Epstein, Iran dan Masa Serangan: Bagaimana pertemuan antara ‘krisis dalaman’ dan ‘keputusan strategik’ harus dibaca?

Pembacaan profesional terhadap detik ini tidak boleh menerima penyederhanaan seperti: “Amerika dikawal sepenuhnya oleh ‘Israel’”, dan pada masa yang sama ia juga tidak boleh menafikan kesan alat tekanan dan pengaruh yang menyokong entiti Yahudi di dalam Washington.

Gambaran yang lebih tepat ialah: terdapat hierarki kepentingan yang dipimpin oleh Amerika Syarikat, dan di dalam hierarki ini, beroperasinya rangkaian tekanan, pakatan, institusi, serta persilangan perisikan dan politik yang mengetengahkan pilihan tertentu apabila ia juga melayani kepentingan Amerika.

Dalam kerangka inilah hubungan antara krisis fail Epstein dan masa peningkatan ketegangan terhadap Iran boleh difahami – bukan sebagai satu-satunya penjelasan, tetapi sebagai faktor tekanan politik dan pemangkin pada detik keputusan yang sangat sensitif.

Pertama, dari sudut dalaman Amerika, fail Epstein tidak lagi sekadar bahan arkib atau “skandal lama”. Laporan Reuters menunjukkan bahawa pendedahan berterusan berjuta-juta dokumen menjadikan kes ini masalah politik yang berterusan bagi Trump, dan ia berubah menjadi isu kepercayaan umum berkaitan hubungan antara kuasa dan golongan elit serta idea tentang impunity (terlepas daripada hukuman).

Tinjauan Reuters-Ipsos juga menunjukkan bahawa peratusan besar rakyat Amerika melihat fail-fail ini sebagai bukti bahawa golongan yang berkuasa sering tidak dipertanggungjawabkan (terlepas), dan kes tersebut menjejaskan kepercayaan terhadap kepimpinan politik dan ekonomi. Ini bermaksud kita berhadapan dengan isu yang bukan sahaja mengancam reputasi, tetapi juga memberi tekanan kepada persekitaran legitimasi politik itu sendiri.

Dalam konteks yang sama, ketegangan politik meningkat apabila seorang timbalan Demokrat terkemuka menuduh Jabatan Kehakiman menyembunyikan wawancara FBI berkaitan dengan tuduhan terhadap Trump dalam fail Epstein.

Reuters menegaskan bahawa pihak penguatkuasa undang-undang tidak melakukan pendakwaan jenayah terhadap Trump dalam kes ini, dan jabatan tersebut sendiri menyatakan bahawa mereka sedang menilai sama ada sebahagian bahan mungkin telah disembunyikan secara tersilap.

Perkara ini sangat penting kerana ia menjadikan isu tersebut amat sensitif dari segi politik walaupun tanpa sabitan mahkamah, dan ia membuka ruang kepada tuduhan “penutupan kes” dan dwistandard – persekitaran yang ideal untuk konflik media dan partisan menjadi lebih sengit.

Bagaimanapun, adakah ini secara profesional bermaksud bahawa serangan terhadap Iran hanyalah “pengalihan isu” daripada isu Epstein? Di sinilah analisis memerlukan disiplin yang teliti. Literatur strategik mengenai apa yang dikenali sebagai Teori Pengalihan Isu (Diversionary Theory) dan kesan “rally round the flag” menyatakan bahawa pemimpin kadangkala melihat krisis luar sebagai peluang untuk menyusun semula medan politik dalaman atau meningkatkan kos politik bagi lawan mereka.

Namun, literatur yang sama juga menegaskan bahawa ini bukanlah peraturan yang pasti, dan bukti empirikal bercampur; malah sebahagian kajian mempersoalkan sejauh mana pola ini benar-benar meluas seperti yang sering digambarkan dalam wacana umum. Dengan kata lain, hipotesis ini wujud dan diiktiraf dalam sains politik, tetapi tidak boleh secara automatik dijadikan “bukti” bagi setiap perang atau serangan ketenteraan.

