Apabila Umat Islam Mula Bertutur Seperti Islamofobik

Cermin Yang Sedang Memantulkan Wajah Kita

Kebangkitan sentimen anti-Rohingya dalam kalangan sebahagian masyarakat Malaysia seharusnya membimbangkan kita. Bukan semata-mata kerana ia memberi kesan kepada satu komuniti yang lemah dan terpinggir, tetapi kerana ia memaksa kita menilai semula diri kita sendiri.

Selama beberapa dekad, umat Islam di seluruh dunia mengecam Islamofobia di Eropah dan Amerika. Kita mengkritik ahli politik, media dan kumpulan pelampau yang menggambarkan orang Islam sebagai ancaman, beban atau golongan yang tidak diingini. Kita membantah apabila umat Islam dipersalahkan secara kolektif atas kesalahan segelintir individu. Kita mempertahankan hak pelarian dan pendatang Muslim yang melarikan diri daripada peperangan, penindasan dan kemiskinan.

Dan kita memang wajib berbuat demikian.

Namun hari ini, satu persoalan yang tidak selesa perlu ditanyakan kepada diri kita sendiri.

Apakah yang berlaku apabila golongan yang lemah dan terdesak datang ke pintu kita?

Mengapa Sentimen Ini Muncul?

Kita perlu berlaku jujur. Sentimen negatif terhadap Rohingya tidak muncul dalam ruang kosong. Sebahagian masyarakat melihat penglibatan warga Rohingya dalam sektor ekonomi tidak formal sebagai ancaman kepada peniaga tempatan. Ada yang bimbang tentang isu jenayah, kebersihan, kesesakan penempatan, penggunaan kemudahan awam, dokumen pengenalan dan pelbagai masalah sosial yang sering dikaitkan dengan komuniti pelarian.

Kebimbangan-kebimbangan ini tidak boleh dipandang ringan atau dinafikan begitu sahaja.

Namun persoalan yang lebih penting ialah: adakah semua masalah ini berpunca daripada kewujudan pelarian semata-mata, atau sebahagiannya berpunca daripada kegagalan menguruskan realiti pelarian secara teratur dan bermaruah?

Di sinilah kita perlu berlaku adil. Kita tidak boleh menafikan masalah yang wujud. Tetapi kita juga tidak boleh menafikan hakikat bahawa pelarian adalah manusia yang sedang berusaha untuk terus hidup. Apabila manusia mula dilihat hanya melalui lensa ketakutan, kemiskinan dan masalah sosial, mereka akhirnya tidak lagi dilihat sebagai manusia. Dan apabila kemanusiaan hilang, kebencian akan mengambil tempatnya.

Ironinya amat menyedihkan.

Kita marah apabila orang Eropah bercakap sedemikian terhadap umat Islam. Namun sebahagian daripada kita sanggup menggunakan bahasa yang hampir sama apabila berbicara tentang Rohingya dan golongan pendatang yang lain.

Krisis Pelarian Adalah Krisis Kemanusiaan Global

Hari ini lebih daripada 117 juta manusia di seluruh dunia telah dipaksa meninggalkan rumah mereka akibat peperangan, penindasan dan pencabulan hak asasi manusia. Jumlah ini lebih tiga kali ganda keseluruhan penduduk Malaysia. Setiap angka itu mewakili seorang ayah, seorang ibu, seorang anak dan sebuah keluarga yang kehilangan rumah, pekerjaan dan kehidupan yang pernah mereka miliki.

Pelarian bukan statistik. Pelarian adalah manusia.

Krisis Rohingya pula merupakan antara tragedi kemanusiaan terbesar dalam dunia Islam moden. Sejak tahun 2017, lebih 740,000 Rohingya terpaksa meninggalkan Myanmar dalam tempoh yang singkat akibat penindasan dan keganasan. Malaysia hari ini menempatkan lebih 200,000 pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan UNHCR, dan lebih 125,000 daripadanya adalah Rohingya.

