parti apa pun yang dia wakili, kita sama sekali tidak akan menyokong, mendukung atau berkompromi apabila dia membelakangkan syariat dalam pemerintahannya.

Menerapkan hukum selain Islam merupakan sebuah kezaliman, dan umat Islam wajib menentang kezaliman dan memperjuangkan keadilan. Itu jelas dalam agama. Namun demikian, perjuangan kita perlu berjalan atas landasan yang benar iaitu dengan mengikuti manhaj kenabian, bukannya dengan mengikuti manhaj penjajah, dan bukan juga berjuang semata-mata atas dasar semangat atau sentimen atau ketaksuban kepada mana-mana individu.

Perjuangan kita hendaklah merubah apa sahaja yang tidak betul – baik pemimpin, kerajaan mahu pun sistem. Perdana Menteri merupakan ketua kerajaan dalam sistem demokrasi. Ia mewakili kerajaan, memutuskan dan melaksanakan segala dasar kerajaan. Dengan kata lain, Perdana Menteri dan kerajaannya adalah tubuh yang satu. Keseluruhan kabinet merupakan pembuat dan pelaksana kepada sebuah sistem. Apabila sistemnya rosak, maka keseluruhan kabinet, termasuk kepalanya akan rosak.

Jadi, menukar Perdana Menteri, tanpa menukar kerajaan dan sistem, tidak akan pernah dapat memperbaiki kerosakan. Buktinya terpampang jelas di depan mata yang mana Malaysia telah bertukar 10 kali Perdana Menteri. Kenapa masalah rakyat dan negara tidak pernah selesai, malah bertambah buruk? Kerana yang bertukar hanyalah orangnya, bukan sistemnya.

Perdana Menteri datang dan pergi, parti yang memerintah juga bersilih berganti, tetapi nasib rakyat tetap sama – kos sara hidup sentiasa meningkat, harga barang terus naik, pendidikan makin membebankan, gejala sosial semakin menakutkan, kedaulatan negara semakin longgar dan bermacam masalah lagi.

Manakala kes rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, ketirisan, kronisme dan nepotisme tidak pernah berkurang. Di atas semua itu, hukum Allah tidak pernah diterapkan dalam pemerintahan negara. Malapetaka ini bukan hanya angkara seorang individu yang bergelar Perdana Menteri, tetapi keseluruhan kerajaan dan sistem yang diterapkan, yang telah rosak dari akarnya.

Sungguh malang apabila ada pihak yang hanya ingin menukar Perdana Menteri semata-mata, tetapi tidak ingin menukar kerajaannya dan sistemnya, seolah-olah kerajaan ini sudah cukup baik dan sistem ini sudah cukup Islamik!

Sesungguhnya perubahan yang sebenar memerlukan kita kembali kepada akar permasalahan, bukan sekadar menukar wajah yang berada di tampuk kuasa, tetapi menukar sistem yang digunakan. Inilah akar permasalahannya. Bagaimana mungkin kita ingin mengekalkan sebuah kerajaan yang tidak menerapkan Islam? Bagaimana mungkin kita ingin mengekalkan sistem demokrasi kufur yang datang dari penjajah?

Marilah kita sama-sama memperbaharui niat dan usaha kita – bukan sekadar untuk menukar pemimpin, tetapi untuk menukar keseluruhan sistem dan undang-undang sekular warisan penjajah ini, kepada sistem Khilafah warisan Rasulullah (saw).

Wallahu a’lam.