Jangan hanya marahkan lembu sebab berak merata, sedangkan tuan lembu dibiarkan

Sejak tragedi pemandu mabuk meragut nyawa seorang penunggang motosikal di Kelang baru-baru, perbincangan mengenai pemandu mabuk masih terus diperkatakan, dan solusi demi solusi terus dicadangkan oleh banyak pihak.

Semua tahu bahawa isu pemandu mabuk ini bukanlah baru dan peningkatan kadar kematian orang yang tidak berdosa akibat dilanggar oleh “pembunuh jalanraya” ini tidak boleh dipandang enteng. Perbincangan dan kemarahan masyarakat terhadap pemandu mabuk memang sangat wajar, sekali gus menunjukkan kepekaan dan emosi masyarakat masih hidup, terutama apabila melibatkan isu halal-haram.

Apa yang agak menyedihkan ialah apabila banyak pihak masih gagal melihat punca masalah pemandu mabuk, yang menyebabkan kegagalan memberikan solusi tuntas terhadap isu ini. Rata-rata perbincangan dalam masyarakat, termasuklah oleh pembangkang serta pakar perundangan, hanya menyalahkan pemandu mabuk semata-mata, tanpa melihat lebih sedikit daripada itu.

Ya, tidak dinafikan yang pemandu mabuk sememangnya bersalah, malah wajar dikutuk dan dimaki-hamun habis-habisan. Sesetengah pihak mencadangkan hukuman mati ke atas pemandu mabuk, dan ini masih wajar. Namun, sayang seribu kali sayang apabila kemarahan dan cadangan hanya terhenti setakat pemandu mabuk semata-mata, tanpa melihat siapakah pihak “di belakang” pemandu mabuk ini, atau dengan kata lain dari manakah datangnya pemandu mabuk ini, atau dengan kata lain bagaimana pemandu mabuk ini boleh muncul dalam masyarakat.

Dalam bahasa mudahnya, apakah “punca” kepada masalah ini? Ini sebenarnya persoalan utama dan mendasar yang perlu difahami, yang dengannya barulah solusi yang benar dapat diberikan.

Sesungguhnya pemandu mabuk hanyalah simptom kepada kerosakan sebuah sistem dan pihak yang mengawal sistem ini. Sistem sekular-demokrasi membenarkan penjualan arak secara terbuka, membenarkan kilang-kilang arak didirikan dan saban tahun lesen mereka diperbaharui. Dari penjualan arak secara terbuka inilah, para penggemar dan peminum minuman syaitan ini dengan mudah mendapatkannya.

Soalannya, siapakah pengawal dan penjaga kepada sistem yang rosak ini jika bukan kerajaan atau penguasa yang ada pada hari ini? Nah, inilah jawapannya dan inilah puncanya! Kerajaan-lah yang membenarkan dan memberikan lesen kepada kewujudan kilang-kilang arak, pengimportan arak dan penjualan arak secara besar-besaran dan terbuka di seluruh negara.

Inilah punca kepada segala masalah, dan inilah sumbernya yang sebenar, yang wajib dipersalahkan sebagai pesalah utama apabila berlaku kemalangan akibat pemandu mabuk! Ya, kerajaan, siapa lagi jika bukan kerajaan?!

Pemandu mabuk tidak akan muncul jika tidak ada kilang arak dan tidak ada penjualan arak secara terbuka. Kilang dan penjualan arak tidak akan wujud tanpa lesen daripada kerajaan. Inilah sifirnya yang cukup mudah difahami. Rantaian arak itu bermula daripada kerajaan!

Islam sama sekali mengharamkan kewujudan kilang arak dan penjualannya secara terbuka. Islam membenarkan orang-orang kafir meminum arak tetapi hanya di rumah-rumah mereka atau dalam komuniti kecil mereka sahaja. Minuman syaitan ini langsung tidak dibenarkan di minum atau dizahirkan di tempat-tempat awam. Uqubat (Islam) yang tegas akan dikenakan ke atas siapa pun yang melanggar ketetapan ini.

Malangnya dalam negara sekular-demokrasi pada hari ini, di bawah kerajaan yang mengawal dan menjaga sistem kufur yang diwariskan daripada Barat ini, semua keharaman tersebut bukan sahaja dibenarkan, malah dipertahankan habis-habisan oleh kerajaan. Inilah realiti sebuah negara yang mengaku sebagai Ahlu Sunnah Wal Jamaah dengan Jabatan Mufti dan Jabatan Agama ada di setiap negeri, namun arak boleh didapati dengan mudah di mana-mana kedai serbaneka di seluruh negara. Hasilnya, negara ini bukan sahaja dipenuhi dengan minuman syaitan yang diharamkan Islam itu, tetapi dipenuhi dengan peminumnya yang berpotensi “membunuh” siapa sahaja.

Semoga umat Islam sedar bahawa masalah lembu yang berak merata itu ada tuannya, dan tuannya terus membiarkan hal tersebut, padahal dia tahu lembu itu telah dan akan terus berak merata dan menyusahkan orang lain. Lebih ironi, tuan lembu itu turut menyalahkan lembunya yang berak merata, kononnya itu bukan kesalahannya!

Jadi, umat Islam perlu sedar bahawa tindakan memarahi lembu dan cadangan tindakan ke atas lembu semata-mata tidak akan pernah menyelesaikan masalah. Perangai lembu memanglah sedemikian. Yang perlu dimarahi, diambil tindakan dan “diajar” secukupnya ialah tuan lembu tersebut! Selagi ada tuan yang begitu, maka selagi itulah akan ada lembu yang begitu.

Wallahu a’lam.