Laporan Diskusi meja Bulat Rohingya: Di Lautan Tanpa Negara atau Sebahagian Dari Khairu Ummah?

Pada hari Sabtu tanggal 6 haribulan Jun 2015, Bahagian Wanita, Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir dengan kerjasama Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia dan Khilafah Center telah berjaya menganjurkan satu Diskusi Meja Bulat bertemakan Rohingya: Di Lautan Tanpa Negara atau Sebahagian Dari Khairu Ummah?  Diskusi meja bulat ini telah dilaksanakan julung kalinya bertempat di Ballroom Perdana II, Hotel Nouvelle, Kuala Lumpur, Malaysia.

Diskusi Meja Bulat ini merupakan acara kemuncak kempen Rohingya: Di Lautan Tanpa Negara atau Sebahagian dari Khairu Ummah yang telah dilancarkan oleh Bahagian Wanita, Pejabat  Media Pusat Hizbut Tahrir pada 25 mei yang lalu telah berjaya mempertemukan tokoh-tokoh pemikir wanita yang mewakili pelbagai latarbelakang seperti Muballighah, Golongan Professional, Ilmuwan dan ahli Akademik, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Rohingya Malaysia, Wakil-wakil Jawatankuasa Penduduk dan wakil media dalam satu suasana perbincangan yang sangat essential.

Objektif perbincangan ini tidak lain adalah bertujuan bagi mengupas segala permasalahan Muslim Rohingya Myanmar dan seterusnya mencapai kata putus apakah jalan penyelesaian terbaik untuk permasalahan Muslim Rohingya yang amat menyayat hati ini .

Majlis di mulai dengan tilawah Al Quran dari Surah Ali Imran ayat 100-112 yang diperdengarkan oleh Ustazah Norafidah Abdul Rahman dan dibacakan terjemahannya oleh Ukhtie Zilah.  Diikuti dengan video mesej ucapan Pengarah Bahagian Wanita, Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir iaitu Dr Nazreen Nawaz telah di pancarkan yang antara isi kandungannya merupakan seruan kepada semua kaum Muslimin untuk mengembalikan status Kaum Muslim Rohingya kepada sebaik-baik umat.

Diskusi dimulakan dengan tayangan video memaparkan kisah dan keadaan Muslim Rohingya di Acheh.  Seterusnya moderator Diskusi Meja Bulat iaitu Dr. Izzah Ibrahim telah bertanyakan soalan kepada ahli panel dari Malaysia, Puan Sumayyah Amar, anggota Pejabat Media Pusat HT Malaysia dan dari Indonesia, Puan Iffah Rochmah, Jurucakap Muslimah Hizbut Tahrir tentang bagaimanakah reaksi dan tindakbalas para pemimpin dan penguasa di Malaysia serta Indonesia dalam menangani kehadiran kaum Muslim Rohinya di muka pintu perairan.  Sumayyah turut di soal tentang pelan tindakan mahupun rancangan jangka panjang Malaysia atas kapasitinya sebagai Pengerusi ASEAN 2015.  Ternyata dari penjelasan kedua-dua ahli panel, reaksi pemimpin Muslim yang di nyatakan amat mengecewakan dengan mereka langsung tidak merasakan satu kepentingan atau tanggungjawab mereka untuk menyelesaikan masalah saudara seakidah Muslim Rohingya namun  sebaliknya kedua-dua ketua negara hanya membenarkan kaum muslim Rohingya  diberikan perlindungan sementara dan bantuan kemanusiaan selama setahun.

Puan Iffah Rochmah juga menjelaskan bahawa racun Nasionalisme yang berakar dalam diri pemimpin kedua-dua Negara adalah penyebab utama kepada reaksi yang ditunjukkan itu. Walau bagaimanpun, beliau mengatakan umat Islam sebagai sebuah masyarakat contohnya nelayan-nelayan di perairan Acheh masih mempunyai ukhuwwah Islamiyyah dan tetap membantu kaum Muslimin Rohingya walaupun mereka diancam oleh pemerintah di Indonesia.

Mesej video dari Bangladesh turut disiarkan kepada para hadirin mengenai tindak balas kejam pemimpin umat Islam di wilayah Bangladesh terhadap warga Rohingya Muslim yang sampai ke perairan mereka dengan mengusir mereka kembali ke lautan dan akhirnya membiarkan bot-bot mereka hilang tanpa diketahui nasibnya.

