Soal-Jawab: Perang Ke Atas Iran

بسم الله الرحمن الرحيم

Soal-Jawab

Perang Ke Atas Iran

(Terjemahan)

Soalan:

Apakah petunjuk di sebalik kenyataan Trump yang berbolak-balik, daripada memberi masa 48 jam kepada Iran, kemudian dilanjutkan kepada 5 hari, dan seterusnya 10 hari…serta cadangan pelannya yang mengandungi 15 perkara. Kemudian wujud pula muslihat (maneuver) kenyataan, kebanyakannya daripada Trump dan sebahagiannya daripada Iran. Seterusnya, apa yang diumumkan oleh televisyen Iran bahawa Iran menolak cadangan Trump.

Kemudian, hasil daripada semua itu… adakah Trump akan mencapai matlamatnya untuk menghalang Iran daripada memiliki senjata nuklear dan peluru berpandu berat, dan seterusnya mengembalikan Iran supaya beredar di orbitnya atau menjadi negara pengikut, atau ia akan menjadi sebuah negara yang merdeka?

Adakah benar entiti Yahudi berusaha, dengan persetujuan Amerika, untuk memperluaskan entitinya dengan menggabungkan wilayah selatan sehingga ke Sungai Litani, seperti mana yang dinyatakan oleh Menteri Pertahanan Yahudi?

Seterusnya, bagaimana mungkin umat Islam tidak menyedari bahawa Negara Islam, Khilafah Rasyidah, adalah satu-satunya yang akan menjatuhkan Trump bersama konco-konconya seperti mana Kaisar Rom dan Kisra Parsi sebelumnya, menggoncang Trump dan pengikut-pengikutnya dengan sekuat-kuatnya, memulangkan tipu daya mereka ke atas batang leher mereka sendiri, lantas memuliakan Islam serta umatnya, dan menghinakan kekufuran serta penganutnya?

Jawapan:

Agar jawapan kepada persoalan-persoalan di atas dengan ketiga-tiga bahagiannya menjadi jelas, kita akan telusuri perkara-perkara berikut:

Pertama: Bahagian pertama soalan berkaitan matlamat Trump untuk menjadikan Iran sebagai negara pengikutnya (دولة تابعة), atau terus beredar di orbitnya, atau akan menjadi negara merdeka:

1- Pada pagi Sabtu 28/2/2026, Presiden Amerika Trump telah menerbitkan sebuah video di platformnya Truth Social yang mengumumkan bahawa pasukannya yang berada di Timur Tengah sedang melancarkan operasi pertempuran besar-besaran di Iran…dan dia disertai oleh sekutu rapatnya, Netanyahu. Serangan ini telah mengungkap sikap keras (perlawanan) di dalam Iran, terutamanya Pengawal Revolusi (IRGC), dalam hubungannya dengan Amerika, kerana pentadbiran Trump mula menuntut konsesi (tolak ansur) yang mendalam daripada Iran untuk menjadikannya negara pengikut sepenuhnya, yakni mengeluarkan Iran daripada negara orbit. Ini kerana penggabungan (usaha Amerika) antara membunuh pemimpin Iran dengan mengekalkan Iran sebagai negara orbit adalah sesuatu yang mustahil.

Amerika tidak melancarkan perang ke atas Iran untuk mengusirnya dari orbitnya lalu membiarkannya menjadi negara merdeka. Sebaliknya Amerika yakin dapat menguasai Iran dengan cepat, dan menjadikan Iran negara pengikut melalui kejutan pertama. Kejadian ini hanya mempunyai satu makna (iaitu) pentadbiran Trump telah pun melakukan pelarasan dengan pemimpin-pemimpin dari dalam rejim Iran untuk mengambil alih tampuk pimpinan sebaik sahaja kejutan pertama berlaku, iaitu selepas pembunuhan pemimpin tertinggi yang menentang. Namun, ini tidak berlaku! Pengawal Revolusi berjaya mengawal keadaan.

