Alangkah beraninya para pemimpin dan tentera Muslim

Sebuah laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini menyatakan bahawa selama 300 hari tempoh “gencatan senjata”, 300 orang kanak-kanak telah terbunuh akibat pencerobohan oleh entiti Yahudi, yang tidak pernah berhenti di Gaza.
Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) melaporkan bahawa perkara ini berlaku walaupun terdapat perjanjian untuk menangguhkan operasi ketenteraan dan membenarkan bantuan kemanusiaan serta bekalan bantuan masuk sepenuhnya.
Walaupun mungkin ramai sudah tidak mempedulikan berita ini, dan mungkin seluruh dunia sudah tidak lagi memberi perhatian kepada Gaza, namun sebagai Muslim yang masih punya keimanan, kita tidak boleh membaca berita ini hanya sekali lalu sahaja, lalu beralih kepada berita lain, seolah-olah nyawa 300 kanak-kanak ini tidak ada nilainya lagi di sisi kita.
Ketahuilah wahai kaum Muslimin, bahawa ini bukanlah satu berita biasa. Ia bukan sekadar berita semalam, berita minggu lepas, berita bulan lepas atau berita tahun lepas yang boleh diabaikan begitu sahaja. Ia juga bukanlah statistik yang tidak bermakna. Berita ini benar-benar merupakan sebuah malapetaka, dan sebuah berita yang bukan sahaja mengandung seribu makna, bahkan berita yang akan terus hidup sampai ke Padang Mahsyar, dan akan membawa banyak pihak ke neraka kerananya. Na’uzubillah min zalik.
Berita ini bermakna bahawa dunia ini, dengan sistem dan institusi antarabangsanya, adalah pihak utama yang menyumbang kepada pembunuhan kejam ini. Selama tiga tahun kebelakangan ini, bahkan sejak berpuluh tahun lalu, PBB dan badan dunia cuba meyakinkan masyarakat dunia bahawa mereka tidak mahukan peperangan dan sentiasa mencari keamanan dan kedamaian di Gaza.
Namun, hakikatnya semua badan dunia itu bukan sahaja telah mengecewakan Gaza, bahkan sebenarnya “bersubahat” dengan entiti Yahudi untuk menghancurkan Gaza. PBB adalah badan pembohong antarabangsa yang terbesar, sama seperti OIC dan Liga Arab. Semuanya hanya menjadi penonton ke atas pembunuhan kejam oleh Yahudi di Gaza. Mereka bermesyuarat dan terus bermesyuarat di saat Gaza dihancurkan, mengeluarkan resolusi demi resolusi, mengeluarkan kecaman demi kecaman, yang semuanya kosong dan semuanya lakonan belaka.
Tujuan penubuhan UNICEF sebagai contoh, sebagaimana dinyatakan sendiri secara rasmi dalam laman sesawang mereka ialah “untuk melindungi hak setiap kanak-kanak, terutamanya mereka yang paling kurang bernasib baik dan mereka yang paling sukar dihubungi; melakukan apa sahaja untuk membantu kanak-kanak terus hidup, berkembang maju dan mencapai potensi mereka; menyediakan dan menyokong perkhidmatan pendidikan, kesihatan dan pemakanan; melindungi kanak-kanak daripada keganasan dan penderaan; membawa air bersih dan sanitasi kepada mereka yang memerlukan; dan memastikan mereka selamat daripada perubahan iklim dan penyakit”
Dengan tujuan penubuhan yang begitu hebat dan inklusif, apakah yang UNICEF lakukan untuk menyelamatkan anak-anak Gaza, khususnya sejak tiga tahun lepas? Apakah yang UNICEF buat untuk menghentikan kekejaman entiti Yahudi? Apakah yang UNICEF buat untuk menyekat kejahatan Trump terhadap kanak-kanak? Ia sama sahaja seperti badan induknya, PBB, yang penuh retorik, sedangkan realitinya hanyalah kuda tunggangan Amerika.
Berita kematian 300 orang kanak-kanak itu berlaku tatkala Trump tampil bermegah bahawa dia telah berjaya menghentikan peperangan di Gaza. Hakikatnya, anak didiknya (entiti Yahudi), terus-menerus mengebom Gaza dan tidak pernah berhenti daripada misi pembunuhannya ke atas kanak-kanak Gaza.
Berita ini bermakna, wahai umat Muhammad, bahawa nyawa kalian sudah lama tidak bernilai di hadapan musuh-musuh kalian. Ia bukan soal nyawa kanak-kanak di Gaza sahaja, tetapi nyawa keseluruhan kaum Muslimin tidak ada nilainya sedikit pun di mata mereka.
Maka, jangan harap yang mereka akan menilai kalian sebagai umat yang bermaruah, atau umat yang terbaik, apabila nyawa kalian sahaja sudah tidak ada nilainya bagi mereka. Bahkan, kalian wajar sahaja dibunuh dan diperhambakan oleh mereka. Itulah nilai kalian di mata musuh-musuh kalian wahai kaum Muslimin, jika sahaja kalian mengerti.
Berita ini bermakna bahawa kalian, wahai para penguasa dan tentera kaum Muslimin, merupakan pihak yang menanggung dosa yang paling besar. Ini kerana kalian tidak melaksanakan kewajipan jihad kalian, tidak menyelamatkan kanak-kanak, wanita, orang-orang tua dan orang-orang yang tidak berdaya yang sedang menjerit meminta tolong daripada kalian. Padahal kalian mempunyai kekuatan untuk mengalahkan Yahudi dan membebaskan Palestin, namun kalian memilih untuk membisu dan kalian sebenarnya telah “membantu” Yahudi membunuh saudara-saudara kalian dan merampas tanah kalian.
Alangkah besarnya dosa yang kalian pikul wahai penguasa dan tentera kaum Muslimin! Alangkah beraninya kalian memikul dosa tersebut! Alangkah beraninya kalian untuk menjawab di hadapan Rabb kalian apabila kanak-kanak yang dibunuh di Gaza itu bangkit di Padang Mahsyar nanti dan bertanya kenapa aku dibunuh, dan di mana para penguasa serta tentera kaum Muslimin untuk menyelamatkan aku! Firman Allah (swt):
﴿وَإِذَا الْمَوْءُودَةُ سُئِلَتْ بِأَيِّ ذَنْبٍ قُتِلَتْ وَإِذَا الصُّحُفُ نُشِرَتْ﴾
“Dan apabila bayi-bayi perempuan yang dikubur hidup-hidup ditanya, kerana dosa apakah dia dibunuh, dan apabila catatan-catatan (amal perbuatan manusia) dibuka” [At-Takwir (81): 8-10]
Alangkah beraninya kalian wahai para penguasa dan tentera kaum Muslimin, di saat Allah sendiri sedang memberi ancaman kepada kalian supaya merasa takut pada hari tersebut,
﴿وَاتَّقُواْ يَوْمًا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللّهِ ثُمَّ تُوَفَّى كُلُّ نَفْسٍ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لاَ يُظْلَمُونَ﴾
“Dan takutlah kalian kepada satu hari (kiamat) yang padanya kalian akan dikembalikan kepada Allah, kemudian setiap jiwa akan diberi balasan sepenuhnya atas apa yang telah diusahakannya, dan mereka tidak akan dizalimi (dianiaya).” [Al-Baqarah (2): 281].
Wallahu a’lam.