Para pemimpin Liga Arab terus hipokrit

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo membuat pengumuman yang penempatan haram kaum Yahudi di Palestin sebagai sah. Ia satu pengumuman yang bertentangan dengan Resolusi Majlis Keselamatan PBB tetapi disambut baik Perdana Menteri entiti haram tersebut, Benjamin Netanyahu. Laporan memetik Pompeo sebagai berkata, keputusan itu kononnya dibuat selepas mengkaji dengan teliti kesemua perdebatan undang-undang yang mana AS telah menyimpulkan bahawa penubuhan penempatan haram Israel di Tebing Barat adalah selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Berita ini tidaklah mengejutkan kerana AS sudah banyak kali melanggar resolusi PBB dengan sombongnya tanpa mempedulikan orang lain. PBB tidak lebih daripada kuda tanggungan sahaja kepada negara Uncle Sam tersebut, dan AS tahu bahawa PBB tidak dapat dan tidak akan berbuat apa-apa mengenainya. Malah tidak ada satu negara pun di dunia yang boleh mengambil apa-apa tindakan ke atas AS hasil keputusan biadabnya itu.

Seperti biasa, pemimpin negara Arab terus bersandiwara dengan pengumuman AS tersebut. Mereka berlagak prihatin dan berebut untuk menjadi hero dengan mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan yang dibuat oleh AS. Mereka kononnya memarahi Amerika dan mempertahankan Palestin!

Para pemimpin Arab ini sudah lama tidak punya perasaan malu kepada Allah dan RasulNya. Dalam keadaan seluruh dunia mengetahui akan pengkhianatan mereka terhadap Palestin, mereka tanpa segan silu menzahirkan kemunafikan mereka dengan menunjukkan keprihatinan mereka terhadap Palestin. Kononnya merekalah penjaga Palestin, padahal hakikatnya kerana merekalah tanah yang diberkati itu dijajah dan terus berada di bawah penjajahan! Para pemimpin Arab ini sudah tidak tahu malu dengan menghinakan diri mereka sendiri di sisi umat Islam dan di sisi Allah (swt) dengan menjadi boneka dan sujud kepada Amerika!

Jika dahulu sahabat tertanya-tanya kepelikan kepada Rasulullah (saw) siapakah Ruwaibidhah, pada hari ini kita telah menyaksikan di depan mata kita siapakah dan betapa ramainya golongan Ruwaibidhah ini.

“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar, dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan diberi memegang amanah, dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan ‘Ruwaibidhah’. Sahabat bertanya, ‘Apakah Ruwaibidhah wahai Rasulullah?’ Rasulullah menjawab, ‘Orang bodoh yang bercakap mengenai urusan orang ramai” [HR Ahmad].

Umar Hussein
Pimpinan Pusat
Hizbut Tahrir Malaysia