Oleh sebab itu, Trump dan entiti Yahudi terkejut apabila mendapati pemerintahan di Iran masih utuh dan terus melancarkan peluru berpandu serta dron dengan kegarangan yang luar biasa dan keberanian yang menakjubkan, sehinggakan serangan Iran tersebut merangkumi entiti Yahudi dan pangkalan Amerika di Teluk dan rantau itu, dan Trump berkata bahawa beberapa orang yang dia harap akan mengambil alih tampuk pemerintahan telah terbunuh tanpa niat!

Amerika menyangka bahawa tindak balas Iran yang garang ini berpunca daripada tindakan beberapa pemimpin Iran yang emosi berikutan pembunuhan pemimpin tertinggi mereka, lalu Amerika terus menunggu pelantikan pemimpin tertinggi yang baru. Namun, selepas Mojtaba dilantik menggantikan bapanya, dan setelah beberapa minggu berlalu, keadaan rejim di Iran kembali stabil di bawah kawalan mereka yang memusuhi Amerika, lebih-lebih lagi disebabkan serangan Amerika yang telah melampaui segala batas.

2- Nampaknya perkiraan Amerika dan entiti Yahudi telah meleset. Apabila mereka melancarkan serangan ke atas Iran, kelihatan bahawa mereka telah menetapkan tempoh masa yang pendek untuk peperangan, dianggarkan selama empat hari dengan serangan kilat yang besar menyasarkan pimpinan tertingginya, kemudahan nuklear, kilang-kilang serta pusat-pusat pelancaran peluru berpandu.

Amerika menyangka bahawa dengan sekadar menyerang ketua rejim dan pemimpin barisan hadapannya, barisan kedua akan menyerah kalah dan tunduk kepada syarat Amerika, seperti yang berlaku di Venezuela, apabila tentera Amerika menculik presidennya lalu naib presiden berserta pengikutnya menyerah kalah kepada Amerika. Namun, itu tidak berlaku di Iran selepas pemimpin tertingginya, Ali Khamenei, dan beberapa pemimpin lain terbunuh, di mana Pengawal Revolusi kekal teguh dan memutuskan untuk menentang pencerobohan ini serta menyerang balas musuh.

Oleh yang demikian, kini wujud pemutusan hubungan antara Amerika dan Iran, sebuah negara yang dahulunya beredar di orbit Amerika. Pada asalnya, Amerika mahukan perubahan pada hubungan ini. Jika tidak demikian, masakan ia melakukan serangan ini, dan membenarkan entiti Yahudi membunuh tokoh-tokoh terpenting rejim yang diketuai oleh pemimpin tertinggi. Hal ini menunjukkan bahawa Amerika menyasarkan untuk mengubah dasar rejim daripada sebuah negara orbit kepada negara pengikut, lantas membolehkannya untuk menetapkan syarat-syarat dalam rundingan dengan Iran. Namun begitu, ia tidak berjaya lalu memutuskan untuk meneruskan peperangan.

3- Apa yang mengesahkan bahawa matlamat Amerika adalah untuk mengubah dasar rejim Iran, dan bahawa Amerika tidak menjangkakan ketahanan rejim dalam menghadapi serangan, serta melakukan serangan balas walaupun ramai pemimpin kanannya telah terbunuh, adalah kenyataan Setiausaha Perangnya, Hegseth, pada 10/3/2026: “Saya tidak boleh mengatakan bahawa kami semestinya menjangkakan inilah reaksi tepat mereka.”

Begitu juga dengan apa yang dilaporkan oleh akhbar New York Times, yang memetik sumber-sumber yang mengetahui tentang perkara itu pada 12/3/2026, yang melaporkan: “Trump dan para penasihatnya terus yakin bahawa pembunuhan kepimpinan tertinggi akan membawa kepada kemunculan pemimpin yang lebih pragmatik yang mungkin berusaha untuk menamatkan perang,” yakni menyerah kalah kepada Amerika dan menerima syarat-syaratnya!