Apa yang boleh dikatakan secara tahap profesionalisme yang lebih tinggi ialah:

Fail Epstein telah mewujudkan tekanan dalaman yang nyata, dan tekanan seperti ini menjadikan mana-mana pentadbiran lebih sensitif dalam mengurus agenda media dan politik. Namun keputusan untuk menyerang Iran — menurut laporan Reuters — juga dipandu oleh logik strategik dan perisikan tersendiri.

Taklimat kepada Trump menggambarkan operasi tersebut sebagai “risiko tinggi atau pulangan tinggi”, dengan perbincangan tentang peluang yang jarang berlaku untuk mencipta perubahan geopolitik yang menguntungkan kepentingan Amerika, serta penilaian mengenai risiko terhadap pangkalan Amerika, kemungkinan tindak balas Iran, dan pilihan untuk “mengubah” keseimbangan kuasa di rantau tersebut.

Ini meletakkan kita kepada pertembungan antara motif dalaman dan motif strategik, bukannya kepada satu penjelasan tunggal. Malah sebahagian laporan Reuters melemahkan naratif “pengalihan isu semata-mata”. Liputan tersebut menunjukkan bahawa Trump telah mula secara terbuka menyediakan pendapat umum bagi kemungkinan menyerang Iran beberapa hari sebelum serangan tersebut, dalam ucapan State of the Union, sementara pengumpulan tentera Amerika di Timur Tengah sudah pun mendominasi suasana politik.

Dengan kata lain, pilihan untuk meningkatkan ketegangan tidak muncul secara tiba-tiba akibat krisis media. Ia telah pun berada di atas meja dan didahului oleh persiapan ketenteraan serta retorik politik, kemudian pelaksanaannya berlaku pada saat operasi yang sesuai. Ini tidak menafikan kesan isu Epstein terhadap masa (timing) politik dan cara ia dipersembahkan kepada masyarakat domestik, tetapi ia menafikan – atau sekurang-kurangnya melemahkan – dakwaan bahawa ia merupakan sebab tunggal atau penjelasan lengkap.

Di sini kita sampai kepada satu perkara penting: Amerika tidak berurusan dengan ‘Israel’ seolah-olah ‘Israel’ adalah pembuat keputusan tertinggi dalam semua isu. Hubungan mereka lebih hampir kepada perkongsian strategik yang tidak seimbang. Amerika Syarikat ialah kuasa besar yang menentukan had permainan berdasarkan kepentingan keseluruhannya, manakala ‘Israel’ menggunakan pengaruh yang signifikan — dari segi politik, perisikan dan institusi — dalam isu-isu yang bertindih dengan kepentingan tersebut.

Laporan dan kajian strategik seperti oleh Center for Strategic and International Studies (CSIS) dan Council on Foreign Relations (CFR) sebenarnya menyebut tentang “perkongsian strategik” yang melayani kepentingan kedua-dua pihak, dan juga tentang wujudnya detik perbezaan pandangan serta ketegangan antara Washington dan Tel Aviv, bukannya hubungan pergantungan mekanikal Amerika kepada entiti Zionis.

Contoh praktikalnya jelas. Reuters mendokumentasikan bahawa pentadbiran Biden pernah menghentikan penghantaran jenis peluru tertentu kepada ‘Israel’ kerana kebimbangan terhadap operasi Rafah. Reuters juga melaporkan bahawa agensi Amerika mengehadkan atau menghentikan sementara perkongsian sebahagian maklumat perisikan dengan ‘Israel’ sebelum menyambung semula selepas mendapat jaminan tertentu.

Ini membuktikan bahawa Washington — apabila ia melihat kepentingannya atau pertimbangan strategiknya memerlukan — akan memberi tekanan, mengehadkan dan mengenakan syarat, walaupun terhadap sekutu paling rapatnya. Oleh itu, rumusan yang lebih tepat bukanlah “’Israel’ menggerakkan Amerika”, tetapi: ‘Israel’ memiliki alat yang berkesan untuk mempengaruhi keputusan Amerika, namun ia lebih berjaya apabila ia mendorong pilihan yang sudah selari dengan kepentingan Amerika sebagaimana dilihat oleh Washington.