Seterusnya, anggota Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir Australia, Dairien Santoro dalam jawapan balasnya kepada moderator tentang apakah reaksi pemimpin Barat terutamanya Australia dan Badan-badan Antarabangsa seperti PBB dan Hak Asasi Manusia dalam menangani penderitaan Kaum Muslim Rohingya telah memaklumkan bahawa pada dasarnya para pemimpin Barat seperti Australia secara terang-terangan telah memilih untuk mengambil sikap tidak peduli terhadap pembunuhan beramai-ramai umat Islam Rohingya, Myanmar.  Walaupun penganiayaan rejim kejam Myanmar terhadap kaum minoriti telah dilakukan puluhan tahun, namun Amerika dan Kesatuan Eropah meneruskan hubungan diplomasi nya dan mengenakan sekatan atas kemasukan pelarian Muslim Rohingya ke negara mereka melalui semua laluan.  Pemenang Nobel pejuang hak kebebasan demokrasi Ang San Suu Kyi juga turut membisu tanpa sebarang suara dalam isu penindasan Muslim Rohingya ini.  Dairien menegaskan sandaran harapan pemimpin Kaum Muslimin seluruh dunia terhadap badan-badan antarabangsa seperti PBB hanyalah sesuatu yang sia-sia.

Ustazah Raana Mustafa, Ahli Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir Biladi Syam merupakan panel yang keempat telah berkongsi tentang kekejaman dan penindasan yang berlaku ke atas wanita dan anak-anak di belahan dunia Arab.  Isu Muslim Rohingya bukanlah bersifat terasing.  Beliau menyatakan sesungguhnya apa yang berlaku di Negara-negara Islam berupa tragedi dan musibah akibat kezaliman para pemerintah kaum Muslimin yang tamak dan lalai sehingga kebencian mereka kepada umat telah menghilangkan belas kasihan terhadap maruah manusia dari amalan politik mereka.  Beliau berulang kali menegaskan bahawa umat Islam adalah Khairu Ummah iaitu umat yang terbaik di antara seluruh kejadian umat manusia seperti yang dijanjikan Allah dalam Surah Ali Imran Ayat 110, maka sudah selayaknya maruah kaum Muslim dikembalikan dengan terhasilnya usaha orang-orang yang ikhlas berjuang untuk penerapan seluruh hukum Islam sebagai sebuah Negara.

Perbincangan para pemikir wanita telah disimpulkan kepada satu penyelesaian oleh Ustazah Fika Komara, Anggota Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir Asia Tenggara yang menyeru kepada semua yang hadir untuk sama-sama berganding bahu mengembalikan sebuah Negara Islam yang cemerlang iaitu daulah Khilafah Islamiyyah atas metod kenabian. Secara praktikalnya, Khilafah akan menyatukan seluruh kekuatan umat Islam melalui ikatan akidah Islam sekaligus menghapuskan batas-batas Nasionalisme. Khilafah juga sebagai sebuah institusi yang akan menggerakkan seluruh kekuatan yang ada termasuk mengarahkan pasukan ketenteraannya untuk membebaskan kaum Muslim yang ditindas dengan kejam bukan sahaja di Rohingya Myanmar, malah di seluruh belahan dunia tanah kaum muslimin. Negara Islam Khilafah akan memberikan status kenegaraan kepada seluruh umat manusia mengikut hak pilihan mereka dan itulah yang amat diperlukan oleh Muslim Rohingya yang sedang berada dilautan tanpa Negara dan di buang dari tanah tumpah darah mereka.

Diskusi Meja Bulat ini telah menyaksikan persetujuan dari semua para tokoh dan intelektual yang hadir akan solusi yang ditawarkan oleh Hizbut Tahrir. Diskusi ini diakhiri dengan acara tandatangan deklarasi oleh para tokoh pemikir wanita yang hadir tanda bersetuju bahawa umat Islam Rohingya adalah sebahagian dari Khairu Ummah dan para pemimpin kaum Muslimin haruslah segera membebaskan mereka dengan memberikan mereka kewarganegaraan yang sepatutnya.

{gallery}muslimah/AKSI-MUSLIMAH/DISKUSI_ROHINGYA_2015{/gallery}