PBB lulus pelan damai: Penguasa Ruwaibidhah ‘jual’ Palestin kepada Trump

Majlis Keselamatan PBB akhirnya meluluskan pelan damai yang digarap oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, kononnya untuk menghentikan pertumpahan darah di Gaza dan membuka laluan kestabilan jangka panjang di Palestin.

Dengan keputusan terbaru Majlis Keselamatan ini, dunia digambarkan seolah-olah sedang menyaksikan satu sejarah dan detik penting dalam usaha mencapai keamanan di Timur Tengah, khususnya Palestin. Dengan keputusan ini juga, pelan damai ini digambarkan seolah-olah telah mendapat konsensus dunia, yang tidak lagi boleh dipertikaikan oleh siapa pun.

Namun, hakikatnya ia hanyalah satu lagi projek Amerika untuk mengekalkan keabsahan penjajahan ‘Israel’ ke atas Palestin, menguatkan cengkamannya ke atas Palestin dan terus meletakkan nasib Palestin di tangannya. Umum mengetahui bahawa PBB hanyalah kuda tunggangan Amerika, yang telah terbukti berkhidmat dengan baik untuk tuannya selama berdekad, maka tidak hairanlah apabila pelan Trump diluluskan.

Kita tentu masih ingat bahawa pelan damai Trump ini lahir daripada mesyuarat tak bermaruah para penguasa Muslim bersama Presiden Amerika itu semasa pertemuan di Perhimpunan Agung PBB pada 23 September lepas. Arab Saudi, UAE, Qatar, Mesir, Jordan, Turkiye, Indonesia dan Pakistan adalah antara anggota mesyuarat yang telah menjual diri mereka kepada Amerika.

Walaupun itu adalah mesyuarat sampingan, tetapi Trump menggambarkannya sebagai “one of the most important meetings”. Akal yang waras boleh membayangkan bahawa ia sebenarnya bukanlah merupakan satu mesyuarat di mana semua orang berhak bersuara dan keputusan diambil secara saksama, tetapi ia merupakan sebuah pelan yang ‘dikenakan’ oleh Trump ke atas para penguasa Ruwaibidhah tersebut, yang tidak lain tidak bukan merupakan ‘yes man’ kepada Amerika.

Kehinaan para penguasa Ruwaibidhah ini jelas terlihat daripada respons mereka sejurus selepas mesyuarat bersama Trump, di mana Emir Qatar, yang negaranya baru sahaja sebelum itu diserang oleh ‘Israel’ dengan lampu hijau daripada Amerika, menyatakan kepada Trump, “Kami berharap dan bergantung kepada anda dan kepimpinan anda untuk menamatkan perang ini dan membantu penduduk Gaza.” Manakala Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pula memuji keputusan mesyuarat bersama tuannya itu sebagai membuahkan hasil.

Tidak ketinggalan Perdana Menteri Malaysia, walaupun tidak dijemput untuk bermesyuarat dengan Trump, telah menyatakan sokongan penuh kepada pelan damai Trump itu ketika kunjungan Trump ke Malaysia baru-baru ini.

Demikianlah realiti para penguasa Muslim, di belahan dunia mana pun mereka memerintah. semuanya hanya tunduk dan mencari redha Washington, tanpa berani mengangkat muka sedikit pun pada tuan mereka, biar pun mereka tahu bahawa tuan mereka itu adalah pembunuh saudara-saudara mereka, dan penjajah dan penghancur wilayah mereka.

قَاتَلَهُمُ اللَّهُ أَنَّى يُؤْفَكُونَ

“Dilaknati Allah-lah mereka, bagaimana mereka boleh berpaling (daripada kebenaran)?” [At-Taubah (9): 30].

Realiti PBB, Amerika, Trump & penguasa Muslim

Bagi mereka yang mempunyai iman, atau setidaknya mempunyai akal yang waras, sudah pasti akan bertanya – siapakah PBB sehingga ia berhak menentukan nasib Gaza? Siapakah yang melantik PBB sebagai penentu masa depan Gaza, masa depan umat Islam, dan masa depan wilayah-wilayah Islam? Siapakah yang memberi hak dan kuasa kepada PBB untuk menjadi pemutus masalah umat Islam?

Persoalan yang sama juga perlu dipertanyakan – siapakah Turmp sehingga dia berhak menentukan nasib Gaza? Siapakah yang melantik Trump sebagai penentu masa depan Gaza, masa depan umat Islam, dan masa depan wilayah-wilayah Islam? Siapakah yang memberi hak dan kuasa kepada Trump untuk memberi solusi kepada masalah umat Islam?

Hakikatnya, PBB dan Trump adalah musuh Islam yang tidak berhak untuk membuat keputusan ke atas umat Islam dan wilayah Islam. Namun malangnya, para penguasa Muslim yang disebut oleh Rasulullah sebagai Ruwaibidhah, yang sepatutnya menjaga Gaza dengan darah dan nyawa mereka, telah memberikan hak dan kuasa kepada PBB dan Trump untuk menentukan nasib Gaza, nasib umat Islam dan nasib wilayah Islam.

