Fail Epstein: Terlondehnya ‘topeng suci’ pemimpin Barat, bukti demokrasi sistem pelindung penjenayah!

BULETIN HTM – Skandal seks dan pemerdagangan manusia yang melibatkan jutawan Jeffrey Epstein bersama golongan elit dunia adalah bukti nyata bahawa tamadun Barat yang dibangga-banggakan selama ini sebenarnya telah bankrap dari segi moral dan nilai kemanusiaan. Demikian tegas Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman dalam siaran langsung “Kupas Tuntas” di platform media sosial rasmi HTM pada Jumaat, 06/02/2026.

Ustaz Hakim menyifatkan pendedahan dokumen mahkamah tersebut sebagai satu tamparan hebat ke wajah para pemimpin Barat yang selama ini lantang kononnya merekalah penjaga hak asasi manusia, pelindung kanak-kanak, dan penjaga hak wanita. Jelas beliau, mereka inilah yang sering menuduh Islam menindas wanita dan kanak-kanak, kini terbukti bahawa merekalah pemangsa sebenar yang memperlakukan wanita dan kanak-kanak semata-mata sebagai objek pemuas nafsu serakah.

Demikianlah jijiknya para pemimpin Barat, yang dalam masa yang sama menjadi tuan kepada penguasa Muslim!

Menurut beliau lagi, fail Epstein bukanlah isu melibatkan moral dan kejahatan individu semata-mata, tetapi merupakan hasil tuaian daripada ideologi kapitalisme yang dianut masyarakat Barat, setelah mereka memisahkan agama daripada kehidupan. Inilah tamadun sebenar Barat yang terhasil daripada cara berfikir dan gaya hidup berasaskan kebebasan tanpa pegangan agama. Ini juga buah hasil penerapan sistem demokrasi yang melahirkan pemimpin haiwani yang bertuhankan hawa nafsu, kerana sistem ini memberi kuasa kepada mereka untuk melakukan apa sahaja, serta melindungi mereka daripada segala kesalahan.

Ustaz Hakim turut mengingatkan umat Islam agar tidak teralih pandangan dalam membaca percaturan politik antarabangsa. Fail Epstein ini menurut beliau, boleh sahaja menjadi satu bentuk ‘distraction’ (pengalihan isu) daripada jenayah perang yang jauh lebih dahsyat yang sedang dilakukan oleh entiti Yahudi dengan dukungan Amerika, ke atas umat Islam di Gaza.

Hakikatnya, kejahatan para penguasa Barat, dan ramai lagi golongan elit mereka, telah terbongkar melalui fail Epstein ini, dan umat Islam seharusnya sedar bahawa kejahatan ini tidak berdiri sendiri melainkan terdapat sebuah jaringan yang sistematik melibatkan banyak pihak, termasuk perisikan, yang tidak akan dapat dihapuskan selagi Barat memimpin dunia.

Mengakhiri kupasannya, Jurucakap HTM itu menyimpulkan bahawa dunia Barat, terutamanya Amerika sedang goncang hasil pendedahan ini, namun goncangan itu sahaja belum mencukupi untuk meruntuhkan seluruh kekuatan dan kejahatannya.

Dunia kini sedang menyaksikan hipokrasi, kejahatan dan kebejatan moral para pemimpin Barat dengan ideologi kapitalisme yang mereka anuti. Pendedahan ini tidak akan ke mana selagi keseluruhan sistem yang melahirkan para pemimpin tersebut tidak terhapus, dan selagi Barat masih menguasai dunia. Atas dasar itu, umat Islam memerlukan sebuah kekuatan besar di peringkat antarabangsa untuk meruntuhkan keseluruhan kejahatan Barat ini, dan kekuatan tersebut tidak lain tidak bukan ialah Khilafah” tegas Jurucakap HTM itu dengan penuh semangat.

Ustaz Hakim menutup acara dengan mengingatkan bahawa umat Islam akan pasti mengalahkan segala kejahatan dan kuasa kufur di dunia ini, sebagaimana Islam dahulunya mengalahkan Rom dan Parsi, dua buah kekuatan kufur pada waktu, demi memasukkan cahaya Allah ke seluruh ceruk dunia.