Konflik Sudan: Umat Islam benar-benar perlukan Khilafah – Jurucakap HTM

Buletin HTM – Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) meneruskan siri kupasan mingguan seperti biasa dengan tajuk minggu ini (07/11/2025) “Memahami Konflik Sudan dan Solusinya”.

Jurucakap HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman menghuraikan secara agak mendalam konflik yang sedang melanda Sudan, bermula dari sejarah, kudeta tentera, campur tangan Barat, pemisahan Sudan Selatan dan banyak lagi, sehinggalah ke perkembangan terbaru konflik yang melibatkan perang saudara antara Pasukan Sokongan Pantas (Rapid Support Forces – RSF) dan Pasukan Tentera Sudan (Sudanese Armed Forces – SAF).

Beliau menjelaskan bagaimana Amerika menjadi dalang kepada konflik berdarah ini, dan menzahirkan kesedihan yang amat sangat kerana kedua-dua kumpulan yang terdiri daripada orang-orang Islam boleh berperang sesama sendiri, serta kekejaman melampau yang mereka lakukan ke atas penduduk awam Sudan.

Ustaz Hakim memetik Soal Jawab terbaru yang dikeluarkan oleh Amir Hizbut Tahrir yang membongkar agenda Amerika untuk memisahkan Darfur daripada Sudan, sebagaimana kuasa besar itu telah memisahkan Sudan Selatan sebelum ini.

Dengan perang saudara yang didalangi oleh Amerika dan gencatan senjata yang juga merupakan tajaan Amerika, Darfur kini bakal terpisah daripada Sudan secara rasmi, yang akan menambah sebuah lagi episod duka ke atas umat Islam apabila wilayahnya dirobek-robek oleh kuasa kafir itu, dan kekayaan alamnya dijarah habis-habisan.

“Amerika tidak akan berhenti daripada mengatur strategi untuk mengekalkan pengaruhnya di bumi umat Islam. Mereka mempergunakan ejen-ejen politik dan ketenteraan tempatan bagi memastikan rancangan mereka berjalan mengikut kehendak Washington,” tegas Abdul Hakim.

Jurucakap HTM itu turut mengupas peranan dua watak utama dalam konflik iaitu Abdel Fattah al-Burhan yang mengetuai SAF, dan Mohamed Hamdan Dagalo (Hemedti) yang mengetuai RSF — yang menurut beliau kedua-duanya merupakan ejen setia Amerika, yang berperang dan melakukan kekejaman di Sudan demi kepentingan Amerika.

“Sudan menjadi medan rebutan antara Amerika dan Eropah kerana kekayaan alam yang dimilikinya, dan kaum Muslimin cuba bangkit di sana sehingga berjaya menjatuhkan rejim Omar al-Basyir, sayangnya kebangkitan mereka berjaya dirampas oleh Amerika melalui al-Burhan dan Hemedti, menyebabkan penderitaan terus melanda penduduk Sudan,” ujar beliau.

Ustaz Hakim seterusnya menjelaskan hukum Islam mengenai keharaman perang saudara dan apa yang sepatutnya dilakukan oleh setiap Muslim apabila berhadapan dengan perang saudara.

Jurucakap HTM itu seterusnya menegaskan mengenai keharaman umat Islam berpecah belah, dan keharaman memisahkan wilayah kaum Muslimin serta keharaman untuk berada di bawah dominasi puak kuffar.

Melihat kepada masalah yang sangat serius di Sudan, Palestin dan lain-lain wilayah umat Islam, kita sekarang sangat-sangat memerlukan Khilafah untuk mempersatukan kita semua, untuk menyelamatkan saudara-saudara kita, untuk mengembalikan penyatuan negeri-negeri kaum Muslimin, untuk menentang penjajah Amerika, untuk menerapkan Islam secara kaffah serta untuk menyebarkan rahmat Allah ke seluruh alam, demikian seru Jurucakap HTM itu di akhir pembentangannya.

Walaupun siaran bermula agak lewat kerana terdapat gangguan teknikal, program ini tetap berjalan lancar dan di akhiri dengan sesi soal jawab di mana Ustaz Hakim turut menjawab soalan mengenai peranan Hizbut Tahrir dalam konflik Sudan, memandangkan Hizbut Tahrir sudah agak lama bertapak dan bergiat aktif di Sudan.