Fail Epstein: Fahami 5 perkara penting ini

Pendedahan Fail Epstein telah mengejutkan dunia, dan terlalu banyak perkara yang boleh diperkatakan melalui pendedahan ini. Daripada sekian banyak perkara tersebut, sebagai Muslim, sudah tentu ada perkara-perkara penting yang perlu kita fahami, dan bagaimanakah seharusnya sikap serta respons kita dalam hal ini. Setidaknya ada 5 perkara yang mesti difahami:

  1. Tamadun Barat yang rosak

Fail Epstein ini mencerminkan kehidupan dan tamadun Barat, terutama sejak Amerika mengambil alih kepimpinan dunia selepas Perang Dunia II. Umum mengetahui bahawa Barat amat mendewa-dewakan kebebasan (freedom), sebagai tiang utama sistem demokrasi yang mereka anuti. Sistem kufur ini berasal daripada ideologi kapitalisme yang berakidahkan sekularisme (pemisahan agama daripada kehidupan), sejak cendekiawan Barat berjaya mengalahkan dominasi gereja.

Ideologi kapitalisme mengajar penganutnya bahawa kehidupan dunia ini ialah untuk mencari sebanyak mungkin manfaat, dan kebahagiaan menurut mereka ialah pemuasan nafsu jasmani semaksimum mungkin, tanpa mempedulikan agama, tanpa mengira nilai moral, malah tanpa mengira risiko kerosakan yang bakal muncul. Penganut kapitalisme hanya hidup untuk mencari kekayaan, kuasa, jawatan, pangkat, pengaruh, kemasyhuran, kecantikan dan sebagainya, di mana semakin banyak hal-hal itu mereka perolehi, maka semakin bahagialah mereka (pada pandangan mereka). Sebaliknya, bagi mereka yang tidak mendapat semua itu, maka mereka dikira orang yang sengsara, ketinggalan, bodoh, out dated dan sebagainya.

Demikianlah dengan Jeffrey Epstein dan rakan-rakan subahatnya – yang cara berfikir dan cara hidup mereka ialah untuk meraih sebanyak mungkin manfaat demi memuaskan nafsu serakah mereka. Akhirnya terjadilah apa yang telah terjadi. Mereka berpesta di Pulau Epstein dengan sukarela, dengan penuh ghairah, tanpa dibayar, tanpa dipaksa, melakukan segala kejahatan yang telah mereka lakukan – semuanya demi memenuhi hawa mereka yang tidak terbatas.

Selain itu, dengan idea kebebasan tanpa batas yang dianut oleh masyarakat Barat, mereka turut melakukan hal yang songsang dan tak masuk akal, malah mereka berbangga dengannya. Maka, muncullah golongan seperti LGBT, golongan penyembah syaitan, dan termasuklah golongan pedofilia yang tak berperi kemanusiaan dan sanggup melakukan apa sahaja sehingga ke tahap pembunuhan dan memakan daging manusia.

Salah satu tabiat penganut ideologi rosak ini ialah berkumpul beramai-ramai dan berpesta dalam melakukan kejahatan mereka. Walaupun mereka boleh sahaja melakukannya sendirian dan jauh dari pengetahuan orang ramai. Namun, nafsu serakah mereka yang terhasil dari cara berfikir dan gaya hidup yang lebih buruk dari binatang, menjadikan mereka syaitan-syaitan yang bertopengkan manusia, atau lebih tepat merekalah sebenarnya syaitan manusia.

Demikianlah tamadun Barat terbentuk, melalui cara berfikir tertentu, dan pandangan hidup tertentu, yang lahir daripada ideologi kapitalisme yang memisahkan agama daripada kehidupan (sekularisme). Walaupun kita tidak menuduh semua orang kafir Barat begitu, tetapi demikianlah hakikat tamadun mereka. Kebebasan melakukan apa sahaja – perzinaan, hidup serumah tanpa kahwin, telanjang di tempat awam, mabuk-mabuk, disko, pub dan pelbagai pesta maksiat tanpa batas – semua ini merupakan sebahagian daripada kehidupan mereka. Ya, memang ada individu yang masih “baik”, yang beragama dan bermoral, namun hakikatnya mereka menaiki keretapi yang sama yang membawa mereka ke lembah kehancuran. Itulah tamadun Barat.

