Dikusi Ilmu HTM Dihadiri Umat Islam Rohingya

Shah Alam 24 JUN: Bertempat di Dewan Khilafah Hizbut Tahrir Malaysia Cawangan Kuala Lumpur telah mengadakan suatu Diskusi Ilmu yang bertajuk “Masyarakat Yang Dilupakan : Umat Islam Rohingya”.

Majlis bermula pada pukul 9.20 pagi dan tamat pada pukul 12.15 petang. Dalam majlis tersebut, dua orang ahli panel iaitu saudara Abu Syakir dan Ustaz Musab telah membentangkan pembentangan masing-masing. Selaku ahli panel pertama, Abu Syakir telah menjelaskan dan mengupas realiti serta suasana semasa yang berlaku terhadap umat Islam Rohingya di Myanmar saat ini. “Terlampau banyak berita dan maklumat sedih yang dipaparkan. Maklumat dan informasi berkenaan umat Islam Rohingya ini banyak dipaparkan di dalam internet yang tidak sukar untuk kita diperolehi. Cuma, apakah kita sebagai umat Islam merasakan ianya sebagai isu kita  bersama atau tidak?” ujar Abu Syakir. “Inilah yang perlu kita perhatikan. Kerana ketika ini apa yang berlaku terhadap umat Islam Rohingya tidak menjadi isu utama para pemimpin umat Islam amnya dan khususnya di Malaysia”. Tambahnya lagi. Para pemimpin kita nampaknya lebih menumpukan kepada agenda-agenda yang berkaitan dengan memancing hati rakyat untuk memastikan mereka tetap mendapat sokongan di dalam PRU-13 nanti. Sementara itu, ahli panel kedua, Saudara Mus’ab menjelaskan bahawa penyelesaian yang paling tuntas untuk umat Islam Rohingya adalah dengan mewujudkan kembali Sistem Khilafah. Hanya  Khilafahlah satu-satunya institusi politik yang boleh diharapkan. Fakta dan hakikatnya pada hari ini adalah umat Islam tidak boleh lagi mengharapkan PBB, OIC dan para pemimpin sekular yang ada untuk merungkai permasalahan umat Islam Rohingya kerana kesemuanya terbukti gagal untuk menyelesaikan isu umat Islam Rohingya sejak ia bermula pada tahun 70-an lagi.

Majlis diskusi pada kali ini juga telah berjaya menarik minat umat Islam Rohingya yang berkerja di sini untuk hadir. Pihak penganjur telah memberikan kesempatan kepada masyarakat Rohingya yang hadir ke majlis itu untuk menceritakan sendiri apakah sebenarnya yang telah berlaku selama ini dan perkembangan terbaru nasib umat Islam di sana. Majlis turut merasa simpati apabila wakil yang berucap tiba-tiba menangis semasa menceritakan kebiadaban dan kezaliman junta tentera Mynmar ke atas umat Islam Rohingya. Keadaan semakin sayu apabila hampir semua warga Rohingya yang hadir turut menangis tatkala wakil mereka mengucapkan syukur kerana pada hari ini nasib mereka telah mendapat perhatian dunia terutama umat Islam di Malaysia. Persoalannya ialah sampai bilakah isu dan masalah umat Islam Rohingya ini akan berakhir. Apa yang pasti adalah, umat Islam Rohingya dan dunia umumnya memerlukan Khilafah. Jadi, bilakah umat Islam akan bangkit dari keadaan yang terburuk ini?