Apabila harapan Amerika untuk Iran menyerah kalah dalam masa yang singkat itu telah musnah, Trump mula bercakap tentang masa dua minggu untuk menyelesaikan pertempuran, dan mungkin empat minggu. Dia mahu menamatkannya dalam apa jua cara yang boleh menampakkan dirinya sebagai pemenang, bukannya menamatkan perang dan dia kelihatan kalah atau tewas serta hina seperti mana yang berlaku semasa pengunduran tentera Amerika dari Afghanistan pada tahun 2021.

Trump mahu menamatkan perang sebelum keadaan bertambah buruk dan memberi kesan kepadanya dan partinya di peringkat domestik, terutamanya kerana akan ada pilihan raya pertengahan penggal Kongres pada musim luruh akan datang, di mana kekalahan di dalamnya akan menjejaskan pilihan raya umum presiden pada tahun 2028.

Oleh itu, Trump berusaha mempamerkan kemenangan lisan untuk dirinya! Dia memberitahu laman web Axios Amerika pada 11/3/2026: “Hampir tiada apa lagi di Iran yang boleh disasarkan. Serangan ke atas Iran sejak fasa pertama telah menyebabkan kerosakan yang lebih besar daripada yang mereka duga.”

Maka, Trump mengeluarkan kenyataan dengan memanipulasi kata-kata seolah-olah dia telah menang. Ini menunjukkan bahawa Amerika sedang gelisah kerana ia tidak mencapai matlamatnya dengan cepat dan tanpa kerugian.

4- Selepas itu, Trump menggunakan langkah melanjutkan tarikh akhir sebagai strategi baru. Pada 22 Mac, dia mengumumkan kata dua yang tegas selama 48 jam, kemudian pada 23 Mac dia melanjutkan amaran ini selama lima hari dengan alasan untuk mengadakan “rundingan yang membina”, kemudian pengumumannya pada 26 Mac melanjutkan tempoh itu ke sepuluh hari lagi, iaitu sehingga 6/4/2026, di samping kenyataan-kenyataannya yang lain yang bercanggah. Dia menyasarkan melalui strategi ini, untuk memberikan tekanan psikologi dan politik ke atas Iran bagi memaksa Iran menyerah kalah.

Lanjutan tempoh ini juga mungkin untuk melindungi (cover) persiapan ketenteraan yang akan dihantar oleh Amerika ke rantau ini untuk melancarkan operasi darat yang terhad terhadap Iran atau Pulau Kharg. Trump pernah melakukan perkara seperti itu dalam serangan-serangannya sebelum ini.

Trump sedang mengambil langkah untuk menghantar tentera baru (dilaporkan bahawa Rumah Putih dan Jabatan Pertahanan Amerika sedang mengkaji untuk menghantar sekurang-kurangnya 10 ribu askar tempur tambahan ke Timur Tengah pada hari-hari mendatang – laman web MEBA News, 27/03/2026). Dengan kata lain, lanjutan masa ini adalah satu taktik untuk memperdaya seperti mana sebelumnya.

5- Tidak tersisa apa pun pada Trump dan keangkuhannya melainkan apa yang dia namakan sebagai keamanan (yang dipaksanya) melalui kekuatan iaitu rundingan (yang dilakukan) dengan peluru. Trump kemudian mengumumkan pelan 15 perkara, yang dikemukakan kepada Iran melalui Pakistan untuk menamatkan perang, dan pelan itu adalah seperti berikut:

(rombakan sepenuhnya kapasiti nuklear yang terkumpul; akujanji untuk tidak sesekali berusaha memiliki senjata nuklear; menghentikan pengayaan uranium di bumi Iran; menyerahkan semua bahan yang diperkaya kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa dalam waktu terdekat; melumpuhkan dan memusnahkan kemudahan Natanz, Isfahan dan Fordow; memberikan semua maklumat di dalam Iran kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa; pengguguran “doktrin kuasa proksi” oleh Iran; menghentikan sokongan kewangan dan persenjataan kepada sekutunya di rantau ini; mengekalkan Selat Hormuz sebagai laluan laut yang terbuka dan bebas untuk semua; dan menangani isu peluru berpandu di kemudian hari, dengan sekatan terhadap jumlah dan jarak, dan penggunaannya dihadkan hanya untuk “pertahanan yang sah” – Al-Araby Al-Jadeed, 25/03/2026).