  1. Bukan sekadar isu moral atau jenayah individu, tetapi sebuah jaringan sistemik

Tidak dinafikan bahawa golongan elit yang terlibat dengan skandal Epstein merupakan individu-individu yang tidak bermoral dan telah melakukan jenayah dengan melanggar undang-undang negara mereka sendiri. Namun, lebih jauh daripada itu, skandal Epstein ini bukanlah persoalan kejahatan individu semata-mata, tetapi sebuah jaringan yang sistemik yang melibatkan golongan berpengaruh dari pelbagai latar belakang – pemimpin negara, ahli politik, golongan bangsawan, usahawan, taikun-taikun gergasi, artis dan banyak lagi, termasuklah melibatkan perisikan. Fail Epstein telah membongkar segala-galanya.

Jaringan kejahatan ini pula tidak berdiri sendiri, tetapi didukung dan dilindungi oleh sebuah sistem – sistem yang mana elit kekuasaan dan para kapitalis di belakangnya saling memanfaatkannya untuk kepentingan mereka, kerana sistem ini sememangnya senantiasa berpihak kepada mereka. Sistem apa lagi jika bukan demokrasi. Demokrasi telah terbukti sebagai sebuah sistem dari kapitalis, oleh kapitalis dan untuk kapitalis. Maka, para kapitalis ialah golongan yang sentiasa mendapat untung dan diuntungkan oleh sistem ini.

Apabila kuasa atau pengaruh yang cukup besar sudah berada di tangan, dan sudah sekian lama mereka hidup kebal dari undang-undang dan hukuman, maka mereka melakukan segala kejahatan tanpa rasa takut, tanpa rasa malu dan tanpa memikirkan risiko. Demikianlah bagaimana sistem ini telah membentuk sebuah jaringan jenayah kelas atasan yang cukup sistematik dan terlindung, termasuklah peras ugut politik sesama mereka.

  1. Wajib menolak penguasa Muslim yang berkiblatkan Barat

Barat selama ini menyerang Islam dari pelbagai sudut, dan membandingkannya dengan cara berfikir dan cara hidup mereka yang kononnya lebih baik dan lebih bertamadun. Mereka menyerang hukum Islam ke atas perempuan yang wajib bertudung dengan menyatakan Islam menindas wanita, mereka menyerang hukum poligami, mereka menyerang hukum Islam yang membenarkan kahwin di usia remaja dengan menyatakan ia satu bentuk penindasan terhadap kanak-kanak, bahkan mereka menyerang dan menghina Rasulullah (saw) sebagai seorang pedofilia, dan pelbagai serangan lagi yang menggambarkan Islam bertentangan dengan hak asasi manusia.

Kini, melalui fail Epstein, Allah (swt) telah membuka sedikit kemunafikan dan kejahatan mereka. Pemimpin yang sama yang menyerang Islam selama ini, merekalah yang sebenarnya melakukan semua itu – menindas wanita, merogol kanak-kanak, memperdagangkan kanak-kanak untuk tujuan seks, dan merekalah yang ternyata pedofilia, dan merekalah juga yang sebenarnya merupkan pelanggar hak asasi manusia.

Lebih buruk dari itu, inilah pemimpin Barat yang sama, yang ditaati oleh para penguasa Muslim. Inilah pemimpin yang sama, yang mana para penguasa Muslim bersahabat dengannya, memujinya, menyambutnya dengan permaidani merah, melayannya sebagai raja, dan inilah pemimpin yang sama yang para penguasa Muslim tunduk kepadanya dan menjadi agennya. Sesungguhnya para penguasa ini lebih buruk dan lebih hina daripada pemimpin Barat tersebut. Kenapa? Kerana penguasa Muslim ini beragama Islam, tetapi boleh berbaik dan tunduk kepada syaitan manusia itu, padahal mereka mengetahui yang Allah (swt) melarang mereka berbuat demikian!

Maka, sudah tiba masanya bagi kaum Muslimin yang selama ini percaya kepada Barat atau terikut dengan rentak Barat, dan selama ini mendukung pemimpin mereka yang mendukung Barat, untuk sedar dan menolak bukan sahaja pemimpin Barat, tetapi pemimpin mereka yang berkiblatkan Barat. Inilah juga masanya untuk kita terus menyerang kemunafikan Barat serta tamadun mereka yang penuh dengan kejijikan.

  1. Barat dan Amerika sedang bergoncang, menunggu masa keruntuhan

Pembongkaran fail Epstein ini juga seharusnya menjadi pengajaran bagi kaum Muslimin yang selama ini melihat Rumah Putih (White House) sebagai kuasa yang tidak boleh digugat. Ramai penguasa Muslim berkata bahawa “tiada tempat untuk kita berlindung daripada kekuatan Amerika melainkan kepadanya”. Sedangkan tempat berlindung kita yang sebenar ialah kepada Dzat Yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa, bukannya Amerika. “Kekuatan” musuh Allah hanyalah seperti sarang labah-labah, malah lebih lemah dari itu, yang mana Allah boleh menghancurkan mereka dengan cukup mudah.

