SN694 – Serangan AS ke Iran 2026: Apa Yang Tidak Didedahkan?

Bil: SN694 (PDF/Print) – 28 Shawwal 1447 / 15 April 2026
Dunia sewajarnya tidak perlu terkejut dengan perang yang dinyalakan oleh Amerika Syarikat untuk sekian kalinya. Ada kata-kata moden yang popular dan pasti ramai setuju dengannya yang mengatakan, “Hampir setiap konflik perang hari ini, selalu terkait dengan Amerika”. Kali ini serangan ke atas Iran buat kali kedua selepas kurang setahun AS mengebom dan Cuba memusnahkan fasiliti nuklear Iran. Sejak serangan dimulakan pada 28 Februari yang lepas, AS telah menyerang habis-habisan negara Iran dan membunuh ramai pemimpin mereka termasuklah permimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khameini. Apakah strategi Trump dan mengapakah AS bersama-sama sekutu rapatnya, Israel begitu terdesak menghancurkan Iran kali ini sehingga sanggup membunuh begitu ramai para pemimpinnya.
Musuh Utama AS
Sebelum kita membongkarkan muslihat Trump dalam perang ke atas Iran kali ini, ada beberapa perkara yang pembaca perlu faham sebagai asas untuk memahami perang ini. Tanpa asas ini, kemungkinan besar kita akan salah memahami situasi geopolik yang telah mengakibatkan harga minyak melambung tinggi ini.
Mari kita mengimbas kembali pada Oktober 2022 ketika bekas Presiden AS, Joe Biden, mengumumkan kepada dunia bahawa China merupakan ancaman utama AS dan mengisytiharkan Perang Dingin ke atasnya sejak itu. Ancaman China ke atas AS semakin hari semakin meningkat bukan sahaja dalam aspek ekonomi tetapi juga dalam pelbagai bidang lain. Ancaman ini diulang lagi oleh pentadbiran Presiden Trump yang baru. Marco Rubio, Setiausaha Negara mengatakan di hadapan Senat pada Januari 2025, ” PRC(China) ialah ancaman terbesar dan paling berbahaya yang pernah dihadapi oleh negara ini. Mereka memiliki elemen-elemen yang tidak pernah dimiliki oleh Kesatuan Soviet, iaitu mereka adalah musuh teknologi. Mereka juga pesaing (kepada AS dalam) industri, ekonomi, geopolitik dan sains…” [Youtube The Economic Times].
Ucapan ini bukan hanya retorik semata-mata, malah ia disusuli dengan tindakan signifikan. Bekas Presiden Biden telah memberi komitmen besar kepada Ukraine dalam peperangannya menentang Rusia. AS telah menghantar pelbagai amunisi dan persenjataan ke Ukraine bernilai beratus-ratus bilion dolar serta menarik masuk negara-negara Eropah untuk bersamanya dalam perang Ukraine-Rusia. Ia bertujuan untuk melemahkan Rusia seterusnya memutuskan pakatan Sino-Rusia. Namun demikian, usaha itu masih belum berjaya hingga kini.
Kehadiran pentadbiran Presiden Trump 2.0 membawa pendekatan yang baru dalam menghadapi ancaman China iaitu melalui perang perdagangan ke atas seluruh dunia. AS melancarkan perang perdagangan sejurus Trump ditabalkan menjadi Presiden AS di mana China menghadapi tarif paling tinggi. China membalas serangan ini dengan meletakkan tarif paling tinggi juga terhadap produk-produk AS. Bahkan, yang paling menyakitkan AS adalah apabila China melancarkan sekatan eksport bahan nadir bumi sebagai balasan perang perdagangan ke atas AS.
Keterdesakan AS ke atas Nadir Bumi
China mengawal lebih 90% kapasiti pemprosesan global untuk magnet nadir bumi yang digunakan dalam berbagai peralatan daripada kenderaan dan jet pejuang hingga ke peralatan rumah. Strategi memonopoli bekalan dan rantaian elemen nadir bumi telah pun bermula sejak tahun 1980an dengan cara memberi subsidi besar-besaran kepada industri perlombongan, menawarkan harga rendah kepada dunia serta menguasai teknologi pemprosesan dan pemurnian elemen nadir bumi yang sangat kompleks. Sehingga kini, data menunjukkan China mengawal 69% bekalan elemen nadir bumi yang dilombong dan 91% pemprosesan, bersama-sama dengan 94% pengeluaran magnet nadir bumi. [Michigan Journal of Economics, January 09, 2026]. Sekatan yang dikenakan mewajibkan pengeksport mendapatkan lesen dari Beijing.