Namun jika kita melihat isu ini semata-mata sebagai masalah Rohingya, kita sebenarnya sedang melihat simptom dan bukan penyakit.

Pelarian Dalam Keadaan Tergantung

Terdapat satu hakikat yang jarang dibincangkan apabila isu Rohingya dibahaskan.

Malaysia bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol Pelarian 1967. Oleh itu, pelarian tidak mempunyai kedudukan perundangan yang jelas sebagaimana di sesetengah negara lain. Pada masa yang sama, atas pertimbangan kemanusiaan, mereka juga tidak dihantar pulang ke tempat yang boleh mengancam nyawa mereka.

Akibatnya, ramai pelarian hidup dalam keadaan yang boleh disifatkan sebagai tergantung.

Mereka tidak boleh pulang.

Mereka tidak mempunyai negara yang menerima mereka.

Mereka tidak mempunyai masa depan yang jelas.

Tetapi mereka tetap perlu hidup.

Mereka perlu makan.

Mereka perlu menyewa rumah.

Mereka perlu mendapatkan rawatan kesihatan.

Mereka perlu menyekolahkan anak-anak.

Apabila manusia dibiarkan bertahun-tahun dalam keadaan seperti ini, pelbagai masalah sosial akan lebih mudah muncul. Namun ini tidak bermakna jenayah boleh dimaafkan atau pelanggaran undang-undang boleh diterima. Namun keadilan menuntut kita membezakan antara simptom dan punca. Kita tidak boleh sekadar menghukum simptom tanpa memahami penyakit yang melahirkannya.

Apa Yang Islam Ajarkan?

Allah SWT berfirman:

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam.”

(TMQ al-Isra’: 70)

Perhatikan bahawa Allah SWT tidak menyebut orang Islam sahaja. Allah menyebut seluruh anak Adam. Kemuliaan manusia tidak diberikan oleh pasport, bangsa atau status kewarganegaraan. Kemuliaan itu diberikan oleh Allah SWT sendiri.

Allah SWT juga berfirman:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara.”

(TMQ al-Hujurat: 10)

Manakala Rasulullah SAW bersabda:

“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam kasih sayang, belas kasihan dan kasih mesra sesama mereka adalah seperti satu tubuh; apabila satu anggota sakit, seluruh tubuh turut merasai demam dan tidak dapat tidur.”

(HR al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini bukan sekadar untuk dibaca di mimbar.

Ia sepatutnya membentuk cara kita melihat manusia yang sedang menderita.

Apa Yang Sejarah Islam Tunjukkan?

Isu pelarian bukanlah sesuatu yang asing dalam sejarah Islam.

Sepanjang sejarah, umat Islam berkali-kali berhadapan dengan peperangan, penjajahan dan penindasan yang memaksa manusia meninggalkan tanah air mereka untuk mencari keselamatan di tempat lain.

Ketika Perang Salib, ramai penduduk Muslim di wilayah Syam kehilangan tempat tinggal akibat peperangan yang berpanjangan. Mereka berpindah ke wilayah-wilayah Islam yang lebih selamat dan diberikan perlindungan oleh pemerintah serta masyarakat setempat. Sebahagian daripada mereka kemudiannya menjadi sebahagian daripada kekuatan umat yang akhirnya menyumbang kepada usaha pembebasan semula wilayah tersebut di bawah kepimpinan Salahuddin al-Ayyubi.

Begitu juga selepas kejatuhan Granada pada tahun 1492. Ratusan ribu Muslim Andalusia kehilangan tanah air, harta benda dan kehidupan yang telah mereka bina selama berabad-abad. Mereka melarikan diri ke Afrika Utara dan wilayah-wilayah Islam yang lain bagi menyelamatkan agama, keluarga dan nyawa mereka.

