Arus Deras Halang Hasrat Zahra

Utusan Online 3 Julai 2009
KUALA LUMPUR 2 Julai – Usaha perenang muda negara, Zahra Masoumah Abdul Halim menyeberangi Selat Inggeris sejauh 34 kilometer (km) gagal ekoran arus deras di perairan itu. Cabaran berenang dari Dover, England ke Calais, Perancis terpaksa dihentikan disebabkan oleh pertembungan arus yang merubah laluan renangnya.

Pengerusi Kelab Explorasi 7 Benua (KE7B), Muqharabbin Mokhtarudin berkata, keadaan laut dengan ombak setinggi 1.5 meter tidak mengizinkan gadis itu meneruskan misi walaupun ketika itu Zahra sudah berenang selama 12 jam 28 minit.

“Zahra dihanyutkan arus deras yang membawa beliau ke arah utara (Belanda dan Belgium) sebaik memasuki perairan Perancis. “Beliau tidak mampu melawan arus kuat yang mungkin akan menyebabkannya hanyut semula ke perairan Inggeris,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di London hari ini.

Muqharabbin memberitahu, Zahra yang ditemani bapanya, Abdul Halim Abdul Manaf akan pulang ke Malaysia pada 9 Julai ini dan misi itu tetap akan diteruskan cuma terpaksa ditunda ke satu tarikh yang masih belum ditetapkan. Menurut beliau, ketika Zahra diarahkan jurulatihnya, Arof Omar supaya berhenti, pelajar berusia 18 tahun itu masih bersemangat untuk meneruskannya.

“Rekod mungkin dapat dicipta pada hari itu, tetapi ia akan mengambil masa yang terlalu lama, kira-kira 28 jam. “Tetapi kita bangga kerana beliau menunjukkan semangat dan keupayaan fizikal yang mengagumkan,” katanya yang turut mengiringi Zahra menggunakan bot di perairan itu.

Katanya, sebelum ini, seorang perenang Cuba turut mengalah selepas empat jam dipukul ombak dan berenang di selat berarus sejuk itu. Sekiranya berjaya, Zahra, pelajar Sains Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu akan menjadi wanita Islam pertama di dunia yang melakukannya.

Misi merentasi Selat Inggeris yang merupakan fasa ketiga Eksplorasi Ekstrem Tujuh Benua Tujuh Negara (EE7B7N) bermula sejak 2004 itu ditunda ke satu tarikh yang belum ditetapkan. Bagi peringkat kedua fasa tersebut, Muqharabbin juga akan melakukan triathlon dengan berenang dari Dover ke Calais, kembali ke Dover dengan berkayak dan berbasikal ke London sejauh 120km.

Pada 23 Ogos 2007, Zahra bersama adiknya, Salman yang ketika itu berusia 10 tahun hampir memecahkan rekod perenang marathon negara, Datuk Abdul Malik Maidin apabila berjaya berenang dari Langkawi ke Kuala Perlis sejauh 43km dalam masa 14 jam.

Sumber: Utusan Online

Ulasan:
Ketika ini, media hebat melaporkan gejala sosial yang melibatkan gadis Muslim dengan kes-kes perzinaan yang menyedihkan dan sadis. Pembuangan dan pembunuhan bayi juga telah menjadi berita rutin yang dihebahkan setiap hari. Sesungguhnya di antara tanda-tanda dekatnya hari kiamat ialah hilangnya kemanfaatan ilmu dan makin ketara kebodohan dan banyaknya peminum arak dan meluasnya perzinaan dengan terang-terangan. [Hadis Riwayat al-Bukhari]. Malangnya, budaya hedonism yang telah menjangkiti umat Islam menjadikan mereka lalai dan terlalu mengejar dunia. Sebagai contohnya, pelajar wanita sebuah universiti awam ini bersungguh-sungguh mahu menyeberangi Selat Inggeris demi mengejar status ‘wanita Islam pertama menyeberangi Selat Inggeris’. Apakah berenang menyeberangi Selat Inggeris ini lebih penting dari segala-galanya? Apakah kesan dari kejayaannya mengulangi sejarah kejayaan Datuk Abdul Malik Maidin pada tahun 2003 kepada kemaslahatan umat Islam terutamanya Muslimah yang berdepan dengan gejala sosial amat runcing kebelakangan ini?

Sebenarnya ini adalah gejala jauhnya Islam dari dalam diri penganutnya. Ramai orang termasuk umat Islam takut dijangkiti virus H1N1. Tetapi mereka tidak takut dijangkiti virus wahn menyebabkan mereka lebih suka mengejar glamour dan kemasyhuran seolah-olah gejala sosial yang berleluasa ketika ini tidak ada kena mengena dengan mereka. Dari Tsauban dia berkata bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam telah bersabda: “Akan terjadi masa dimana umat-umat diluar Islam berkumpul disamping kalian wahai umat islam. Sebagaimana berkumpulnya orang-orang yang menyantap hidangan. Lalu seorang Sahabat bertanya: ‘Apakah kami pada saat itu sedikit wahai Rasulullah? “Beliau menjawab: “Tidak. Bahkan ketika itu jumlah kalian banyak. Akan tetapi kalian ketika itu bagaikan buih dilautan. Ketika itu Allah hilangkan dari musuh-musuh kalian rasa segan dan takut terhadap kalian dan kalian tertimpa penyakit wahn. Sahabat tadi bertanya lagi : ‘wahai Rasulullah apa yang baginda maksud dengan wahn itu? , Rasulullah menjawab: “cinta dunia dan takut mati. [HR Abu Dawud. Shohih lighairihi].

Adapun orang yang melampaui batas, dan lebih mengutamakan kehidupan dunia, Maka Sesungguhnya nerakalah tempat tinggal(nya). Dan Adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, Maka Sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya”[Surah an-Nazi’at: 37-41]

Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” [Surah Ali-Imran: 85]

Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (sementara) dan Sesungguhnya akhirat Itulah negeri yang kekal.“[Surah Al-Mukmin: 39].

Wallahu ‘alam bisshawab.