Kesan daripada sekatan ini yang bermula pada awal April 2025, bekalan elemen nadir bumi di AS berkurangan kepada separuh sehingga kumpulan pengeluar kereta di AS termasuk GM, Toyota, Hyundai dan lain-lain. Pengusaha-pengusaha ini telah menulis surat kepada pentadbiran Trump pada 09 Mei 2025 yang mengatakan, “Tanpa akses yang boleh dipercayai kepada elemen dan magnet ini, pembekal automotif tidak akan dapat menghasilkan komponen automotif yang kritikal… tanpa komponen automotif penting tersebut, kilang kenderaan AS hanya menunggu masa sebelum ia dihancurkan” [reuters.com 31/5/2025].
Malahan China telah meluaskan sekatan mineral strategik pada 10 Oktober dengan menambah beberapa mineral baru dalam senarainya termasuk berpuluh-puluh teknologi penapisan dan mewajibkan pengeluar elemen nadir bumi asing yang menggunakan bahan China untuk mematuhi peraturannya [Straitstimes.com 11/10/2025].
Akhirnya China berjaya menurunkan tarif perdagangan yang dikenakan oleh AS dengan senjata elemen nadir bumi dan mineral strategik yang lain yang diperlukan AS dalam perjanjian perdagangan sementara dengan AS pada 30 Oktober 2025. Dalam perjanjian tersebut, China membenarkan eksport elemen nadir bumi ke AS dalam tempoh selama setahun sahaja manakala jumlahnya juga terhad dan menghalang AS menghasilkan magnet nadir bumi sendiri. “Lebih daripada sedozen pengguna, pengeluar, pegawai kerajaan dan pakar perdagangan berkata bahawa walaupun China telah meningkatkan penghantaran produk siap — terutamanya magnet kekal — industri AS masih tidak dapat memperoleh input yang diperlukan untuk membuat barang-barang tersebut sendiri, yang merupakan keutamaan utama bagi pentadbiran AS” [Bloomberg 24/12/2025]. AS kelihatan tewas dalam perang perdagangan dengan China pada peringkat ini. Walau bagaimanapun, perundingan perdagangan seterusnya ditetapkan pada akhir Mac 2026.
Kunci Kelemahan China
Walaupun China menguasai elemen nadir bumi dunia, oleh kerana tahap industri dan ekonomi yang besar, China sangat memerlukan bekalan minyak dari luar negara. China merupakan pengimport minyak terbesar dunia. Dengan keperluan minyak yang semakin tinggi, Beijing secara senyap-senyap membina sistem bekalan alternatif yang diperoleh oleh negara-negara yang disekat oleh AS termasuk Rusia, Iran dan Venezuela. China telah mendapatkan harga minyak jauh lebih murah dengan diskaun antara $5 hingga $15 setiap tong daripada pasaran dengan cara ini. Diskaun pada harga skala Brent ini boleh menambah sehingga ratusan juta penjimatan setiap tahun bagi China.
Cara utama pembelian minyak daripada negara-negara ini adalah dengan menjadikan negara ketiga sebagai hub pemindahan. Buktinya, minyak dari kapal Iran dipindahkan ke kapal China di perairan Malaysia (Ship to Ship transfer) dan dilabelkan sebagai minyak dari Malaysia, manakala minyak Venezuela dipindahkan di perairan Brazil dan dilabelkan sebagai minyak dari Brazil [thediplomat.com 02/02/2026]. Data Dari Kpler menunjukkan pada tahun 2025, lebih 80% minyak dari Iran dan lebih 50% minyak dari Venezuela dieksport ke China. Kedua-dua negara ini telah menyumbang lebih 20% keperluan minyak China [politico.com 03/02/2026].
Trump mahu kuasa pengaruh(leverage) ke atas China
Kelemahan ini dilihat sebagai sasaran baru oleh Trump setelah beliau kalah dalam perundingan perdagangan pada 30 Oktober yang lepas. Maka, AS mengambil langkah drastik dengan menuduh Presiden Venezuela, Nicholas Maduro sebagai perancang utama jaringan dadah di AS walaupun banyak pihak melaporkan dadah Fentanyl yang berleluasa di AS berasal dari China. Atas dalih menghapuskan jaringan dadah, AS telah menyerbu Caracas secara ketenteraan pada awal Januari tahun ini dan menangkap Maduro. Trump kemudian menekan presiden interim, Delcy Rodriguez untuk menyerahkan minyak Venezeula kepada AS. Rodriguez menyatakan,”Pengedaran dadah dan hak asasi manusia adalah alasannya; motif sebenar adalah minyak” [english.elpais.com 08/01/2026].
