Di Sebalik Pertembungan Amerika-Iran: Antara Babak Akhir Pertukaran Kepentingan dan Projek Hegemoni Baru

Satu persoalan mendasar yang sering berulang dalam kalangan pemerhati politik dan masyarakat: Mengapakah Amerika menyerang Iran hari ini, sedangkan selama berdekad-dekad Iran merupakan bahagian yang tidak terpisah daripada percaturan politik Amerika di rantau ini?
Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu menyemak semula naratif yang sedia ada. Iran selama ini bukan hanya sebuah negara pengikut (Daulah Taabi’ah) kepada Amerika, malah ia bergerak dalam orbit politik Amerika dalam ruang pragmatik yang murni, demi mencapai impiannya meluaskan pengaruh serantaunya.
Perkembangan politik sejak awal abad ke-21 – yang kadangkala tidak dijangka – telah memberikan peluang berturut-turut kepada Tehran, di mana kepentingannya bertemu (sama) dengan keperluan Washington, yang membolehkan Washington menggunakan khidmatnya di pelbagai arena seperti di Afghanistan, Iraq, Lubnan, Syria, dan Yaman. Maka, sejarah hubungan antara keduanya penuh dengan kesepakatan kotor dan kepentingan bersama.
Namun demikian, nampaknya projek Amerika untuk rantau ini telah matang dan memasuki fasa baru, di mana Washington memutuskan untuk menamatkan pengaruh Iran yang telah pun tamat tempoh fungsinya. Amerika hari ini berusaha untuk melebarkan pengaruhnya secara langsung dan menyeluruh, serta melakar semula peta Timur Tengah mengikut pelan lama yang telah tergendala selama berpuluh tahun. Iran bukanlah pihak pertama yang berkhidmat untuk Amerika kemudian dikorbankan dan dicampakkan ke tong sampah; sejarah politik moden sarat dengan contoh-contoh sedemikian yang tidak terkira banyaknya.
Di tengah landskap yang kompleks ini: Adakah kita patut gembira? Atau marah? Atau menyedari hakikat sebenar yang berlaku agar kita dapat bertindak dengan betul?
Adalah sangat penting untuk ditegaskan bahawa sikap (pendirian) kita terhadap pertembungan ini tidak berangkat daripada sebarang simpati terhadap rejim Iran dalam apa jua keadaan pun. Rejim itu sendiri tidak berubah dan tidak menunjukkan sebarang bukti bahawa ia telah berundur daripada sejarah serantaunya yang memalukan. Ia adalah rejim yang kepentingannya bertemu dengan kepentingan penjajahan Amerika di Afghanistan dan Iraq, menyumbang dalam menyokong rejim Assad di Syria, serta memainkan peranan utama dalam memecahbelahkan Yaman.
Dari sudut isu-isu utama, rejim ini – sebagaimana rejim-rejim lainnya – telah mengecewakan Gaza, malah membiarkan partinya di Lubnan menghadapi nasibnya sendiri, dan ia hanya memutuskan untuk masuk ke medan konfrontasi langsung ketika “pisau sudah berada di lehernya”. Seandainya ia berhasil mengelakkan perang melalui rundingan, nescaya ia akan kembali menyambung tabiat lamanya bersubahat dengan Amerika.
Walaupun dengan sejarah Iran yang memalukan ini, pandangan terhadap perang Amerika-Iran yang sedang berlaku mestilah bertitik tolak daripada sudut yang lebih luas: Ia merupakan satu pencerobohan ke atas sebuah negara umat Islam, dan yang lebih berbahaya, ia datang dalam konteks projek masa depan Amerika yang membawa matlamat malapetaka yang tidak pernah berlaku sebelum ini, melangkaui sekadar menjatuhkan musuh.
Projek ini, yang digerakkan oleh pentadbiran Amerika (dan secara khususnya projek Trump), bertujuan lebih jauh daripada sekadar hegemoni ketenteraan dan politik. Ciri-cirinya dapat diringkaskan seperti berikut:
- Penaklukan Intelektual dan Psikologi: Memaksakan apa yang dinamakan sebagai “Agama Ibrahimiyah” (Abrahamic Religion) sebagai kerangka budaya baru, dan menjadikan sebarang projek kebangkitan politik Islam sebagai sesuatu yang terlarang secara mutlak.
- Pemecahan Geografi dan Demografi: Memecahbelahkan lagi rantau ini kepada wilayah-wilayah kecil politik, mazhab dan perkauman, serta menukarkan penduduknya (khususnya majoriti Sunni) kepada sekadar kumpulan mazhab yang hidup di antara pulau-pulau kecil di tengah lautan yang dipimpin oleh pihak luar, terutamanya entiti Yahudi.
- Perhambaan Ekonomi: Projek menukarkan wilayah Syam dan Timur Arab menjadi sekadar zon pelaburan besar bagi kapital Amerika, di mana penduduk tempatan hanya menjadi kakitangan dan buruh untuk berkhidmat kepada kepentingan hegemoni baharu.
Oleh itu, menyempitkan landskap ini sebagai sekadar “musuh saling membantai” adalah sebuah pandangan yang dangkal. Kelengkapan gambaran ini terletak pada usaha Washington untuk meraih hegemoni secara mutlak dan langsung, di mana entiti Yahudi dibiarkan bermaharajalela tanpa kawalan, mengambil kesempatan atas keadaan rejim-rejim yang tunduk menghina diri.
Sekiranya umat menyedari gambaran ini secara menyeluruh, nescaya mereka akan melangkaui dikotomi antara rasa seronok dan bersorak (atas kesusahan musuh) di satu sisi, dengan bersimpati dan meratap di sisi lain, lalu berpindah ke ranah kesedaran. Kesedaran inilah yang sepatutnya mendorong golongan elit yang ikhlas untuk memikul tanggungjawab mereka, dan mengambil inisiatif bagi menghalang agenda Amerika ini daripada menjadi kenyataan, berbanding hanya berpuas hati dengan doa pasif: “Ya Allah, hancurkanlah orang zalim dengan orang zalim, dan selamatkanlah kami dari antara mereka.”
Ditulis oleh: Ahmad al-Qasas