Kebanggaan Seorang Ibu Di Dalam Sistem Kapitalis
NEW YORK – Susan Levy berasa bangga kerana anaknya yang merupakan seorang saintis, Dr. Brooke Magnanti mengaku pernah menjadi pelacur baru-baru ini, lapor sebuah akhbar semalam. Ibu Brooke itu yang kini menetap di sebuah rumah ladang sederhana dekat Syracuse di sini berkata, pada mulanya dia terkejut apabila mendapat tahu anak tunggalnya itu membuat pengakuan tersebut.
Levy, 64, berkata, anaknya merupakan seorang penulis hebat dan gemar menulis sejak di zaman kanak-kanaknya namun berasa terperanjat apabila Dr. Brooke mengaku dia menulis mengenai pengalamannya sebagai pelacur dengan menggunakan nama samaran Belle de Jour di laman blog pada 2003 hingga 2004.
Pada Ahad lalu, sebuah akhbar menyiarkan wawancara dengan Brooke yang mengaku dia merupakan penulis diari di Internet yang menceritakan kisah mengenai dunia pelacuran. Dia yang kini berkerja di sebuah makmal di Bristol, England mengaku menjadi wanita teman sosial dengan bayaran £300 (RM1,697) untuk satu sesi seks bagi mencari wang untuk menyiapkan tesis kedoktoran pada 2003 di London.
Kisahnya itu kemudian dibukukan dengan judul The Intimate Adventures of a London Call Girl yang laris dijual.
Satu siri drama televisyen lakonan pelakon terkenal, Billie Piper yang berjudul Secret Diary of a Call Girl diterbitkan berdasarkan kisah buku itu. Levy berkata, anaknya yang mendapat pendidikan di sebuah sekolah Katholik di Florida sebelum berpindah ke Britain, pernah menelefonnya pada minggu lalu bagi menceritakan isu tersebut. – Agensi
Sumber : Kosmo 19/11/2009
Wahai Ibu! Adakah Ini Satu Kebanggaan atau Kehinaan?
“Saya bangga anak saya berdiri di pentas kejayaan”–Begitulah juga kata-kata yang pernah diucapkan oleh seorang ibu apabila anaknya dipilih sebagai pemenang program hiburan serta terdapat banyak lagi reaksi spontan seorang ibu apabila anak-anak kesayangan mereka meraih kejayaan dunia sekular kapitalis ini.
Kebanggaan Levy terhadap anak perempuannya mungkin juga reaksi apologetik beliau untuk menutup rasa bersalah lantaran terkilan dengan pengabaian tanggung jawab sebagai seorang ibu sehingga anaknya berusaha sendiri mencari wang demi matlamat yang hendak dicapai. Namun dalam masa yang sama Levy juga bersifat defensif dan ingin memberitahu kepada masyarakat bahawa beliau telah memberikan didikan agama terbaik kepada anaknya iaitu dengan menghantar anaknya ke sekolah Katholik.
Inilah kebiasaanya menjadi kebanggaan para ibu di Barat namun bagaimanakah dengan kita? Wajarkah kebanggaan bermaksiat sebegini menjadi sumber inspirasi kita? Nauzubillah!! Sudah tentu jawapannya TIDAK!.
Pemahaman Fikrah Islam, mengajar kita, sebesar mana pun keinginan dan kecemerlangan yang ingin di capai, tetap sahaja matlamat selamanya tidak akan menghalalkan cara. Apapun matlamat yang ingin diraih didalam kehidupan kita seharian, wajiblah mengikuti cara dan acuan yang dilandasi Syara’, dan tidak sekali-kali membelakanginya. Seandainya sebaliknya yang dilakukan, di dunia mungkin selamat, tetapi bagaimana pula ketika berhadapan dengan Allah di Hari Pembalasan di Akhirat kelak?.
Tidak salah untuk berbangga, akan tetapi biarlah kena dengan tempatnya. Menelusuri teladan para sahabiyyah disepanjang sejarah kebangkitan Islam, begitu banyak kisah mereka yang patut menjadi contoh kebanggaan kita sebagai generasi kelestarian umat terbaik ini. Diantaranya Kabsyah bintu Rafi’ yang kehilangan dua orang anak kesayangannya Amru bin Muadz dan Sa’ad bin Muadz yang gugur syahid mempertahankan Deen Allah. Bagaimana asuhan serta didikan seorang ibu yang sangat berkesan kepada anak-anaknya sehinggakan sanggup berkorban demi Kalimah Allah yang teguh dan menjadi kebanggaan seorang ibu dan dirakam dengan tinta emas sebagai sebuah sejarah teladan yang gemilang.
Begitu juga Saidatina Asma’ bintu Abu Bakar yang sentiasa merangsang anaknya Abdullah bin Zubir agar tidak menjadi seorang yang pengecut dan terus kekal berjuang sehingga kehujung nyawa. Ibu yang bertaqwa akan mendidik anaknya dengan penuh ketaqwaan sehingga anak-anak mereka bercita-cita menjadi syuhada’ yang bukan sahaja menjadi kebanggaan si ibu. bahkan kebanggaan seluruh kaum muslimin dari satu generasi ke generasi yang lainnya.
“Dan ketahuilah Bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan Sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala Yang besar”.[TMQ Al-Anfal (8) : 28].
Wallahu ‘alam