Amat jelas daripada klausa-klausa pelan ini bahawa matlamat Trump adalah untuk mengeluarkan Iran daripada menjadi negara yang beredar dalam orbit dan mengubahnya menjadi negara pengikut yang akan melaksanakan semua yang dikenakan kepadanya oleh Amerika ke atasnya. Malah akhbar antarabangsa juga telah mencatat bahawa ini adalah satu dokumen penyerahan kalah, iaitu dokumen untuk menukar Iran kepada negara pengikut.

(Namun begitu, rancangan yang dikemukakan oleh pentadbiran Trump melalui Pakistan ini, pada hakikatnya merupakan satu dokumen penyerahan diri – Doha Institute, 26/03/2026).

Pada 24 Mac 2026, Trump juga telah membuat panggilan telefon kepada Marsyal kegemarannya, Jeneral Asim Munir, Panglima Tentera Darat Pakistan, dan menggesanya untuk memaksa Iran supaya bersetuju dengan perjanjian mengikut syarat-syarat Trump. Tetapi Marsyal tersebut tidak berjaya berbuat demikian. Iran telah menolak rancangan itu melalui televisyen rasmi, dan penolakan ini bermaksud penolakan Iran untuk berubah menjadi “negara pengikut”. Sebaliknya, Iran mengemukakan pelannya sendiri kepada Amerika, yang terdiri daripada lima perkara:

(Menghentikan pembunuhan bersasar terhadap pegawai-pegawai Iran; memberikan jaminan untuk tidak melancarkan serangan baru ke atas Iran; membayar pampasan perang; menamatkan permusuhan; dan mengiktiraf kedaulatan Iran ke atas Selat Hormuz – Euronews, 25/03/2026).

Walaupun tawaran Iran ini tidak menyentuh mengenai senjata nuklear dan peluru berpandu, namun ia tidak selari dengan tawaran pelan 15 perkara Amerika itu…justeru rundingan masih tidak berganjak.

6- Walau bagaimanapun, komunikasi (antara Amerika-Iran) masih tidak terputus, namun ia berjalan dengan cara yang tidak jelas. Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi telah mengumumkan dalam kenyataannya kepada Al-Jazeera pada 31/3/2026 bahawa:

(Apa yang berlaku sekarang bukanlah rundingan secara langsung atau melalui rakan-rakan. Mesej masih diterima daripada utusan Amerika, Wittkoff, secara langsung seperti mana sebelumnya. Namun, ini tidak bermaksud yang kami sedang berunding, dan tidak benar bahawa ada rundingan dengan pihak-pihak tertentu di Iran. Mesej-mesej disampaikan melalui Kementerian Luar, dan wujudnya komunikasi antara agensi-agensi keselamatan…di bawah penyeliaan Majlis Keselamatan Negara).

Dia (Abbas) menambah:

(Kami belum membuat sebarang keputusan berhubung rundingan dan kami mempunyai catatan ke atasnya, manakala syarat-syarat kami untuk menghentikan perang adalah jelas. Kami tidak akan menerima gencatan senjata, sebaliknya kami berusaha untuk menghentikan peperangan sepenuhnya, bukan di Iran sahaja, tetapi di seluruh rantau ini).

Kata beliau lagi:

(Syarat-syarat Iran adalah jaminan bahawa Amerika tidak mengulangi serangan dan memberikan pampasan ke atas kerugian yang Iran alami).

Kata-kata ini mempunyai dua makna: wujudnya komunikasi tetapi tiada rundingan!! Walau apa pun, ia menunjukkan bahawa di dalam rejim Iran ada pihak yang bersedia untuk berunding, dan Amerika pada bila-bila masa sahaja boleh menghentikan perang dan memulakan rundingan, kerana komunikasi sentiasa berterusan antara Amerika dan rejim Iran seperti yang dinyatakan oleh Araghchi. Akan tetapi Pengawal Revolusi lebih bersikap keras berbanding para pemimpin rejim, kerana ia terus menggempur kepentingan Amerika di Teluk serta sekitarnya, dan di wilayah yang diduduki sambil menolak rundingan.