Khilafah Uthmaniyyah membuka pintunya kepada pelarian-pelarian ini. Mereka diberikan perlindungan, penempatan, peluang pekerjaan dan ruang untuk membina kehidupan baharu. Mereka tidak dibiarkan hidup dalam keadaan tergantung atau terpinggir daripada masyarakat.

Sebaliknya, mereka diintegrasikan ke dalam kehidupan ekonomi dan sosial sehingga akhirnya menyumbang kepada pembangunan ilmu, perdagangan, pertukangan dan pentadbiran dalam wilayah Islam.

Sejarah Islam tidak menafikan kewujudan pelarian.

Sejarah Islam menunjukkan bagaimana pelarian diuruskan.

Pelarian tidak dilihat semata-mata sebagai beban yang perlu ditolak, tetapi sebagai manusia yang perlu dibantu dan diurus dengan cara yang memelihara maruah mereka serta kestabilan masyarakat.

Semangat yang sama dapat dilihat dalam hubungan antara Muhajirin dan Ansar di Madinah. Meskipun peristiwa Hijrah memiliki kedudukan dan tujuan yang jauh lebih besar daripada sekadar perpindahan manusia biasa, ia tetap menunjukkan bagaimana masyarakat Islam dibina di atas asas persaudaraan, perkongsian tanggungjawab dan kesediaan membantu mereka yang meninggalkan segala-galanya demi mempertahankan Deen mereka.

Apa Yang Perlu Dilakukan Hari Ini?

Realitinya, umat Islam hari ini hidup dalam dunia yang dibentuk oleh sempadan politik dan sistem yang belum sepenuhnya selaras dengan tuntutan Islam. Namun hakikat ini tidak menggugurkan tanggungjawab kita untuk berlaku adil, menunjukkan ihsan dan memelihara maruah manusia.

Kewajipan untuk membantu golongan yang tertindas tidak gugur hanya kerana dunia Islam masih berpecah-belah. Atas sebab itu, masyarakat perlu menolak budaya penghukuman kolektif dan bahasa kebencian yang menghilangkan nilai kemanusiaan. Kesalahan individu perlu dihukum sebagai kesalahan individu, bukan dijadikan alasan untuk membenci seluruh komuniti.

Masjid, institusi pendidikan dan para ilmuwan perlu memainkan peranan menghidupkan semula budaya rahmah dan tanggungjawab terhadap golongan yang tertindas. Pada masa yang sama, kerajaan seharusnya merangka pendekatan yang lebih menyeluruh bagi mengurus realiti pelarian yang telah wujud sejak sekian lama. Anak-anak pelarian perlu diberikan akses kepada pendidikan agar mereka tidak membesar dalam kitaran kemiskinan dan keterasingan sosial. Akses kepada perkhidmatan kesihatan juga perlu dipermudahkan agar masalah kemanusiaan tidak bertukar menjadi masalah sosial yang lebih besar.

Mekanisme yang lebih jelas berkaitan dokumentasi, pekerjaan dan kebajikan harus dipertimbangkan supaya komuniti pelarian tidak terus hidup dalam keadaan tergantung yang akhirnya menimbulkan pelbagai masalah dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Pengurusan yang lebih tersusun bukan sahaja dapat membantu golongan pelarian, malah dapat mengurangkan pelbagai persepsi negatif yang menjadi punca ketegangan antara masyarakat tempatan dan komuniti pelarian.

Pelarian yang diurus dengan baik boleh menjadi aset kepada masyarakat.

Pelarian yang dibiarkan tanpa arah pula akan terus terperangkap dalam masalah yang sama dari satu generasi ke generasi yang lain.

Namun begitu, semua ini bukanlah penyelesaian muktamad. Ia hanya membentuk sebahagian daripada usaha yang perlu dilakukan dalam realiti yang dihadapi hari ini agar keadilan dan rahmah terus terpelihara.

Mengapa Masalah Ini Terus Berulang?

Walaupun semua usaha ini penting, satu persoalan yang lebih besar masih belum terjawab.

Mengapakah umat Islam terus menjadi pelarian?