Sesungguhnya mereka telah lama memberikan hak dan kuasa ini, secara silih berganti dari seorang penguasa kepada penguasa berikutnya, dari satu generasi ke generasi berikutnya! Berapa ramai daripada penguasa Muslim, malah banyak daripada parti politik Islam sekali pun, yang secara terbuka menyuarakan harapan mereka kepada PBB dan Trump untuk menyelesaikan masalah Gaza!

Palestin telah terlepas ke tangan Yahudi la’natullah kerana pengkhianatan para penguasa Ruwaibidhah inilah – merekalah yang telah menyerahkan Tanah Yang Diberkati itu kepada Yahudi. Mereka bahkan mempertahankan pula Yahudi untuk terus bertempat tinggal di situ. Malah, mereka akan memerangi rakyat mereka sendiri dan umat Islam lainnya jika rakyatnya atau umat Islam lainnya ingin mengambil balik Palestin dari tangan Yahudi. Begitulah dahsyatnya pengkhianatan mereka ke atas bumi Palestin.

Sejarah mencatat bahawa PBB-lah yang telah melahirkan ‘Israel’ di Tanah Palestin Yang Diberkati, setelah sebelumnya Palestin dikuasai oleh British. Semua itu berlaku dengan mudah kerana para penguasa Ruwaibidhah telah membuka jalan yang besar dan luas untuk kelahiran negara haram itu.

Sejak kelahirannya pada tahun 1948, dengan bantuan British, PBB dan kuasa Barat yang lain, ‘Israel’ sudah pun mendapat lebih kurang 80% tanah Palestin walaupun sering dipersoalkan. Kini melalui pelan Trump yang diluluskan oleh PBB, keluasan 80% itu lebih terjamin dan lebih rasmi, apatah lagi jika Hamas turut menerima pelan tersebut. Jadi, warga Palestin sekarang hanya berhak menduduki sisa 20% sahaja daripada tanah mereka sendiri.

Itulah PBB – sebuah badan kufur yang sejarah dan tujuan penubuhannya adalah untuk melemahkan dan menghancurkan Khilafah, serta memecah-belahkan kesatuan umat Islam. Ia terus berperanan sedemikian dalam rangka memastikan bahawa Khilafah tidak akan kembali, dunia Islam kekal terpecah dan sentiasa berada di bawah orbit geopolitik Barat.

Dengan kemunculan Amerika sebagai kuasa utama dunia selepas Perang Dunia II, PBB telah menjadi kuda tunggangan Amerika, dan menjadi rubber stamp untuk Amerika mengabsahkan segala agenda dan kejahatannya ke atas dunia Islam. Semua ini berlaku kerana penguasa Muslim, sejak dulu hingga kini hanya menjadi pengekor Amerika, penjaga kepentingan Amerika, dan hamba kepada Amerika.

Atas dasar itu, Trump pada hari ini dapat melakukan apa sahaja yang dia kehendaki ke atas Gaza, kerana para penguasa Ruwaibidhah ini sesungguhnya telah “menjual” Gaza kepada Trump. Mereka telah menyerahkan Gaza untuk menjadi santapan lazat Trump, dan mereka gembira melihat Trump meratah Gaza hidup-hidup. Amat hinalah apa yang telah dilakukan oleh para penguasa Ruwaibidhah ini!

Kesimpulan

Sesungguhnya penyelesaian masalah Gaza bukan berada di tangan Trump mahupun PBB, malah haram meletakkan penyelesaiannya di tangan mereka kerana kedua-duanya merupakan musuh Islam. Mana mungkin si penggembala menyerahkan masalah kambingnya kepada serigala untuk diselesaikan?! Sungguh betapa khianat, hina dan kejinya para penguasa Ruwaibidhah yang telah menyerahkan Gaza kepada Trump, yang hakikatnya telah menyerahkan leher-leher penduduk Gaza untuk terus disembelih oleh Yahudi dengan menggunakan pisau yang diberikan oleh Trump.

Pelan damai Trump yang diluluskan oleh PBB hanyalah langkah pengabsahan penjajahan ‘Israel’ ke atas Palestin dengan keluasan baru yang lebih terjamin, dan langkah Amerika untuk menancapkan cengkamannya dengan lebih kuat ke atas bumi Palestin. Sungguh, sudah tidak ada apa-apa lagi harapan yang tinggal untuk menyelamatkan Palestin setelah para penguasa Ruwaibidhah ini mempamerkan kemuncak pengkhianatan mereka, kecuali dengan kita sama-sama berusaha merealisasikan mimpi ngeri Amerika dan ‘Israel’ dengan menegakkan kembali al-Khilafah ar-Rasyidah ala minhaj nubuwwah, yang akan melancarkan jihad fi sabilillah bagi membebaskan bumi yang diberkati itu sepenuhnya.

Wallahu a’lam.