Setelah berjaya menguasai minyak Venezeula, Trump beralih kepada Iran dengan cepat. Trump menuduh Iran memberi ancaman nuklear dalam masa terdekat kepada AS dan Israel. Oleh yang demikian, Trump mahu Iran menghapuskan teknologi nuklear dan misil balistiknya. Ironinya, kenyataan Trump bertentangan pegawai-pegawainya seperti Tulsi Gabbard, Pengarah Perisikan Negara AS yang berkata, “Akibat Operasi Midnight Hammer (2025), program pengayaan nuklear Iran telah dihapuskan. Tiada usaha sejak itu untuk (Iran) cuba membina semula keupayaan pengayaan mereka” [France24 18/3/26]. Begitu juga dengan bekas Pengarah Anti-Keganasan AS, Joe Kent yang baru meletakkan jawatan kerana tidak setuju dengan dasar Trump berperang dengan Iran. Beliau berkata, “Iran tidak menimbulkan ancaman segera kepada negara kita, dan jelas bahawa kita memulakan perang ini kerana tekanan daripada Israel dan lobi Amerika yang berkuasa,” [pbs.org 17/3/2026].
Hal ini menunjukkan bahawa alasan teknologi nuklear Iran sebagai ancaman kepada AS hanyalah dalih, dan tujuan sebenar ialah bekalan minyak Iran kepada China. Malah ketika perundingan antara AS dengan Iran yang diperantara oleh Oman, AS mahu Iran mengehadkan bekalan minyaknya ke China. “Kami bersetuju bahawa kami akan memberikan tekanan sepenuhnya terhadap Iran, contohnya, mengenai penjualan minyak Iran ke China,” lapor Axios memetik seorang pegawai kanan AS [Al-Monitor.com 14/02/2026].
Tarikh Perundingan Ditunda
Di awal permulaan perang ke atas Iran, Trump kelihatan cukup yakin akan kemenangan AS setelah pembunuhan Khameini dan para pemimpin kanan Iran. AS yakin perundingan dengan China akan berlangsung seperti dijadualkan. Namun setelah dua minggu perang berlangsung, Trump masih gagal menundukkan musuhnya dan Iran masih tidak mahu menyerah kalah. Selat Hormuz terus dikawal penuh oleh Iran yang menyebabkan harga minyak melambung tinggi di seluruh dunia. Ketika merasakan pakatan AS-Israel sendiri tidak mampu mengalahkan Iran, Trump meminta negara-negara Eropah dan China membantunya membuka semula Selat Hormuz, akan tetapi pemintaannya ditolak, menjadikan beliau sangat marah dan mengancam mahu membubarkan NATO. Apabila Trump gagal menguasai Selat Hormuz dan minyak Iran, akhirnya tarikh perundingan terpaksa ditunda ke 14 dan 15 Mei depan [Aljazeera.com 25/3/2026]. Trump mahu menggerakkan tentera AS untuk menyerang Iran dari darat dan berjanji akan mengalah Iran dalam masa 2 atau 3 minggu lagi [reuters.com 01/4/2026] iaitu sebelum tarikh perundingan berlangsung. Ini memberi Indikasi bahawa Trump mahu menggunakan minyak Iran dan Venezuela sebagai kuasa pengaruh(leverage) dalam perundingan nadir bumi dengan China.
Kesimpulan
Serangan AS ke atas Iran bukan sekadar tindakan ketenteraan, tetapi lahir daripada dorongan ideologi Kapitalisme yang menghalalkan penguasaan sumber alam negara lain tanpa hak. Hakikatnya, tindakan ini sebahagian merupakan sebahagian daripada percaturan geopolitik AS untuk mengawal minyak Iran dan Venezuela, seterusnya menjadikannya alat tawar-menawar terhadap China dalam persaingan kuasa global. Konflik ini membuktikan bahawa kuasa besar sanggup melanggar kedaulatan negara lain demi kepentingan ekonomi dan hegemoni mereka.
Dalam konteks ini, umat Islam tidak boleh terus berdiam diri. Sumber minyak dan wilayah Iran adalah milik umat Islam yang wajib dipertahankan daripada penjajahan dan eksploitasi. Firman Allah SWT:
“Dan Allah tidak sekali-kali memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang beriman.” (Surah An-Nisa’: ayat 141)
Ayat ini adalah seruan jelas agar umat bangkit menolak dominasi musuh. Penjajah kafir wajib dihalang oleh tentera kaum Muslimin di wilayah berdekatan. Setiap serangan AS dan entiti haram Yahudi wajib dibalas dan mereka wajib diusir dari dunia Islam selama-lamanya. Namun dengan suasana kini, tanpa penyatuan di bawah sebuah entiti politik Islam, objektif ini amat sukar dicapai. Hanya penyatuan di bawah payung kekhilafahan atas jalan kenabian, umat Islam akan dapat menghalang kaum kuffar secara tuntas. Semoga Allah Azza wa Jalla menyegerakan penyatuan ini dan memberi ketenangan kepada jiwa-jiwa kaum Mukmin.