7- Dengan meneliti poin-poin sebelum ini secara mendalam dan mengkajinya, ringkasan jawapan bagi bahagian pertama soalan adalah seperti berikut:

(a) Sesungguhnya Pengawal Revolusi sedang melawan dengan gigih agar Iran terlepas daripada pengaruh Amerika dan tidak kembali ke orbitnya, dan menjadi sebuah negara merdeka:

(Pengawal Revolusi Iran: Sebarang pergerakan musuh di Selat Hormuz akan berdepan dengan tindak balas tegas dari tentera laut – MTV Lubnan, 4/3/2026).

(Jurucakap Pengawal Revolusi Iran, Ibrahim Zulfaghari mengesahkan pada hari Khamis bahawa peperangan akan berterusan sehingga musuh dihina dan menyerah kalah, menegaskan bahawa serangan akan berterusan pada kadar yang lebih dahsyat dan lebih meluas – Al-Ayyam News, 2/4/2026).

(Pengawal Revolusi Iran menegaskan pada hari Rabu bahawa Selat Hormuz yang strategik akan kekal ditutup kepada musuh negara, pada masa Trump menyatakan bahawa dia tidak akan mempertimbangkan gencatan senjata melainkan ia dibuka semula – Akhbar Al-Yaum, 1/4/2026).

(Pengawal Revolusi berkata menerusi salurannya di Telegram “Mulai sekarang, setiap operasi pembunuhan bersasar akan dibalas dengan pemusnahan sebuah syarikat Amerika” – Al-Arabiya Net, 1/4/2026).

(b) Sesungguhnya pemimpin-pemimpin rejim Iran berbelah bahagi antara kekuatan dan kelemahan. Harapan tertinggi mereka adalah agar Iran kekal berada dalam orbit Amerika sekiranya mereka mampu. Bukanlah suatu perkara besar bagi mereka sekiranya Iran menjadi negara pengikut, yang menjadi ejen kepada Amerika, sebagaimana banyak negara lainnya di rantau ini. Kelihatannya Trump mempunyai orang-orang “yang sesuai” untuk bercakap di Iran:

(Presiden AS, Donald Trump berkata pada petang Selasa, bahawa dia “berurusan dengan orang yang tepat di Iran,” dan apabila ditanya mengenai siapakah orang-orang yang berhubung dengan Amerika Syarikat, Trump menjawab “Kerana saya tidak mahu mereka dibunuh” – France 24 English, 23/3/2026).

(Satu sumber Pakistan mendedahkan kepada Reuters bahawa Israel menggugurkan nama Menteri Luar Abbas Araghchi dan Speaker Parlimen Mohammad Bagher Ghalibaf buat sementara waktu daripada senarai sasaran pembunuhannya, selepas Pakistan memohon kepada Washington supaya tidak menyasarkan mereka, memberitahu bahawa “Jika mereka dihapuskan, tidak akan ada siapa lagi yang tinggal untuk diajak berunding” – Al Jazeera Net, 26/3/2026).

(c) Manakala Trump pula, matlamatnya daripada peperangan ini adalah supaya Iran menjadi negara pengikut, tunduk kepada arahannya, menguasai minyak dan gasnya, serta berkongsi pengaruh di Selat Hormuz dengan bahagian yang lebih besar!

Sesungguhnya Amerika mahu peperangan ini berjalan mengikut corak yang memaksimumkan pencapaian matlamatnya, justeru ia mungkin menggunakan peningkatan asakan dengan menyerang kemudahan tenaga di Iran biarpun Iran membalas dengan menyasarkan kemudahan tenaga Teluk hingga melonjakkan harga setong minyak ke tahap maksimum. Amerika juga boleh mengenakan sekatan ke atas Selat Hormuz tanpa membukanya, iaitu dengan menyekat kapal-kapal tangki minyak Iran atau kapal-kapal yang dibenarkan oleh Iran, daripada merentasi Laut Arab.

