Mansuh AUKU, Bangkitkah Mahasiswa?

Pengumuman Perdana Menteri berhubung cadangan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) semasa Kongres PKR baru-baru ini telah mencetuskan polemik dan pelbagai reaksi dari banyak pihak.

Di satu sudut, langkah ini disambut baik oleh pertubuhan seperti SUHAKAM dan G25, serta pakar akademik yang melihatnya sebagai satu anjakan untuk memperkasa literasi politik dan pemikiran kritis dalam kalangan mahasiswa.

Walau bagaimanapun, cadangan ini tidak terlepas daripada kritikan dan pandangan yang mahu mengekalkannya dengan dibuat pindaan yang perlu sahaja. Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) secara terbuka menolak pemansuhan AUKU, sebaliknya menuntut agar sebarang reformasi haruslah berasaskan nilai tanggungjawab pelajar, bukan sekadar kebebasan.

Selain itu, penganalisis dan aktivis memberi amaran bahawa ujian sebenar pentadbiran hanya bermula selepas akta tersebut dihapuskan. Mereka menegaskan bahawa tanpa usaha dan iltizam yang tulus untuk membebaskan universiti daripada cengkaman atau campur tangan pihak berkuasa, pemansuhan ini akan mengundang masalah lain yang lebih banyak.

Sebagai rekod, AUKU 1971 digubal dan kemudiannya dipinda dengan drastik pada tahun 1975 susulan siri kebangkitan dan demonstrasi mahasiswa pada era tersebut. Sejak itu, akta ini terus berfungsi sebagai instrumen kawalan kerajaan yang amat ketat untuk mengekang penglibatan mahasiswa dalam arena politik, mengekang kebebasan bersuara, serta membatasi kuasa autonomi pelajar, yang akhirnya memandulkan kelantangan warga institusi pengajian tinggi awam selama berdekad-dekad.

Tidak dinafikan bahawa pemansuhan AUKU akan membuka ruang yang lebih luas kepada mahasiswa untuk berpolitik dan berpendirian, melaksanakan tanggungjawab, serta memainkan peranan secara aktif di tengah-tengah masyarakat. Mahasiswa boleh bersuara tanpa rasa takut dan boleh memainkan peranan semak dan imbang terhadap polisi negara, selain menjadi pemangkin kepada kebangkitan.

Namun, di sebalik semua itu, apa pun “pro n kons” dengan pemansuhan AUKU yang sedang hangat diperkatakan ini, harus diingat bahawa ruang kebebasan ini tidak akan sekali-kali membawa kepada kebangkitan mahasiswa secara hakiki sekiranya mahasiswa tidak mempunyai hala tuju dan neraca yang benar menuju kebangkitan.

Mahasiswa sememangnya mempunyai potensi yang sangat besar untuk menjadi pemangkin kepada kebangkitan umat, dengan syarat pemikiran dan perasaan mereka terlebih dahulu hendaklah dipandu oleh mabda’ (ideologi) Islam. Tanpa suluhan akidah dan pemikiran yang sahih, mereka amat mudah dipengaruhi oleh lingkaran politik kepentingan, agenda sekularisme, serta anasir luar yang mengelirukan dan memudaratkan.

Mahasiswa perlu sedar bahawa kebangkitan yang hakiki tidak diukur atau dinilai dengan kebebasan bersuara dan hak demokratik. Dengan kata lain, kebangkitan bukanlah bergantung kepada pemansuhan AUKU atau tidak. Kebangkitan sebenar hanya berlaku melalui peningkatan taraf berfikir – apabila cara berfikir sekular dibuang dan diganti sepenuhnya dengan cara berfikir berasaskan wahyu. Kebangkitan tidak akan berlaku kecuali mesti bermula dengan perubahan pemikiran. Sebagaimana orang Arab dahulu tidak pernah bangkit kecuali setelah kedatangan Islam, lalu mereka menjadikan wahyu sebagai asas kepada pemikiran dan tindakan mereka.

Atas dasar itu, mahasiswa perlu bangkit melalui cara berfikir yang benar dalam kerangka Islam. Jika cara berfikirnya salah – masih dalam kerangka sekular – maka, sebarang kebebasan yang muncul hanya akan berjalan di bawah dominasi sekularisme. Bahkan kebebasan tersebut berisiko untuk membuka lebih banyak pintu kerosakan apabila idea-idea kebebasan ala Barat dipraktikkan oleh golongan terpelajar.

Dari sisi lain, pemansuhan AUKU yang baru kini dibincangkan menunjukkan hipokrasi kerajaan Madani yang ketika era reformasi dahulu bukan main menuntut agar akta zalim itu dimansuhkan, bahkan berjanji akan menghapuskannya jika menjadi kerajaan. Atas dasar janji itu, rakyat memilih mereka, dan setelah sekian lama rakyat dipermainkan, akhirnya baru sekarang rakyat melihat AUKU “cuba” untuk dimansuhkan.

Apa pun yang bakal kita saksikan, sama ada AUKU akan dimansuhkan atau tidak, mahasiswa dan warga universiti – selaku golongan yang paling terkesan dengan AUKU – perlu memahami bahawa perubahan undang-undang semata-mata tidak akan membebaskan minda mereka daripada penjajahan selagi mereka masih percaya dan mengikat diri dengan sekularisme. Kebangkitan tidak mungkin berlaku jika ketaatan masih dicurahkan kepada perlembagaan dan undang-undang yang datangnya daripada penjajah. Kebangkitan hanya akan berlaku apabila wahyu, dan hanya wahyu, dijadikan pegangan dan panduan.