Pencerobohan tanah: Penguasa gagal tunai tanggungjawab, Islam beri solusi tuntas – Jurucakap HTM

BULETIN HTM – Kegagalan pihak berwajib menangani isu pencerobohan tanah sehingga mencetuskan ketegangan rakyat, ditambah pula dengan situasi aneh di mana pemilik tanah ditangkap manakala penceroboh dibiarkan, membuktikan bahawa penguasa pada hari ini tidak bertanggungjawab menjaga hak rakyat, dan sebaliknya bertindak zalim terhadap pemilik tanah. Demikian tegas Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman dalam siaran langsung “Kupas Tuntas” di platform media sosial rasmi HTM pada Jumaat, 20/02/2026.

Ustaz Hakim menyifatkan kes-kes pencerobohan tanah yang sedang hangat dilaporkan di tanah air ketika ini sebagai suatu yang sangat mengecewakan. Beliau memberikan contoh nyata seperti pembinaan kuil di atas tanah wakaf, tanah persendirian, mahupun tanah kerajaan oleh pihak yang jelas tidak mempunyai hak ke atas tanah berkenaan. “Yang rakyat kecewa, yang rakyat nak marah adalah apabila pihak penceroboh itu tidak dikenakan apa-apa tindakan, sebaliknya tuan tanah pula yang ditangkap kerana mempertahankan tanahnya,” tegas Jurucakap HTM itu mengenai situasi pelik yang berlaku.

Ternyata pihak berwajib tidak menjalankan tanggungjawab kerana Malaysia mempunyai undang-undang tanah dan Kanun Keseksaan yang melindungi hak pemilik daripada pencerobohan sedemikian.

Ustaz Hakim turut mengingatkan bahawa di dalam Islam, kehormatan pemilikan harta adalah sesuatu yang dijaga dan dipagari dengan hukum yang tegas. Merujuk kepada perintah Allah (swt) di dalam Surah An-Nur ayat 27-28, siapa pun dilarang sama sekali memasuki kediaman atau hartanah orang lain tanpa mendapat keizinan pemiliknya terlebih dahulu.

Menurut beliau lagi, penceroboh tanah berhadapan dengan ancaman seksa yang amat dahsyat di akhirat kelak sebagaimana disebut dalam banyak hadis bahawa sesiapa yang merampas walaupun sejengkal tanah secara zalim, nescaya dia akan dibebani dengan tujuh lapis bumi pada hari kiamat. Malah, Islam memberikan kemuliaan besar bagi mereka yang terkorban demi mempertahankan harta mereka dengan mengiktiraf kematian tersebut sebagai syahid.

Bagi menyelesaikan persengketaan yang timbul akibat kewujudan binaan atau tanaman yang dibuat tanpa izin, Islam menyediakan solusi yang sangat praktikal. Menurut beliau lagi, penceroboh sama sekali tidak mempunyai hak ke atas tanah yang diceroboh, bangunan atau tanaman, dan pemilik asal diberikan dua pilihan yang adil terhadap apa sahaja yang ditinggalkan di atas tanahnya.

Sesuai dengan hadis, pemilik tanah boleh memilih untuk memiliki binaan atau tanaman tersebut dengan membayar kos perbelanjaan kepada penceroboh, atau berhak mengarahkan penceroboh meruntuhkan bangunan dan mencabut tanaman itu bagi mengembalikan tanah kepada keadaan asal dengan kos ditanggung oleh penceroboh. “Pemilik tanah memiliki hak sepenuhnya ke atas permukaan tanah, apa yang ada di dalamnya, dan juga ruang udara di atas tanah tersebut,” tegas Jurucakap HTM itu bagi menjelaskan keluasan perlindungan syarak terhadap hak kepemilikan.

Ustaz Hakim menyifatkan kegagalan pemerintah menangani isu ini sudah tidak boleh diterima, dan satu-satunya jalan keluar bagi menghentikan segala kezaliman ini adalah dengan kembali kepada penerapan sistem Islam sepenuhnya di bawah naungan Khilafah, yang akan memastikan setiap inci hak rakyat dilindungi tanpa sebarang kompromi.