Impian Trump untuk mengheret Iran ke arah menjadi negara pengikut tidak akan berakhir selagi ia mempunyai orang-orangnya di dalam rejim…Sekiranya orang-orangnya ini berjaya memegang tampuk pemerintahan, maka impian Trump akan terlaksana.

Sebaliknya, jika harapan Trump (untuk orang-orangnya naik) terputus, disebabkan perkembangan peperangan ini, manakala Pengawal Revolusi pula terus bertahan secara ketenteraan dan berjaya mengembalikan perpaduan negara seperti sedia kala, maka Iran akan menuju ke arah kemerdekaan, memandangkan peperangan ini telah memutuskan tali terakhir yang mengekalkan Iran dalam orbit Amerika.

Kedua: Bahagian kedua soalan berkaitan dengan Lubnan, dan adakah entiti Yahudi berusaha untuk menggabungkan wilayah selatan Lubnan sehingga Sungai Litani dengan persetujuan Amerika?

1- Mengenai Lubnan, Al-Jazeera melaporkan pada 26/3/2026 daripada beberapa sumber bahawa: “Iran telah memberitahu pihak-pihak pengantara tentang keperluan untuk menjadikan Lubnan sebagai sebahagian daripada apa jua gencatan senjata”. Pada 24/3/2026 Israel Katz telah mengumumkan bahawa pasukannya akan menguasai zon di selatan Lubnan sehingga ke Sungai Litani, dengan menyatakan:

(“Penduduk yang kehilangan tempat tinggal tidak akan kembali ke selatan Litani sebelum keselamatan penduduk di utara Israel terjamin.” Dia menambah: “Pasukannya telah meletupkan kesemua lima jambatan di atas Sungai Litani yang digunakan oleh Hizbullah…dan akan menguasai jambatan-jambatan yang selebihnya serta mendirikan zon keselamatan yang menjangkau sehingga Sungai Litani” – Asharq Al-Awsat, 24/3/2026).

Perdana Menteri Lubnan telah mengumumkan kepada CNN pada 19/3/2026 bahawa dia telah mengutus surat kepada Trump “Saya ingin menegaskan kepada Presiden Trump bahawa kami bersedia untuk memulakan perbincangan segera dengan pihak Israel”.

2- Oleh yang demikian, kenyataan-kenyataan entiti Yahudi yang menunjukkan hasratnya untuk membina zon penampan sehingga ke Sungai Litani di selatan Lubnan, dan mengenai pengosongan kawasan ini daripada penduduk Lubnan, hal ini bukanlah suatu yang mudah untuk dicapai oleh tenteranya disebabkan wujudnya penentangan di selatan. Tambahan pula, entiti Yahudi bukanlah pakar dalam peperangan melainkan melalui tali (bantuan) manusia setelah mereka memutuskan tali Allah. Oleh itu sekiranya serangan Amerika dihentikan, mereka juga akan berhenti secara automatik.

Ketiga: Bahagian ketiga soalan yang berkaitan dengan Daulah Khilafah sebagai negara yang akan mengembalikan kemuliaan kepada Islam dan umat Islam serta menghinakan kekufuran dan orang-orang kafir:

1- Sesungguhnya sudah tidak ada kebaikan pada para penguasa di negeri-negeri kaum Muslimin. Maka, adalah mustahil untuk mereka kembali ke pangkal jalan. Oleh itu, penggantungan kini hanya terletak kepada umat Islam itu sendiri apabila umat ini menegakkan sebuah negara untuk mereka, dan umat ini bersatu dalam satu negara – Khilafah Rasyidah – di bawah satu kepimpinan politik yang mempunyai kesedaran serta kehendak yang teguh dan tidak tergoyah. Pencapaian-pencapaian mereka (para Khalifah) telah tercatat di lembaran sejarah, di mana mereka telah menumpaskan dua empayar terhebat iaitu Parsi dan Rom dalam tempoh hanya beberapa tahun.