Mengapa satu krisis berakhir, lalu muncul pula krisis yang lain?

Mengapa Palestin, Syria, Myanmar, Sudan dan pelbagai wilayah lain terus melahirkan gelombang pelarian yang baharu?

Jika kita hanya membincangkan bagaimana mengurus pelarian, kita sebenarnya sedang merawat simptom. Kita belum menyentuh penyakitnya. Realitinya, dunia Islam hari ini berpecah kepada puluhan negara yang bergerak menurut kepentingan masing-masing. Penderitaan umat Islam di satu wilayah sering dianggap sebagai masalah wilayah itu sahaja.

Pelarian Palestin dianggap masalah negara jiran Palestin.

Pelarian Syria dianggap masalah Turkiye.

Pelarian Rohingya dianggap masalah Bangladesh atau Malaysia.

Sedangkan hakikatnya mereka semua adalah sebahagian daripada masalah umat Islam secara keseluruhan.

Khilafah Sebagai Penyelesaian Jangka Panjang

Umat Islam perlu melihat bahawa penyelesaian jangka panjang bagi masalah pelarian bukanlah sekadar bantuan kemanusiaan, perubahan sikap atau perubahan polisi semasa.

Ia memerlukan pemulihan semula kesatuan politik umat berasaskan aqidah dan syariat Islam.

Ini memerlukan usaha berterusan ke arah penyatuan semula umat Islam di bawah kepimpinan Islam, iaitu Khilafah ‘ala Minhaj al-Nubuwwah sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW dan para Khulafa’ al-Rasyidin.

Apa yang dilakukan oleh Ansar terhadap Muhajirin, apa yang dilakukan oleh Salahuddin al-Ayyubi terhadap mangsa peperangan, dan apa yang dilakukan oleh Uthmaniyyah terhadap pelarian Andalusia membuktikan bahawa penyelesaian Islam bukan sekadar teori.

Ia pernah dilaksanakan.

Ia pernah mengurus manusia yang kehilangan tanah air.

Ia pernah memelihara maruah mereka.

Dan ia pernah membina tamadun.

Soalan Yang Perlu Kita Jawab

Sebelum kita bercakap tentang permit, visa, dokumen atau sempadan negara, cuba bayangkan seketika.

Bayangkan anak kita sendiri membesar di kem pelarian.

Bayangkan keluarga kita sendiri menaiki bot yang sesak untuk menyelamatkan nyawa.

Bayangkan kita sendiri tiba di sebuah negara asing tanpa apa-apa selain pakaian yang dipakai di badan.

Kemudian kita mendengar penduduk negara itu berkata:

“Mereka beban.”

“Mereka tidak dialu-alukan.”

“Hantar mereka pulang.”

Apakah yang kita harapkan daripada manusia ketika itu?

Kebencian?

Atau belas kasihan?

Persoalan sebenar bukanlah apa yang kita fikirkan tentang kaum Rohingya, tetapi bagaimana Allah SWT menilai sikap dan tindakan kita terhadap mereka. Jika kita menuntut maruah untuk umat Islam di Eropah dan Amerika, maka kita mesti bersedia memberikan maruah yang sama kepada mereka yang berada di hadapan mata kita.

Ketika seluruh urusan dunia telah berakhir dan kita berdiri bersendirian di hadapan Allah SWT, sempadan negara tidak lagi bernilai, pasport tidak lagi berguna, dan segala alasan yang pernah kita gunakan tidak lagi mampu mempertahankan kita.

Pada saat itu, Allah SWT mungkin memperlihatkan kepada kita wajah-wajah manusia yang pernah datang dalam keadaan lemah, terusir, kelaparan dan ketakutan. Manusia yang tidak meminta kemewahan daripada kita, tetapi sekadar peluang untuk hidup dengan bermaruah.

Lalu Allah SWT akan bertanya:

“Apakah yang kamu lakukan ketika mereka berada di hadapanmu??”