Sekarang kita lihat satu peristiwa seperti fail Epstein ini telah pun menggoncang Amerika khususnya, dan dunia Barat amnya. Tanpa serangan tentera, tanpa serangan ekonomi, tanpa serangan fizikal apa pun, Amerika telah goncang dengan pembongkaran satu fail. Jadi, umat Islam jangan sampai terpedaya dengan kekuatan atau kuasa zahir, kerana cukup dengan satu isu sahaja Amerika sudah goncang. Ingatlah bahawa kuasa Allah itu meliputi segalanya – dari depan dan belakang mereka, dari kiri dan kanan, dan dari atas dan bawah mereka. Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan terlepas daripada kekuatan dan kekuasaan Allah, walau mereka merasa yang mereka sangat kuat dan sangat berkuasa dan boleh melakukan apa sahaja.

Tidak mustahil bahawa fail Epstein ini bakal menjadi titik perubahan kepada politik dan dominasi Amerika. Sekarang Amerika tengah bergoncang, walaupun belum runtuh, namun tidak mustahil ia menuju keruntuhan dengan isu ini.

  1. Keperluan mendesak kepada Khilafah

Salah satu isu yang muncul daripada fail Epstein ini ialah kedudukan Jeffrey Epstein itu sendiri yang dikatakan sebagai agen Mossad. Sejauh maka kebenarannya masih belum terbukti, namun tiada yang mustahil. Kita tidak menafikan yang ‘Israel’ dan Amerika memiliki jaringan perisikan yang besar di seluruh dunia. Jika benar bahawa Epstein merupakan agen Mossad, maka apa yang perlu kita fahami ialah satu agen terhapus, mereka boleh menghasilkan 10 agen yang lain. Ini kerana, yang terhapus hanyalah agennya, bukannya Mossad itu sendiri. Mossad masih berdiri kukuh, begitu juga dengan CIA dan lain-lain agensi perisikan Barat.

Atas dasar itulah, kita memerlukan sebuah kekuatan global untuk melawan dan menghancurkan kejahatan Barat. Sesungguhnya Amerika dan banyak negara Barat adalah terlalu jahat untuk terus dibiarkan memimpin dan mendominasi dunia. Maka, kita memerlukan sebuah kekuatan besar untuk melawan mereka, dan kekuatan itu tidak lain tidak bukan ialah Khilafah.

Khilafah mesti dikembalikan, bukan sahaja kerana hukumnya wajib untuk dikembalikan, tetapi tanpanya, siapakah yang akan mengalahkan kejahatan Amerika dan Yahudi? Tanpanya, siapakah yang akan meruntuhkan tamadun Barat yang sudah sampai ke tahap melebihi kegilaan? Tanpanya, siapakah yang akan membawa keamanan kepada dunia? Tanpanya, siapakah yang akan menyebarkan rahmat Allah ke seluruh alam?

Tanpa adanya sebuah kekuatan dan kekuasaan Islam (Khilafah) yang akan melakukan semua itu, semua skandal dan kejahatan yang terdedah melalui fail Epstein hanya akan menjadi “sampah internet” yang akan hilang ditelan masa. Maka, sesungguhnya menjadi tugas setiap Muslim untuk meruntuhkan ‘empayar kekufuran’, dengan berusaha menegakkan semula Khilafah, yang insya Allah bakal kembali sebagai super power dunia untuk kali yang kedua. Jika dahulu, Daulah Islam telah berjaya meruntuhkan empayar Rom dan Parsi, maka dengan izin Allah, Khilafah yang bakal berdiri akan meruntuhkan kesemua kejahatan dunia yang ada pada hari ini, dan mengembalikan dunia kepada kebaikan dan rahmat.

Kesimpulan

Sebagai Muslim, kita tidak seharusnya membiarkan fail Epstein ini berlalu begitu sahaja tanpa mengambil pengajaran daripadanya, dan tanpa berbuat sesuatu. Jika dunia Barat sedang bergoncang dengan fail ini, maka tugas kita ialah untuk terus memberikan goncangan hebat tanpa henti sehingga peradaban dan dominasi jahat mereka ke atas dunia runtuh sama sekali. Selama ini dunia Barat sudah pun bergoncang dengan seruan kepada Khilafah yang dilaungkan oleh Hizbut Tahrir, maka seruan ini mesti diteruskan dan kita boleh bayangkan bagaimana keadaan mereka apabila Khilafah benar-benar berdiri sedikit masa lagi, jika hanya dengan seruan pun mereka sudah goncang.

Wallahu a’lam.