Jurucakap HTM membacakan ucapan Amir HT sempena 105 tahun keruntuhan Khilafah

Dalam program Kupas Tuntas Bersama Jurucakap HTM minggu ini (16/01/2026), Ustaz Abdul Hakim Othman selaku Jurucakap HTM telah membacakan ucapan Amir Hizbut Tahrir al-Alim al-Jalil Syeikh Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah sempena 105 tahun jatuhnya Khilafah.
Ucapan tersebut menyentuh peristiwa hitam keruntuhan Khilafah yang menyebabkan kesengsaraan dan perpecahan umat Islam di seluruh dunia. Ia turut mengimbau keadaan umat Islam yang hebat ketika wujudnya Khilafah, sebagai umat yang memiliki negara yang kuat, disegani kawan dan lawan serta membawa cahaya ke seluruh penjuru alam.
Antara mesej utama dalam ucapan Amir Hizbut Tahrir tersebut ialah seruan beliau kepada seluruh kaum Muslimin untuk berganding bahu bersama Hizbut Tahrir di dalam menunaikan kewajipan agung ini.
Lebih khusus, beliau menyeru tentera kaum Muslimin di seluruh dunia untuk memberikan nusrah (pertolongan) kepada Hizbut Tahrir, yang dengan nusrah itu insya Allah Khilafah akan segera berdiri.
Di akhir ucapannya, Amir Hizbut Tahrir memberikan pengharapan bahawa Khilafah sebenarnya sudah semakin dekat dengan izin Allah, dan pada hari kemenangan itu, kaum Muslimin sudah pasti bergembira dengan pertolongan Allah.
Setelah tamat pembacaan ucapan tersebut, sesi soal jawab mengambil tempat seperti biasa dan Ustaz Hakim telah menjawab kesemua soalan yang dikemukakan. Antara soalan yang dipertanyakan ialah mengenai petunjuk apakah yang Hizbut Tahrir gunakan untuk menyatakan yang Khilafah sudah semakin dekat. Ia telah dijawab dengan tuntas oleh Jurucakap HTM itu.
Ustaz Hakim seterusnya ditanya mengenai kenapakah Hizbut Tahrir tidak mengiktiraf Khilafah yang telah ditegakkan oleh kelompok ISIS atau kelompok lainnya. Beliau turut ditanya mengenai cara Hizbut Tahrir mengembalikan semula perisai umat Islam (Khilafah) dan siapakah calon Khalifah daripada Hizbut Tahrir apabila berdirinya Khilafah nanti.
Di akhir program, Jurucakap HTM itu mengambil kesempatan menyeru seluruh komponen umat Islam untuk bersama dengan Hizbut Tahrir bagi menunaikan kewajipan menegakkan Khilafah sebagai sebuah ahammul wajibat (kewajipan paling penting) sebagaimana yang dinyatakan oleh ramai ulama.