Dari sini kita boleh memahami contoh Iran:

Menyerang Iran – khususnya jika ia dipersembahkan di Washington sebagai peluang untuk melemahkan struktur pemerintahan Iran, atau membentuk persekitaran peralihan yang lebih mudah dikawal oleh Amerika sehingga rejim Iran masa depan menjadi sekutu yang bergantung, dan bukan negara yang bergerak secara bebas – ini menjadi bukan sekadar kepentingan ‘Israel’ sahaja. Persembahan seperti ini juga boleh dipasarkan dalam institusi Amerika sebagai pilihan Amerika untuk membentuk semula keseimbangan kuasa serantau.

Reuters memang melaporkan bahawa taklimat kepada Trump termasuk gambaran pulangan geopolitik yang menguntungkan kepentingan Amerika, dan masa serangan itu juga dikaitkan dengan maklumat perisikan mengenai satu mesyuarat kepimpinan penting di dalam negara Iran. Ini menjadikan pelaksanaan pada saat tersebut hasil pertemuan antara “tetingkap perisikan” dan “keputusan politik”.

Adapun peranan fail Epstein dalam konteks ini, hujah profesional yang lebih kuat bukanlah bahawa ia menjadi pencetus kepada keputusan tersebut (untuk menyerang Iran) dari awal, tetapi bahawa ia mungkin menyumbang kepada keadaan di mana Rumah Putih lebih bersedia untuk meneruskan pilihan konfrontasi yang sudah pun wujud, atau lebih berminat untuk mengalihkan perhatian kepada isu keselamatan dan dasar luar pada saat isu Epstein sedang memberi tekanan kepada imej pentadbiran dan kepercayaan umum.

Gambaran ini juga selaras dengan laporan Reuters yang menunjukkan bahawa serangan tersebut sendiri mewujudkan perpecahan dalam kalangan penyokong Trump (MAGA – Make America Great Again), dan ia bukanlah “kad politik” yang terjamin dari segi pilihan raya. Ini bermaksud keputusan itu (menyerang Iran) juga membawa risiko dalaman, dan mengingatkan kita bahawa logik pengalihan isu — walaupun wujud — boleh berbalik terhadap pelakunya jika konflik berpanjangan atau kosnya meningkat.

Kesimpulan: Jika kita ingin membina hujah yang kuat dan profesional, kita perlu mengelakkan keterlaluan dalam mendakwa hubungan sebab-akibat yang pasti antara skandal Epstein dan serangan terhadap Iran tanpa bukti langsung yang diterbitkan.

Namun adalah wajar — malah penting — untuk menyatakan bahawa krisis Epstein mencipta tekanan politik dan media yang nyata, dan tekanan seperti ini mempengaruhi percaturan dari segi masa serta pengurusan agenda, terutamanya apabila ia berlaku serentak dengan peluang perisikan dan pilihan strategik yang dilihat Washington sebagai menguntungkan kepentingan besarnya.

Dalam kerangka ini, Israel merupakan pelaku yang sangat berpengaruh dalam landskap tersebut — bukan sebagai “komander tertinggi” Washington, tetapi sebagai rakan strategik yang mampu mengarah momentum dan mempercepat keputusan apabila dorongan Israel bertemu dengan kepentingan Amerika sebagaimana yang dilihat oleh institusi pemerintah.

Ditulis oleh: Ustaz Munaji Muhammad

 

https://www.al-waie.org/archives/article/20193

https://hizb-ut-tahrir.info/en/index.php/literature/magazines/al-waie-magazine/29281.html

Majalah Al-Waie Isu No. 474 – 475 – 476

Tahun ke-39, Rajab – Sha’ban – Ramadan 1447 H

bersamaan Januari – Februari – Mac 2026 M