Hentikan Penghinaan Terhadap Nabi SAW: HTM kemuka solusi tuntas

Tindakan segelintir netizen yang mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap junjungan mulia Rasulullah SAW merupakan suatu bentuk kebiadapan yang perlu ditangani secara tuntas. Tindakan penghinaan sebegini mendapat kecaman dan membangkitkan kemarahan umat Islam di negara ini. Beberapa siri demonstrasi bagi membantah kebiadapan ini telah dianjurkan di seluruh negara oleh umat Islam sebagai tanda kecintaan terhadap Rasulullah SAW.

Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) turut tampil bersama-sama umat bagi menzahirkan bantahan terhadap kebiadapan pihak yang menghina Nabi SAW dengan mengadakan siri demonstrasi secara serentak di beberapa lokasi di seluruh negara pada Jumaat lepas.

HTM bukan sekadar mengingatkan pihak berkuasa agar mengambil tindakan penghina Nabi SAW dengan kadar yang segera, bahkan turut menyeru agar penguasa berhukum dengan hukum Allah dalam kes sebegini. Islam telah menggariskan bahawa hukuman terhadap penghina Nabi SAW adalah hukuman mati. Dalam pada itu, HTM turut menekankan bahawa penguasa bahkan wajib menerapkan hukum Islam secara keseluruhannya.

HTM juga menegaskan bahawa kes penghinaan sebegini akan terus berulang selagi tiadanya institusi pemerintahan Islam iaitu Khilafah yang akan bertindak tegas demi memelihara kemuliaan Rasulullah SAW dan Islam daripada terus dicemari. Sejarah telah mencatatkan bagaimana ketika Perancis dan British cuba menghina Rasulullah SAW dalam bentuk pementasan teater, Sultan Abdul Hamid II telah mengancam untuk melancarkan jihad ke atas kedua-dua buah negara tersebut. Demikianlah sikap tegas yang ditunjukkan oleh seorang pemimpin umat Islam yang benar-benar ikhlas serta mencintai Rasulullah SAW.