Mereka meneruskan penaklukan di timur dan barat dunia sehingga banyak negara tunduk kepada mereka, tentera yang ramai dan kuat telah tumpas berdepan dengan mereka, dan mahkota raja-raja, maharaja, dan Kisra telah jatuh tergolek di bawah kaki-kaki mereka. Inilah yang akan menjadi nasib Amerika di mana ia akan hancur dengan izin Allah, dan akan terpaksa menutup pangkalan-pangkalannya serta menarik semula tenteranya balik merentasi Atlantik, menyeret ekor kekalahan serta kehinaan. Dengan itu hidung Trump serta sekutu-sekutunya akan terseret di tanah.

﴿قُل لِّلَّذِينَ كَفَرُواْ سَتُغْلَبُونَ وَتُحْشَرُونَ إِلَى جَهَنَّمَ وَبِئْسَ الْمِهَادُ﴾

“Katakanlah kepada orang-orang yang kafir: “Kamu pasti akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan digiring ke dalam neraka Jahanam, dan itulah tempat yang seburuk-buruknya” [Ali Imran (3): 12].

2- Memang benar bahawa Iran sedang mengarahkan serangan terhadap pangkalan tentera Amerika di Teluk, dan benar juga bahawa ia mengarahkan serangan sedemikian ke atas entiti Yahudi, dan benar bahawa serangan-serangan ini membawa satu kekuatan. Namun para pemerintah Iran tidak akan mampu untuk memusnahkan Amerika serta memulangkan ancaman ke leher Amerika selagi sistem Khilafah tidak tertegak, yang menolong Allah dan menerapkan hukum-hakam-Nya, lantas ia akan diberikan kemenangan dengan izin Allah, menerangi dunia dengan keadilannya dan jihadnya, lalu Allah memuliakannya dengan kemenangan-Nya.

﴿إِنْ تَنْصُرُوا اللهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ﴾

“Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu” [Muhammad (47): 7].

Seterusnya, ia (Khilafah) akan mengajar Amerika pengajaran demi pengajaran sehingga terungkap segala kebenaran. Saat ini Amerika sedang memerangi umat Islam dari bumi dan lapangan terbang umat Islam sendiri, dan menggunakan ejen-ejennya (dari kalangan penguasa Muslim) untuk menangkis serangan ke atas entiti Yahudi. Tatkala tegaknya Khilafah, Khilafah akan menyerbu kubu-kubu ejen ini serta mengusir mereka dengan seburuk-buruk pengusiran.

Khilafah akan merekrut rakyat Muslim di sepanjang laluannya, lantas kekuatannya akan bertambah sehingga menjadi arus deras yang akan melanda pangkalan Amerika di luar dunia Islam, mencetuskan taufan menderu yang meruntuhkan singgahsana para penguasa dalam laluannya, dan membebaskan Palestin serta menginjak-nginjak entiti Yahudi hingga hancur.

Perkara ini adalah mudah dan mampu dicapai dengan izin Allah, meskipun ramai yang memandangnya sebagai khayalan semata-mata. Sesungguhnya umat ini memiliki akidah yang menggerakkannya umpama aliran sungai, juga menyimpan kebencian mendalam terhadap Amerika dan Yahudi atas kezaliman mereka yang semakin melampau dan melebar.

Sesungguhnya gambaran kemenangan sebegini sudah tidak jauh dengan izin Allah, apabila Dia menghendaki untuk menganugerahkan kemenangan agung-Nya. Barangkali apa yang bakal dilakukan oleh umat Islam selepas itu, dan apa yang bakal diucapkan di medan perang nanti, jauh mengatasi apa yang mampu digambarkan oleh pena pada masa ini. Allah telah menetapkan sunnah-Nya di dunia ini bertepatan dengan firman-Nya:

﴿وَكَانَ حَقّاً عَلَيْنَا نَصْرُ الْمُؤْمِنِينَ﴾

“Dan menjadi kewajipan atas Kami menolong orang-orang yang beriman” [Ar-Rum (30): 47].

17 Syawal 1447 H

04/44/2026 M

Amir Hizbut Tahrir

https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=122130502851129051&id=61583871555976&rdid=lrCYDKJGHat37CYs#

https://hizb-ut-tahrir.info/en/index.php/qestions/political-questions/29413.html